TUJUH CERITA NABI SAJIAN NURFLIX
NURFLIX, platform
penstriman video kandungan Islamik dan patuh Syariah menerusi segmen Nurflix
Junior bakal menyajikan cerita-cerita animasi kenabian mulai Ogos ini.
Penerbit Eksekutif Nurflix Junior,
Diana Amir memberitahu, cerita-cerita animasi yang dibawa khas dari Turki itu
merangkumi tujuh penceritaan dengan 330 episod yang ditayangkan dalam dua
versi, iaitu Arab dan terjemahan serta bahasa Melayu.
Antara tujuh kisah yang akan
disampaikan kepada khalayak antaranya ialah cerita Habibullah (Muhammad SAW),
Khalilullah (Ibrahim Alaihissalam), Kalimullah (Musa Alaihissalam), Nuh
Alaihissalam, Sulaiman Alaihissalam dan Adam Alaihissalam.
“Pada fasa pertama, cerita-cerita
ini ditayangkan dalam bahasa Arab dengan sari kata bahasa Melayu dan Inggeris.
Pada fasa kedua pula, kesemuanya ditayangkan dalam versi alih bahasa ke bahasa
Melayu,” jelas Diana.
“Cerita-cerita yang disajikan ini
disemak dengan terperinci di Turki, dan mematuhi Syariah serta bersesuaian
dengan tontonan ramai,” tambah Diana yang juga pernah terkenal sebagai pelakon
drama televisyen tanah air tidak lama dahulu.
“Majlis para asatizah kami yang dikenali
sebagai Nurpath juga telah mula menyemak kandungan ketujuh-tujuh cerita animasi
yang dibawa dari Turki ini. Alhamdulillah, setakat ini cerita-cerita animasi tersebut
menepati ciri yang ditetapkan sebelum dipertonton kepada orang ramai,” katanya
lagi.
Walau bagaimanapun, tambah Diana,
berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3.0, proses pengalihan
bahasa itu terpaksa dihentikan.
Menurut Diana, sebelum ini, Nurflix adalah
Nurkids yang mensasarkan kanak-kanak di bawah 14 tahun. Namun demikian, selepas
perbincangan, belia di bawah 21 tahun turut memerlukan kandungan bermanfaat
seperti ini, lalu platform tersebut ditukarkan kepada Nurflix JR.
“Tentunya kita mahukan tontonan yang
terbaik untuk kanak-kanak agar mereka membesar dengan nilai-nilai Islam,” ujar
Diana lagi, sambil menjelaskan semua bahan tontonan Nurflix selamat ditonton.
Turut memberi penjelasan mengenai
perjalanan Nurflix dan Nurflix JR adalah Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix, Syah Mohamed.
Menurut Syah, setakat ini Nurflix
telah menerima sambutan positif dengan jumlah langganan yang menggalakkan.
“Kami berjaya merekodkan antara
22,000 sehingga 23,000 jumlah langganan secara percuma. Mereka yang mengikuti
kandungan kami secara berbayar (langganan sepanjang hayat) pula sekitar 10
peratus,” katanya.
“Insya-Allah, kemungkinan besar
Nurflix akan melancarkan langganan secara berbayar sepenuhnya pada sekitar
Januari 2022 apabila jumlah kandungan kami mencecah angka 1,000,” jelas Syah.
Nurflix kini dalam perbincangan
dengan platform penstriman Islamik seluruh dunia bagi membina gabungan
kerjasama penyebaran kandungan media yang sopan dan bermanfaat untuk generasi.
“Kemasukan kandungan luar ke dalam Nurflix
bakal memberi pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor pascaproduksi, terjemahan
kandungan, dan alih bahasa. Inisiatif ini juga dibuat agar khalayak akan dapat
terus menikmati kandungan patuh syariah dalam, dan luar negara yang disajikan,”
kata Syah lagi.
Aplikasi Nurflix boleh dicapai melalui
laman web http://nurflix.tv, Apple Appstore dan Google Playstore.
XMA Header Image