Pages

Thursday, 26 December 2024


0.  Dari kiri; Dato’ Freddie Fernandez, Dato’ Khaty Ibrahim, Soma dan Belle Fattah.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

MUZIK

 

Album Perjalanan Hadiah Penuhi Impian Soma, Sentuhan Terakhir S Atan

 

WALAUPUN katanya beliau meminati Perjalanan, tetapi penyanyi yang sekian lama berimpian muncul dengan album penuh, iaitu Soma, turut mempertaruhkan empat lagu lain dalam albumnya yang juga berjudul Perjalanan.

 

Lagu-lagu tersebut adalah Memori Bulan DisemberBebaskan AkuCurahan, dan Dugaan.

 

Dengan kelahiran Perjalanan yang berisi lima lagu, bererti impian Roma atau nama sebenarnya, Rosmah S Sengari @Basar telah dipenuhi.

 

Justeru, semasa majlis prapelancaran Perjalanan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 26 Disember lalu, anak kelahiran Selangor itu meluahkan rasa syukur beliau.

 

Perjalanan adalah hadiah untuk saya, dan buah tangan untuk seluruh rakyat Malaysia kerana mengetengahkan lagu hasil ciptaan komposer terkenal, Allahyarham Datuk S Atan yang baru sahaja meninggalkan kita,” ujar Soma, yang juga mahu dipanggil Cik Som.



Soma mendendangkan lagu-lagu daripada albumnya, termasuk kegemaran sendiri, Perjalanan.

+==========================================================================

Sebenarnya, Soma bukan baru muncul semalam. Beliau yang mula menyanyi sejak berusia 13 tahun, pernah menjadi juara dan naib juara beberapa pertandingan nyanyian.

 

Sebelum menjadi juara Bintang Klasik RTM 2010 mewakili negeri Selangor, beliau dinobatkan sebagai naib juara Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM 2009.

 

Soma juga pernah melepasi tahap 3 dalam uji bakat Sinaran Passport Kegemilangan TV3, serta Akademi Fantasia 3 dan Akademi Fantasia 4.

 

Selain itu, beliau pernah mengikuti uji bakat Mentor Otai, serta pertandingan nyanyian peringkat negeri, dan daerah.



Dato’ Freddie Fernandez menyampaikan ucapan beliau.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, meninggal dunia pada 16 November lalu ketika berusia 75 tahun.

 

Justeru, selain memenuhi impian Soma, Perjalanan ini istimewa kerana merupakan album terakhir hasil sentuhan Atan.

 

Soma yang sebelum ini mengenali Atan ketika menyertai pertandingan anjuran Radio Klasik RTM, ditemukan semula oleh Tuan Haji Mohamed Saleh semasa Konsert Makan Malam Amal Legends di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur beberapa bulan lalu.



Antara momen Soma bersama-sama Allahyarham Datuk S Atan dalam sebuah video khas.

***********************************************************************************

Memang rezeki tidak pernah salah alamat, kerana semasa acara amal tersebut, Soma ditemukan juga dengan penerbit lagu, Belle Fatah, iaitu adik Atan sendiri. Beliau diperdengarkan lagu-lagu baharu menerusi telefon bimbitnya.

 

Memandangkan pernah bertemu, dan membuat persembahan bersama-sama sebelum ini, Belle menyatakan hasrat untuk merakamkan lagu dengan Soma, dan dimuatkan dalam sebuah album.

 

“Lagu Curahan dan Dugaan pernah dirakamkan pada 1996, tetapi terhenti atas sebab-sebab tertentu. Tetapi kini, setelah melalui proses penggubahan semula dan mengikut susunan arus muzik oleh Belle, maka terhasil album Perjalanan, gabungan ciptaan kedua-dua beradik komposer ini,” jelas Soma.




Dato’ Khaty Ibrahim menyampaikan ucapan.

###################################################################################

Sementara itu, Kerlipan Langit Lebaran (lagu Raya), dan Bisikkanlah Kekasih, ciptaan Atan yang telah siap sepenuhnya, tidak sempat dirakamkan.

 

“Namun begitu, perjalanan akan diteruskan bagi menyambung legasi karya seni Allahyarham, dan menjadikannya antara lagu terakhir yang terkandung dalam Perjalanan,” tambah Soma yang mendendangkan lagu-lagu dalam album Perjalanan semasa majlis berkenaan, diiringi Belle & the Gang.

 

Soma berharap album hasil sentuhan Atan-Belle ini mendapat tempat dalam kalangan peminat, sekali gus lagu-lagu yang dinyanyikan juga diterima oleh para pendengar.

 

Tidak hanya menyanyi, Soma turut menulis lirik untuk lagu Perjalanan, serta Curahan dan dan Dugaan (bersama-sama dengan Din J.


     

    Sebahagian daripada hadirin majlis prapelancaran Perjalanan Soma pada 26 Disember lalu.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Lirik Memori Bulan Disember dan Bebaskan Aku ditulis oleh komposer/penyanyi terkenal, Siso Kopratasa.

 

Turut hadir, Dato’ Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia; penyanyi legenda Dato’ Khadijah Ibrahim aka Khaty Ibrahim; pelakon Iqram Dinzly, dan Haji Saleh sendiri selaku pendana projek Perjalanan.

 

Dalam ucapan masing-masing, Dato’ Khaty dan Dato’ Freddie mengharapkan album Perjalanan Soma ini mendapat sokongan padu semua pihak, terutama media. Menariknya, Soma turut mengundang Khaty ke pentas mendendangkan lagu Ku Pendam Sebuah Duka secara berduet dengan beliau.  

 

Selain menyusun semula muzik lagu-lagu, Belle juga merupakan Penerbit, dengan Rosmah selaku Penerbit Eksekutif Perjalanan.

 

-          disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

1.      

2.      

3.        

4.      

.

Monday, 23 December 2024

Haji Mohd Hisham Harun (lima dari kiri) bersama-sama para tetamu jemputan, dan sebahagian pemilik syarikat Pengelola Jemaah Haji yang hadir.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

AD-DIN

 

Karnival Haji , Umrah & Pelancongan ke-3: Penganjur Sasar 20,000 Pengunjung

 

SELEPAS berjaya melepasi sasaran pengunjung semasa Karnival Haji, Umrah & Pelancongan (KHUP) kali ke-2 pada 2024, penganjurnya mensasarkan jumlah yang lebih lagi untuk KHUP kali ke-3 (KHUP 3) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

 

KHUP 3 anjuran bersama Lembaga Tabung Haji (TH), dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) akan berlangsung pada 3 hingga 5 Januari 2025, di Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA, Sepang.

 

Menurut Pengerusi KHUP 3/Ketua Bahagian Haji, TH, YBrs Tuan Haji Mohd Hisham Harun, tujuan utama KHUP 3 dilangsungkan pada awal 2025 adalah untuk memberi pilihan kepada bakal-bakal haji terpilih menunaikan haji, sama ada bersama-sama muassasah, atau menerusi pakej yang ditawarkan oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH).

 

Bercakap semasa sidang media KHUP 3 di TH03, Menara Kuala Lumpur pada 23 Disember lalu, Haji Mohd Hisham menjelaskan, dengan sasaran jumlah pengunjung kali ini seramai 20,000, karnival berkenaan juga adalah sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan pakej haji yang disediakan oleh 37 syarikat.

                                                                      

Dari kiri; Haji Anuar Ahmad, Haji Mohd Hisham Harun, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin, dan Ab Rahman Mohd Ali.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Kesemua syarikat tersebut dilesenkan oleh TH dikenali sebagai PJH berbanding 25 syarikat pada musim haji 2024,” jelas beliau.

 

TH, tambah Mohd Hisham, memberikan ruang dan peluang kepada bakal-bakal haji menilai kesemua pakej yang ditawarkan oleh 37 syarikat PJH, di bawah satu bumbung, dan memudahkan mereka membuat pilihan pakej haji mengikut kemampuan, dan cita rasa masing-masing, selari dengan tema ‘Piih Keselesaan, Pilih Pakej Haji’.

 

Mengenai kes penipuan ejen haji dan umrah, Hisham turut mengingatkan orang ramai yang ingin menunaikan fardu haji agar memilih syarikat yang berdaftar di bawah TH, bagi mengelakkan perkara berkenaan.

 

“Kerajaan Arab Saudi sendiri telah mengambil langkah mengetatkan syarat menunaikan haji dan umrah. Ia ditegaskan dengan slogan ‘no visa no haj’. Saya yakin rakyat sudah memahami, dan menyedari keperluan menggunakan pakej yang sah,” tambah beliau.

                                                                                                                                 

                    JADUAL  HARIAN KARNIVAL HAJI, UMRAH & PELANCONGAN KE-3  

=========================================================================

Sementara itu, YBrs Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin, Timbalan Pengerusi 2 KHUP 3/Presiden BUMITRA MALAYSIA mengatakan KHUP mencerminkan visi bersama-SAMA untuk mempromosikan kepercayaan, ketelusan, dan kecemerlangan dalam industri Haji dan Umrah.

 

“Kerjasama TH dan RHB Islamic Bank membolehkan bakal-bakal haji 2025 membuat keputusan yang tepat untuk perjalanan ibadah mereka,” ujar beliau.

 

Turut hadir YBrs Tuan Haji Anuar Ahmad, Timbalan Pengerusi 1 KHUP 3/Ketua Bahagian Agensi Haji TH; dan YBrs Encik Ab Rahman Mohd Ali, Setiausaha Kerja Karnival KHUP 3/Pengarah Projek BUMITRA MALAYSIA, serta pemilik-pemilik PJH termasuk Datuk Md Daud Che Ngah (Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd), dan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid (Pengerusi Eksekutif Mahabbaten Travel & Tours).

 

-         disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

                               

 




Monday, 16 December 2024

Apabila Orang Politik Berpantun

 

BERPANTUN sebelum memulakan atau mengakhiri sesuatu ucapan sudah menjadi semacam kemestian masyarakat sekarang. Banyak orang yang suka mengamalkannya, termasuk ahli politik.

 

Takdirnya, saya terbaca sebuah tulisan oleh Yaakub Isa, berjudul Pantun yang Bukan Pantun: Kita dalam Era Berpuisi, dalam blognya bertarikh 10 November 2009.

 

Yaakub memulakan tulisannya dengan ayat “Ada kelihatan cahaya cerah di hujung terowong bahasa dan sastera tanah air dalam dua tiga bulan ini. Apa tidaknya: TV1 mengawali pendeklamasian puisi dalam setiap penyampaian beritanya. Yang menariknya, deklamator itu tidak lain daripada Perdana Menteri Malaysia sendiri!”

 

Puisi yang dimaksudkan oleh Yaakub itu sudah tentulah sajak kerana beliau menyebut pendeklamasian. Hanya sajak sahaja yang dideklamasikan. Kalau pantun, ia disampaikan. Jika syair, ia didendangkan atau dialunkan. Gurindam, nazam dan seloka juga tidak dideklamasikan.

 

Yaakub seterusnya memberitahu beliau tidak berpeluang melihat perasmian sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan di daerah-daerah dan peringkat negeri (kalau ada), tetapi percaya tentu ada gelanggang untuk pemantun.

 

Tulis beliau lagi, “Walaupun telah amat terlewat, tapi sambutan begini tetaplah memberi pemberatan terhadap usaha mendaulatkan bahasa dan sastera kita, yang rupa-rupanya, tanpa disedari, telah mengalami episod peminggirannya yang agak mengerikan”.

 

Tambah Yaakub, “Kalau PM tadi cukup trampil mendeklamasikan puisi, tentulah sikap positif itu mudah diikuti (atau terikut-ikut) oleh pemimpin bawahan lain. Hal begini sangat lumrah berlaku di negara kita. Dalam era tujuh puluhan dan delapan puluhan dulu Persidangan Agung UMNO sentiasa digamatkan dengan pantun dan gurindam bermutu oleh YB Hashim Gera (Allahyarham), dan kemudiannya YBhg Dato’ Paduka Hj Badruddin Amiruldin”.

 

Yaakub kemudian mengatakan “Akhir-akhir ini bermunculan tokoh muda yang cuba melakar nama di arena puisi – wahananya tentulah bukan di media massa, tetapi Persidangan Agung UMNO dan yang seumpamanya”.

 

Daripada sekian banyak pemantun itu, Yaakub memberitahu beliau menurunkan sebuah catatan daripada akhbar Utusan Melayu (tulisan Jawi) bertarikh 16 Oktober 2009 di halaman 9, tentang gelagat memantun oleh seorang wakil dari negerinya, ketika membahaskan ucapan Presiden UMNO pada 15 Oktober 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

 

Jelas Yaakub, ‘pantun’ tersebut berbunyi, Sudah tahu peria itu pahit, Siapa suruh petik; Sudah tahu Tan Sri Isa itu siapa, Yang datang pasti akan binasa.

 

Menurut Yaakub lagi, catatan itu menyatakan pantun biasanya digunakan bagi menjelaskan sesebuah ucapan. Walau bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku kepada wakil Pahang, apabila ayat pembayang dan maksud pantun yang disampaikannya ketika membahaskan usul berkenaan tidak seragam.

 

Timbalan Pengerusi Tetap, tambah Yaakub, iaitu Dato’ Muhammad Aziz mencelah dengan mengatakan pantun tersebut tidak difahami, dan meminta disampaikan sekali lagi kerana pembayang dan maksudnya berbeza.

 

Malangnya, apabila mengulang semula, wakil Pahang itu tetap menyebut yang sama, kerana katanya ia pantun paling sesuai bagi menggambarkan tindak tanduk pembangkang yang telah menggunakan pelbagai cara untuk memburuk-burukkan UMNO, dan calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

 

Menurut Yaakub, beliau fikir yang disebut ‘pantun’ memang bukan pantun, malah bukan syair, gurindam, seloka dan sajak. Katanya, kalau wakil Pahang itu mengambil sedikit masa membuat ‘kerja rumah’ dengan merujuk kepada guru-guru yang tinggal di Rompin untuk meminta pandangan dan nasihat, tentu ‘pantun’ beliau itu akan menjadi pantun.

 

Kata Yaakub lagi, beliau yakin wakil Pahang itu mengenali Cikgu Abdul Wahab Taha yang ada blog sendiri, Cikgu Amran Abdullah, dan Cikgu Kamarozaman Abdul Razak.

 

Menurut Yaakub, beliau teringat kisah penyair besar Masuri SN (Allahyarham) yang dikatakan pernah dimarahi gurunya semasa di Maktab Perguruan Sultan Idris kerana mencipta pantun yang ‘tidak seperti pantun’. Namun demikian, zaman berlalu, persepsi berubah. Apa yang dianggap ‘bukan pantun’ itu sebenarnya satu pembaharuan puisi Melayu. Maka lahirlah ‘sajak’, iaitu puisi Melayu moden.

 

Masuri adalah antara pelopor sajak, atau puisi Melayu moden. Beliau mencipta suatu ‘seni baharu’. (Demikian saya kutip ucapan Profesor Emeratus Dr Abdullah Hassan yang menukil tulisan Prof A Wahab Ali semasa mengucapkan Watikah Pengurniaan Ijazah Doktor Kehormat Pendidikan kepada Masuri Salikun di Konvokesyen Komemoratif 2002 UPSI pada 21 Disember 2002).

 

Jika pantun yang ‘bukan pantun’ di atas satu percubaan mencipta suatu seni baharu, barangkali ruang untuk itu telah tidak terbuka lagi.

 

Cikgu Hashim Gera adalah ahli politik PAS kawasan Parit, Perak (1969-1974) yang dipecat oleh partinya itu. Kemudian beliau menjadi Ahli Parlimen Bebas (1973), sebelum menubuhkan/menyertai parti Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA). Beliau memenangi kerusi Parlimen Parit pada 1969. Walau bagaimanapun, KITA yang ditubuhkan lemah, dan hanya bertahan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) 1978. Lembaga Disiplin PAS memecat beliau kerana bersama-sama pemimpin Barisan Nasional (BN) berjoget lambak dalam satu majlis di lobi Parlimen pada 1971. PAS telah bergabung dengan UMNO membentuk BN (1972).

 

Beliau dipercayai berasal dari Rungkup, Bagan Datoh, Perak. Namanya tercatat sebagai penyumbang untuk Dana Perang 1940 bagi menghadapi Perang Dunia Kedua.

 

Dalam PRU tahun 1969, PAS memenangi 12 kerusi Parlimen, termasuk di Parit yang diwakili Hashim.

 

Hashim juga terkenal kerana mampu berpantun semasa memberi ceramah. Jika sejam ceramah, sejam itulah dia boleh berpantun dan menarik hati pendengar, termasuk Ahli Parlimen seperti Madahavan Nair. Dalam PRU 1969, Hashim mengalahkan Dato’ Hussein Nordin (Tan Sri), Setiausaha Agung UMNO dan Pengerusi akhbar Utusan Melayu.

 

Hashim dikatakan mampu berpantun semasa berceramah. Jika sejam berceramah, sejam itulah dia boleh berpantun dan menarik hati pendengar, termasuk Ahli Parlimen seperti Nair.

 

Antara pantun spontan Hashim yang disampaikan kepada teman oleh seorang veteran PAS di Parit, pada 1969 sebaik dipecat dari PAS, yang kemudiannya kembali kepada UMNO, ialah One two three four/satu dua tiga empat/Aku naik kereta besor/Orang Parit apa dapat?

 

Anaknya, Sallehudin Hashim juga boleh berpantun. Sebagai contoh, Cadangnya CEO tapi tak jadi/jumpa Khalid macam merempat/50 ribu pun tak nak bagi/banding juta-juta aku dah dapat, dan Kalau apak aku boleh penaya Parit/aku pulak penaya 1 Malaysia/Lantakler kome pekik jerit/Janji aku kayaaa...

 

Memang benarlah semua pantun yang disebutkan bukan pantun. Selain bukan unsur alam dalam pembayangnya, ia hanya mementingkan bunyi rima, dan tidak wajar sama sekali. Terdapat juga perkataan dalam bahasa Inggeris yang pastinya menjadi bahasa rojak.

 

Saya dapati ‘pantun yang bukan pantun’ ini berterusan hingga sekarang. Kian ramai Ahli Parlimen yang berpantun di Dewan Rakyat Parlimen sebelum memulakan ucapan, atau bertanya soalan. Ternyata mereka hanya ikut suka hati, yang mungkin disebabkan ketidakfahaman terhadap pantun. Mereka hanya mencipta pantun berdasarkan bunyi rima, sama ada a b a b atau a a a a. Logik tidak logik dan unsur alam jelas terabai.   

 

Daripada sekian ramai Ahli Parlimen yang suka berpantun, saya lihat hanya Ahli Parlimen Pontian, YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, atau lebih dikenali sebagai Ahmad Maslan, 58 tahun, seorang ahli politik dari UMNO/BN, dan Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia yang tampil dengan pantun berkualiti.

                                                                                                                                         

YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, atau lebih dikenali sebagai Ahmad Maslan.

=========================================================================

Ahmad gemar menggunakan pendekatan yang lebih sopan, halus dan penuh makna tersirat menerusi budaya masyarakat Melayu, iaitu berpantun. Beliau memang terkenal sebagai pemimpin yang gemar berpantun dalam pelbagai situasi, tidak kira semasa berucap mahupun ketika beramah mesra dengan orang ramai.

 

Pendekatan itu turut dijadikan ‘senjata’ oleh Ahmad ketika turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK), dan/atau PRU. Beliau biasanya menghasilkan dua rangkap pantun empat kerat baharu, mengajak pengundi memilih calon yang bertanding bagai pihak Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Sungai Bakap misalnya.

 

Sebagai contoh, Ahmad menyampaikan pantun, menanam padi semakin cekap/lima kali pulun dua tahunan/wahai pengundi Sungai Bakap/ayuh undi calon Perpaduan.

 

Selain itu, untuk bertemakan ‘Perjuangan UMNO’, Ahmad turut mencipta pantun yang berbunyi bandar Pontian ada hikayat/kisah bersemi cerita bersama/UMNO berjuang untuk rakyat/dulu kini dan selama-lama.

 

Pantun dua rangkap empat kerat ini juga menarik, iaitu bunga kenanga di tasik Johor/pohonnya redup suasana nyaman/setia bersama Bangsa Johor/untuk hidup makmur dan aman, dan pohonnya redup suasana nyaman/buah dokong sudah terkenal/untuk hidup makmur aman/ayuh sokong Barisan Nasional.

 

Pantun empat kerat karya Ahmad yang lain adalah zaman bahari hebat pendekar/habis tanah mereka tawan/hidup berani kerana benar/rajin amanah jadi pegangan, dan habis tanah mereka tawan/sejarah keramat demi maruah/rajin amanah jadi pegangan/itulah semangat membawa tuah.

 

Walaupun ada juga sesekali kurang atau tidak menepati ciri-ciri pantun, tetapi jelas kelihatan Ahmad lebih mengetahui, dan mahir berpantun ketimbang YB lain. Pantun ciptaan beliau tidak kelihatan dan kedengaran ganjil/sumbang.

 

Ahli politik suka berpantun adalah satu perkara yang menarik. Para pemantun dan pencinta pantun pastinya gembira, dan berbangga apabila pantun diucapkan dengan gembira di mana-mana, termasuk Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mulia.

 

Walau bagaimanapun, dua perasaan itu akan lebih mendalam dan bermakna sekiranya ahli politik ‘cenderung pantun’ dapat menghasilkan pantun setaraf pantun-pantun ciptaan Ahmad.

 

Sama ada Melayu atau bukan, mereka perlu berfikir dengan sebaik mungkin sebelum mencipta pantun, dan mengucapkannya. Jangan hanya ghairah berpantun, tetapi menyampaikan yang jelik. Sebagaimana sajak, pantun juga sukar dihasilkan.

- Disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

Tuesday, 10 December 2024


Dari kiri; Anita Yusop, Siti, Nur Amira Abd Razak, Dato' Royce Saiyan, Daqmie, Ustaz Fitri Abd Samad, Umie Lyna, dan Saadiah Kamin.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

 

Sambut Kedatangan 2025 dengan Gema Selawat di Puncak Menara Tinggi

 

ISLAM tidak melarang umatnya meraikan sambutan tahun baharu Masehi setiap tahun, asalkan dengan cara yang murni, beradab dan tidak melanggar syariat.

 

Sambutan yang dilakukan hendaklah membawa diri dekat dengan Allah SWT, bukan dalam kelekaan hingga dimurkai-Nya.

 

“Sambutan tahun baharu mengikut syariat Islam adalah lebih wajar, dan sebaik-baiknya. Justeru, pihak saya mengambil pendekatan sedemikian dengan menganjurkan program menyambut ketibaan tahun 2025 pada 31 Disember nanti,” ujar Puan Nur Amira Abd Razak, Pengarah Urusan NHMall Worldwide Empire.

 

Beliau menyatakan sedemikian semasa sidang media program anjuran pihaknya ini bersama-sama Anita Entertainment & Productions, dan AM Event Management, yang diberi nama ‘Gema Selawat di Puncak Menara Kuala Lumpur & Menara Alor Setar’ serentak.

            YBrs Puan Nur Amira Abd Razak, Pengarah Urusan NHMall Worldwide Empire.

=========================================================================

Sebagai penutup tirai 2024, gema selawat itu merupakan program seni yang berkonsepkan Islam dengan tujuan mengajak semua umat Islam tidak mengira usia, untuk sama-sama menyemarakkannya.

 

Menurut Puan Nur Amira lagi, selain berselawat memuji kebesaran Allah, dan mengenang jasa Nabi Muhammad SAW, beberapa paparan dokumentari sirah perjuangan Baginda turut diselitkan.

 

Seperti yang dijelaskan tadi, program ini juga merupakan landasan untuk membawa ummah mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul junjungan.

 

“Program penutup tirai 2024 ini akan diserikan dengan alunan lagu-lagu qasidah dari kumpulan Assidiq, Munshidat El Qassh dan beberapa artis lain,” ujarnya yang mahu memastikan program selawat ini nanti bertepatan dengan landasan Islam melalui selawat ke atas Junjungan Mulia.


Puan Anita Yusop.

***********************************************************************************

Turut menghadiri majlis sidang media tersebut di Restoran Arab Alkhair Restaurant, Kuala Lumpur pada 9 Disember lalu ialah Puan Anita Yusop dari Anita Entertainment & Productions (Promosi dan Pemasaran); Ustaz Fitri Abd Samad (Tugas-tugas Khas); Umie Lyna (Setiausaha); Siti (Penyelaras Media), dan Puan Saadiah Kamin (Koodinator).

 

Daqmie yang terkenal dengan lagu Tangis Sebatang Tamar dan Munajat, serta Dato' Royce Saiyan dan kumpulannya Munshidat El Qassh sebagai selebriti undangan, bersama-sama kumpulan Assidiq antara yang telah menyatakan persetujuan menjayakan ‘Gema Selawat di Puncak Menara Kuala Lumpur & Menara Alor Setar’ nanti.

 

Apa yang penting, program ini menyemai rasa kasih dan cinta buat Nabi Muhammad, mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam, menerapkan tentang pentingnya keimanan dalam pembentukan sahsiah diri, dan menyemai budaya mengamalkan sunnah Nabi dalam kehidupan.


Dari kiri; Puan Nur Amira Abd Razak, Ustaz Fitri Abd Samad, Daqmie dan Dato' Royce Saiyan semasa sesi soal jawab sidang media.

 ##################################################################################

Nur Amira berharap kejayaan program ini akan mendapat restu dan bantuan Allah, serta mendapat sambutan di luar jangkaan, lantas menjadi contoh yang baik untuk mudi, dan masyarakat amnya.

 

Sementara itu, Daqmie yang turut hadir menyatakan rasa gembira dan bersyukur kerana terpilih menjayakan program berkenaan.

 

“Berselawat di tempat yang tinggi memang baik, dan amat istimewa. Lebih tinggi sesuatu tempat itu adalah lebih baik lagi kerana lebih cepat sampai kepada-Nya,” ujar beliau.

 

Begitu juga Royce yang sependapat dengan Daqmie, dan tidak sabar untuk memberikan persembahan terbaik. Mereka juga teruja untuk suatu hari nanti berselawat pula di Menara Merdeka 118.

                                    

                                             

             Borang penyertaan bagi pihak yang berminat hadir dan memberikan sumbangan.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Mengenai artis lain yang akan turut ditampilkan, Nur Amira memberitahu pihaknya memang ada memberikan jemputan kepada beberapa nama.

 

“Tetapi, buat masa ini belum dapat diberitahu siapakah mereka. Cuma, yang pasti, Daqmie, Royce dan Assidiq tidak akan menghampakan hadirin,” jelas beliau sambil memberitahu sasaran jumlah hadirin adalah 200 orang di Menara Kuala Lumpur, dan jumlah serupa di Menara Alor Setar.

 

Untuk maklumat lanjut berkaitan program, pembelian meja, ruang iklan buku cenderahati serta tajaan, sila hubungi Puan Lyna 011 211 4192, Puan Saadiah 013 737 4322, Cik Zura 011 5742 5493, Cik Siti 018 353 6879, Ustaz Mad 012 579 5418, Encik Khaliq 014 233 3490, Encik Fitri 011 1313 3631, dan Puan Amira 019 387 5060, atau e-mel selawatdipuncak@gmail.com.

                            

-         disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN       

 


Thursday, 5 December 2024


Duduk dari kiri; Encik Ahmad Ibnu Sina Termizi, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, Tuan Mohd Mustafa Ghazanfar, dan Puan Rohani Hussin bersama-sama tetamu kehormat, serta para pelajar dan wakil pelajar penerima Cek Skim Bantuan Awal YWP.

***********************************************************************************

PENDIDIKAN



Lebih 200 Pelajar IPTA & IPTS YWP Terima Cek Skim Bantuan Awal

 

YBHG Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersyukur dan berterima kasih atas usaha kakitangan YWP yang berkolaborasi dengan pihak Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan ‘Majlis Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS Yayasan Wilayah Persekutuan’ peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi Disember 2024.

 

Majlis yang berlangsung pada 5 Disember lalu di Dewan Masjid Jamek Kampong Bharu Kuala Lumpur itu turut dihadiri YBrs Encik Ahmad Ibnu Sina Termizi, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, DBKL selaku wakil Datuk Bandar Kuala Lumpur;  serta YBhg Tuan Mohd Mustafa Ghazanfar, dan YBhg Puan Rohani Hussin selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP.


YBhg Dr Abdul Basir V Kunhimohamed menyampaikan ucapan beliau.

###################################################################################

Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS ini merupakan salah satu inisiatif YWP dengan sokongan DBKL. Matlamat utama skim ini adalah untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, agar mereka dapat melanjutkan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan yang mendesak.

 

“Hari ini, seramai 250 pelajar telah dipilih sebagai penerima manfaat skim ini, dengan

jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM175,000. Setiap pelajar menerima sumbangan sebanyak RM700 secara one-off, yang diharapkan dapat menampung perbelanjaan awal seperti pembelian buku, pendaftaran dan keperluan lain sebelum memulakan sesi pengajian,” ujar Dr Abdul Basir dalam ucapannya.

 

Minggu lalu, tambah beliau, YWP bersama-sama kakitangan Maybank Malaysia Berhad turut memberikan sumbangan Bantuan Awal IPT kepada 27 pelajar dari Wilayah Persekutuan Labuan.

 

“Melalui program seperti ini, kita tidak hanya membantu meringankan beban keluarga pelajar, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan yang berkualiti, dan berdaya saing,” jelas Abdul Basir.


Sebahagian daripada para pelajar dan wakil pelajar yang hadir menerima Cek Skim Bantuan Awal YWP.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang mampu mengubah nasib seseorang, keluarga dan masyarakat.

 

“Oleh itu, usaha seperti ini perlu diteruskan, dan diperluas lagi pada masa hadapan agar lebih ramai golongan muda yang berbakat dapat merealisasikan potensi mereka,” tambah beliau.

 

Tegas Basir, YWP sentiasa komited menyokong pelbagai inisiatif pembangunan sosial, pendidikan dan kebajikan yang memberi impak positif kepada masyarakat.

 

YWP, katanya, percaya bahawa kejayaan program ini adalah hasil kerjasama erat antara YWP, DBKL, para pemimpin masyarakat dengan kesemua yang menghadiri majlis.

 

“Gunakanlah bantuan ini sebaik-baiknya untuk melengkapkan diri anda dengan ilmu pengetahuan, dan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Anda semua adalah harapan keluarga, masyarakat dan negara,” ujar Basir yang kemudian menyampaikan cek kepada 20 penerima pertama bagi kategori Ijazah di pentas.

 

Sementara 10 penerima seterusnya bagi kategori ljazah, cek disampaikan oleh Encik Ahmad Ibnu Sina. Tuan Mohd Mustafa pula menyampaikan cek kepada 10 penerima bagi kategori Diploma. Kemudian, 10 penerima cek bagi kategori Sijil disampaikan oleh Puan Rohani.

                                          

Antara yang menghadiri ‘Majlis Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS Yayasan Wilayah Persekutuan’ peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi Disember 2024 pada 5 Disember lalu.

===========================================================================

Walau bagaimanapun, tidak semua pelajar berkenaan hadir. Ada antara mereka yang diwakili ibu bapa atau penjaga masing-masing.

 

Penyerahan cek selebihnya diberikan kepada pelajar atau wakil mereka di tempat duduk masing-masing seb     elum majlis berakhir.

-         disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN