SASTERA BUDAYA
KERJASAMA iQIYI DAN MEDIA PRIMA
BERHAD
PENERBIT dan pengedar kandungan tempatan
terbesar di Malaysia, Primeworks Studios pada 24 Julai 2020 lalu mengumumkan
perkongsian kandungan dengan iQIYI,
sebuah syarikat gergasi perkhidmatan hiburan dalam talian di China, dengan
menandatangani perjanjian kerjasama yang menyaksikan enam (6) drama Melayu
bersiri terbaik TV3 disiarkan menerusi iQIYI, platform yang semakin pesat, dan
bakal menguasai pasaran antarabangsa.
Sebagai
permulaan pada perjanjian ini, iQIYI akan menyiarkan drama bersiri yang telah
mendapat sambutan hangat, 7 Hari
Mencintaiku 2 mulai 24 Julai 2020. Selepas satu jam tayangan perdana drama
bersiri ini ditayangkan di TV3, penonton juga berpeluang menontonnya secara
eksklusif menerusi platform iQIYI secara percuma.
Kejayaan besar
drama ini di TV3 mendorong iQIYI turut menyiarkan episod-episod bagi musim
pertama 7 Hari Mencintaiku sebagai
pilihan untuk penonton setianya menyaksikan kesinambungan drama ini.
7 Hari Mencintaiku membawa kisah percintaan rumit
Khuzairi terhadap Mia kerana tidak berbalas. Mia mengambil masa tujuh hari
untuk menyedari perasaan sebenarnya terhadap Khuzairi. Perasaan tersebut turut
berjaya mencuri hati jutaan peminat seluruh negara, apabila meraih 12 juta
penonton bagi jumlah keseluruhan tontonan.
Musim kedua
drama ini lebih mendebarkan dengan pertambahan konflik kehadiran orang ketiga
dalam perkahwinan yang telah dibina.
Usaha sama
ini turut merangkumi drama TV3 yang lain seperti Leftenan Zana, Kampung People,
Setelah Ku Dimiliki, dan sebuah siri
baharu yang paling dinanti-nantikan, iaitu Pengantin
Satu Malam yang bakal ditayangkan di TV3 pada Ogos 2020, dan boleh ditonton
secara eksklusif/percuma di iQIYI, sejam selepas ia bersiaran di TV3.
Menurut Datuk
Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios, kerjasama yang
dimeterai bersama iQIYI amat penting bagi pihaknya untuk memastikan mereka
sentiasa mengikuti trend masa kini yang melibatkan platform penstriman.
“Ia bukan
sahaja memberi kami peluang untuk mengikuti peredaran masa, malah kami juga
dapat mensasarkan golongan penonton baharu yang berpotensi,” tambah Ahmad Izham.
Dinesh
Ratnam, Pengurus Negara untuk iQIYI Malaysia, Singapore & Brunei pula
menyatakan kerjasama ini merupakan sebahagian daripada misi, dan strategi utama
pihaknya dalam memberikan kandungan drama Asia terbaik, dan relevan untuk
pengguna, serta menyediakan kandungan drama berkualiti tinggi.
“Sehubungan
itu, kami amat berbangga untuk mengumumkan kerjasama kami dengan Media Prima
yang secara langsung menyaksikan kejayaan iQIYI dalam menyampaikan kandungan
tempatan Malaysia yang berkualiti kepada pengguna kami,” tambah Dinesh.
Kerjasama
ini, kata Dinesh lagi, merupakan langkah paling tepat dengan suntikan kreatif
daripada pengurusan kanan Media Prima yang juga produser tersohor seperti Dato’
Iskandar Mizal Mahmood (Paskal The Movie,
WIRA) dan Izham (Pulang, Ejen Ali The Movie).
Pihaknya amat mengalu-alukan pilihan drama terbaik Media Prima ini disiarkan di
platform iQIYI.
Akasia 7 Hari Mencintaiku 2 telah mula
ditayangkan sejak 2 Julai 2020 di TV3 setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7
malam. Episod 1-16 dilancarkan di iQIYI pada 24 Julai 2020, dan kesemua episod
berikutnya tersedia di platform www.iQ.com, dan aplikasi iQIYI secara percuma selepas sejam disiarkan
di TV3.
DRAMA YANG
TERSEDIA DI iQIYI
(di
Malaysia, Singapura dan Brunei sahaja)
7 HARI MENCINTAIKU MUSIM PERTAMA
(MUSIM 1: 28
episod x 60 minit)
Kisah
percintaan rumit Khuzairi yang ditolak Mia dan tempoh tujuh hari yang
diperlukan oleh Mia untuk menyedari perasaan sebenarnya terhadap Khuzairi.
Pelakon:
Siti Saleha, Shukri Yahaya, Wan Sharmila, Syazwan Zulkifli
7 HARI MENCINTAIKU MUSIM KEDUA
(MUSIM 2: 33
episod x 60 minit)
Mia dan
Khuzairi kini menjalani kehidupan sempurna bersama-sama anak mereka, sehingga
menyebabkan cemburu orang sekeliling. Kehidupan mereka yang bahagia tiba-tiba menjadi
kacau-bilau apabila ibu Khuzairi memperkenalkan Nurul, pilihannya sebagai
isteri kedua untuk Khuzairi.
Pelakon:
Siti Saleha, Shukri Yahaya, Wan Sharmila, Syazwan Zulkifli
LEFTENAN ZANA
(16 episod x
60 minit)
Zana
bersemangat untuk menyertai khidmat tentera. Namun begitu ayahnya, Mejar
Rahmat, tidak merasakan Zana mampu menanggung cabaran mental, dan fizikal
latihan tentera. Dalam pada niatnya dihalang, Zana secara diam-diam telah memohon
untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia.
Setelah
berjaya memasuki angkatan itu, Zanan mulai merasakan bahawa anggapan ayahnya
mungkin betul. Adakah Zana akan menghadapi segala cabaran di kem bagi
membuktikan ayahnya salah atau mengalah?
Pelakon:
Janna Nick, Sheila Rusly, Redza Rosli, Tunku Hanis
KAMPUNG PEOPLE
(13 episod x
60 minit)
Sebuah
keluarga terpaksa menyamar sebagai orang kampung setelah si Bapa, Razif,
diletakkan di bawah perlindungan sebelum memberi keterangan terhadap bosnya,
seorang mafia.
Pelakon:
Elly Mazlein, Rashidi Ishak, Reina Diana, Namron, Hun Haqeem
PENGANTIN SATU MALAM
(28 episod x
60 minit)
Buntu kerana
kekurangan wang, Zulaikha membuat perjanjian dengan bosnya, seorang
anti-perempuan, untuk bersama-sama dengan hanya satu malam sebagai pertukaran
untuk duit.
Pelakon:
Amelia Henderson, Nazim Othman
SETELAH KU DIMILIKI
(28 episod x
60 minit)
Tragedi
menimpa sepasang suami isteri yang menyebabkan mereka berpisah, dan terpaksa
menempuh jalan hidup mereka sendiri. Sedikit sebanyak mereka menyedari bahawa
jalan itu akhirnya menemukan mereka kembali.
Pelakon: Zul
Ariffin, Intan Najuwa dan Tiz Zaqyah