Pages

Saturday, 17 December 2022

SYARAHAN KRISIS MEDIA JOHAN JAAFAR TETAP BERGUNA

 

 

WALAUPUN berbentuk umum kerana Syarahan Umum, tetapi isi penyampaian Tan Sri Johan Jaafar sebagai pensyarah jemputan selama kira-kira dua jam, tetap bermanfaat kepada semua yang mendengarnya pada 13 Disember 2022 lalu.

 

Tidak kira pelajar Jabatan Media & Komunikasi Universiti Malaya (UM) yang majoriti memenuhi Auditorium Anjung Ilmu, Fakulti Sastera & Sains Sosial UM itu atau umum, semua yang hadir bertuah kerana berpeluang menimba ilmu, dan mendengar pengalaman seorang tokoh yang telah diangkat sebagai Tokoh Wartawan Malaysia.

 

Tan Sri Johan dalam syarahannya telah menyentuh banyak perkara penting. Ia amat berharga yang juga boleh dianggap ‘pelbagai dalam satu’.

 

Justeru, laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bahawa 117 wartawan terbunuh di seluruh dunia semasa bertugas dari 2020 ke 2021 – 62 orang pada 2020 yang menurun kepada 55 orang (2021), tetapi meningkat semula kepada 66 orang sehingga September 2022 tetap berfaedah sebagai maklumat.

 

Pada permulaan syarahannya, mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan (1992-1998) itu mengingatkan kepada peristiwa Mogok Utusan Melayu atau Mogok 1961 pada tahun tersebut kerana membantah langkah Umno (Kerajaan Perikatan) mahu menguasai Utusan Melayu.

 

Mogok tersebut menjadi titik tolak penting dalam dunia persuratkhabaran atau media tanah air, iaitu bermulanya penguasaan kerajaan atau pemerintah terhadap isi kandung akhbar yang diterbitkan,” kata Johan.

 

Akhbar Utusan Melayu yang pertama terbit pada 29 Mei 1939, diketuai Abdul Aziz Ishak (Presiden Singapura yang pertama pada 1965) dengan Abdul Rahim Kajai sebagai pengarangnya.

                                    Tokoh Wartawan Malaysia, Tan Sri Johan Jaafar.


                        Prof Dr Hamedi Mohd Adnan (berdiri) sebagai pemudah cara.


Johan yang juga mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka kemudian menyentuh tajuk syarahan, iaitu Krisis Media: Di Belakang Duri, Di Depan Api yang diilhamkan daripada sajak karya Sasterawan Negara ketiga (1983), Datuk (Dr) Usman Awang.

 

Ia menggambarkan keadaan wakil media atau wartawan yang masih tersekat, dan dikekang dalam tugas menyebarkan maklumat atau berita sahih. Tidak dinafikan krisis tersebut bermula dari penguasaan Umno terhadap Utusan Melayu.

 

“Krisis media terjadi kerana revolusi media sosial, serta menyentuh soal relevansi, model perniagaan, dan kepercayaan. Sehubungan itu, adakah media konvensional masih relevan ketika media baharu kian menguasai?” ujar Johan mengenai punca krisis media.



Syarahan Umum - Krisis Media: Di Belakang Duri, Di Depan Api.


Tan Sri Johan Jaafar dalam syarahannya telah menyentuh banyak perkara penting.       


 Dalam memikirkan semula soal media ini, beliau menyentuh isu hak asasi manusia, gejala paparazzi, tanggungjawab sosial, dan permintaan pasaran.

 

Johan turut menyentuh sejarah pertembungan golongan tradisional dengan golongan progresif.

 

Pertentangan antara kaum lama dengan kaum muda (yang diabadikan dalam buku Al Imam – 1906 dan Idaran Zaman -1925) membuktikan bahawa perdebatan secara bijak dan menggunakan ilmu telah bermula pada 1906,” jelas beliau.

 

Johan turut mengingatkan kembali peranan sastera dalam membawa pembaharuan telah dimulakan oleh Al-Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi menerusi novelnya, Faridah Hanom (1925), yang memberikan makna sebenar progresif.

 

Menyebut Utusan Melayu tidak lengkap jika melupakan penerbitan akhbar berbahasa Melayu yang pertama di negara kita, Jawi Peranakan pada 1876.

 

“Bermula dari itu, keghairahan menerbitkan akhbar tidak hanya di bandar-bandar besar, malah di bandar kecil pada era 1930-an sehingga 81 buah akhbar diterbitkan di seluruh negara,” kata Johan.

 

Pada 1935 hingga 1936, tambahnya, iaitu dalam tempoh setahun sahaja, sebanyak 25 akhbar diterbitkan.

 

Selain Faridah Hanom yang mewakili karya sastera tanah air, Johan turut menyentuh soal politik negara yang mengaitkan beliau, termasuk dipecat dari Utusan Melayu (M) Berhad sebelum pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

 

Demikian juga dengan isu yang menggegarkan negara sehingga membawa kepada kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional sekali gus Datuk Sri Mohd, Najib Tun Abdul Razak dalam Pilihan Raya Umum ke-14, iaitu skandal 1 Malaysia Development Berhad atau 1MDB.

 

Sebelum mengakhiri syarahannya, Johan meminta kerajaan menghormati kebebasan media dan peranan para pengamalnya. Tegas beliau, kebebasan media perlu dalam memastikan kewujudan semak, dan imbang pentadbiran mana-mana kerajaan pun.

 

Syarahan Umum berkenaan dimudahcarakan oleh Ketua Jabatan Pengajian Media & Komunikasi UM, Prof Dr Hamedi Mohd Adnan.

 

Turut hadir termasuklah penulis dan sarjana veteran Dr Syed Husin Ali dan Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong; penulis dan budayawan veteran Raja Ahmad Aminullah, dan pensyarah jabatan yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia atau PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

  

Friday, 16 December 2022

Imam di Pawagam Seluruh Malaysia Menjelang Ramadan 1444

 

 

Novel Imam, terbitan Utusan Publication & Distributors pada tahun 1995, membawa kisah perjuangan seorang imam, Haji Mihad yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya.

 

Walau bagaimanapun, pembaharuan yang ingin dibawa oleh Haji Mihad mendapat tentangan hebat daripada penduduk kampung yang beragama Islam, serta kaum keluarganya sendiri.

 

Haji Mihad berasal daripada keturunan yang berpengaruh, dan mendapat pendidikan sempurna dalam bidang agama. Beliau kembali ke kampungnya selepas 10 tahun menghilangkan diri dengan menyertai angkatan tentera di Sarawak.

 

Oleh kerana diawasi pihak tentera di sana, Haji Mihad akhirnya menetap di Indonesia dan menuntut ilmu agama. Walau bagaimanapun, kepulangannya ke kampung dan dilantik menjadi imam menimbulkan iri hati beberapa orang.

 

Kesedaran dan keprihatinan Haji Mihad terhadap kemunduran masyarakat kampungnya dalam pelbagai aspek seperti pemikiran dan ilmu, menjadi faktor beliau mahu membawa pembaharuan walaupun amat dipersoal oleh pelbagai pihak, termasuk majlis agama.




Mior Hashim Manap telah merancang kemunculan Imam sejak 2013 lagi.


Dato’ M Nasir dipilih memegang watak Imam Mihad oleh Mior Hashim Manap kerana raut wajah yang sesuai, dan tahap ilmu agama Islam yang dimilikinya.


Antara makmum yang menunggu kemunculan Imam Mihad bermula 2 Mac 2023 nanti.


Haji Syamsuri (depan, berdiri tiga dari kiri), lakonan Faizal Hussein begitu sakit hati dengan Imam Mihad.


Antara pembaharuan tersebut termasuklah pengubahsuaian suasana, dan persekitaran masjid, Masjid Muhammad Salleh yang diceriakan dengan pokok-pokok bunga, dan bangku. Gelanggang permainan turut dibina di atas tanah masjid di sekitarnya.

 

Pembaharuan berkenaan menjadi isu bagi penduduk kampung, dan mencetuskan kemarahan imam lama. Penduduk kampung turut marah apabila bangsa lain bebas keluar masuk masjid menghadiri kelas. Ternyata, perubahan yang dibawa oleh Haji Mihad itu sukar diterima oleh masyarakat kampung, malah beliau dianggap membawa ajaran sesat.

 

Setiap pembaharuan yang dibawa oleh Haji Mihad agak asing, dan mendapat perhatian majlis agama. Tuduhan serta fitnah dilemparkan kepada beliau. Majlis agama kemudian menghantar wakil untuk memantau kegiatannya di masjid tersebut.

 

Sesi soal jawab Haji Mihad-pegawai dari majlis agama dijalankan beberapa kali untuk memastikan ajarannya benar, dan mengikut undang-undang Islam. Justeru, sesi berkenaan telah memaparkan keintelektualan dalam bidang agama, meskipun terjadi perbalahan kecil antara mereka.


Imam bukan sekadar ketua pelaksanaan ibadah di masjid, tetapi dia juga pemimpin manusia secara umum!


 

Imam, arahan Mior Hashim Manap, turut dibintangi dari kiri, Noramin, Dato’ Rahim Razali, dan Vanida Imran.



Soal siasat tersebut diketahui beberapa penduduk kampung. Keadaan semakin genting apabila adik Rubiah, iaitu Debok menginap di rumah Haji Mihad setelah lama menghilangkan diri. Debok juga saudara, dan waris Muhammad Salleh. Haji Syamsuri, iaitu abang ipar Debok resah dengan keakraban mereka, lalu menjalankan pelbagai strategi demi memperoleh jawatan imam di Masjid Muhammad Salleh, termasuk mempengaruhi Debok.

 

Namun demikian, Debok menyebelahi Haji Mihad, lantas mencetuskan kemarahan Haji Syamsuri, yang kemudian menghantar orang untuk menakutkan imam tersebut.

 

Esoknya, gempar apabila orang kampung menemui mayat Haji Mihad. Pihak polis mendapatkan maklumat, serta bukti bahawa Haji Syamsuri terlibat dalam pembunuhan tersebut walaupun tidak berniat untuk membunuh.

 

Haji Syamsuri dijatuhi hukuman penjara, dan namanya terkeluar sebagai waris Muhammad Salleh berdasarkan wasiat. Debok dipilih sebagai imam baharu Masjid Muhammad Salleh, yang disokong oleh penduduk kampung setelah menyedari kehilangan pemimpin agama yang ingin membawa manusia dekat dengan ibadah, iaitu menyembah Allah SWT.

 

Sebenarnya, amat sedikit yang saya tahu tentang novel karya Sasterawan Negara kelapan (1996), Datuk Abdullah Hussain ini. Memang malu untuk menyatakan saya belum membaca Imam, dan tidak menonton pementasan teater adaptasinya.

 

Meskipun menggemari filem,  tetapi saya tidak menyangka Imam akan diadaptasi ke filem. Pada suatu hari saya terlihat semacam poster di media sosial yang mencatatkan ‘Imam bakal muncul di layar perak’. Saya agak terkejut, tetapi teruja. Walau bagaimanapun, masa pantas berlalu dan pelbagai perkara membuatkan saya melupai Imam.

 

Kemudian saya terlihat sekeping gambar dalam Facebook rakan baik, Rozan Harapan Mat Rasip yang memaparkan M Nasir berserban, dan berjubah sedang menuruni tangga masjid. Setelah mengamat-amati dan membaca tulisan yang tercatat, rupa-rupanya filem Imam telah bermula dengan penggambarannya di Lenggong, Perak! Pengarahnya ialah rakan lama saya, Mior Hashim Manap.

 

Rasa sedikit terkejut itu ‘berlanjutan’ beberapa hari kemudian apabila mengetahui Nasir memegang watak Imam Mihad. Kaget kerana penyanyi, penulis lagu dan pelakon terkenal itu yang baru sembuh daripada COVID-19, tiba-tiba ke set penggambaran filem.

 

Saya memang amat terdorong menjenguk set penggambaran sungguhpun ketika itu wabak pandemik maut tersebut masih mengancam. Namun demikian, kerja hakiki turut menghalang hajat saya sehinggalah penggambaran selesai.

 

Sebagai karya adaptasi, tentulah filem Imam tidak memaparkan semua yang tertulis dalam novel. Saya memahami maksud adaptasi.

 

Mengikuti dan meminati Nasir sejak album ketiga kumpulan Kembara pada 1983 menjadi antara faktor saya begitu teruja mahu menonton Imam, yang kemudian ditambah dengan kalimat Pemimpin: Sebuah Filem dan Satu Wasiat di pawagam seluruh negara, dan pasti saya akan mempromosikannya sebaik mungkin.

 

Tanpa diduga, setelah dari semasa ke semasa menghubungi dan menemui Mior Hashim serta dengannya yang juga pemilik bersama syarikat penerbit Imam, iaitu Alkahfi Pictures Sdn Bhd, saya diserapkan sebagai antara tenaga promosi - menulis di media sosial - dari sebelum tayangan perdana di beberapa tempat sehingga tayangan umumnya bermula pada 2 Mac 2023.