Pages

Friday, 22 July 2022

 

SUKAN

 

BOLA KERANJANG NEGARA BAKAL KEMBALI RANCAK


MALAYSIA D-League atau Liga Pembinaan Malaysia yang bakal berlangsung pada 30 Julai sehingga 21 Ogos 2022 nanti bukanlah pertandingan atau persaingan baharu.

 

Dengan namanya Liga Pembinaan Malaysia (MDL), huruf ‘D’ untuk D-League ialah development yang bererti pembangunan atau pembinaan.

Menurut Pesuruhjaya MDL, Frank Ch’ng, kejohanan bagi kelab-kelab bola keranjang ini telah dimulakan pada 2019. Walau bagaimanapun, oleh kerana COVID-19, selama dua tahun kemudian ia tidak dapat diteruskan.

 

Justeru, MDL 2022 yang bakal disertai 16 kelab (13 dari Malaysia, dan tiga negara luar, iaitu Indonesia - BBM CLS Knight, Brunei Darussalam - Pegasus, dan Singapura - Singapore Adroit) nanti akan dapat mengubati kerinduan para peminat bola keranjang tanah air pada aksi-aksi menarik para pemain berbakat besar.

 

Dalam sidang media MDL 2022 di Dewan Mokhtar Dahari, Hotel Olympic Malaysia, Kuala Lumpur pada 21 Julai 2022 lalu, Ch’ang juga memberitahu pertandingan ini terbuka pada para pemain berusia 23 tahun ke bawah.




“Penetapan usia tersebut ada kaitannya dengan COVID-19 dan dua tahun pelaksanaan perintah kawalan pergerakan atau PKP di seluruh negara. Untuk MDL 2023 nanti, had umur diturunkan ke bawah 22 tahun, dan seterusnya bawah 21 tahun bagi MDL 2024,” jelas beliau.

 

Sepatutnya pemain bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita MDL 2022 ialah 21 tahun ke bawah, iaitu yang dilahirkan selepas 1 Januari 1999. Untuk MDL 2023, pemain yang lahir selepas 1 Januari 2001, dan bagi MDL 2024, pemain yang dilahirkan selepas 1 Januari 2003.

 

Para pemain tersebut hendaklah warganegara Malaysia dengan permohonan. Negara-negara dari Asia Tenggara boleh juga mengambil bahagian dengan hanya satu penyertaan, dan mempunyai dokumen pengenalan nasional yang sah.


 

Selain setiap pasukan boleh mendaftarkan maksimum tiga pemain kebangsaan yang pernah mewakili Malaysia/Indonesia/Singapura/Brunei dalam kejohanan rasmi FIBA dan/atau SEABA bermula 1 Januari 2020, kesemua pemain mesti yang telah mendapat vaksinasi penuh mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Kategori lelaki disertai 15 pasukan mengikut regular dan peringkat playoff. Jelas Ch’ng, 15 pasukan dalam kebiasaan akan dipecahkan kepada dua kumpulan, iaitu A dan B. Lapan pasukan diletakkan dalam kumpulan A, sementara tujuh lagi dalam kumpulan B.

 

“Pertandingan dijalankan secara round robin dalam setiap kumpulan untuk mencari empat pasukan teratas. Setiap pasukan dalam kumpulan A akan bermain tujuh kali, sementara semua pasukan dalam kumpulan B pula mengharungi enam perlawanan,” tambah Ch’ng.

                            Pesuruhjaya Liga Pembinaan Malaysia, Frank Ch’ng Eng Hing.


Bagi peringkat playoff pula, empat pasukan dalam setiap kumpulan layak secara automatik ke Lapan Elit (suku akhir). Pada peringkat ini, satu perlawanan sahaja (kalah mati) dihadapi pasukan-pasukan terbabit.

 

Pemenang Lapan Elit akan terus melangkah ke peringkat Empat Terbaik. Satu perlawanan juga akan dihadapi pasukan yang bertanding, dan pemenang mara ke peringkat akhir. Pada peringkat akhir, dua pasukan bertarung untuk bergelar juara.

 

Bagi kategori wanita yang disertai hanya empat pasukan, ada peringkat regular dan playoff. Pada peringkat biasa, pasukan teratas secara automatik layak ke peringkat akhir. Pasukan terbawah pula secara automatik tersingkir daripada persaingan seterusnya.

 

Pasukan di tempat ketiga dan keempat akan bertarung pada peringkat playoff atau separuh akhir. Satu perlawanan akan dihadapi kedua-dua pasukan, dan pemenangnya akan bertemu juara kategori tersebut dalam perlawanan akhir.


Antara yang turut menghadiri sidang media penganjuran Liga Pembinaan Malaysia 2022 di Hotel Olympic, Kuala Lumpur pada 21 Julai 2022 lalu. 


Kedudukan setiap pasukan ditentukan oleh menang-kalah masing-masing dalam biasa. Setiap kemenangan diberikan dua mata, seri memperoleh satu mata, dan tiada sebarang mata jika kalah.

 

“Corak persaingan ini berdasarkan Artikel D.1 Peraturan Bola Keranjang Rasmi 2022 yang disahkan oleh FIBA. MDL memang dilangsungkan mengikut peraturan yang disahkan oleh FIBA bermula 1 Oktober 2020, kecuali pindaan mengikut peraturan MDL sendiri,” jelas Ch’ng.

 

Juara kategori lelaki MDL 2022 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, sementara naib juara memperoleh RM10,000, dan tempat ketiga pula menerima RM5,000.

 

Hadiah RM1,000 diberikan kepada pemain terbaik peringkat regular, dan pemain terbaik perlawanan akhir.

 

Sementara penjaring terbanyak, pelantun terbaik, pembantu jaringan terbaik, ‘pencuri’ bola terbaik, dan penghadang terbaik masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM500.

 

Jumlah hadiah ini juga sama bagi pemenang serupa dalam kategori wanita. Namun demikian, juara kategori ini menerima RM10,000, naib juara meraih RM5,000, dan tempat ketiga pula RM2,500.

 

Selain BBM CLS Knights, kumpulan A kategori lelaki turut disertai Penang Stallions, Selangor XX, Roosters, Flyer Spirit, Go Strong, KL Assel dan jaguh negara, NS Matrix.

 

Dalam kumpulan B kategori lelaki, Pegasus dan Singapore Adroit disaingi Sunrise Youngsters, Selangor XXIII, Johor Tiger, Speed Hunter, dan MBC.

 

Singapore Adroit turut bertanding dalam kategori wanita dan bakal menghadapi cabaran Johor Tiger, MKYC Dragons, dan NS Matrix.

 

Kesemua perlawanan MDL 2022 bakal dilangsungkan di Stadium Tertutup MABA, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur setiap hari pada jam 10 pagi, 12 tengah hari, juga 2, 4 dan 6 petang, serta 8 malam.

 

MDL 2022 dianjurkan oleh Major League Sdn Bhd yang berpangkalan di tingkat 6, Wisma MABA.         

Friday, 8 July 2022

PENDIDIKAN

 

JPKM Buka Peluang Kedua untuk Anak Keluarga Malaysia ke Pengajian Lebih Tinggi

 

PADA 8 Julai 2022 lalu, Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) melancarkan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022 peringkat Parlimen Kuala Selangor yang disempurnakan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

Majlis yang berlangsung di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor ini telah disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Haji Omar.

 

Setelah tertangguh selama dua tahun akibat wabak pandemik COVID-19, JPKM kali ini diikuti oleh 19 universiti awam (UA), dan kemahiran teknikal. Dalam majlis itu juga, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul menyerahkan surat tawaran kemasukan ke menara gading, dan sumbangan bantuan tunai awal pengajian sumbangan Yayasan Petronas, serta bantuan cermin mata percuma kepada anak-anak Kuala Selangor dan Tanjung Karang yang layak.



Bantuan cermin mata percuma kepada anak-anak Kuala Selangor dan Tanjung Karang yang layak.


Sebahagian daripada pelajar yang menghadiri majlis pelancaran Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 peringkat Parlimen Kuala Selangor pada 8 Julai 2022 lalu.



Prof Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar mengiringi Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Tan Sri Noh Haji Omar melawat gerai pameran universiti awam, dan institusi pendidikan.


Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Antara yang turut hadir ialah Prof Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Datuk Abdul Malik Abdullah, Shariah Nelly Francis, Alias Awang, dan Haji Mohd Azuan Mohd Nawawi.       


                   Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Haji Omar.



Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz beramah mesra dengan pempamer dari Institut Kemahiran Negara Peretak yang turut menyertai majlis pelancaran  Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 peringkat Parlimen Kuala Selangor pada 8 Julai lalu.

JPKM 2022 ini merupakan daya usaha dan projek khas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam membuka peluang kepada capaian pendidikan tinggi negara untuk seluruh masyarakat, terutamanya penduduk di kawasan pedalaman, ataupun luar bandar.

 

Sekretariat JPKM akan menjelajah ke seluruh negara bagi mencari, mengenal dan membantu sasaran seramai 50,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016-2021, anak-anak Keluarga Malaysia (KM) yang kurang bernasib baik, dan kurang kemampuan dari segi kewangan di seluruh negara.

 

Menurut Tengku Zafrul, atas kepentingan penganjuran JPKM 2022 ini, kita sebagai sebuah keluarga di kawasan Kuala Selangor harus sama-sama memanfaatkan pelaksanaannya untuk diangkat ke tahap lebih tinggi demi masa depan anak-anak.

 

“Jelajah Pendidikan sebelum ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya ibu bapa pelajar yang tercicir, dan kurang bernasib baik. Siri jelajah ini dapat melahirkan insan berilmu dan ada kemahiran, sekali gus membantu pembangunan modal insan,” tambah beliau.


                Sebahagian daripada pelajar yang terlibat yang hadir pada hari bersejarah mereka.



Simbolik penyerahan surat tawaran kemasukan pelajar & penyampaian sumbangan bantuan pendidikan.

        Menteri Kewangan Malaysia, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.










Simbolik penyerahan surat tawaran kemasukan pelajar & penyampaian sumbangan bantuan pendidikan.


Sementara itu, Tan Sri Noh memberitahu JPKM Parlimen Tanjung Karang telah memberi peluang kepada 428 pelajar lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia menerima tawaran dari pelbagai UA. Seramai 120 pelajar yang layak diberikan bantuan awal pengajian sumbangan Yayasan Petronas dan bantuan cermin mata percuma dari Yayasan Hasanah.

 

“Secara keseluruhannya, JPKM telah memberikan sumbangan besar kepada rakyat Malaysia, khususnya bagi golongan pelajar tercicir, dan kurang kemampuan untuk diberikan peluang kedua melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi,” ujar Noh.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin Ghazali bersyukur kerana ramai yang telah menerima bantuan menerusi sumbangan. Beliau juga berterima kasih kepada rakan-rakan strategik JPKM melibatkan UA, dan kemahiran teknikal yang sentiasa bersama-sama sekretariat meneruskan jelajah.

 

“Terima kasih untuk setiap pengorbanan masa, keringat dan tenaga bagi memastikan anak bangsa terus mendapat tempat di menara gading. JPKM ternyata menyediakan peluang kedua kepada anak-anak KM mendapatkan tempat di UA terpilih agar mereka mampu mengubah nasib masa hadapan yang lebih cemerlang,” kata Datuk Aizuddin.

 

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Induk JPKM, Prof Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Penasihat Ekonomi & Antarabangsa PRIHATIN, Datuk Abdul Malik Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis; Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pendidikan Negari Selangor, Alias Awang, dan Pegawai Pendidikan Daerah PPD Kuala Selangor, Haji Mohd Azuan Mohd Nawawi.    

   

PELANCONGAN/SUKAN

 

KLTITC Akan Kembali Menakluki Menara Kuala Lumpur  

 

SESUATU yang menggembirakan bagi para penggiat dan peminat sukan lasak di negara ini ialah kembalinya JomRun, acara larian ikonik dan utama Asia Tenggara selepas dua tahun.

 

Pada 14 Ogos 2022 nanti, akan diadakan JomRun Ikonik Cabaran Menaraton Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (KLTITC) yang disertai kira-kira 2,000 pelari. 

 

Dengan rekod kejayaan selama 19 tahun, KLTITC telah membina prestijnya yang tersendiri di Malaysia, dan mampu menarik penyertaan pelari dari seluruh dunia.

 

Larian ini menghamparkan cabaran yang unik kepada para pelari, iaitu mendaki 2,058 anak tangga sehingga ke garisan penamat, di puncak tertinggi di Kuala Lumpur, iaitu setinggi 288 meter dari paras bumi.

 

Pada 7 Julai 2022 lalu, telah berlangsung pelancaran dan sidang media KLTITC di Megaview Menara Kuala Lumpur, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

 

Turut hadir ialah Pengasas dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif JomRun Sdn Bhd, Chang Yi Hern; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Azhan Abrar; Pengarah Jabatan Sukan, Pelancongan, Seni, dan Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Khairul Azmir Ahmad; dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar.

 

Dalam ucapannya, Ainol Shaharina mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin, dan mengalu-alukan kedatangan mereka ke menara komunikasi tertinggi di Asia Tenggara, dan ketujuh tertinggi di dunia.

 

Selain mengucapkan terima kasih kepada Wan Ahmad Fayhsal yang sudi menyempurnakan pelancaran, beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat bertemu dengan hadirin menunggu kedatangan KLTITC 2022.

 

Sementara itu, Chang Yi Hern mengatakan pihaknya amat berbangga dapat membawa kembali KLTITC, salah sebuah acara larian yang begitu terkenal di Malaysia. Katanya, JomRun KLTITC telah mencabar, dan memberi inspirasi kepada ribuan orang selama 19 tahun.

 

“Kami tahu kami akan melakukannya lagi pada tahun ini. Untuk JomRun KLTITC 2022, matlamat kami ialah terus mencipta lebih peluang kepada para penggila acara larian, sekali gus mewujudkan gaya hidup sihat,” tambah Chang dalam ucapan beliau.

 

Kata Chang lagi, sebagai penganjur profesional pertama dan tunggal larian menara di Malaysia, dengan mematuhi peraturan Persatuan Larian Menara Sedunia, JomRun mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua peserta.

 

“Untuk mengelakkan sebarang kecederaan dan kejadian tidak diingini, para pelari akan berlari ke atas seorang demi seorang. Pemenang akan ditentukan menerusi masa yang diambil untuk melengkapkan keseluruhan cabaran,” jelas Chang.

 

Pada tahun ini, tambah beliau, pihaknya gembira melihat kebanyakan peserta bukan sahaja dari Malaysia, malah dari Singapura, Brazil, Jepun, Jerman dan banyak lagi, dengan peserta tertua berusia 73 tahun, dan termuda pula 11 tahun. JomRun juga berharap lebih ramai akan menyertai larian dan menguji kemampuan mereka.

 

Pendaftran untuk menyertai KLTITC 2022 dibuka sehingga 12 Ogos 2022. Rakyat Malaysia yang ingin mengambil bahagian boleh membuat pendaftaran awal pada kadar hanya RM80 seorang. Bagi rakyat luar negara pula, mereka boleh mendaftar sekarang pada kadar RM120 seorang.

 

Dalam ucapan beliau, Wan Ahmad Fayhsal menyatakan kegembiraan kerana acara yang dinanti-nantikan kembali semula. Justeru, peluang yang ada ini, tambah beliau, jangan dipersia kerana sukan sentiasa memberikan kebaikan seperti kesihatan.

 

Sebagai timbalan menteri yang berkaitan dengan perpaduan kaum, sukan juga, kata beliau boleh menjadi alat menghakis permusuhan, dan persengketaan.

 

Sementara itu, khabarnya setiap peserta akan menerima jersi Ultron Superlite, alas dada perlumbaan dengan cip penetap masa, sijil elektronik, insurans kemalangan peribadi, juadah ringan, dan pingat penamat bagi peserta yang menamatkan cabaran.

 

Peserta sehingga ke garisan penamat juga boleh memilih untuk menambah jersi Premium Penamat eksklusif pada harga diskaun RM49.99.

 

Pemenang kategori terbuka akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan sebuah trofi. Naib juara pertama akan diberikan RM500 dan sebuah trofi, sementara naib juara kedua memperoleh RM250 dan sebuah trofi.

 

Dalam kategori veteran pula, para pemenang masing-masing akan menerima RM500, RM250, dan RM100 bersama-sama trofi.

 



Timbalan Menteri Perpaduan Negara Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.


Beberapa tenaga penting KLTITC 2022 bersama-sama Chang Yi Hern, Azhan Abrar, Khairul Azmir Ahmad, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kanal, Ainol Shaharina Sahar.


         Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif JomRun Sdn Bhd, Chang Yi Hern.








               Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar.







Poster rasmi 
JomRun Ikonik Cabaran Menaraton Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (KLTITC) 2022 dilancarkan.

KLTITC 2022 diperkuat oleh Rakan Baju Rasmi, Ultron, iaitu jenama pakaian sukan nombor satu di Malaysia. Acara ini mendapat sokongan Kelab Larian JomRun, TrackAsia – cip penentu masa RFID utama, dan Menara Kuala Lumpur Malaysia.

 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai KLTITC 2022, sila lawati https://www.jomrun.com/event/JomRun-KL-Tower-International-Towerthon-Challenge-2002.

 

                  

Friday, 1 July 2022

AGAMA

 

Penubuhan Majlis Ulama Asia Tenggara di KL di Bawah Payung Liga Muslim Sedunia.

 

SEBELUM Persidangan Ulama Sedunia di Kuala Lumpur pada tahun depan, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022. Persidangan kali pertama itu berlangsung pada 30 Jun 2022 yang lalu.

 

Persidangan tersebut diadakan di bawah naungan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, yang turut menampilkan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Senator Ustaz Datuk Haji Idris Ahmad.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Senator Ustaz Datuk Haji Idris Ahmad menyampaikan ucapan alu-aluan beliau.



Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan perasmian.



Majlis perasmian Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari khas.




                                     Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 pada 30 Jun lalu.
 


Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa menyampaikan ucapan beliau.



Berlangsung sehari, Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 disertai 44 penceramah dari 17 negara.  Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Dato’ Sri Ismail.

 

Ismail bangga kerana Malaysia dipilih menjadi tuan rumah persidangan ini oleh Liga Muslim Sedunia, yang sudah pasti merupakan pengiktirafan untuk negara kita, dan menonjolkan Islam sebagai agama keharmonian, keselamatan dan kemakmuran.

 

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan kehadiran perwakilan luar negara membuktikan kesungguhan penganjur dalam meningkatkan solidariti Islam dan ummah, serta berperanan mengharmonikan hubungan antara umat Islam, dan pelbagai lapisan masyarakat.

 

“Persidangan ini diadakan ketika umat Islam masih berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk pertikaian sesama sendiri, provokasi pihak tertentu, dan Islamofobia, atau pandangan prejudis terhadap Islam,” kata Ismail.

 

Perdana Menteri berpendapat penyelesaiannya perlu dicari, dan ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak agar kesucian agama Islam, dan solidariti ummah dapat dipertahan.

 

Sementara itu, Syeikh Dr Muhammad memuji Ismail atas persetujuan menubuhkan Majlis Ulama Asia Tenggara di Kuala Lumpur di bawah payung Liga Muslim Sedunia.

 

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Malaysia dan kerajaannya menerusi Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) atas penganjuran Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 ini.

 

Syeikh Dr Muhammad mengatakan pihaknya gembira mengadakan mesyuarat luar biasa yang menghimpunkan ulama sedunia, di negara-negara yang mempunyai kepentingan dalam peta dunia Islam kita dan dunia amnya, iaitu negara-negara Asia Tenggara.

 

Persidangan ini juga mengesyorkan agar perpaduan ummah berlandaskan prinsip toleransi, dan bekerja atas dasar interaksi antara manusia seperti yang dianjurkan oleh Islam, dan para peserta menekankan untuk menentang dan menolak ekstremisme, menanamkan prinsip kasih sayang, dan belas kasihan dalam hati individu tanpa melihat kepada agama.

 

Peserta mengesyorkan bahawa prinsip toleransi dan menghormati hak orang lain menjadi keutamaan dalam bekerjasama dengannya bagi mencapai keamanan dan kesejahteraan global dan menekankan bahawa rancangan keamanan dan keselamatan masa depan harus dibangunkan oleh pemimpin negara berdasarkan tujuan syariah umum untuk membina negara-negara yang penuh dengan kemakmuran, keamanan, kemajuan dan perpaduan, seperti yang difirmankan Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya, “(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.”

 

Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 turut mengesyorkan agar persefahaman bersama, yang diketahui sebagai fiqh kehidupan, menjadi asas kepada agenda setiap negara untuk membina masa depan baharu, berteraskan perpaduan dan keharmonian yang utuh dalam kalangan seluruh anggotanya.

 

Para peserta menyarankan pengukuhan perpaduan negara dengan berpegang kepada akidah Ahlus-Sunnah wal-Jama'ah untuk mengesahkan bahawa ajaran Islam sampai kepada manusia dengan cara, dan pendekatan yang betul.

 

Pada penghujung persidangan, Dr Muhammad menegaskan bahawa Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 berjaya mencapai beberapa matlamatnya.

 

Tambah Muhammad, yang paling penting ialah memperhalus visi bertamadun yang akan menggariskan nilai-nilai kesederhanaan dalam masyarakat, menyumbang kepada mempertingkat persaudaraan, dan kerjasama antara negara dan rakyat, serta berusaha menyebarkan kesedaran tentang konsep perpaduan, keamanan dan keharmonian dalam kalangan pemimpin, pemikir dan pempengaruh dalam masyarakat manusia amnya, dan belia khasnya.

 

“Usaha kerajaan Islam hari ini akan mengekang fahaman yang melampau yang telah menyumbang kepada memburukkan imej Islam sebenar, dan akan menyumbang kepada penyebaran nilai-nilai keadilan, toleransi, persaudaraan, dan pemikiran sederhana,” kata Muhammad lagi.