Pages

Wednesday, 28 April 2021

 











EKONOMI

 

 

DEWI Pupuk Kesedaran Pentingnya Menyimpan Emas Secara Digital

 

DUA nama terkenal dalam nyanyian/dakwah dan penyiaran/lakonan tanah air bakal dilantik sebagai duta dalam usaha menggalakkan masyarakat memiliki emas sebagai aset masa hadapan.

Penyanyi/pendakwah Da’i Syed dan personaliti televisyen Azrul Zaidi Raja Lawak diperkenal dalam majlis Pengenalan dan Iftar Bersama-sama Media di Dewan Acara iFintech Solution Sdn Bhd, Kuala Lumpur pada 27 April lalu.

Majlis tersebut anjuran bersama Dewan Perniagaan Wanita Islam Malaysia (DEWI), iFintech Solutions Sdn Bhd, iMas Gold Sdn Bhd, dan iGoldaX.  

Syed dan Azrul menceritakan serba sedikit pengalaman dan pembabitan mereka dengan emas sehingga menarik perhatian DEWI, serta disokong oleh iFintech Solutions Sdn Bhd, iMas Gold Sdn Bhd, iGoldaX, dan Persatuan Rangkaian Perniagaan yang Teguh (SustNET).

Turut hadir ialah Setiausaha Agung SustNET, Ts Dr Norsaidatul Akmar Mazelan, dan Pengerusi Kehormat DEWI, Datin Raskidah Ali.

Majlis Pengenalan dan Iftar Bersama-sama Media itu antara lain bertujuan memperkenal DEWI, projek iGOLDAX, iMAS, dan sustNET; memberi kesedaran kepada orang ramai berkaitan hal digital, E-wallet, kepentingan menyimpan emas sebagai aset masa hadapan, serta potensi ekonomi Islam di Malaysia, dan persada antarabangsa khususnya bidang teknologi digital.

Menurut Azrul, dia sudah lama berminat menyimpan emas dan menyedarinya boleh menjadi aset penting. Landaan COVID-19 yang banyak menjejaskan sumber kehidupan, menambah kecaknaannya terhadap barang perhiasan berharga itu.

Jelas Azrul berterus-terang, pada awal Perintah Kawalan Pergerakan ekoran wabak pandemik tersebut tahun lalu, simpanan emasnya dapat membantu meringankan sedikit beban akibat kehilangan sumber pendapatan.

Sementara itu, Syed menjelaskan dia membeli emas untuk ibunya yang tercinta sebagai antara cara membalas jasa, dan pengorbanan wanita tersebut.

Sementelah lelaki Islam tidak boleh memakai emas, tentulah lebih sesuai ia disimpan ataupun dihadiahkan kepada insan tersayang seperti ibu, dan isteri.

Sebagaimana Azrul, Syed juga bersetuju kaedah dalam talian sekarang yang semakin rancak boleh membantu menjayakan usaha ini.

Menurut Datin Raskidah atau lebih mesra dipanggil Datin Ras, dalam era pasca COVID-19 dan juga masa akan datang, ilmu teknologi maklumat (IT) sangat relevan. Semua orang, kata beliau, perlu mempelajarinya seperti media sosial, pemasaran dalam talian (online marketing), blogging, influencing, Youtube, Blockchain, dan aset digital.

DEWI, tambah Datin Ras, memperkasakan para wanita Islam melalui Wanita Digital (WADI Tijara dan WADI Afiyah).

Jelas beliau lagi, ahli Biro DEWI Remaja yang berumur dari 15 hingga ke 18 tahun berpeluang mendapat pendedahan awal berkenaan perniagaan melalui DEWI.

Mereka akan mempelajari selok-belok perniagaan barang kemas dan perhiasan, serta memperoleh kesedaran menyimpan emas, dan teknologi digital, selain menjalani latihan keusahawanan.

Dengan ‘IGOLDAX Jewellers Hub’, mereka akan diberi peluang mempamerkan, sekali gus mempromosikan barangan kemas, dan ‘jongkong emas; di dalam sebuah gedung secara percuma.

Antara jenama yang telah berada di gedung berkenaan ialah Suhara Jewel Art, dan K&EO Jewellery.

Ahli biro tersebut juga dapat bersama-sama dengan Datin Ras menerajui golongan remaja, terutamanya dalam kempen menangani masalah ‘gangguan & ketagihan masyarakat’.

Menerusi projek iGOLDAX dan iMAS pula, jelas Dr Norsaidatul, para peniaga boleh memanfaatkan hub produk perniagaan yang disediakan, di samping boleh berurus niaga untuk barangan kemas dan perhiasan menerusi platform digital ini.

Katanya, usaha yang dijalankan ini tidak akan menghadapi banyak masalah kerana sebahagian besar masyarakat sudah menggunakan kemudahan internet.

Hub ini terletak di Wisma Trax, yang beralamat No 1, Jalan 5 off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Bersempena dengan Hari Raya Eidulfitri, duit raya digital boleh diberikan kepada yang berkenaan sewaktu menyambutnya nanti.

Friday, 23 April 2021

 




























EKONOMI

 

TUJUH DEKAD CO-OPBANK PERTAMA KEKAL RELEVAN  

 

PADA 7 Jun 2021 depan, Co-opbank Pertama (CBP) genap berusia 71 tahun. Ia telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah bank pada September 2014.

Sehingga kini, CBP memiliki 26 cawangan di seluruh negara, yang menawarkan pelbagai produk Pembiayaan Individu, Koperasi serta Korporat, Ar-Rahnu, Deposit, Syer Keanggotaan, serta Takaful dan Wasiat.

Bersempena dengan Ramadan 1442 Hijrah, dan tanda kesyukuran, pada 23 April lalu, CBP menganjurkan majlis iftar yang meraikan 30 pelajar dan golongan asnaf, serta pengamal media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL, yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Dagangan Dunia Putra - PWTC).

Para pelajar tersebut dari Sekolah Kebangsaan Danau Kota, dan Sekolah Kebangsaan Jalan Hang Tuah 1 yang menerima sumbangan duit Raya, dan kelengkapan sekolah.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari mengatakan CBP sentiasa bersedia membantu golongan yang memerlukan seperti gelandangan, golongan asnaf, anak yatim, pelajar sekolah, dan lain-lain.

Menurut Kamari, jenis bantuan dan bentuk sumbangan yang diberikan berbeza, serta bergantung pada keperluan dan permintaan. Tambah beliau, ia merupakan tanggungjawab sosial BCP kepada masyarakat setempat di setiap cawangan CBP.

Dalam majlis itu, Kamari turut menyampaikan plak penghargaan kepada wakil-wakil media cetak dan media elektronik atas kerjasama, dan sokongan kepada CBP selama ini.

Tegas Kamari, media banyak membantu dan memainkan peranan penting demi memastikan jenama CBP kekal relevan dalam kalangan masyarakat sejak tujuh dekad lalu.

Turut menyerikan majlis iftar itu ialah penyampaian tazkirah selama kira-kira 45 minit oleh PU Raihan.