SASTERA BUDAYA
KERJASAMA KRU, KIDZANIA LAHIRKAN ANIMATOR KANAK-KANAK
PADA 30 Mei 2019 lalu telah berlangsung majlis
Pengumuman Rakan Kongsi Industri Rasmi di antara KRU dengan KidZania Kuala
Lumpur di premis KidZania, Petaling Jaya, Selangor. Dengan laungan falsafah
‘Pelajari Kehidupan Hari Ini’, Studio Animasi KRU yang baharu di KidZania Kuala
Lumpur akan menggalakkan pendedahan awal, dan pembelajaran animasi dalam
kalangan kanak-kanak, serta memperkasakan mereka dengan kemahiran baharu untuk
masa hadapan.
Dalam majlis pengumuman kerjasama itu, KidZania
diwakili Datuk Bandar KidZania, Shahrul NizarAhmad, sementara Kumpulan Syarikat
KRU diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRU Entertainment,
Dato’ Norman Abdul Halim. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Hans Isaac, dan CEO
FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. Shahrul, Norman dan Hans turut menyampaikan
ucapan masing-masing.
Ini merupakan usaha KidZania Kuala Lumpur, sebuah
pusat pembelajaran dan hiburan tertutup, memperkenalkan satu tarikan baharu
kepada para pengunjung – sebuah studio animasi pembangunan terbaharu ini
direalisasikan menerusi jalinan kerjasama dengan Kumpulan Syarikat KRU.
Menurut Shahrul, KidZania teruja dengan penglibatan
pakar industri kreatif, Kumpulan Syarikat KRU bersama-samanya dalam misi
memperluaskan ilmu pengetahuan, memupuk nilai, dan membangunkan bakat
kanak-kanak.
Kanak-kanak generasi ini, tambah beliau, ialah
pengguna kandungan sejak kecil, sama ada menerusi televisyen, telefon pintar,
atau tablet. Oleh kerana kandungan dan teknologi akan menjadi teras kepada
kerjaya generasi akan datang, aspirasi mereka akan diperluaskan lagi, dan
menyediakan saluran untuk mereka bereksperimen lebih lanjut.
Tambah Shahrul, KidZania pasti kerjasama dengan
Kumpulan Syarikat KRU ini akan meningkatkan lagi pengalaman pembelajaran
mereka.
Dengan pembukaan Studio Animasi KRU, kanak-kanak
berpeluang untuk mempelajari proses penghasilan animasi dari mula sehingga
akhir. Antara aktiviti yang ditampilkan ialah penyediaan jalan cerita (storyline),
dan penghasilan suara latar (voice over) bagi watak-watak yang telah
dicipta.
Dato’ Norman pula menegaskan kerjasama yang
terjalin ini tepat pada masanya kerana industri penciptaan kandungan kreatif
telah menjalani evolusi, dan berkembang pesat. Kata beliau, KRU teruja untuk
berganding tenaga dengan KidZania Kuala Lumpur kerana ia memberi peluang kepada
pihaknya memberi sumbangan kepada industri dengan membentuk, dan mendidik
anak-anak muda.
Tambah Norman, kita tidak dapat menyangkal bahawa
kanak-kanak ialah antara pengguna kandungan yang terbesar, dan antara mereka
yang telah menjadi penghasil kandungan yang berjaya. Justeru, kata beliau,
kerjasama ini merupakan pakatan semula jadi, dan pihaknya akan berusaha
menjayakannya dengan menggabungkan pengetahuan, pengalaman, dan harta intelek
terbaharu KRU, iaitu ‘Zan Orangutan’, sebagai sebahagian daripada aktiviti
dalam penubuhan ini.
Untuk merasmikan kerjasama antara KidZania dengan
Kumpulan Syarikat KRU, Norman telah dipersembahkan dengan ‘Kunci ke Kota (Key
to the City), satu lambang penghormatan yang dianugerahkan oleh sebuah kota
kepada individu yang disanjungi.
Sementara itu, sumbangan kerjasama tersebut kepada
kemajuan industri kreatif turut ditekankan oleh Dato’ Hans. Kata beliau,
kerjasama ini ialah sebuah loncatan ke hadapan yang besar bagi masa hadapan
yang lebih cerah untuk seni kreatif seperti animasi, dan produksi negara.
Jelas Hans lagi, ia memberikan pendedahan awal
kepada anak-anak kecil, bukan sahaja dalam memupuk minat, malah memperkasakan
mereka dengan kemahiran yang boleh diasah untuk menghasilkan bakat-bakat yang
berkualiti untuk mendorong industri ke hadapan pada masa akan datang. Beliau
amat teruja untuk menyaksikan potensi, dan hasil yang hebat daripada kerjasama
ini.
Majlis tersebut turut dihadiri 40 kanak-kanak dari
Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Ruma Amal Kebajikan Asnaf Anak Yatim
yang dijemput oleh Kumpulan Syarikat KRU sebagai sebahagian daripada program
tanggungjawab sosial korporat atau CSR.
Sebelum majlis pengumuman tersebut, kanak-kanak
jemputan diberi peluang untuk merasai sendiri keunikan KidZania Kuala Lumpur
yang menawarkan pembelajaran interaktif, dan lakon peranan pekerjaan sebenar
dalam kota bersaiz kecil yang dilengkapi bangunan, ekonomi yang berfungsi,
destinasi terkenal dengan tajaan, dan penjenamaan dari syarikat tempatan, dan
multinasional.
Dalam majlis yang sama, kanak-kanak jemputan turut
menerima duit Raya, dan sumbangan penghargaan sebelum mereka menyertai tetamu
lain untuk berbuka puasa di KidZania Kuala Lumpur.
Kanak-kanak yang berminat mempelajari animasi
dengan lebih mendalam, Kumpulan Syarikat KRU menawarkan program AfterClass oleh
Akademi KRU, yang mensasarkan kanak-kanak prasekolah, dan pelajar tahap
permulaan, serta tahap lanjutan sekolah rendah.
Program AfterClass bertujuan meningkatkan
kesedaran, memupuk minat dan membina bakat dalam bidang seni, dan produksi
animasi dengan memberikan asas yang teguh untuk kreativiti, dan apresiasi seni.
Para peserta akan diberikan peluang luas untuk mengemukakan idea, imaginasi,
emosi, pemerhatian, dan pengalaman dalam prose pembelajaran mereka, seterusnya
membolehkan mereka mengecapi keriangan ekspresi artistik.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
Eisy Tan, Pengarah
Kanan Jenama
Telefon bimbit:
+6017 203 2959/03 7710 3288
Emel: eisy@gocomm.com.my
Lim Huei
Yuah, Pengurus Kanan Jenama
Telfon bimbit:
+012 635 3278/03 7710 3288
Emel: hueiyuih@gocomm.com.my
Awaina Arbee,
kidZania
Kuala Lumpur, Rakan Pemasaran
telefon
bimbit: +019 904 6139
Untuk
pertanyaan mengenai kerjasama korporat, sila hubungi:
Salehah
Zulkipli
KidZania
Kuala Lumpur, Rakan Perkongsian Korporat
Telefon bimbit:
+6013 431 4840
Reviewed by Raja Yusoff
on
May 31, 2019
Rating: 5