Pages

Tuesday, 25 March 2025


@@@@@@ ^^ @@@@@@

PENDIDIKAN

 

Pameran Pendidikan dan Latihan Universiti Malaysia di Tripoli Berjaya

 

DIHOSKAN oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Penyelidikan Saintifik Libya (LSR), di bawah anjuran Akademi Eksport Malaysia (MEXA), Pameran Pendidikan & Latihan Universiti Malaysia telah berlangsung dengan jayanya pada 22 dan 23 Februari 2025 di Akademi Libya di Tripoli, Libya.

 

Pameran tersebut menyaksikan penyertaan padu para pelajar Libya yang bersemangat mahu meneroka peluang untuk pendidikan tinggi di Malaysia.

 

Acara yang dinanti-nantikan ini menghimpunkan 33 perwakilan dari 16 institusi pendidikan Malaysia yang berprestij, termasuk 12 universiti swasta, dua universiti awam, dan dua sekolah bahasa.

 

Pameran Pendidikan & Latihan Universiti Malaysia diselaraskan dengan kerjasama rapat Pejabat Atase Akademik dari Kedutaan Libya di Kuala Lumpur.



Perjanjian dimeterai untuk kejayaan masa depan. 

                                                                             ######  

Dengan 1,000 hingga 1,200 ‘pemamer datang langsung’ di sepanjang dua hari, pameran itu menyediakan pelajar akses terus kepada wakil dari universiti terkemuka Malaysia, menawarkan mereka peluang untuk belajar mengenai program akademik, biasiswa dan faedah belajar di Malaysia.

 

Pameran Pendidikan & Latihan Universiti Malaysia menandakan pencapaian penting dalam mengukuhkan hubungan pendidikan antara Malaysia dengan Libya.

 

Mengenai komitmennya terhadap biasiswa, semasa pameran tersebut, KPT dan LSR membuat pengumuman menganugerahkan 2,000 biasiswa kepada pelajar Libya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Malaysia.

 

Kumpulan pertama 550 biasiswa akan tersedia untuk tahun akademik 2025. Keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang memilih untuk belajar di institusi pendidikan yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut.

 

Kementerian di Libya menyatakan komitmennya yang teguh untuk bekerjasama dengan MEXA, dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan kelancaran penempatan pelajar ke universiti-universiti ini.

 

Menurut YBhg Datuk Sri Syed Hussein AlHabshee, Penasihat MEXA, pihaknya teruja dengan perkongsian ini yang akan memberi peluang kepada pelajar Libya untuk belajar di Malaysia, antara hab pendidikan terkemuka di Asia.

 

“Kami yakin ini akan mewujudkan manfaat jangka panjang untuk kedua-dua negara, dan menyumbang kepada pembangunan sektor pendidikan Libya,” jelas beliau.

 

Dalam menangani soal kebimbangan keselamatan dan mengukuhkan hubungan dua hala, Datuk Sri Syed Hussein memberi jaminan bahawa Libya selamat bagi rakyat Malaysia melancong untuk perniagaan, pendidikan, dan pelancongan.

 

Beliau juga menekankan kepentingan dialog berterusan untuk mengukuhkan lagi langkah keselamatan, serta memupuk kerjasama akademik dan ekonomi.

 

“Memandangkan minat yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi pendidikan pilihan pelajar Libya, memang penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala menerusi penglibatan diplomatik yang dipertingkatkan,” jelas Syed Hussein.

 

“Satu langkah penting adalah penubuhan Kedutaan Malaysia di Tripoli. Ada kehadiran diplomatik rasmi di Libya akan memudahkan pemprosesan visa pelajar, menyediakan sokongan penting kepada rakyat Malaysia di negara ini, serta membangunkan lagi kerjasama ekonomi, dan pendidikan antara negara kita,” tambah beliau.

                                          

Kejayaan Pameran Pendidikan dan Latihan Universiti Malaysia pertama mendorong penganjurannya yang kedua pada Julai depan juga di Tripoli, Libya.

                                                                              *********  

Cadangan untuk Kedutaan Malaysia di Tripoli sejajar dengan komitmen Malaysia yang lebih luas dalam memupuk perkongsian antarabangsa, menggalakkan pertukaran pendidikan, dan menyokong institusi Malaysia dalam jangkauan global mereka.

 

MEXA dan rakan kongsinya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Libya untuk memastikan keselamatan semua pihak berkepentingan yang terlibat, dan meningkatkan peranan Malaysia dalam pembangunan pendidikan rantau ini.

 

Mengenai kerjasama masa depan, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan hubungan pendidikan antara Libya dengan Malaysia, MEXA akan menganjurkan acara kedua pada Julai 2025 di Akademi Libya di Tripoli.

 

Pameran yang akan datang ini akan menjadi satu lagi peluang kepada pelajar Libya untuk meneroka pelbagai pilihan pendidikan yang lebih luas, dan memperdalam lagi pertukaran pendidikan antara kedua negara.

 

Sementara itu, YBrs Dr Abdul Kabur Ibrahim, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MEXA menyatakan rasa bangga dengan kejayaan acara sulung ini, yang telah menyediakan platform yang sangat baik kepada pelajar Libya untuk berhubung dengan institusi Malaysia.

 

“MEXA komited untuk menyokong kedua-dua kerajaan Libya dan institusi pendidikan dalam memastikan pelajar Libya menerima peluang pendidikan yang terbaik. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan KPT dan Akademi Libya untuk memastikan kejayaan penempatan kumpulan pertama pelajar,” ujar Dr Abdul Kabur.

 

Enam belas institusi pendidikan Malaysia yang menyertai pameran berkenaan mewakili pelbagai program akademik dan bidang pengajian, termasuk kursus kejuruteraan, perniagaan, perubatan, dan bahasa.

 

Menarik penyertaan antara 1,000 hingga 1,200 orang peserta datang langsung, Pameran Pendidikan & Latihan Universiti Malaysia membuktikan minat pelajar Libya yang kuat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Malaysia.

 

KPT dan LSR telah komited untuk menganugerahkan 2,000 biasiswa, dengan 550 biasiswa tersedia bagi 2025.

 

Pameran Pendidikan & Latihan Universiti Malaysia berakhir dengan nota positif, apabila pelajar dan wakil menyatakan keyakinan tentang kerjasama masa depan, dan peluang yang akan ditawarkan oleh pengajian di Malaysia.

 

Tripoli, Libya – 20 Mac 2025

 

-          disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

#################################
==============================

AMAL

 

Sumbangan Kasih MADANI, Pengagihan Bubur Lambuk Parlimen Bandar Tun Razak

 

YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail berharap sumbangan kecil yang disalurkan sedikit sebanyak mampu meringankan beban sahabat-sahabat kita yang memerlukan, dan memberi kegembiraan buat mereka menyambut lebaran yang bakal menjelang.

 

Program sebegini, tambah beliau, bukan sahaja menjadi platform untuk kita sama-sama menyantuni masyarakat, malah secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim sesama kita sebagai satu komuniti.


                                                                                                                                                          

Sebahagian daripada penerima sumbangan Program Sumbangan Kasih MADANI & Pengagihan Bubur Lambuk Parlimen Bandar Tun Razak, di Surau Al-Mustaqimah Taman Jaya pada 25 Mac 2025.
        ==================================================================

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menyatakan sedemikian semasa berucap sebelum menyempurnakan perasmian Program Sumbangan Kasih MADANI & Pengagihan Bubur Lambuk Parlimen Bandar Tun Razak, pada 25 Mac lalu di Surau Al-Mustaqimah, Taman Jaya.

 

“Aktiviti gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk ini mengembalikan nostalgia amalan tradisi yang penuh dengan nilai murni, dan semangat kekeluargaan,” ujar beliau sambil mengajak kita semua menginsafi diri, dan mengingati golongan yang memerlukan, bersempena dengan dengan bulan Ramadan yang mulia ini.




YBhg Datuk Azman Abidin (kiri) dan YB 
Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail turut mengambil peluang mengacau bubur lambuk sambil diperhatikan oleh semua yang hadir. 
     _____________________________________________________________________________

“Sesungguhnya, Ramadan mengajar kita erti kesabaran, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan. Pada penghujung Ramadan yang penuh keberkatan ini, saya menyeru diri saya dan semua yang hadir agar melipatgandakan amalan kebaikan, dan ibadah untuk bersama-sama mengejar ganjaran pahala,” tegas Wan Azizah, sambil mendoakan agar semua sahabat sukarelawan yang meluangkan masa membantu menjayakan program memperoleh ganjaran kebaikan di dunia dan di akhirat.

 

Selepas menyempurnakan perasmian program, beliau yang juga isteri Perdana Menteri melakukan gimik penyerahan sumbangan kasih MADANI kepada 10 orang, diikuti kira-kira 190 lagi penerima.



YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada penerima.
          =================================================================

 
       YBrs Ustaz Khalil, Pegawai Tadbir Agama Zon 5 menyampaikan ucapan alu-aluan beliau.

             ++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Sesungguhnya, Ramadan mengajar kita erti kesabaran, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan. Pada penghujung Ramadan yang penuh keberkatan ini, saya menyeru diri saya dan semua yang hadir agar melipatgandakan amalan kebaikan, dan ibadah untuk bersama-sama mengejar ganjaran pahala,” tegas Wan Azizah, sambil mendoakan agar semua sahabat sukarelawan yang meluangkan masa membantu menjayakan program memperoleh ganjaran kebaikan di dunia dan di akhirat.

 

Selepas menyempurnakan perasmian program, beliau yang juga isteri Perdana Menteri melakukan gimik penyerahan sumbangan kasih MADANI kepada 10 orang, diikuti kira-kira 190 lagi penerima.

 

Turut hadir dan menyampaikan ucapan alu-aluan adalah YBhg Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri; dan YBrs Ustaz Khalil, Pegawai Tadbir Agama Zon 5.

                                                                                                                             

 

-         disunting untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

Friday, 21 March 2025


++++++++++++++++++++++++++++++++++++

SOSIAL

 

SAJI ‘Rayakan Rasa’ untuk Kenangan Abadi Aidilfitri 1446

 

BERTEMPAT di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific pada 21 Mac 2025, berlangsung Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada Anak Yatim, berserta Pelancaran Filem Pendek Raya SAJI 2025.

 

Selain YBrs Encik Shammim Azad Kamruzaman, Pegawai Bertanggungjawab untuk Bahagian Produk Pengguna merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn Bhd, turut hadir YBhg Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dan YBrs Encik Razmi Rahmat, Pemangku Pengurus Besar Hotel Seri Pacific.

 

YBrs Cik Sry Haryanti Mohd Nor, Pemangku Pengurus Besar, Seri Pacific Corporation; YBhg Tan Sri Rastam Mohd Isa, Pengerusi FGV Holdings Berhad; YBhg Dato’ Dr Suzana Idayu Wati Osman, Pengarah Besar FELDA; dan YBrs Encik Fahrunniam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV juga hadir.

 

Encik Razmi dan Encik Shammim menyampaikan ucapan masing-masing sebelum penyempurnaan majlis bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi jenama SAJI, sebagai Teman Kulinari Rakyat Malaysia oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery.

 

Kempen ini bukan sahaja menekankan kelazatan hidangan Aidilfitri, tetapi juga emosi dan kenangan yang mengiringi suasana perayaan – suka atau duka, segalanya adalah ‘rasa’ yang wajar dihargai, dan diraikan.

                                                                      

Anak-anak Yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia gembira dan bergambar kenang-kenangan dengan para penyampai sumbangan.

        

Gimik pelancaran oleh YBhg Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek (empat dari kanan) dan YBhg Tan Sri Rastam Mohd Isa (tiga dari kiri) disaksikan oleh dari kiri YBrs Encik Razmi Rahmat, YBrs Cik Sry Haryanti Mohd Nor,  YBhg Dato’ Dr Suzana Idayu Wati Osman, YBrs Encik Fahrunniam Othman, dan YBrs Encik Shammim Azad Kamruzaman.

=======================================================================
 

Sesi Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada Anak Yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia pada 21 Mac 2025 di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Filem pendek Raya SAJI 2025 tersebut adalah Nas Si Goreng, yang mengisahkan perjalanan Anas, lakonan Fadhli Masoot, seorang pemuda yang membesar menyaksikan ibunya (Liza Abdullah), memasak dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.

 

Namun begitu, selepas pemergian ibunya, Anas menghadapi kesukaran menerima kehilangan tersebut, sehingga dia mula ‘menggoreng cerita’ untuk mengisi kekosongan hatinya.

 

Kisah Nas Si Goreng ini mengajak penonton menelusuri perjalanan emosi Anas dalam menerima kehilangan, mengubati kesedihan dan menyedari kepentingan meneruskan warisan ibunya - mengabadikan memori insan tersayang melalui masakan.   

                                                                             

Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada Anak Yatim, berserta Pelancaran Filem Pendek Raya SAJI 2025 pada 21 Mac 2025.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Kesimpulannya, filem yang turut dibintangi Nabila Huda sebagai Anisa ini mengangkat tema kenangan, kasih sayang dan penyembuhan, seiring dengan semangat ‘SAJI Rayakan Rasa’ – bahawa setiap rasa, sama ada di lidah atau di hati, membawa makna yang menyatukan, dan mencipta kenangan Aidilfitri yang abadi.

 

Filem pendek SAJI tahun lalu, Minyak Maaf, berjaya memikat hati rakyat Malaysia dengan mesej kemaafan, dan kasih sayang. Ia dibintangi Joey Daud, Delimawati, dan Nasir Bilal Khan, serta mencetuskan impak mendalam dalam kalangan penonton.

 

Sebagai jenama yang dekat di hati rakyat, SAJI meneruskan komitmen kepada masyarakat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SAJI Seikhlas Hati.

 

Justeru, SAJI turut meraikan 20 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia, serta menyerahkan sumbangan Aidilfitri bernilai RM300, serta hamper produk SAJI & SERI PELANGI bernilai RM50 setiap seorang.

 

Sumbangan berkenaan bertujuan membawa kegembiraan dan menceriakan sambutan Aidilfitri bagi golongan yang memerlukan.

                                      

Dari kiri; YBrs Encik Razmi Rahmat, YBrs Cik Sry Haryanti Mohd Nor, YBhg Tan Sri Rastam Mohd Isa, YBhg Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, YBhg Dato’ Dr Suzana Idayu Wati Osman, YBrs Encik Fahrunniam Othman, dan YBrs Encik Shammim Azad Kamruzaman.  

=======================================================================

Usaha berkongsi rezeki dari pihak SAJI ini adalah sebahagian daripada Program SAJI Seikhlas Hati, yang bukan sekadar usaha bermusim, tetapi satu inisiatif berterusan yang mencerminkan komitmen SAJI dalam menyumbang kepada masyarakat.

 

Sejak 2023, program ini telah memberi manfaat kepada hampir 3,000 golongan asnaf di seluruh negara.

 

Sementara itu, pada Februari lalu, SAJI menjalankan program Back to School di Giant Bandar Kinrara, membantu 80 pelajar asnaf di Lembah Klang dengan kelengkapan persekolahan bagi sesi 2025.

 

Menjelang Aidilfitri ini, SAJI akan membantu 200 golongan asnaf di Kuantan, Pahang dan menyumbangkan kos pemulihan sebanyak RM10,000 bagi membaik pulih rumah seorang mangsa ribut.

 

Dalam perkembangan lain, untuk memperkasakan lagi kempen SAJI Rayakan Rasa 2025, SAJI mempersembahkan dua kolaborasi eksklusif yang memperkukuh keterlibatan jenama bersama-sama rakan industri F&B, dan hospitaliti tempatan.

 

Pertama, SERI PACIFIC – 18 Video Resipi Eksklusif Bersama Chef Terkemuka Inspirasi Citarasa Ramadan, satu siri istimewa yang menampilkan 18 resipi menarik hasil air tangan chef terkemuka dari Hotel Seri Pacific. Menggunakan produk berkualiti SAJI, resipi-resipi ini diinspirasikan untuk juadah berbuka dan sahur di sepanjang Ramadan. Siri ini boleh ditonton di semua platform media sosial rasmi SAJI dan Seri Pacific – Facebook, Instagram dan TikTok.

 

Kedua, kerjasama Eksklusif SAJI X Serai – Menghidupkan Citarasa Tempatan Menawarkan pengalaman menjamu selera yang lebih BERMAKNA, dan dekat di hati rakyat Malaysia.

 

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, dua pemenang bertuah akan menikmati jamuan rumah terbuka eksklusif di Restoran Serai bernilai RM4,000.

 

Kolaborasi ini akan terus diperluas melalui kempen ‘SAJI Setitis Minyak, Sejuta Senyuman’, di mana kehadiran jenama SAJI diperkukuh di dunia gastronomi tempatan.

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, SAJI akan mendapat paparan eksklusif di beberapa point of sale di semua cawangan Restoran Serai, memastikan jenama ini terus dekat di hati para penggemar makanan.

 

Diperkenalkan pada tahun 2000, SAJI telah menjadi lebih daripada keperluan di dapur. Ia merupakan sebahagian daripada rumah, simbol tradisi, dan bahan masakan yang dipercayai.

                                    

###################################################################################

Dengan sokongan pengguna, jenama SAJI kini telah menerajui pasaran minyak masak tempatan dengan kekal sebagai pilihan minyak masak nombor satu di Malaysia.

 

Produk SAJI juga telah berkembang dari hanya minyak masak berasaskan sawit kepada pelbagai rangkaian produk kulinari seperti krimer, santan, ketupat, kerisik, dan pelbagai lagi. SAJI sentiasa berdaya saing dan terus berinovasi untuk memastikan jenama SAJI terus menjadi Teman Kulinari rakyat Malaysia.

 

Produk SAJI bukan sahaja dihasilkan dengan kualiti terbaik, patuh terhadap Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, tetapi juga dijamin Halal, menjadikannya pilihan utama dalam penyediaan setiap hidangan.

 

Minyak masak SAJI dan produk-produk berasaskan sawit turut dieksport ke 13 negara lain, antaranya Vietnam, Kazakhstan, Pakistan, Afghanistan, Bangladesh, Korea, Panama, Kanada, Djibouti, Algeria, Senegal, Thailand dan Turki.

 

Antara pengiktirafan yang dirangkul SAJI termasuklah menjadi antara minyak masak terawal di Malaysia yang mendapat persijilan MSPO.

 

Pengiktirafan lain adalah Reader’s Digest Trusted Brands Platinum Award 2024,Kantar Brand with Most Incremental Shoppers in 2023, Expert Choice Award – Top 10 Raya TVC 2023, Kancil Awards 2024 – Gold Award in Best Malay Copywriting, Content Writing & Scriptwriting (SAJI Minyak Maaf).

 

Seterusnya, Kancil Awards 2025 – Silver Award in Film (Online) Single, Bronze Award in Best use of Cultural Insight in Film & Branded Content, Film Direction (Single), Best Malay Copywriting, Content Writing & Scriptwriting (Single); Giant Supplier of The Year 2022, Fastest Growing Brand of the Decade 2022, Best Brands Sustainable Business & Brands Inspiring Achievement Award, Reader’s Digest Trusted Brands Gold Award 2022, dan SME 100 Sustainable Brand Award 2021

 

PERADUAN SAJI RAYAKAN RASA & TONTON NAS SI GORENG

 

Pada tahun ini, kempen SAJI Rayakan Rasa ini turut membawakan Peraduan Istimewa, di mana pengguna berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM50,000.

 

Untuk menyertai, pengguna hanya perlu membeli produk SAJI, SERI PELANGI, atau PREMEO bernilai RM25 ke atas, dan menghantar bukti pembelian melalui WhatsApp ke +6011-5118 3825.

 

Untuk menonton Nas Si Goreng, dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kempen SAJI Rayakan Rasa, ikuti SAJI di platform media sosial @sajimalaysia – Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube.

 

-       disunting untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN


                                              

Saturday, 15 March 2025

++++++++++++++++++++++++++++++++++++

AMAL

 

Penyampaian Sumbangan Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Parlimen Bandar Run Razak

 

YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pengurusan Masjid Al-Muqarrabin, dan semua urus setia yang telah bertungkus-lumus menganjurkan program Nur Ramadan Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak pada 15 Mac 2025.

 

Selama kira-kira dua jam, program tersebut berlangsung di Masjid Almuqarrabin, Jalan Liku, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan.

 

Di samping mengucapkan syukur kerana Allah SWT mengizinkan penganjuran program, Dato’ Seri Dr Wan Azizah mengingatkan bahawa Ramadan merupakan bulan yang mulia lagi barakah.

                                                                             

YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menyampaikan ucapan beliau.

=========================================================================

“Ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Ialah bulan kesabaran (bulan Ramadan) dan pengajaran. Ganjaran kesabaran ialah Syurga. Di awal Ramadan disediakan kerahmatan, di tengahnya pengampunan dan di akhirnya dibebaskan daripada api neraka",” ujar beliau.  

             

Ramadan yang datang kepada kita setahun sekali, tambah Dr Wan Azizah, membawa berbagai-bagai keberkatan dan kerahmatan dari Allah. Sesungguhnya para muslimin dan muslimat yang ikhlas kepada Allah, ujarnya lagi, akan berasa sangat gembira dengan kedatangan bulan yang mulia lagi penuh berakah ini.



Sebahagian daripada penerima sumbangan program Penyampaian Sumbangan Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak yang hadir di Masjid Al-Muqarrabin.

=========================================================================

“Hal tersebut dikatakan sedemikian kerana pada bulan ini, umat Islam berpeluang melaksanakan pelbagai amal ibadat yang fardhu dan sunat dengan menghayati semaksimum mungkin bagi mengumpul pahala yang berlipat ganda yang Allah janjikan,” tegas beliau.

 

Sebelum menyempurnakan perasmian program, bersempena dengan Ramadan 1446 Hijrah yang sudah masuk pertengahan, Wan Azizah berharap agar semua selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh azam dan tekad untuk merebut pahala.


                                      
                      
                                                                          

YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menyampaikan sumbangan program Penyampaian Sumbangan Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Peringkat Wilayah Persekutuan kepada para penerima di Masjid Al-Muqarrabin pada 15 Mac 2025.

=========================================================================


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++ 
“Kita tingkatkan lagi amalan pada bulan penuh kemuliaan ini dengan bersolat tarawih, membaca al-Quran, dan berqiamulail. Seterusnya, marilah kita sama-sama berdoa semoga Ramadan kali ini akan menjadikan kita manusia yang lebih baik ketimbang pada tahun-tahun sebelumnya,” ujar beliau.  

 

“Akhirnya, perkataan yang indah adalah ALLAH, lagu yang merdu adalah AZAN, media yang terbaik adalah AL-QURAN, senaman yang sihat adalah SOLAT, diet yang sempurna adalah PUASA, kebersihan yang menyegarkan adalah WUDUK, perjalanan yang indah adalah HAJI, khayalan yang baik adalah ingat akan DOSA dan TAUBAT. Semoga bulan Ramadan yang suci ini membawa iman, dan takwa kepada kita semua,” ujar Wan Azizah.  

 

Turut hadir, YBrs Tuan Ismail Sakirin, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL; YBhg Datuk Azman Haji Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri Malaysia; YBrs Puan Suzana Alias, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JWP; YBhg Datuk Mohd Nizam Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, MAIWP; YBrs Tuan Haji Hanifuddin Roslan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan; YBrs Tuan ACP Aidil Bolhassan, Ketua Polis Daerah Cheras; YBrs Puan Asyqoh Yusof, Pengurus Kawasan Parlimen Bandar Tun Razak; YBrs. Ustaz Ahmad Muzakkir Ahmad Hadiri, Naqib Masjid Al-Muqarrabin; Pengarah-Pengarah Jabatan, DBKL, Pegawai-pegawai kanan Kementerian dan Agensi, Pengerusi-Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan; dan masyarakat setempat.

 

-         disunting untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

*foto kredit Wilayahku