Pages

Tuesday, 25 February 2025

                                                                             

###################################################################################

PENDIDIKAN

 

Majlis Serahan Bantuan Persekolahan Murid Sekolah Menengah Harian Parlimen Bandar Tun Razak

 

SAYA yakin para penerima sumbangan pada hari ini adalah dalam kalangan pelajar yang cerdik dan pintar. Jadi, belajarlah bersungguh-sungguh sehingga berjaya,” ujar YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

 

Dalam ucapannya semasa menyempurnakan perasmian majlis Penyerahan Sumbangan Persekolahan Murid-murid Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan, 25 Februari lalu, beliau menegaskan tanggungjawab menentukan masa depan anak-anak tidak hanya terletak pada bahu pendidik sahaja.

 

“Ibu bapa dan pelajar perlu dibekalkan dengan usaha yang gigih, disertai doa dan tawakal kerana ketiga-tiganya adalah ramuan penting untuk mencapai kejayaan,” tambah Dato’ Seri Dr Wan Azizah, sambil menegaskan pendidikan sangat penting, bukan sahaja untuk diri anak-anak itu sendiri, sebaliknya mampu merubah nasib keluarga agar lebih baik pada masa akan datang.


Beliau yang juga isteri kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, merakamkan ucapan terima kasih kepada SMK Bandar Tasik Selatan, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar dan PPD Pudu yang memberi kerjasama bagi menjayakan program berkenaan.

 

Sesungguhnya, ujar Dr Wan Azizah lagi, PPD Bangsar dan Pudu merupakan rakan strategik Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dalam usaha kerajaan mengharapkan ibu bapa menitikberatkan pendidikan kepada anak-anak untuk meraih kejayaan pada masa depan.

=========================================================================



Persembahan Silat Gayong Fatani menarik perhatian YB Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, dan hadirin.

=========================================================================

Seramai 282 murid daripada hampir 3,000 murid di semua sekolah menengah harian di Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan persekolahan berbentuk sebuah beg sekolah, set peralatan alat tulis dan sumbangan wang tunai.

 

Sebelum ini, majlis penyerahan sumbangan persekolahan telah diadakan di Dewan Mastika Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang melibatkan semua sekolah rendah, dan menengah, dan Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak yang telah memperuntukkan sebanyak RM450,000 bagi menjayakan Back To School, iaitu antara acara tahunan yang diadakan setiap kali tiba musim cuti persekolahan.

=========================================================================


YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian majlis Penyerahan Sumbangan Persekolahan Murid-murid Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan.
=========================================================================

“Saya ingin berpesan kepada semua murid agar memberikan tumpuan pada pelajaran, dan pendidikan kerana pendidikan adalah elemen penting yang mampu mengubah masa depan seseorang,” tegas Wan Azizah yang turut berharap sumbangan yang diberikan menjadi kenang-kenangan, serta pemangkin semangat untuk murid-murid belajar dengan lebih tekun, serta menumpukan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2025.

 

Penyerahan sumbangan ini adalah yang pertama kali, khusus kepada semua murid tingkatan 5 di 10 sekolah harian di Parlimen Bandar Tun Razak. Ia merupakan ilham dan keprihatinan Wan Azizah sendiri yang mahukan kelainan kepada penerima sumbangan, iaitu murid-murid tingkatan 5 pada 2025.

=========================================================================

Ia bertujuan meraikan murid-murid dari keluarga yang kurang berkemampuan memulakan musim persekolahan dengan penuh ceria, sekali gus meringankan beban ibu bapa, serta memberi penghargaan, dan sokongan kepada masyarakat di Parlimen Bandar Tasik Selatan.

 

Selain SMKBTS, turut menerima sumbangan ini termasuklah murid-murid SMK Alam Damai, SMK Orkid Desa, SMK Sungai Besi, dan SMK Desa Petaling.

=========================================================================


YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada murid SMK Bandar Tasik Selatan pada 25 Februari lalu.

=========================================================================

Turut hadir YBhg Datuk Azman Haji Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri; YBrs Encik Nazri Haji Husin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Bangsar dan Pudu; YBrs Encik Saifulizan Harun, Pengurus Besar Yayasan Gerbang; dan YBhg Tuan ACP Aidil Bolhassan, Ketua Polis Daerah Cheras.

 

YBhg Puan Zahura Md Amin, Pengetua SMK Bandar Tasik Selatan juga hadir dan menyampaikan ucapan alu-aluan beliau.

=========================================================================



Dari kiri hadapan; YBhg Datuk Azman Haji Abidin, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dan YBhg Puan Zahura Md Amin.

=========================================================================


Datuk Azman dalam ucapannya sebelum itu, memberitahu beliau telah menyantuni SMK Alam Damai dan SMK Orkid Desa pada 24 Februari.

 

Pada pagi 25 Februari, katanya lagi, beliau ke SMK Desa Petaling dan SMK Sungai Besi. Jadi, jumlah kesemua murid penerima merangkumi empat sekolah dalam masa dua hari sahaja melebihi 600 orang.

 

“Pada hari ini, 282 murid SMK Bandar Tasik Selatan menerima sumbangan berbentuk sebuah beg sekolah, wang tunai dan alat tulis. Menariknya, pada beg sekolah tersebut dilekatkan nama masing-masing, tingkatan terkini, logo sekolah, dan logo Malaysia MADANI,” jelas Azman dalam majlis di Dewan Bestari, SMK Bandar Tasik Selatan itu.

=========================================================================

                                     

Persembahan Koir Kod Tangan oleh Murid Pendidikan Khas yang dilatari lagu Gemuruh, nyanyian Faizal Tahir.

=========================================================================

Tambah beliau, reka bentuk tersebut yang diilhamkan oleh Wan Azizah bukan sahaja untuk mencipta kelainan, tetapi dijadikan kenang-kenangan kepada murid, terutama setelah tamat persekolahan nanti.

 

“Sesungguhnya kenang-kenangan semasa zaman persekolahan adalah kenangan yang indah, dan pasti akan diingati sehingga ke anak cucu,” ujar Azman yang turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang amat peka dan prihatin pada setiap kali tiba musim persekolahan.

 

“Saya menyeru semua pihak untuk melihat segala usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin kita pada hari ini. Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya merupakan pemimpin yang sangat mencintai ilmu. Beliau amat mementingkan pendidikan kepada semua tanpa mengira bangsa, agama, dan sebagainya,” ujar beliau yang berpendapat Dato’ Seri Anwar harus dijadikan contoh insan yang mempunyai ilmu pengetahuan luas.

=========================================================================

                                      

YBhg Puan Zahura Md Amin, Pengetua SMK Bandar Tasik Selatan menyampaikan ucapan alu-aluan beliau.

========================================================================= 

Atas keprihatinan Perdana Menteri dan keluarganya, ujar Azman lagi, semua sekolah di negara ini tanpa mengira sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan dibantu agar anak-anak tidak tercicir, dan mampu menikmati pendidikan yang baik sehingga ke menara gading.

 

Majlis Penyerahan Sumbangan Persekolahan Murid-murid Tingkatan 5 itu turut diserikan dengan persembahan Silat Gayong Fatani, persembahan Koir Kod Tangan oleh Murid Pendidikan Khas, dan persembahan istimewa Excelente 2125.

 

-          disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

Saturday, 22 February 2025

                                     

=========================================================================

AMAL

 

‘Sekampit Beras Satu Keluarga’ Sempena Ramadan daripada Insaf Malaysia

 

INSYA-ALLAH Ahad 2 Mac 2025 nanti adalah hari pertama Ramadan 1446 Hijrah, bulan mulia penuh keberkatan bagi umat Islam di Malaysia.

 

Walau bagaimanapun tidak semua daripada kita mampu meraikan kedatangannya dengan sempurna kerana hidup dalam serba kekurangan akibat kekangan kewangan.

 

Untuk itu, Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf Malaysia) yang sinonim dengan kerja-kerja amal, mengambil inisiatif melancarkan Tabung Beras Amal ‘Sekampit Beras Satu Keluarga’ untuk menggalakkan masyarakat menyumbang.

                                      

                        Pengasas dan Presiden Insaf Malaysia, YBrs Encik Ishak Abdul Kadir.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Program tersebut telah dilancarkan pada 22 Februari lalu di Lobi Utama, busanamall@menara mara dari jam 2 petang sehingga 10 malam, dengan Busana Mall, Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), busker dari MYBC, dan artis Anggun Music Production yang tampil memeriahkan suasana di sepanjang program berlangsung.

 

Menurut Pengasas dan Presidennya, YBrs Encik Ishak Abdul Kadir, objektif utama program ini ialah mengumpul dana untuk program ‘Sekampit Beras Satu Keluarga’ yang kembali diadakan pada tahun ini.

 

“Beberapa tahun terakhir sebelum wabak maut pandemik COVID-19, Insaf Malaysia berjaya mengumpulkan 15 tan beras. Lantaran COVID-19, kami tidak dapat berbuat apa-apa lagi, dan terpaksa berhenti,” jelas beliau.

&&&&&&&&&&&&                                                                                &&&&&&&&&&&&&                                       

                                    ####################################


 Encik Ishak juga memberitahu pihaknya bercadang memulakan semula pada tahun 2024, tetapi terpaksa menangguhkan kerana arahan masa pandemik tidak membenarkan pelaksanaan urusan sebegini.

 

“Namun begitu, saya lakukan juga tahun lalu secara kecil-kecilan. Pada tahun ini barulah secara besar-besaran untuk semua masyarakat menyumbang,” tambah Ishak.

 

Menurutnya lagi, tabung sumbangan dibuka bermula pada 22 Februari, dan akan berlanjutan sehingga Syawal nanti.

 

“Saya berharap tabung dana ini dapat mengumpulkan sebanyak yang boleh kerana dibuka lebih sebulan. Menerusi program ini, kami akan memberikan sekampit beras untuk satu keluarga asnaf, keluarga B40, rumah-rumah anak yatim, warga emas, mualaf, dan orang kelainan upaya atau OKU,” tambah Ishak.

                                     

                                         *Kredit foto Megat Firus

=========================================================================

Selain itu, katanya lagi, beras-beras ini turut akan digunakan untuk program Foodbank dan Dapur Insaf Malaysia bagi penyediaan makanan berbuka puasa, dan bubur lambuk di sepanjang Ramadan.

 

Insaf Malaysia juga mempermudahkan urusan penyumbang dengan memperkenalkan pindahan wang menerusi QR Code akaun Maybank Insaf Malaysia (562188306090).

 

“Saya harap masyarakat akan terus menyokong program-program kami. Apa yang dilakukan adalah bertujuan mengurangkan bebanan terhadap golongan-golongan yang memerlukan. Kelebihan Ramadan ialah kita digalakkan melakukan amal kebaikan, dan bersedekah terutama kepada golongan yang disebutkan tadi,” kata Ishak lagi.

                                       

                          YBrs Encik Ayob Abdul Majid, Presiden IRAMA (kiri) turut hadir.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Untuk rekod, menerusi data terkumpul, Insaf Malaysia yang berusia 16 tahun telah membantu lebih 431 rumah kebajikan, serta lebih 1,309 murid-murid sekolah.

 

Turut hadir YBrs Encik Ayob Abdul Majid, Presiden IRAMA.

 

 - disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

 

 

 

                                       

=====================================

SOSIAL

 

Penyerahan Rumah Baik Pulih, Bantuan Awal Pelajar IPT, Bakul Makanan MADANI untuk Penduduk

 

TARIKH 22 Februari 2025 merupakan hari yang bersejarah bagi Parlimen Bandar Tun Razak apabila kita dapat menyaksikan usaha tanggungjawab sosial korporat/CSR baik pulih rumah asnaf yang dijalankan oleh Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) demi membantu salah seorang penduduknya yang uzur, iaitu Puan Rokiah Ismail, yang hidup bersendirian dan amat memerlukan rumah yang selamat didiami.

 

Difahamkan perbelanjaan baik pulih rumah beliau mencecah RM30,000. Alhamdulillah rumah yang telah siap dibaik pulih itu diserahkan semula kepada Puan Rokiah.

 

Usaha murni SPWP ini amat murni dan syarikat-syarikat korporat lain dialu-alukan untuk bekerjasama dengan pejabat Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti rumah-rumah lain yang boleh dibantu baik pulih.

Sebahagian daripada yang menghadiri majlis Ihsan MADANI-Projek Baik Pulih Rumah Asnaf, Skim Bantuan Awal IPT, Bantuan Khas & Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak pada 22 Februari 2025.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Pada 22 Februari lalu itu juga, sembilan pelajar menerima Skim Bantuan Awal untuk masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) dari Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebanyak RM700 setiap orang. Skim ini merupakan bantuan secara one-off untuk pelajar IPT memulakan pengajian pada peringkat Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di IPTA atau IPTS.

 

Seramai tiga individu juga menerima Bantuan Perubatan YWP berdasarkan keperluan pesakit. Skim ini juga adalah secara one-off untuk meringankan beban kewangan pesakit dalam mendapatkan rawatan, ubat-ubatan, serta perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.

 

Pada hari yang sama, 100 penduduk di Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur menerima bantuan Bakul Makanan MADANI dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Turut hadir YBhg Datuk Rizalman Dato' Mokhtar, YBhg Datuk Azman Abidin,dan YBrs Dr Abdul Basir V Kunhimohamed.

=========================================================================

Kesemua catatan sejarah ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dalam majlis Ihsan MADANI-Projek Baik Pulih Rumah Asnaf, Skim Bantuan Awal IPT, Bantuan Khas & Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak di Apartment Desa Tasek, Sungai Besi.

 

Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri Dr Wan Azizah mengucapkan syukur dan berharap semua bantuan yang diberikan pada hari ini dapat membantu warga Bandar Tun Razak hidup dalam keadaan lebih harmoni, dan sejahtera.


Rumah Puan Rokiah Ismail (tengah, bawah sekali) yang telah siap dibaik pulih.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


YB Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail berharap agar usaha-usaha murni dapat diteruskan, dan diperluas pada masa hadapan, agar lebih ramai dapat menikmati manfaatnya.

=========================================================================

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus membantu warga Bandar Tun Razak, khususnya YWP, SPWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) WP Bandar Tun Razak, YAPEIM, dan individu-individu lain yang terlibat secara langsung atau tidak.

 

“Kerajaan juga sentiasa komited dalam menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan melalui dasar Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan sosial, dan pembangunan masyarakat,” ujar Dr Wan Azizah yang berharap agar usaha-usaha murni seperti ini dapat diteruskan, dan diperluas pada masa hadapan, agar lebih ramai dapat menikmati manfaatnya.

                                                 

YB Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail menyampaikan ucapan beliau.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


YB Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail menyampaikan bantuan kepada penerima yang telah ditetapkan.

=========================================================================


Puan Rokiah Ismail (bertudung merah) berasa amat bersyukur atas bantuan yang diterima olehnya.
 

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

 

Turut hadir YBhg Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri; YBrs Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP; YBhg Datuk Rizalman Dato’ Mokhtar, Pengerusi SPWP; YBrs Tuan Haji Firdaus Muhamad, Pengurus Negeri YAPEIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; YBrs Tuan ACP Aidil Bolhassan, Ketua Polis Daerah Cheras; YBrs Puan Asyqoh Yusof, Pengurus Kawasan Bandar Tun Razak DBKL; YBrs Encik Roslan Mahmood, Pengerusi MPP Bandar Tun Razak; para Ahli Lembaga Pengarah SPWP, dan wakil penduduk.

 

-         disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

====================================

KESIHATAN

 

Jadikan Pencegahan Kanser antara Agenda Utama dalam Kehidupan: Wan Azizah

 

HARI Kanser Sedunia 2025 pada 4 Februari lalu disambut dengan tema ‘Bersatu dengan Keunikan’. Malaysia tidak ketinggalan daripada turut meraikannya.

 

Kecil atau besar, pihak yang berkaitan, serta prihatin dan sedar amat digalakkan turut meraikannya, dan melakukan pelbagai kegiatan membantu.

 

Antaranya ialah Pejabat Kesihatan Cheras dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Subzon 5, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan KOSPEN Kamara yang menganjurkan Program Kesihatan Kasih MADANI 2025 di Kompleks Sukan Desa Tasik Sungai Besi pada 22 Februari lalu.



YBhg Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail turut menyampaikan sumbangan kepada  penceramah-penceramah undangan.
=========================================================================


YBrs Dr Nor’Aishah Abu Bakar menyampaikan ucapan alu-aluan beliau.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Selain sambutan Hari Kanser Sedunia, ia juga meraikan Bulan Kesedaran Kanser Kolorektral Peringkat Pejabat Kesihatan Cheras 2025.

 

Hari Kanser Sedunia diraikan dengan tujuan meningkatkan kesedaran, serta mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam usaha mencegah, dan membendung penyakit kanser yang kian meningkat.

 

Di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus).

 

Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus), dikuti kanser kolorektal (10.7 peratus), dan kanser serviks (6.2 peratus).



Dato’ Prof Emeritus (UM) Dr Hashm Yaacob (bersongkok) menerima sumbangan daripada YBhg Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.  
=======================================================================

Kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11.0 peratus untuk kanser paru-paru, 51.1 peratus kanser kolorektal, 51.6 peratus kanser serviks, 66.8 peratus, dan 73.0 peratus kanser payudara.

 

Sebanyak 63.7 peratus daripada keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat (tahap III dan IV). Tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser.

 

Kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit, tetapi juga menjejaskan psikososial dan ekonomi keluarga, serta pembangunan ekonomi negara. Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.



YBhg Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail menyampaikan ucapan perasmian program.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++ 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO menyatakan sepertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan berlebihan, pengambilan alkohol secara berlebihan, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal.

 

Untuk makluman, pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser, dan ia menyumbang kepada 22 peratus kes kematian akibat kanser. Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta.

 

Kesemua perkara dan fakta ini dinyatakan oleh YBhg Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dalam ucapan perasmian program.

 

Di samping pesanan dan nasihat mengenai menjaga kesihatan, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, serta syabas atas kerjasama Pejabat Kesihatan Cheras, Majlis Perwakilan Penduduk Subzon 5, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan KOSPEN Kamara.

 

“Saya menyeru kepada semua untuk menjadikan pencegahan kanser sebagai salah satu agenda utama dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Segeralah menemui doktor bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut sekiranya mempunyai tanda dan gejala kanser,” ujar Dato’ Seri Dr Wan Azizah yang turut menyampaikan sumbangan baju Melayu.

 

Selain itu, beliau mengesyorkan orang ramai agar menjalani ujian saringan kanser yang telah disediakan. Dapatkan rawatan, tambahnya, yang terbukti berkesan di hospital jika disahkan menghidap kanser, dan sentiasa patuh dengan jadual rawatan yang diberikan.

                                        

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++ 

Program setengah hari itu padat diisi dengan pelbagai acara. Antaranya termasuklah ceramah kesihatan oleh Dr Dania Inarah mengenai kanser kolorektal, Dr Thung Senk Chung (kanser prostat), Kapten TLDM (B) Dato’ Prof Emeritus (UM) Dr Hashim Yaacob, Dekan Fakulti Pergigian Segi College (kanser oral), dan perkongsian detik kanser ‘Survivor’ oleh Puan Liang Ai Leng, dan Puan Josephine a/p Mariasoosai.

 

Selain itu, turut diadakan walkathon, aerobik, saringan NHSI & PEKA B40, makanan sihat, fisioterapi – saringan sarcopenia, aktiviti interaktif WOW truck, dan pemeriksaan gigi bergerak.

 

Turut hadir, YBrs Dr Nor’Aishah Abu Bakar, Pengarah Kesihatan Negeri JKWPKL&P; dan YBhg Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia, danYBhg Datuk Rizalman Dato’ Mokhtar, Pengerusi Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan.

 

-          disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN