FILEM
Fast & Furious Ilhamkan Filem Tempatan Termahal
THE CATCHER
PADA 2004, dunia perfileman tanah air digemparkan dengan kos penerbitan sebanyak RM20 juta
untuk filem epik sejarah, Puteri Gunung
Ledang (PGL).
PGL, arahan Saw Teong Hin, diterbitkan oleh EnfiniTi
Productions Sdn Bhd, milik Puan Sri Tiara Jacquelina dengan barisan pelakon utamanya Datuk M Nasir,
Adlin Aman Ramlie, Sofia Jane, Datuk Rahim Razali, Khir Rahman, dan Tiara
sendiri sebagai Puteri Gunung Ledang.
Tidak lama lagi khabarnya akan muncul sebuah filem yang
menelan kos lebih besar, iaitu The
Catcher. Filem bercorak perlumbaan
kereta yang merupakan kolaborasi Labuan Overseas Holding Berhad dan Robotz, serta diterbitkan oleh
Hudred Years Popcorn Production Sdn Bhd ini menelan kos lebih RM50 juta.
Selain bakal menjadi filem tempatan dengan kos terbesar setakat ini, The Catcher juga dijangka memecahkan
beberapa rekod dalam dan luar negara bersama-sama
hasrat merancakkan semula industri pelancongan di Malaysia yang tenat dipukul oleh
badai COVID-19, sekali gus membantu ekonomi negara.
Walaupun tidak bertujuan mencipta rekod seperti yang
disebutkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Overseas Holding Berhad,
Burhanudin Mohd Yusoff, tetapi The
Catcher memang menuju ke arah itu.
Menurut Burhanudin, meskipun Labuan Overseas Holding Berhad
telah banyak melabur dalam projek-projek tempatan dan antarabangsa, tetapi
penerbitan filem The Catcher amat
istimewa baginya.
Tambah Burhanudin, pihaknya menyokong projek penerbitan
filem ini bukan hanya kerana ia akan memecahkan rekod, tetapi disebabkan nilai
tambahnya yang berpotensi menarik pelabur-pelabur baharu.
Burhanudin menyatakan sedemikian semasa majlis pelancaran The Catcher di sebuah pusat beli-belah
terkemuka di Subang Jaya pada 3 Oktober lalu.
The Catcher,
katanya lagi, mampu membuka mata banyak pihak, terutamanya para pelabur
berkapasiti tinggi bagi Labuan Overseas Holding Berhad, lantas tidak keberatan
untuk melabur.
Turut hadir termasuklah pengasas Robotz, Dato’ Sri Jeffrey
Teoh; penasihat automobil, Joe Lim; Pengerusi Persatuan Perkembangan Bakat
Malaysia China, Dato’ Sri Dr Chong Chin Fung; pelakon dan penerbit tempatan,
Dato’ Nancy Foo; atlet sukan permotoran tempatan, Leona Chin, dan semestinya
pengasas Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd, Ong Peng Chu.
Tegas Burhanudin, lantaran teruja dengan pelancaran The Catcher, pihaknya akan melangkah ke
hadapan untuk kemajuan perniagaan, serta menarik peluang pelaburan untuk
industri berkaitan kenderaan, secara langsung atau tidak langsung demi
memulihkan ekonomi Malaysia.
Jelas Ong pula, Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd akan
menggunakan kelebihan dan kelainan jenama tertentu, serta nilai sejarahnya
untuk membangunkan harta intelek dengan pengiktirafan bernilai tinggi,
berdasarkan prestasi jenama kereta lumba
yang boleh diubah kepada hotel, bandar raya auto, stesen petrol, taman tema,
dan sebagainya yang jenama berlesen.
Sehubungan dengan matlamat kemajuan pelancongan, sebahagian
daripada The Catcher, tambah Ong,
akan menjalani penggambaran di teluk Port Dickson. Ia tidak akan hanya
merangsang pasaran industri filem, tetapi turut mempromosi kegiatannya yang
berfaedah seperti pembinaan Studio Teluk Port Dickson yang mampu memajukan
industri pelancongan, runcit dan makanan/minuman, perladangan dan hartanah,
serta automobil, dan sebagainya.
Kereta mewah, kata Jeffrey, disukai semua orang tanpa
mengira taraf atau latar belakang kehidupan. Sebagai penggila kereta mewah,
tambah beliau, semua individu di Robotz sentiasa terilham oleh kejayaan besar
francais filem lakonan Vin Diesel, dan Paul Walker, Fast & Furious.
Robotz, tambah Jeffrey, berharap dapat mengikut jejak filem berkenaan.
Penglibatan Robotz dalam mencipta sejarah dengan penghasilan filem termahal
ini, kata beliau, menceria dan membanggakan setiap warganya.
Joe atau nama sebenarnya, Joe Hun Beng Lim, mempunyai
kepakaran serta pengalaman luas dalam aspek kejuruteraan dan teknikal
permotoran. Beliau juga bertanggungjawab memperkenal sukan permotoran di China
yang kini merupakan pasaran kereta terbesar di dunia.
Sebagai Timbalan Pengerusi dan Pengurus Besar Zuhai
International Circuit Ltd, Joe menyedari apa yang kita lakukan di China adalah mencari
pengaruh pemangkinan dalam pasaran, dan persepsi kereta di negara ini.
Dengan pengenalan siri tahap-masuk FIA, dan mengangkat ke
tahap atas Grand Prix Formula 1 di Shanghai, kejayaan sukan permotoran sebagai
model dicapai dengan cepat dan jelas.
Pada tahap ini, tambah Joe, beliau melihat potensi, iaitu
dari permulaan industri kereta, dan memimpin pembangunan kereta untuk pasaran
China.
Dengan perkara-perkara ini, The Catcher boleh menjadi pemangkin untuk menggalakkan minat dalam
pembangunan permotoran, dan industri sukan permotoran yang pelbagai. Justeru,
Joe sedia berkongsi idea untuk membangunkan tiga sektor utama dengan nasihat bagi
jenama baharu yang dinamakan ‘Penambahan’, iaitu:
-
Zon
Penambahan terletak di Kota Revo. Di sana, penukaran dan pengubahsuaian ke
atas kenderaan bermotor dilakukan. Ia terletak di OneCity Mall, Subang Jaya.
-
Stesen
Penambahan, yang mungkin stesen mengecas EV Moden yang juga produk
petroleum/gas. Yang pertama ada di Cyberjaya, dengan kedudukannya sebagai hab teknologi
untuk menunjukkan sokongan akan datang terhadap industri EV di Malaysia.
-
Kota
Automotif Penambahan, di mana
terdapat trek lumba kereta pecut, termasuk Zon Penambahan untuk pengubahsuaian
kenderaan bermotor, yang turut merangkumi kemudahan hotel/resort. Kesemuanya
dirancang akan dibina di Gurun, Kedah.
Selaras dengan kenyataan Joe ini, The Catcher akan turut menjalani penggambaran di kota bertema
automotif (yang akan dimajukan) seluas kira-kira 3,000 ekar, dengan kerjasama
agensi pelaburan Kerajaan Negeri Kedah, iaitu Invest Kedah Berhad.
Kota tersebut akan menempatlkan hotel berjenama kereta sukan
yang terkenal, lumba kereta pecut dan lumba Formula 3/GT/EV (Formula E), khidmat
penambahan pengubahsuaian kenderaan, akademi latihan pemanduan selamat-pantas yang
diiktiraf, dan kolej kejuruteraan automotif.
Terletak di Gurun, kota bertema automotif itu akan menjadi
hab pelancongan bagi para penggemar kereta mewah untuk menambah baik kenderaan
mereka, sambil mengagumi kereta mewah hebat yang lain.
Selain sebagai hab pelancongan, ia juga akan menjadi lokasi
idaman bagi penerbit filem antarabangsa menerbitkan filem penuh aksi lasak.
Kota bertema tersebut akan menjadi lokasi filem rasmi bagi siri televisyen
antarabangsa, dan filem cereka, yang berkaitan dengan francais The Catcher.
Dengan bajet lebih RM50 juta, The Catcher memaparkan gaya hidup dan budaya penggemar
pengubahsuaian kereta di Malaysia. Ia membawa kisah seorang pemuda kampung yang
berbakat, dan bekerja keras mengatasi cabaran di seluruh dunia dengan prestasi
hebat dalam pengubahsuaian kereta mewah.
Selari dengan bajet terbesar setakat ini, The Catcher turut memecahkan rekod dunia
apabila menampilkan 500 kereta mewah. Kesemuanya merupakan ahli Robotz Car
Club, yang turut membiayai penerbitan The
Catcher.
Dalam majlis pelancaran The
Catcher itu juga, Labuan Overseas Holding Berhad turut menandatangi jumlah
tambahan sebanyak RM2 juta bagi permulaan filem berkenaan.
Skrip atau lakon layar The
Catcher dan para pelakonnya akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Penggambarannya
dijangka dimulakan pada 2022, dan siap pada 2023.