SASTERA BUDAYA
CITRA POSITIF MAT JENIN
Menonton filem animasi, terutamanya
yang menampilkan kanak-kanak sebagai watak utama menuntut penonton ‘menjadi’
kanak-kanak juga . Jangan mengharapkan logik kerana antara unsur mesti dalam
filem animasi ialah perwatakan dan kejadian yang tidak masuk akal.
Watak tidak mati atau cedera parah biarpun
terbanting di sana-sini di sepanjang durasi, atau masih hidup walaupun sudah
hancur berkecai. Anggota tubuh yang terpisah boleh bercantum semula, malah hidup
semula setelah mati.
Jika ada penonton yang tiada ‘perasaan’
(feel) atau ‘jiwa bergetar’ ketika
menontonnya barangkali kerana dia masih meletakkan dirinya sebagai orang
dewasa. Mungkin juga oleh sebab momentum filem yang ditonton itu pantas.
Bukan terhadap filem animasi sahaja.
Filem live action atau lakonan
manusia biasa juga ada yang bersifat khayalan – berkait dengan logik, dan tidak
logik.
Memang karya manusia masih ada
kecacatan. Tiada yang sempurna. Hanya karya Allah SWT yang sedemikian. Walau
bagaimanapun, Upin & Ipin: Keris
Siamang Tunggal ialah karya manusia yang sangat hebat. Ia mengejutkan,
sekali gus mengagumkan, dan amat membanggakan. Saya seperti tidak percaya ia
hasil anak tempatan. Dari segi visual, ia boleh dianggap bertaraf filem animasi
Hollywood.
Begitu banyak kemajuan berbanding Upin & Ipin: Geng Pengembaraan Bermula
(2009) yang mengutip RM6.2 juta daripada kos RM4.7 juta (arahan Mohd Nizam
Abdul Razak).
Menonton Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bukan sahaja mengejutkan
saya dari segi visual, tetapi juga plotnya. Terdapat twist yang menarik. Saya memang tertanya-tanya selepas beberapa
lama watak Mat Jenin muncul. Mengapa banyak adegan melibatkannya dengan
perwatakan yang begitu kuat, sehingga Upin dan Ipin, serta rakan-rakan lain menjadi
seperti watak pembantu sahaja?
Akhirnya , jelas sekali filem animasi
yang danggap oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik sebagai
mengangkat kesusasteraan Melayu lama ini memberi interpretasi baharu terhadap
Mat Jenin. Ia memberi citra yang baik terhadap watak berkenaan.
Telah sekian lama/berturun-temurun Mat
Jenin dikenali sebagai orang yang hanya/banyak berangan-angan/berkhayal.
Inggeris telah memberi gambaran buruk terhadapnya. Dia dikatakan malas bekerja
dan asyik berangan-angan sehingga jatuh dari pokok kelapa, dan mati. Tamatlah
kisahnya di situ sahaja.
Walaupun ada sarjana/budayawan tanah
air yang cuba membela/membidas dengan mengatakan Mat Jenin bukan
berangan-angan, tetapi bercita-cita tinggi. tanggapan negatif yang dipupuk oleh
penjajah itu lebih kuat.
Dengan paras yang tampan, handal bertarung,
serta suka membantu dan sukakan kanak-kanak - melayani Upin dan Ipin, serta
rakan-rakannya, Jarjit, Mail, Ehsan Mei Mei, dan Susanti, rupa-rupanya dia
watak penting dalam Upin & Ipin:
Keris Siamang Tunggal.
Keris Siamang Tunggal disimpan oleh
datuk Upin dan Ipin, iaitu Tok Dalang. Walau bagaimanapun, di negara Inderaloka, Mat Jenin yang mampu menggunakannya dengan
baik, sehingga bertukar menjadi siamang raksasa menewaskan Raja Bersiong.
Mat Jenin rupa-rupanya ialah anak
raja dan pewaris takhta kerajaan Inderaloka. Dia berjaya menuntut bela kematian
ayahandanya di tangan Raja Bersiong. Ternyata dia bukan pemuda yang hanya
berangan-angan, tetapi pahlawan.
Filem tersebut membawa kisah
pengembaraan Upin dan Ipin bersama-sama rakan-rakan yang secara tidak sengaja ke
negara (kerajaan dongeng) Inderaloka. Mereka bertemu dengan pelbagai watak
dongeng popular seperti Bawang Merah, Bawang Putih, Pak Belalang, Belalang, Si
Tanggang dan ibunya, termasuk Batu Belah Batu Bertangkup selain Mat Jenin.
Penonton boleh menghimbau cerita
zaman kanak-kanak dan melihat cerita dongeng Nusantara tersebut dianimasikan
dengan perwatakan baharu. Keris diangkat sebagai tema utama cerita setelah
mendapat inspirasi daripada sebuah keris Melayu yang benar-benar wujud, dan
misteri, iaitu tidak berbilah. Ia ada nama, tetapi dalam cerita aimasi ini,
diberikan nama lain.
Batu Belah Batu Bertangkup walaupun
statik dalam filem ini, tetapi ia tetap penting, iaitu sebagai pintu ‘terowong
masa’ Upin dan Ipin serta rakan-rakan datang ke, dan meninggalkan Inderaloka.
Pak Belalang kurang menonjol meskipun
peranannya turut dipaparkan sedikit. Mungkin kerana watak utama ialah
kanak-kanak, jadi anaknya yang lebih ke depan lantaran bersama-sama dengan Upin
dan Ipin, serta rakan-rakannya. Apatah lagi dia mempunyai lastik yang pelurunya
‘bersakti’ menghalang serangan orang kanan Raja Bersiong.
Selain Mat Jenin, ada dua perkara
menarik yang boleh saya nyatakan. Pertama, tidak salah filem, termasuk animasi
diarahkan oleh lebih daripada seorang pengarah, apatah lagi jika hasilnya amat
baik. Upin & Ipin: Keris Siamang
Tunggal diarahkan oleh Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim,
dan Ahmad Razuri Roseli.
Adam berpengalaman mengarahkan siri Upin & Ipin, Syed Nurfaiz pula
pengarah siri Puteri, sementara Ahmad
Razuri, pengarah siri Pada Zaman Dahulu.
Kedua, bukan sahaja sejarah tanah air
perlu ditulis semula, kisah dongeng kepahlawanan/legenda Melayu juga
sedemikian.
Reviewed by Raja Yusoff
on
March 21, 2019
Rating: 5