SASTERA BUDAYA

 

Ramai pandang remeh sendi kata

 

ADA tokoh kebahasaan negara mengatakan hanya dalam urusan dan surat rasmi sahaja kita rakyat Malaysia mesti/perlu menggunakan bahasa Melayu yang tepat/betul. Benarkah begitu? Kalau tidak, adakah kita boleh berbahasa apa pun, atau dalam bahasa Melayu pasar, bercampur-aduk/rojak, dan lintang-pukang?

Menurut tokoh itu, Prof Dr Abdullah Hassan, penggunaan bahasa Melayu standard hanya dalam urusan dan surat rasmi sahaja. Kalau dalam urusan biasa seharian/tidak rasmi, kata Dr Abdullah, boleh ada kelonggaran.

Walau bagaimanapun, saya pasti Dr Abdullah mahu semua rakyat Malaysia bertutur dalam bahasa Melayu penuh, meskipun tidak teratur, dan bukan bahasa Melayu bercampur-aduk, atau bahasa rojak.

Saya fikir, memang lebih baik kalau kita rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu

yang tepat/betul dalam semua urusan. Itu tanda kita memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan. Meskipun diberikan ‘kelonggaran’, tidak salah jika ada antara kita yang masih mahu bertegas. Itu lebih menunjukkan keprihatinan, dan semangat kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

Berdasarkan pemerhatian saya (atau ramai yang lain juga), kesalahan lazim yang sering dilakukan ialah dalam penggunaan ‘di’, ‘dari’, dan ‘daripada’.

Ia susah dan mengelirukan? Jika benar-benar minat dan prihatin, ia masalah kecil sahaja. Kita tidak akan keliru.

Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu/keliru dengan ‘di’ didekatkan dan

‘di’ dijauhkan. Justeru, ramai yang menulis atau banyak perkataan pada papan tanda seperti ‘Rumah Untuk Di Jual’, ‘Disini Ada Permaidani’, ‘Kereta Sewa Disini’, dan ‘Santan Di Jual Disini’.

Padahal yang sepatutnya ditulis ialah ‘Rumah untuk Dijual’, ‘Di Sini Ada Permaidani’, ‘Kereta Sewa di Sini’, dan ‘Santan Dijual di Sini’.

Masih ada dan saya fikir terlalu ramai yang tidak tahu, malah tidak menghiraukan ‘di’ didekatkan atau ‘di’ dijauhkan itu. Mereka tidak tahu/tidak peduli apa alasan ‘di’

didekatkan, dan ‘di’ dijauhkan.

Ingin dimaklumkan kepada yang belum/tidak tahu, dan pengulangan untuk yang telah

mengetahui, ‘di’ didekatkan hanya untuk perbuatan sahaja – ‘bangun kena buat’.

Contohnya, ‘dijual’, ‘dibeli’, ‘dimasak’, ‘dimakan’, ‘ditulis’, ‘dibaca’, ‘dilukis’, ‘diambil’, ‘dikirimkan’, ‘disampaikan’, dan ‘dipandu’.

‘Di’ dijauhkan pula menandakan arah, dan kedudukan atau lokasi/tempat berada sahaja. Beberapa contoh termasuklah ‘di atas’, ‘di bawah’, ‘di hadapan’, ‘di belakang’, ‘di kanan’, ‘di kiri’, ‘di dalam’, dan ‘di luar’.

Lebih malang apabila ramai juga yang menulis atau menyebut ‘kat’ dan/atau ‘dekat’,

bukan menggunakan ‘di’. Mereka tidak tahu ‘kat’ itu berasal/kependekan daripada

perkataan ‘dekat’ yang bermaksud ‘hampir’? ‘Hampir’ bukanlah kedudukan yang tepat,

sebaliknya terletak berdekatan atau berhampiran sahaja. Justeru, yang mana lebih betul?

‘Di’ yang lebih betul. Belum lagi yang menggunakan @ atau ‘at’.

‘Kat’ atau ‘dekat’ selalunya disebut secara lisan, atau ketika berbual. Perkara tersebut telah menjadi kebiasaan sejak sekian lama. Perkara yang salah/songsang memang telah

menjadi kebiasaan, atau dibiasakan dalam/oleh masyarakat negara kita.

Antara ‘dari’ dengan ‘daripada’ juga mengelirukan ramai orang/pengguna bahasa Melayu. Memang ramai juga yang tidak tahu dan tidak peduli. Bagi mereka, yang penting ialah orang ramai/rakan faham apa yang dimaksudkan.

Bukan sahaja dalam tulisan. Perbualan atau ucapan rasmi/tidak rasmi juga selalu menyebut ‘daripada’ untuk yang sepatutnya ‘dari’. Terlalu sukar untuk membezakannya?

Sebenarnya, tidak susah meskipun ia bergantung pada daya ingatan, dan daya kefahaman.

Untuk peringatan juga kepada mereka yang memang mengetahui, dan memberitahu

mereka yang belum tahu/keliru, ‘dari’ hanya digunakan untuk arah atau kedudukan

tempat sahaja.

Contohnya, ‘Penyanyi terkenal tanah air, Dato’ Sri Siti Nurhaliza berasal dari

Pahang.’, ‘Budak itu datang dari keluarga yang porak-peranda.’, dan ‘Suara

menyeramkan itu datang dari dalam belukar di sana’, dan ‘Ahmad telah bekerja dari jam

8.00 pagi tadi tanpa rehat.’

‘Daripada’ pula untuk pemberian manusia, atau bahan yang diambil dalam sesuatu

sumber seperti buku, artikel, lirik, atau bahan rujukan, dan sebagai perbandingan

sifat/sikap manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan ciptaan (makanan, minuman,

peralatan, bangunan, kenderaan, dan sebagainya).

Contohnya, ‘Makanan enak itu diperbuat daripada beras pulut, santan kelapa, gula,

dan garam’, ‘Kata-kata itu dipetik daripada novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur,

karya Sasterawan Negara Allahyarham Keris Mas.’, dan ‘Para pelakon filem itu terdiri

daripada bintang filem yang berpengalaman luas.’.

Dalam perbandingan sifat/sikap pula, lihat beberapa contoh seperti ‘Tubuh si adik lebih

besar daripada tubuh si kakak.’, ‘Pasukan Thailand berada di kedudukan yang lebih baik

daripada pasukan Malaysia.’, ‘Kuih yang dibuat oleh kakak saya lebih lazat daripada

kuih yang dibeli.’, ‘Nada suara penyanyi wanita lebih tinggi daripada nada suara

penyanyi lelaki.’, dan ‘Kereta merah itu lebih mahal daripada kereta hijau ini.’

No comments:

Powered by Blogger.