Pages

Thursday, 30 March 2023

Persembahan, Hadiah Menarik – Raya Pasti ‘Trendy’!

TREND RAYA 2023

 

DENGAN kata kunci ‘Lagi Trend Lagi Beraya’, Trend Raya 2023 dijadualkan berlangsung pada 7, 8 dan 9 April di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur. Tanpa bayaran masuk, bazar atau festival jualan ini akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

 

Melihat pada situasi negara yang semakin pulih daripada wabak pandemik COVID-19, tentunya selain beraya sakan, Aidilfitri pada tahun ini pasti mahu diraikan dengan penuh mengikut cara fesyen mutakhir atau trendy. Sudah pasti, untuk tampil bergaya lagi trendy pada Hari Raya nanti, pembeli perlu mendapatkan barangan kelengkapan di lokasi yang tepat.

 

Justeru, Trend Raya 2023 anjuran Todak Fusion Sdn Bhd, yang turut mendapat sokongan penuh badan kebajikan Afiz Ayub Foundation, Sugar Bomb HQ, Pusat Pungutan Zakat (MAIWP), AEON (M) Co Bhd, Todak Bigo Agency, dan Kentang Hijau Production sebagai rakan strategik ini, ingin menjemput seluruh rakyat Malaysia mengunjunginya.

 

Dengan menganggap Trend Raya 2023 sebagai sebuah hub beli-belah, acara ini bertujuan menyatukan para peniaga dari pelbagai produk dalam sebuah acara yang mirip bazar dalam bangunan atau indoorbazaar yang berkonsepkan ‘mengikut cara fesyen mutakhir’.

 

Trend Raya 2023 menyediakan pelbagai produk berciri trendy dengan mengumpulkan para peniaga di Malaysia di bawah satu bumbung. Pelbagai jenama terkenal, terbaharu dan tular akan turut bersama-sama dalam acara ini.

 

Antara acara selingan menarik termasuklah cabutan bertuah, persembahan artis secara langsung, pemberian hadiah menarik, promosi istimewa daripada para peniaga, serta penampilan beberapa orang ikon selebriti tempatan, dan para pempengaruh yang digemari ramai bagi menarik minat para pengunjung.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Todak Fusion Sdn Bhd, Mohd Ikmal Fareeq, Trend Raya 2023 juga akan menampilkan kelainan dengan mengadakan sebuah pertandingan e-Sukan di sepanjang tiga hari ia berlangsung.

 

Selain menjadi hub beli-belah paling trendy Raya kali ini, Trend Raya 2023 juga ada misi dan matlamat impian menerusi beberapa program yang diadakan bagi membantu golongan yang memerlukan.

 

Melalui Trend Raya 2023 ini juga, sebuah program usaha sama amal diadakan dengan kerjasama antara Todak Fusion Sdn Bhd dengan badan kebajikan Afiz Ayub Foundation untuk membantu para peniaga kecil dan sederhana menerusi program Infaq Ramadan.

 

Afiz Ayub Foundation bersetuju menaja separuh daripada harga tapak kepada peniaga yang berdaftar di bawahnya dan sebagai syarat, peniaga yang ditaja harus menyalurkan sebahagian hasil jualan mereka kepada golongan yang kurang bernasib baik, dan yang memerlukan, khususnya golongan asnaf.

 

Di samping itu, sebuah program amal bersama-sama Yayasan PUTRA juga akan diadakan bersempena dengan Trend Raya 2023.

 

Yayasan PUTRA akan mengadakan Program Infaq Rehal Ramadan. Pusat Pungutan Zakat (PPZ) juga akan menyediakan kaunter kutipan zakat fitrah bagi pengunjung Trend Raya 2023,” kata Mohd Iqmal.

 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak AEON (M) Co kerana sudi bersama-sama memeriahkan Trend Raya 2023.

 

Pengunjung juga berpeluang menebus baucar tunai dengan jumlah yang ditawarkan bernilai sehingga RM15,000 di reruai AEON bagi setiap pembelian RM100, dan ke atas di mana-mana reruai jualan Trend Raya 2023,” tambah Iqmal.

Menariknya, pengunjung yang hadir juga akan dapat merebut peluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM10,000 sepanjang acara tersebut berlangsung melalui cabutan bertuah, dan pelbagai pertandingan.

 

Pihak penganjur juga menyediakan hadiah misteri yang menarik buat 100 orang pengunjung terawal.

 

Antara barisan jenama yang akan menyertai Trend Raya 2023 termasuklah Wawa Cosmetics, Elrah Exclusive, Bulan Bintang, Simply Siti, Mutyara Beauty, Mell by Melinda Looi, Behati, dan SugarBomb Worldwide.

 

Trend Raya 2023 juga akan membawa barisan artis tanah air bagi menambahkan kemeriahannya.

 

Wednesday, 29 March 2023

SYIAR

 

RM1.7 JUTA SUMBANGAN MAIWP UNTUK SAUDARA BAHARU

 

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganggap Ramadan tahun ini istimewa kerana dapat meraikan saudara baharu/kita atau mualaf menerusi iftar atau majlis berbuka puasa khas.

 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, ini membuktikan keprihatinan MAIWP kepada golongan tersebut yang menjadi satu usaha gabungan semua agensi seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), termasuk MAIWP yang tetap membantu komuniti mualaf secara menyeluruh.

 

Dalam ucapan beliau semasa menyempurnakan majlis Rahmah Ramadan MAIWP ‘Iftar Bersama Saudara Kita’ di Dewan Merak Kayangan, Balai FELDA Kuala Lumpur pada 29 Mac lalu, Dato’ Setia Dr Mohd Na’im memberitahu jumlah keseluruhan bantuan tersebut ialah RM1.7 juta.


        

Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar menyantuni sebahagian daripada saudara baharu yang hadir.


Penerima Anugerah Pendidikan (paling kiri),  Anugerah Keusahawanan (tiga dari kanan), dan Anugerah Dakwah (paling kanan) bersama-sama Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dan Dr Mohd Daud Bakar.        


                                                    Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.




                       Bicara Ramadan oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.


                                             Pertubuhan Gerakan India Muslim Malaysia. 





Sidang media selepas penyempurnaan Rahmah Ramadan MAIWP ‘Iftar Bersama Saudara Kita’.



Secara terperincinya, sebanyak RM800,000 diberikan kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Kebangsaan (PERKIM), RM200 ribu untuk Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), RM200,000 kepada Pertubuhan Gerakan India Muslim Malaysia (GEPIMA), dan RM350 ribu (Hidayah Centre Foundation).

 

“Saya harap langkah proaktif NGO ini sedikit sebanyak dapat membantu MAIWP dan kerajaan dalam usaha meningkatkan kefahaman, dan keindahan Islam kepada masyarakat, terutamanya dalam kalangan mereka yang baru mengucap dua kalimah syahadah, dan kepada mereka yang baru mahu kembali kepada fitrah,” tambah Dr Mohd Na’im.

 

Dalam majlis yang juga dihadiri Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Sri Dr Yusof Haji Md Noor, dan pendakwah Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, MAIWP menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM300 seorang kepada 500 saudara baharu.

 

Bantuan tersebut bertujuan meringankan beban dan memberikan keceriaan dalam menjalani ibadah Ramadan, dan menyambut Aidilfitri.

 


“Saya juga mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Dakwah, Anugerah Pendidikan dan Anugerah Keusahawanan dengan setiap seorang menerima RM2,000 dan sijil penghargaan. Anugerah tersebut diharap dapat mendorong mereka terus berjaya,” tambah Mohd Na’im.

 

Penerima Anugerah Dakwah ialah Ahmad Daniel Alhafiz Aduka dari keturunan Melanau. Ahmad Daniel yang memeluk Islam pada 15 Jun 2016, merupakan alumni KDH serta aktif dalam dakwah bersama-sama NGO.

 

Daniel juga pernah menyertai dan memenangi pertandingan Mahrajan Amal Islami Peringkat Kebangsaan.


Farina Catherine Edwin Chan yang berbangsa Iban merupakan pemenang Anugerah Pendidikan. Memeluk Islam pada 17 Jun 2013, beliau yang juga alumni KDH, memiliki tauliah mengajar kaedah Al Hira’, sijil Daie Mualaf dari KUIS, dan Diploma Syariah dari Kolej Dar Hikmah, Kajang.

 

Sementara itu, pemenang Anugerah Perniagaan ialah Sumayyah Teng Yoke Chin yang memeluk Islam pada 25 April 2020.

 

Dari keturunan Cina, Sumayyah Teng pernah mengikuti kursus asas dalam bimbingan mualaf, dan memulakan perniagaan Nasi Arab Mandy Chicken.

 

Na’im turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada QSR Brands yang sudi menaja KFC, dan penerima wakalah individu, Encik Mohammad Safri Shahul Hamid yang menyumbangkan makanan sejuk beku kepada semua saudara kita dalam majlis berkenaan.

 

“Tanpa ada komitmen para pembayar zakat, pasti program bantuan kesihatan seperti ini tidak dapat dilaksanakan secara optimum, maksimum dan menyeluruh. Semoga segala usaha ini akan dibalas dengan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT,” ujar Na’im yang menyampaikan semua sumbangan dan anugerah tersebut.


              Penerima Anugerah Dakwah, Ahmad Daniel Alhafiz Aduka dari keturunan Melanau.


Beliau turut mengucapkan syabas kepada MAIWP. Kesungguhan dan ketekunan mengurus amanah zakat kepada golongan asnaf harus diteladani sejajar dengan transformasi Al-Falah ‘Bersama Mencapai Kejayaan’.

 

Majlis Rahmah Ramadan MAIWP ‘Iftar Bersama Saudara Kita’ dibuka dengan slot Bicara Ramadan oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid yang menceritakan serba sedikit sejarah beliau memeluk Islam.   

 


Monday, 20 March 2023

 Jemaah Kampung Jamuan Solat Jumaat di Bangunan Baharu Masjid

 

MASJID Jamek Kampung Jamuan, Kuala Kangsar telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah pada 15 Ogos 1975.

 

Selama meniti hampir lima dekad peredaran masa tersebut, jumlah jemaah kariahnya kian meningkat dan tidak mampu ditanggung lagi oleh keluasannya yang asal. Justeru, ahli jawatankuasa (AJK) pentadbiran masjid berkenaan merancang pengubahsuaian demi keselesaan semua pihak.

 

Selepas kerja-kerja pengubahsuaian di atas tapak masjid yang sama dimulakan pada tahun 2020 semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersilih ganti ketat, dan longgar, kini bangunan baharu masjid berkenaan boleh digunakan walaupun belum seratus-peratus siap.

 

Menjelang tibanya Ramadan 1444 Hijrah, AJK pentadbiran masjid mengambil keputusan mengisytiharkan solat Jumaat semula untuk jemaah kariahnya. Nama Masjid Jamek Kampung Jamuan juga telah ditukar ke Masjid As-Saudah Kampung Jamuan.

 

Pada 17 Mac lalu, telah berlangsung Majlis Pengisytiharan Solat Jumaat Semula dan Jamuan Kenduri Rakyat Masjid As-Saudah Kampung Jamuan.

 

Penyempurnaan majlis tersebut dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Sohibus Sa’adah Prof Madya (Dr) Haji Ahmad Husni Haji Hasan. Prof Madya (Dr) Haji Ahmad turut diberikan penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat.





Sohibus Sa’adah Prof Madya (Dr) Haji Ahmad Husni Haji Hasan menyampaikan ucapan beliau.

Ruang dewan utama solat Masjid As-Saudah Kampung Jamuan yang selesa menyambut ketibaan Ramadan.

 

Pengerusi Masjid As-Saudah Kampung Jamuan, Tuan Haji Isa Sulaiman menyampaikan ucapan alu-aluan dan penghargaan.


                    Pintu masuk ke dewan utama solat Masjid As-Saudah Kampung Jamuan.



Sebahagian daripada jemaah kariah yang menghadiri Majlis Pengisytiharan Solat Jumaat Semula dan Jamuan Kenduri Rakyat Masjid As-Saudah Kampung Jamuan pada 17 Mac lalu.



Al-Fadhil Ustaz Haji Saiful Azizi Abdul Manap turut diundang menyampaikan Kuliah Jumaat.




Masjid As-Saudah Kampung Jamuan yang dahulunya ialah Masjid Jamek Kampung Jamuan.
-----------------------------------------------------------------

Dalam ucapan ringkas sebelum melakukan penyempurnaan majlis, beliau mengucapkan tahniah kepada AJK pentadbiran masjid, dan bersyukur atas limpah kurnia Allah SWT yang mengizinkan pengubahsuaian masjid berkenaan.

 

Prof Madya Dr Haji Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada generasi terdahulu yang telah berkorban selagi termampu membina Masjid Jamek Kampung Jamuan, yang kemudian dituruti generasi demi generasi seterusnya.

 

Sebelum itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak, Al-Fadhil Ustaz Haji Saiful Azizi Abdul Manap turut diundang menyampaikan Kuliah Jumaat.


Sohibus Sa’adah Prof Madya (Dr) Haji Ahmad Husni Haji Hasan melakukan penyempurnaan Majlis Pengisytiharan Solat Jumaat Semula dan Jamuan Kenduri Rakyat Masjid As-Saudah Kampung Jamuan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dalam ceramahnya, Al-Fadhil Ustaz Haji Saiful Azizi menegaskan bahawa langkah mengubah suai masjid menjadi lebih luas dan cantik memang dituntut oleh Islam. Amat tidak wajar, tambah beliau, umat Islam terus membiarkan pelaksanaan ibadah di masjid yang uzur sekian lama, dan boleh memalukan Islam sendiri.

 

Turut hadir termasuklah Pengarah Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Chenderoh, Encik Salman Dalmi yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderoh; Pegawai Unit Pengurusan Masjid dan Surau Daerah Kuala Kangsar, Encik Faizal Mohd. Sapri yang mewakili Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Kangsar; Penolong Pegawai Fatwa (Unit Buhuth), Jabatan Mufti Negeri Perak, Al-Fadzil Ustaz Mohd Hafiz Baharum, dan Pengerusi Masjid As-Saudah Kampung Jamuan, Tuan Haji Isa Sulaiman yang menyampaikan ucapan alu-aluan serta penghargaan.  

 


 



Sesungguhnya, pengubahsuaian masjid yang menelan kos kira-kira RM2 juta ini amat menggembirakan AJK pentabiran masjid dan jemaah, apatah lagi Ramadan yang mulia hampir tiba. Selepas sekian lama, ibadah di sepanjang bulan puasa tahun ini dan tahun-tahun seterusnya akan lebih selesa, meriah dan bermakna.

 

Selain pengerusi dan AJK kariah masjid yang berhampiran, kaum muslimat turut diundang menghadiri majlis berkenaan, dan menunaikan solat Jumaat bersama-sama. Semua yang hadir menikmati Jamuan Kenduri Rakyat selepas selesai solat Jumaat.

 


 


 


 


 



 




Monday, 6 March 2023


Poster filem Imam menampilkan keunikan dan sinis kerana menunjukkan makmum Haji Mihad mengikutinya, sedangkan makmum Haji Syamsuri (kanan) membelakangi.

 

FILEM IMAM CATAT SEJARAH TERSENDIRI

 

FILEM Imam mengadakan Malam Gala dan sidang media di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 28 Februari lalu.

 

Sebelum mengharapkan ‘pecah panggung’ atau box-office, iaitu laku keras, filem Imam telah pun ‘pecah rekod’ sebagai filem pertama yang ditayangkan di Panggung Sari, IB.

 

Antara trivia lain ialah Imam merupakan filem Melayu tempatan ketiga yang diadaptasi daripada novel karya Sasterawan Negara (SN), iaitu selepas Langit Petang (1982) dan Ranjau Sepanjang Jalan (1983).


Dari kiri; Dato’ Rahim Razali, Faizal Hussein, Dato’ M Nasir, Mior Hashim Manap, Izzadah Khairan, Vanidah Imran, dan Datin Natasha Charmaine semasa sidang media Malam Gala Filem Imam di Panggung Sari, Istana Budaya pada 28 Februari lalu.



Haji Mihad (tiga dari kanan) lakonan Dato’ M Nasir beralah memberikan laluan kepada Haji Syamsuri (tiga dari kiri), lakonan Faizal Hussein.


Pengarah Imam, Mior Hashim Manap (lima dari kanan) bersama-sama pelakon utama, dan tetamu jemputan selepas sidang media Malam Gala pada 28 Februari lalu.


Langit Petang diadaptasi daripada novel berjudul serupa, karya SN keempat (1985), Datuk Sri (Dr) A. Samad Said, sementara Ranjau Sepanjang Jalan pula karya SN kedua (1982), Allahyarham Prof Emeritus Dato’ Dr Shahnon Ahmad yang sama juga judulnya.

 

Filem Imam juga secara tidak langsung meneruskan pertentangan watak lakonan Dato’ M Nasir dan Faizal Hussein dalam filem, dan juga drama televisyen sebelum ini, malah lebih besar.

 

Dalam filem Rajawali (2022) yang judul asalnya Abang Long Rajawali (2004), Dato’ M Nasir berlakon sebagai antagonis, sementara Faizal pula protagonis.

 

Dalam teledrama Hello yang disiarkan di TV3 pada tahun 1994, M Nasir memegang watak protagonis, dan Faizal sebaliknya.


Haji Mihad (Dato’ M Nasir) juga menyampaikan khutbah Jumaat tanpa menggunakan teks yang disediakan oleh Majlis Agama.

Dalam filem Imam, pertentangan watak mereka lebih besar kerana menyentuh dan berkaitan dengan soal agama Islam. Nasir berlakon sebagai Haji Mihad, sementara Faizal memegang watak Haji Syamsuri. Haji Syamsuri memusuhi Haji Mihad yang telah dilantik menjadi imam baharu Masjid Haji Salih, di kampung mereka, Anggerik Desa.

 

Menarik juga, Ahmad Patria, iaitu anak kepada SN kelapan, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain, penulis novel Imam yang turut menghadiri Malam Gala tersebut menganggap pemilihan Nasir, dan Faizal amat tepat, masing-masing sebagai Haji Mihad yang sentiasa tenang, dan lembut, serta Haji Syamsuri yang kasar, dan suka melenting.

 

Semasa sidang media selepas tayangan filem ImamAhmad Patria yang juga novelis yang terkenal dengan kisah fantasi, menyatakan kekaguman beliau dengan lakonan dua orang pelakon berpengalaman itu. Ahmad Patria juga yakin persembahan akan lebih mantap jika durasi ditambah setengah jam lagi.

 

Namun demikian, Ahmad Patria menyatakan kesedihan kerana ayahnya sudah tiada untuk sama-sama menonton Imam. Datuk Abdullah meninggal dunia pada 31 Disember 2014.  Beliau yakin ayahnya akan turut gembira menonton Imam.

 

Novel Imam pertama kali diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd pada tahun 1995, selepas memenangi tempat pertama Hadiah Nasional (Hadiah Sako) 1992/1994.




Dari kiri; Vanidah Imran, Faizal Hussein, Mior Hashim Manap, Dato' M Nasir, dan Datin Natasha Charmaine,



Noramin (kiri) sebagai Haji Daud yang disangka gila oleh penduduk Kampung Anggerik Desa gembira dengan kekembalian Haji Mihad (lakonan Dato' M Nasir). 


Kisah Imam bermula dengan kepulangan Haji Mihad ke Kampung Anggerik Desa setelah lama menghilangkan diri. Selepas mendapat kepercayaan serta persetujuan ahli jawatankuasa masjid dan penduduk kampung, Haji Mihad dilantik menggantikan imam lama, iaitu Haji Abdul Rahman (lakonan Dato’ Rahim Razali).

 

Setelah menjadi imam, Haji Mihad cuba membawa pembaharuan di kampungnya itu, yang bermula dari Masjid Haji Salih.

 

Antara yang dilakukan oleh Haji Mihad ialah mengubah suai suasana masjid dengan membersihkannya, menanam pokok bunga di sekitar dan di bahagian bawah (masjid terletak di atas bukit), meletakkan bangku-bangku dan meja, serta membina gelanggang sepak takraw, dan badminton.

 

Pembaharuan Haji Mihad itu bertujuan menarik minat anak muda Kampung Anggerik Desa mengunjungi masjid. Beliau juga mahu menjadikan masjid bukan sekadar tempat untuk solat berjemaah semata-mata.


 

Walau bagaimanapun, beberapa pembaharuan Haji Mihad itu mendapat tentangan hebat daripada penduduk kampung yang masih berfikiran sempit. Semua yang beliau lakukan turut disalah tafsir oleh pihak yang menolak kepimpinannya di Masjid Haji Salih.

 

Latar waktu cerita Imam ialah pada tahun 1983. Ketika itu juga memang aneh dan sukar diterima jika ada sesiapa yang cuba merubah wajah, dan persekitaran masjid atau surau. Ketika itu juga orang Melayu cenderung kafir-mengkafir, dan menganggap masjid atau surau hanya tempat untuk solat berjemaah sahaja.

 

Haji Mihad juga berkhutbah tanpa menggunakan teks yang disediakan oleh Majlis Agama. Pembaharuan itu bukan sahaja menyebabkan penentangan terhadapnya semakin kuat, malah beliau sendiri turut disoal siasat oleh pegawai Majlis Agama.

 

Konflik berlarutan apabila dikatakan terdapat emas di sekitar kawasan Masjid Haji Salih. Jumlah jemaah masjid berkurangan gara-gara ramai penduduk kampung sibuk melombong emas, dan tidak lagi mahu solat berjemaah.

 

Beban pelbagai masalah yang terpaksa Haji Mihad hadapi bertambah apabila beliau turut diugut bunuh akibat hasad dengki Haji Syamsuri, sepupunya sendiri. Haji Syamsuri yang juga mahu menjadi imam, mendapat sokongan Haji Abdul Rahman, dan Lebai Saat (Rasdi Daud).

 

Hasad dengki dan pertentangan ini menyebabkan berlakunya solat berjemaah dua imam. Sebuah adegan menunjukkan hampir terjadinya solat fardu Jumaat dua imam, jika tidak diselesaikan oleh Haji Mihad yang memberi laluan kepada Haji Syamsuri sebagai imam.

 

Selain berjaya mencatat sejarah filem pertama ditayangkan di IB, filem Imam ini menjadi kejayaan pengarahnya, Mior Hashim Manap dan anak buah kerana berjaya memindahkan cerita novel setebal 705 halaman ke layar lebar yang berdurasi selama 105 minit, dengan empat kali rombakan lakon layarnya.

 

Tidak dinafikan tiada karya atau ciptaan manusia yang sempurna, kerana hanya Allah yang Maha Sempurna, dan sebaik-baik Pencipta. Demikianlah juga dengan filem Imam ini.

 

Walaupun ada filem yang dianggap sebagai ‘sampah’, iaitu tidak berguna dan tidak perlu diterbitkan atau ditonton, tetapi saya, dengan menolak kekurangan yang ada, menyimpulkan bahawa Imam adalah antara filem yang amat berguna, serta wajar-perlu diterbitkan, dan ditonton!

 

Tidak keterlaluan dikatakan kalau mengambil dari segi persoalan atau pemikiran yang dibawakan olehnya, Imam memang filem terbaik, terbesar dan terpenting setakat ini.

 

Saya berani mengatakan sedemikian kerana tiada lagi yang lebih besar daripada persoalan atau permasalahan agama Islam, dan bangsa di dunia ini.

 

Mior Hashim sendiri mengatakan beliau amat tertarik dengan tema cerita Imam. Beliau tidak mengubah apa-apa kerana cerita serta persembahan novel telah sedia baik dan ;cantik’, sebaliknya hanya mengambil beberapa bahagian penting, dan membawa ke layar lebar.

 


Filem Imam diterbitkan oleh Alkahfi Pictures Sdn Bhd yang juga milik Mior Hashim sendiri bersama-sama keluarga mula ditayangkan di 45 pawagam di seluruh negara pada 2 Mac lalu.

 

Ia turut dibintangi Vanidah Imran (Rubiah), Datin Natasha Charmaine (Siti Nur Aisyah), Sani Sudin (Parman), Dewa Sapri (Bilal Haji Kulub), Rahim Jailani (Haji Omar), Noramin (Haji Daud), Buyung Zasdar (Abu Had), DJ Pool (Cikgu Shahidan), Sophia Ibrahim (Hajah Syamsiah), Kapten (B) Mohd Nor Bond (Penghulu Haji Ismail), serta Dato’ Jalaludin Hassan dan Omar Abdullah (masing-masing sebagai YDP Majlis Agama, dan Dato’ Berserban Merah).

 


 


 


 




 

 

 

 

Friday, 3 March 2023

 'JELAJAH SELERA BERSAMA TAMU'

 

MENJELANG ketibaan Ramadan, bulan suci yang dinanti-nantikan, tiba masa sekali lagi kita mempersiap diri untuk menjalaninya. Kian tiba masa untuk kita bermuhasabah, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, serta saling bermaafan.

 

Ramadan juga merupakan masa ikatan persaudaraan diperkukuh dengan berkumpul, dan menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama.

 

Dengan tema ‘Jelajah Selera Bersama TAMU’ pada tahun ini, tiada tempat yang lebih baik dan selesa, selain menikmatinya di Suasana @ 27 restoran TAMU Hotel & Suites Kuala Lumpur.

 

Bufet berbuka puasa di TAMU Hotel & Suites Kuala Lumpur akan bermula dari 23 Mac hingga 21 April 2023, menawarkan pelbagai hidangan tradisional yang menarik, yang disajikan semasa musim perayaan Hari Raya, serta masakan kegemaran Malaysia dan antarabangsa.

 

Menurut Chef Eksekutif Azizul Mohd Noor, seseorang tidak boleh melepaskan peluang untuk mencuba dan menjamah semua hidangan yang pihaknya tawarkan; masakan tradisional Malaysia yang benar-benar tulen, dan apatah lagi menu istimewa pada tahun ini ialah ‘nasi kambing dulang besar’.

 

“Untuk iftar, chef kami akan membawa kembali hidangan masakan tradisional Melayu seperti gulai daging batang pisang, kari kepala ikan, sup gear box ikonik kami, dan nasi dulang kegemaran sepanjang masa,” tambahnya.

 

Jelajahi 18 gerai yang disusun di restoran TAMU Hotel & Suites yang menampilkan menu hidangan istimewa yang tersendiri.

 

Tetamu akan disajikan dengan sate daging dan ayam, nasi Safron, ayam percik pantai timur, udang masak lemak dengan pegaga, ikan pari asam pedas Melaka, sambal kering ikan bilis tempe dan tauhu, pajeri nanas ala kampung, dan pucuk paku goreng belacan adalah antara hidangan tradisional Melayu yang ‘mesti dicuba’.

 

Bagi si pencari pilihan yang lebih ringan dan lebih sihat, TAMU Hotel & Suites menyediakan pelbagai hidangan pembuka selera daripada salad sayuran hijau, aneka kerabu tradisional, dan ‘ulam-ulam kampung’ yang segar, dan berkhasiat.

 

Kegemaran pengunjung yang terkenal di sepanjang masa ialah gear box soup yang empuk lagi lazat.

 

Jika anda peminat masakan berinspirasikan steamboat dan makanan gabungan, maka kunjungilah kaunter ‘rebusan’ istimewa dan manjakan diri dengan barangan mendidih terpilih, serta pelbagai jenis cendawan dan sayur-sayuran yang pastinya akan memuaskan hati anda.

 

Tiada hidangan lengkap tanpa pencuci mulut. Untuk kelengkapan kepuasan selera anda, nikmatilah pelbagai hidangan pencuci mulut yang terdiri daripada aneka pastri Perancis mini, mousse coklat, puding roti mentega, bubur jagung, bubur kacang hijau, pelbagai jenis kek dan tart yang lazat, sebagai tirai penutup berbuka puasa anda bersama-sama orang tersayang.

 

Untuk jamuan iftar yang lebih peribadi dan eksklusif, para tetamu boleh membuat tempahan di TAMU Sky Lounge, aras 40. Selain hidangan bufet, para tetamu juga boleh menikmati hidangan terkenal, ‘hidangan nasi Arab dulang’, nasi yang kaya dengan herba dan rempah tradisional, serta dimasak dengan sempurna.

 

Hidangan kulinari ini juga disertai kegemaran sepanjang masa, seperti nasi beriani kambing, telur rebus, daging masak lada hitam, udang galah goreng tepung, ayam berempah, dalca sayuran, acar jelatah, papadom, cili hijau bakar, ‘tomato chutney’, dan cucumber raita.

 

Hidangan lazat ini dipersembah secara unik di dalam ‘dulang’ sebagai satu set. Ia disediakan dengan rapi dan teliti oleh pasukan kulinari TAMU Hotel & Suites yang berdedikasi.

 

Baucar awal Ramadan dibuka untuk jualan sehingga 28 Februari lalu dengan kos hanya RM110 seorang, dan pada harga RM130 dari 1 Mac seorang sehingga 22 Mac depan. Setelah itu, harga Jelajah Selera Bersama TAMU ialah RM169 setiap orang. Warga emas RM98, dan untuk kanak-kanak pada harga RM85.

 

Sila hubungi Suasana@27 menerusi talian hotel +603 2603 1999, atau WhatsApp ke +6019 303 9360 untuk tempahan, dan pembelian baucar anda dengan segera.

 

Terletak secara strategik dalam jarak hanya berjalan kaki yang singkat ke Masjid Jamek Kampong Bharu, TAMU Hotel & Suites merupakan tempat penginapan yang tepat, dan selesa untuk menunaikan ibadah tarawih, tadarus, dan qiamullail.

Di sepanjang Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan, para tetamu boleh menjalankan ibadah dengan penuh keselesaan dan ketenangan di TAMU Hotel & Suites Kuala Lumpur dengan tawaran pakej penginapan bilik istimewa ‘Barakalllah Stay & Qiamullail’ pada harga RM180 dua hari satu malam dengan sahur percuma untuk dua orang).

 

Pengurangan 50 peratus akan ditawarkan kepada tetamu dari penginapan malam kedua, dan seterusnya jika ia ditempah bersama-sama promosi pakej iftar kami yang berharga RM110 seorang.


Anda bersama-sama keluarga tercinta serta sahabat handai akan dinanti-nanti, dan dialu-alukan menikmati juadah iftar, di samping meluangkan masa yang berkualiti dengan orang tersayang, serta kemudahan untuk beribadah.