SAJAK
SILAP DAN KELIRU ITU…
sastera itu
kata mereka
hanya cerpen
hanya puisi
cerpen itu
kata mereka
hanya cerita
tidak bererti
puisi itu
kata mereka
hanya
ciptaan suka sendiri
novel penat
untuk dibaca
tidak
seperti majalah hiburan
sastera itu
kata mereka
khayalan dan
dongengan
teater itu
kata mereka
hanya untuk tontonan
bukan perkara
berguna
tidak membina
kebendaan
budaya itu
kata mereka
hanya tarian
hanya nyanyian
tarian itu
kata mereka
seronok
ceria dengan hiburan
nyanyian itu
kata mereka
disukai
ramai zaman-berzaman
kata mereka
lagu untuk
berlibur
tidak perlu
berpesan-pesan
kata mereka
sampai bila
begini
salah tafsir
sampai bila
begini
salah tadbir
sampai bila
begini
silap dan
keliru
sampai bila
begini
tidak mahu tidak
tahu
cerpen itu
cerita pendek
tetapi
panjang falsafah nasihat
puisi moden
puisi lama
ada pemikiran
ada pesanan
novel memang
panjang
tetapi bukan
karya sumbang
teater bukan
sekadar tontonan
ada teladan ada
saranan
lirik lagu
itu sastera
bukan cuma
pelengkap irama
tanpanya
tiada lagu
irama kurang
merdu
lagu puisi
juga sastera
biarpun
kurang ternama
bait puisi kurang
diminati
lirik lagu
ramai ikuti
sampai bila
begini
salah tafsir
sampai bila
begini
salah tadbir
sampai bila
begini
silap dan
keliru
sampai bila
begini
tidak tahu tidak
mahu
membiasakan
yang salah
menyalahkan
yang betul
mengangkat
yang salah
memijak yang
betul
melintas
dengan hormat
itu juga
budaya
bangun subuh
solat
ia juga
budaya
tidak ‘tumbuk
rusuk’
ia juga
budaya
makan mesra
sekeluarga
itu juga
budaya
saling kita bermaafan
itu juga
budaya
ikhlas pabila
memberi
ia juga
budaya
ada lagi
banyak lagi
yang
seumpama yang serupa
amat
dituntut amat didamba
biarpun
tidak semudah diucapkan
asal
berkumpul suka ‘membawang’
memotong
barisan dalam urusan
berjanji
awal tetapi lewat
melanggar
lampu isyarat
melanggar
peraturan awam
memandu
melebihi batas kelajuan
dan banyak
lagi yang seumpama
semuanya tidak
diingini
dalam sedar
luar sedar
kita
bersastera setiap hari
luar sedar
dalam sedar
kita
berbudaya saban hari
membiasakan
yang betul
membetulkan
yang biasa
RAJA YUSOF ARIFFIN
Petaling
Jaya