SASTERA BUDAYA
MATIC PROMOSIKAN KETUPAT, DODOL
BUKAN sahaja para pelancong asing, warga tempatan, terutamanya generasi muda
berpeluang melihat sendiri dan bersama-sama mencuba menyediakan bahan-bahan,
dan memasak juadah tradisional bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1440
Hijrah.
Pusat Pelancongan
Malaysia (Matic) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
terpanggil untuk mengetengahkan juadah tradisional. Dua juadah tradisional yang
terkenal, iaitu ketupat dan dodol menjadi pilihan Matic.
Aktiviti penyediaan
bahan-bahan dan memasak dua juadah tersebut diadakan buat pertama kali di Matic
pada 23 dan 24 Mei 2019 lalu. Menganyam ketupat dan memasak dodol itu diadakan bersempena
dengan Program Santai Ramadan@ Matic selama dua hari. Ia memberi peluang kepada
para pengunjung Matic untuk mencuba membuat sarung ketupat palas, dan ketupat
nasi.
Mereka turut
berpeluang melihat sendiri cara penyediaan bahan-bahan, serta cara memasak
resipi ketupat, dan mengambil masa sehingga empat lima jam untuk dimasak, tidak
termasuk proses membalut, serta menganyam daun ketupat.
Di samping ketupat,
demonstrasi penyediaan membuat dodol turut dilakukan secara gotong-royong yang
melibatkan Chef Selebriti yang kini turut berlakon, iaitu Chef Fikri, serta
rakan-rakan artis seperti Taufiq Hanafi (pelakon Paskal The Movie), Zarina Maharaja Lawak, rakan-rakan artis dari
Seniman, warga Matic yang terdiri daripada para penyewanya, pelajar Kolej
Vokasional Setapak sebagai sukarelawan, dan kakitangan Matic sendiri.
Pengarah
Matic, Rudy Irwan Shukaime menjelaskan, dua menu utama ini dipilih kerana ia masakan
tradisi wajib yang menjadi pilihan utama sewaktu menyambut Aidilfitri. Ia juga
bertujuan memberi pendedahan kerana masyarakat masa kini hanya tahu menikmati
juadah ketupat, dan dodol sewaktu musim perayaan. Namun begitu, kebanyakan mereka
tidak mengetahui cara penyediaannya.
Ia juga
dapat memberi malumat kepada pelancong asing mengenai keistimewaan juadah tradisi
yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia ini. Tidak ramai anggota
masyarakat yang tahu menyediakan, dan memasak juadah tradisi ini kerana agak
rumit, dan mengambil masa yang lama.
Usaha Matic ini
wajar dipuji kerana bertujuan memelihara, sekali gus mempromosikan ketupat dan
dodol kepada pelancong, serta masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda.
Aktiviti ini
juga turut memberi pendedahan, serta peluang kepada masyarakat Malaysia untuk
mempelajari cara-cara penyediaan juadah berkenaan agar tidak hilang ditelan
masa, dan kekal diwarisi masyarakat Malaysia.
Boleh
dianggap sebagai berita baik, Matic bercadang untuk mengadakan aktiviti sebegini
setiap tahun pada Ramadan.
No comments: