Pages

Thursday, 21 March 2019

SASTERA BUDAYA



























CITRA POSITIF MAT JENIN

Menonton filem animasi, terutamanya yang menampilkan kanak-kanak sebagai watak utama menuntut penonton ‘menjadi’ kanak-kanak juga . Jangan mengharapkan logik kerana antara unsur mesti dalam filem animasi ialah perwatakan dan kejadian yang tidak masuk akal.
Watak tidak mati atau cedera parah biarpun terbanting di sana-sini di sepanjang durasi, atau masih hidup walaupun sudah hancur berkecai. Anggota tubuh yang terpisah boleh bercantum semula, malah hidup semula setelah mati.
Jika ada penonton yang tiada ‘perasaan’ (feel) atau ‘jiwa bergetar’ ketika menontonnya barangkali kerana dia masih meletakkan dirinya sebagai orang dewasa. Mungkin juga oleh sebab momentum filem yang ditonton itu pantas.
Bukan terhadap filem animasi sahaja. Filem live action atau lakonan manusia biasa juga ada yang bersifat khayalan – berkait dengan logik, dan tidak logik.
Memang karya manusia masih ada kecacatan. Tiada yang sempurna. Hanya karya Allah SWT yang sedemikian. Walau bagaimanapun, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ialah karya manusia yang sangat hebat. Ia mengejutkan, sekali gus mengagumkan, dan amat membanggakan. Saya seperti tidak percaya ia hasil anak tempatan. Dari segi visual, ia boleh dianggap bertaraf filem animasi Hollywood.
Begitu banyak kemajuan berbanding Upin & Ipin: Geng Pengembaraan Bermula (2009) yang mengutip RM6.2 juta daripada kos RM4.7 juta (arahan Mohd Nizam Abdul Razak).
Menonton Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bukan sahaja mengejutkan saya dari segi visual, tetapi juga plotnya. Terdapat twist yang menarik. Saya memang tertanya-tanya selepas beberapa lama watak Mat Jenin muncul. Mengapa banyak adegan melibatkannya dengan perwatakan yang begitu kuat, sehingga Upin dan Ipin, serta rakan-rakan lain menjadi seperti watak pembantu sahaja?
Akhirnya , jelas sekali filem animasi yang danggap oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik sebagai mengangkat kesusasteraan Melayu lama ini memberi interpretasi baharu terhadap Mat Jenin. Ia memberi citra yang baik terhadap watak berkenaan.
Telah sekian lama/berturun-temurun Mat Jenin dikenali sebagai orang yang hanya/banyak berangan-angan/berkhayal. Inggeris telah memberi gambaran buruk terhadapnya. Dia dikatakan malas bekerja dan asyik berangan-angan sehingga jatuh dari pokok kelapa, dan mati. Tamatlah kisahnya di situ sahaja.
Walaupun ada sarjana/budayawan tanah air yang cuba membela/membidas dengan mengatakan Mat Jenin bukan berangan-angan, tetapi bercita-cita tinggi. tanggapan negatif yang dipupuk oleh penjajah itu lebih kuat.
Dengan paras yang tampan, handal bertarung, serta suka membantu dan sukakan kanak-kanak - melayani Upin dan Ipin, serta rakan-rakannya, Jarjit, Mail, Ehsan Mei Mei, dan Susanti, rupa-rupanya dia watak penting dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.
Keris Siamang Tunggal disimpan oleh datuk Upin dan Ipin, iaitu Tok Dalang. Walau bagaimanapun, di negara Inderaloka,  Mat Jenin yang mampu menggunakannya dengan baik, sehingga bertukar menjadi siamang raksasa menewaskan Raja Bersiong.
Mat Jenin rupa-rupanya ialah anak raja dan pewaris takhta kerajaan Inderaloka. Dia berjaya menuntut bela kematian ayahandanya di tangan Raja Bersiong. Ternyata dia bukan pemuda yang hanya berangan-angan, tetapi pahlawan.
Filem tersebut membawa kisah pengembaraan Upin dan Ipin bersama-sama rakan-rakan yang secara tidak sengaja ke negara (kerajaan dongeng) Inderaloka. Mereka bertemu dengan pelbagai watak dongeng popular seperti Bawang Merah, Bawang Putih, Pak Belalang, Belalang, Si Tanggang dan ibunya, termasuk Batu Belah Batu Bertangkup selain Mat Jenin.
Penonton boleh menghimbau cerita zaman kanak-kanak dan melihat cerita dongeng Nusantara tersebut dianimasikan dengan perwatakan baharu. Keris diangkat sebagai tema utama cerita setelah mendapat inspirasi daripada sebuah keris Melayu yang benar-benar wujud, dan misteri, iaitu tidak berbilah. Ia ada nama, tetapi dalam cerita aimasi ini, diberikan nama lain.
Batu Belah Batu Bertangkup walaupun statik dalam filem ini, tetapi ia tetap penting, iaitu sebagai pintu ‘terowong masa’ Upin dan Ipin serta rakan-rakan datang ke, dan meninggalkan Inderaloka.
Pak Belalang kurang menonjol meskipun peranannya turut dipaparkan sedikit. Mungkin kerana watak utama ialah kanak-kanak, jadi anaknya yang lebih ke depan lantaran bersama-sama dengan Upin dan Ipin, serta rakan-rakannya. Apatah lagi dia mempunyai lastik yang pelurunya ‘bersakti’ menghalang serangan orang kanan Raja Bersiong.
Selain Mat Jenin, ada dua perkara menarik yang boleh saya nyatakan. Pertama, tidak salah filem, termasuk animasi diarahkan oleh lebih daripada seorang pengarah, apatah lagi jika hasilnya amat baik. Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal diarahkan oleh Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim, dan Ahmad Razuri Roseli.
Adam berpengalaman mengarahkan siri Upin & Ipin, Syed Nurfaiz pula pengarah siri Puteri, sementara Ahmad Razuri, pengarah siri Pada Zaman Dahulu.
Kedua, bukan sahaja sejarah tanah air perlu ditulis semula, kisah dongeng kepahlawanan/legenda Melayu juga sedemikian.

Friday, 15 March 2019

SASTERA BUDAYA


'ROCK' DAN 'PUNK' BAKAL SEPENTAS


‘Rock’ Wings dan ‘punk’ Bunkface Sepentas
Penampilan kumpulan Wings dengan sebuah konsert perdana bagi tahun 2019 tidak bersendirian kerana akan bersama-sama kumpulan ‘darah muda’ Bunkface. Wings, kumpulan muzik ‘rock’ legenda tanah air yang dianggotai Dato’ Awie, Black, Eddie, Edrie Hashim, dan penampilan semula Sham bakal sepentas dengan Sam, Youk dan Paan yang menganggotai Bunkface dalam “Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface” pada 4 Mei 2109 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Selepas kira-kira 34 tahun (1985-2019) berada dalam industri seni muzik tanah air, kewibawaan Wings tidak dapat disangkal lagi. Setiap tahun muncul dengan konsert, Wings akan terus mengorak langkah mencipta sejarah tersendiri ke arah 35 tahun kegemilangan muzik mereka.
Menurut Wings, ‘Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface’ dilaksanakan sebagai salah satu perancangan ‘Perjalanan ke 2020’ atau ‘Perjalanan ke Ulang Tahun 35 Tahun’. Ia juga akan muncul dengan beberapa rangkaian konsert. Kesemua konsert di seluruh negara itu akan menyaksikan gabungan Wings bersama-sama beberapa buah kumpulan terkenal Malaysia. Bunkface terpilih sebagai kumpulan yang pertama.
Selain menyambut ulang tahun yang ke-35 tahun penubuhan Wings, konsert anjuran Awie Entertainment itu turut meraikan ulang tahun ke-12 penubuhan Bunkface yang telah tampil dengan lima buah album studio.
Gabungan muzik ‘rock’ dan ‘punk’ akan disaksikan dalam ‘Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface’ itu dengan dendangan lagu duet untuk para peminat mereka.
Pada 13 Mac 2019 lalu telah berlangsung sidang media konsert berkenaan di Bilik Tanjung, Riverside, PWTC. Selain kesemua ahli Wings dan Bunkface, turut menghadiri majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Shamsul Kamar Ahmad, dan ahli Sayap-sayap Wings. Jurufoto berpengalaman yang terbabit dengan penerbitan album pertama Wings, ‘Belenggu Irama’ pada 1987, Mohd Ikhlas Redzuan turut hadir.
Dato’ Awie dan rakan-rakan Wings kelihatan begitu bersemangat dalam majlis berkenaan. Sam yang juga penyanyi utama Bunkface pula menyatakan dia dan rakan-rakan rasa amat bangga mendapat jemputan membuat persembahan sepentas dengan kumpulan ternama seperti Wings.
Menariknya, dalam ucapan alu-aluan beliau, Datuk Shamsul Kamar menyatakan keterujaan kerana PWTC turut menyambut ulang tahun ke-35 pada tahun 2020, sama seperti Wings. Shamsul juga berterus-terus terang bahawa beliau turut meminati Bunkface.
Selain gabungan ‘rock’ dan ‘punk’, ‘Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface’ juga menarik kerana mengembalikan semula penjualan tiket secara manual (tidak lagi menggunakan sebarang ejen tiket atas talian).
Tiket berharga standard RM150 (berdiri), sementara RM450 (duduk) untuk pembeli yang dapat menyaksikan sesi runut bunyi (sehari sebelum konsert), berserta jamuan ringan, dan barang niaga. Seribu orang pembeli pertama pula akan memperoleh barang niaga istimewa. Penjualan tiket secara manual tersebut dilakukan dengan dua cara, iaitu sistem tempahan, atau pembelian terus di kaunter.
Tempah tiket dengan ejen Sayap-sayap Wings yang boleh didapati semasa jelajah konvoi motosikal di beberapa buah tempat di Semenanjung Malaysia (senarai dan nama akan diumumkan di Instagram, dan Facebook).
Semua tiket dijual secara manual dan untuk yang memesan pada Sayap-sayap Wings, sila tebus di kaunter tiket pada 2 Mei sehingga 4 Mei 2019.
Keterangan lanjut mengenai ‘Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface’ dan pembelian tiket boleh dirujuk di laman sosial rasmi Wings, iaitu Instagram: @sayap2wings dan Facebook: Sayap-sayap Wings.
INFOMASI KONSERT LAKSAMANA METAL 2019 DUA GENERASI WINGS X BUNKFACE》
TARIKH: 4 Mei 2019, Sabtu
LOKASI: PWTC, Kuala Lumpur
MASA: 8.30 malam
ARTIS: Wings dan Bunkface
OBJEKTIF KONSERT:
1. Perancangan Journey To 2020 atau Journey 35th Anniversary Wings.
2. Konsert kali ini menggabungkan dua band yang telah mewarnai industri muzik tanah air iaitu Wings (34 tahun) dan Bunkface ( 12 tahun).
3. Konsert ini merupakan permulaan perjaianan Wings ke arah sambutan penubuhan mereka selama 35 tahun di persada muzik
4. Juga meraikan penubuhan Bunkface selama 12 tahun dengan 5 buah album.
5. Konsert ini ialah siri pertama dalam perjalanan konsert Wings ke arah 35 tahun.
HARGA TIKET:
1. RM 150, harga standard ( Free standing ticket ) 1000 pembeli pertama akan mendapat merchandise
2. RM450, harga standard + soundcheck session (terhad) Termasuk Hi-tea selepas soundcheck + merchandise + seated ticket
CARA PEMBELIAN:
1. Book tiket dengan agen Sayap-sayap Wings (senarai dan nama akan diumumkan kelak di Instagram dan Facebook).
2. Kaunter PENEBUSAN dan PEMBELIAN tiket akan dibuka mulai:
1hb Mei 2019 - 12 tengah hari hingga 6 petang
2hb Mei 2019 - 12 tengah hari hingga 6 petang
3hb Mei 2019 - 10 pagi hingga 8 malam 4 Mei 2019 10 pagi hingga 6 petang untuk penebusan tiket 10 pagi hingga konsert bermula untuk pembelian tiket
3. Semua tiket dijual secara manual dan tempahan meialui Sayap-sayap Wings dan Bunkers sila tebus di kaunter tiket pada 1 Mei hingga 4 Mei 2019.
4. Tiket dijual oleh Awie Entertainment melalui agen-agen yang dilantik.
CADANGAN JELAJAH WINGS:
Para peminat boieh menemui Wings dan Sayap-sayap Wings di lokasi berikut:
22 hingga 24 Mac 2019 - Tour Filem Bikers Kental 2
13 April 2019 - Phuket Bike Week
20 April 2019 - Magnum Opus 40 Tahun M.Nasir, Auditorium DBKL, Jln Raja Laut
27 April 2019 - Art Of Speed, Pinewood, Studio lskandar, Nusajaya, Johor
30 Aril 2019 - Konsert Baik Punya Cilok, Kedah












SASTERA BUDAYA

LEGENDA 80-AN DI PANGGUNG SARI IB

Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia (PKCQM) ditubuhkan pada 12 Mac 2005 di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Ertinya ia sudah berusia 14 tahun. Penubuhan PKCQM bertujuan memberikan bantuan perubatan, makanan, serta bantuan persekolahan kepada anak-anak, dan keluarga miskin, serta sumbangan Hari Raya kepada keluarga asnaf yang terlepas pandang daripada pihak berwajib, khususnya warga emas miskin, ibu-ibu tunggal, serta anak-anak yatim yang kurang kemampuan.
PKCQM telah merancang pelbagai program dan aktiviti di sepanjang tahun bagi mencari dana membantu ahli-ahli ini yang amat memerlukan bantuan. Antaranya ialah dengan mengadakan aktiviti gaya hidup sihat, keagamaan, kemasyarakatan, serta untuk pelajar-pelajar miskin anak-anak yatim/asnaf. Setakat ini, 100 keluarga telah berada di bawah jagaan PKCQM.
Selain itu, PKCQM turut terpanggil untuk mengadakan aktiviti kesenian seperti konsert nyanyian. Justeru, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia bersama-sama Istana Budaya (IB), PKCQM akan mengadakan “Konsert Amal Legenda 80-an” di Panggung Sari, IB pada 19 dan 20 April 2019 nanti.
Konsert berkenaan bertujuan mencari dana bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan kewangan, termasuk rakan-rakan artis seperti Ebby Yus, Mohd Azha Hamzah (bekas wartawan), Fatimah Ahmad (balu penyanyi era 50-an, MY Shamsudin), serta balu dan anak-anak bekas vokalis SYJ Sofea, Mohd Rosdi Bahadon, serta golongan asnaf, dan anak-anak yatim di bawah jagaan PKCQM.
Persatuan tersebut turut berminat membantu Sekolah Kebangsaan Hulu Yam Baharu yang berusia 101 tahun. Sekolah berkenaan kekurangan dana untuk aktiviti kokurikulum, dan urusan pentadbiran.
Hasil kutipan jualan tiket ‘Konsert Amal Legenda 80-an’ akan disalurkan kepada mereka yang telah kami senaraikan sebagai Penerima Bantuan Tabung Cahaya Qasih.
Seramai 22 penyanyi akan menjayakan konsert tersebut. Malam pertama, 19 April 2019 yang dikendalikan oleh pelakon Abon sebagai pengacara, menampilkan Ibnor Riza, Dato’ Nassier Wahab, Dato’ Malek Ridzuan, Dato’ Nash, Shidee, Razis Ismail, Zaiton Sameon, Rohana Jalil, Sheila Amin, serta persembahan pembukaan dari artis program realiti TV, iaitu Sam Iskandar ‘Sinaran Passport Kegemilangan’, Rizal Ahmad ‘Bintang Klasik’, Seri ‘Kilauan Emas’, dan Isma ‘Akademi Fantasia’.
Penyanyi yang akan membuat persembahan pada malam kedua, 20 April 2019 pula ialah Zamree, Zur Eda, Siti Fairuz, Klthsom Kadir, Salwa Abdul Rahman, Azizul Khamis, serta Ibnor Riza, Nassier Wahab, Malek Ridzuan, dan Nash sekali lagi. Ramasundram dan Angeline Tan tampil sebagai pengacara.
Tiket ‘Konsert Amal Legenda 80-an’ berharga RM500, RM250, RM100, dan RM50 boleh ditempah sekarang di www.ilassoticket.com.
PKCQM turut mengalu-alukan kerjasama penaja untuk menaja konsert amal tersebut. Setiap penajaan akan mendapat potongan cukai penajaan bagi aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan yang telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia untuk tujuan menggalakkan penglibatan sektor swasta secara lebih aktif untuk menaja aktiviti kesenian ini.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi wakil PKCQM menerusi talian 019-4923312 atau 011-11600049, ataupun e-mel ke dkasih15@gmail.com.
Pada 14 Mac lalu telah berlangsung sidang media ‘Konsert Amal Legenda 80-an’ di Selasar Pualam, IB. Selain Ketua Pengarah IB, Dato’ Mohamed Juhari Shaarani, turut hadir ialah Timbalan Pengerusi PKCQM, Mazlan Sutan, dan Pengarah Projek/Biro Perhubungan Awam & Kebajikan PKCQM, Elyza Hj Mustafa.
Antara penyanyi legenda 80-an yang menghadiri majlis sidang media itu dan menyanyi termasuklah Ibno Riza (‘Mimpi yang Tak Sudah’), Nassier Wahab (‘Sekali Aku Jatuh Cinta’), Nash (‘Ku Di Halaman Rindu’), Malek Ridzuan (‘Kelip-kelip Kusangka Api’), Shidee (‘Semuanya Sudah Terlambat’), Razis Ismail (‘Mawar Bukan Milikku’), Zamree (‘Sendiri Kesepian’), Azizul Khamis (‘Namamu Di Hatiku’), Rohana Jalil (‘Rayuanku’), Zaiton Sameon (‘Menaruh Harapan’), Sheila Amin (‘Rambu Ramba’), Salwa Abdul Rahman (‘Satu Dua Kau’), Siti Fairuz (‘Bila Rindu Kusebut Namamu’), dan Klthsom Kadir (‘Ku Reda Sendiri’).
Sam Iskandar, Rizal Ahmad, Seri, dan Isma turut hadir dan mereka mendendangkan antara lagu popular era 80-an, ‘Dua Insan’, dan ‘Siapa Dia Sebelum Daku’.