Pages

Wednesday, 17 June 2020








SASTERA BUDAYA

EJEN ALI DAN SALADIN DI AMAZON PRIME

LIMA animasi terbitan tempatan yang diwakili oleh Primeworks Distribution, iaitu Soccer Bugs, Cingkus Blues, Saladin, Knowsy Nina Wants to Know, dan Super Tots, serta Ejen Ali (Primeworks Studios dan Wau Animation) berjaya menembusi Amazon Prime menerusi perjanjian yang termeterai antara Primeworks Distribution, anak syarikat Primeworks Studios dengan Janson Media.
Penonton di seluruh Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia dan New Zealand kini boleh menonton keenam animasi tersebut di Amazon Prime.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar, pembabitan pihaknya dalam menerbitkan Ejen Ali memberikan pengalaman yang sangat bermakna.
“Kami sebagai penerbit bersama, lebih memahami kesukaran dan pentingnya komitmen yang tinggi dalam menghasilkan sesebuah siri animasi yang bermutu tinggi,” ujar Ahmad Izham.
Tambah ‘orang kuat’ Primeworks Studios itu, pihaknya amat berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan negara luar kerana peluang tersebut amat penting bukan sahaja dari segi keuntungan pelaburan kewangan kepada industri animasi, malah satu pengiktirafan dunia terhadap kualiti dan penceritaan animasi Malaysia.
“Kami gembira menjadi sebahagian penyumbang kecil dalam usaha memastikan bidang animasi Malaysia terus maju. Setinggi-tinggi terima kasih kami ucapkan kepada pihak Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) atas sokongan mereka yang berterusan melalui bantuan kewangan, tunjuk ajar dan intel industri,” kata Izham.
Perjanjian yang ditandatangani pada awal tahun ini ketika pandemik Covid-19 melanda dunia memang amat tepat, apabila penonton hanya terbatas di rumah, dan sentiasa mencari kandungan yang berkualiti untuk ditonton.
Tambah Izham, Primeworks Studio berbangga hasil karya animasinya mendapat tempat di platform seperti Amazon Prime. Rasa keterujaan lebih tinggi apabila mengetahui hasil kerja kerasnya dapat ditonton di seluruh pelosok dunia, pada waktu yang tepat apabila penonton sentiasa mencari program untuk ditonton.
Menurut Penerbit Eksekutif, 3rd Rock Creations, Kar Hooi Tan pula, usaha yang dilakukan oleh Primeworks Distribution sebagai pengedar yang mewakili syarikat kecil sepertinya amat penting agar dapat memberi tumpuan terhadap kerja produksi. “Kami beruntung dan bersyukur dapat meneruskan kembali perjanjian kerjasama dalam waktu pandemik yang sukar ini. Ini berita yang berharga yang dapat dikongsikan kepada pasukan kami yang telah bertungkus-lumus menghasilkan Cingus Blues dan Soccer Bugs,” kata Hooi Tan.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Bahagian Perolehan dan Pembangunan, Janson Media, Jesse Janson menjelaskan, ekoran penularan wabak yang melanda dunia sekarang, pihaknya melihat peningkatan jumlah penonton yang tinggi untuk kandungan kanak-kanak.
“Oleh itu, penawaran pakej kandungan siri TV animasi kanak-kanak dari Primeworks menjadi tambahan yang bagus kepada kandungan video kanak-kanak sedia ada di Amazon Prime. Kami yakin siri TV animasi ini akan berjaya memikat hati penonton Amazon,” kata Janson.
Primeworks Distribution mempunyai kepelbagaian kandungan katalog animasi yang merangkumi beberapa judul animasi popular di samping IP ulung, Ejen Ali, yang telah mencapai kejayaan luar biasa dalam dan luar negara. Dengan berbekalkan dua musim penuh siri animasi TV penuh aksi, menembusi lebih 50 negara di seluruh dunia, kejayaan Ejen Ali diteruskan ke layar perak pada November 2019.
Untuk catatan, Ejen Ali the Movie meraih kutipan RM30 juta di Malaysian Box Office, yang menjadikannya filem animasi terlaris, dan mencatat kutipan tertinggi di Malaysia.