SASTERA BUDAYA
JAMBATAN ANCOL
SELEPAS 47 TAHUN
Si Manis Jembatan Ancol (SMJA) yang diterbitkan pada 2019
ini dikatakan pembikinan semula filem berjudul serupa pada 1973, arahan Turino
Djunaedy yang turut menulis lakon layarnya, dan sebagai penerbit. Saya hanya
pernah mendengar judul filem ini, tetapi tidak menontonnya.
Di
Indonesia, filem ini ditayangkan mulai 26 Disember 2019. Ia satu-satunya filem Indonesia
yang ditayangkan hanya seminggu sahaja di pawagam, berbanding Dilan 1991, 27 Steps of May, dan Down Swan
pada tahun yang sama. Di Malaysia, tayangannya bermula pada 30 Januari 2020
lalu.
SMJA karya
terbaharu Anggy Umbara yang pernah mengarahkan beberapa filem seram yang meraih
kejayaan seperti Suzanna: Bernafas dalam
Kubur (2018), dan Satu Suro
(2019).
Oleh sebab tidak
menonton versi 1973, kurang adil untuk saya membuat perbandingan dalam aspek
persembahan. Mereka yang menonton versi 1973 dan 2019 (mungkin) dapat melihat
perbezaan dengan jelas, dan menilai yang mana lebih baik.
Walau bagaimanapun,
disebabkan bukan sahaja arahan, malah cerita/lakon layarnya oleh Anggy Umbara,
tentulah terdapat perbezaan. Meskipun saya berpendapat SMJA versi 2019 ialah
adaptasi versi 1973, bukan pembikinan semula, ia sebenarnya reboot filem versi 1973, yang dibintangi
Lenny Marlina, Farouk Afero, Mansjur Sjah, Kris Biantoro, Nadia Giovanna, Us
Us, Syamsuddin Syafei, Simon PS, Etty Sumiati, Effendy, dan Ferry Nick Paulu.
Versi 1973
membawa kisah H. Acim (Mansjur Sjah) yang sakit kuat mahu anaknya, Mariah
(Lenny Marlina) mendirikan rumah tangga. Meskipun sedang bercinta dengan John (Farouk
Afero), seorang indo, tetapi untuk menggembirakan ayahnya yang ingin melihat
calon menantu, Mariah memperkenalkan Husin (Kris Biantoro), tukang sado, kerana
ketika datang ke rumah John, Mariah dihalau oleh ayah John, dan Husin mahu
membantunya.
Disebabkan semua
dianggap sudah bersedia, Acim segera mengahwinkan Mariah dengan Husin. Walaupun
keduanya terkejut, tetapi majlis pernikahan tetap dilangsungkan setelah Mariah
memberi isyarat pada Husin agar berpura-pura sahaja.
Acim sembuh.
Husin benar-benar mencintai Mariah. Oleh sebab itu, John marah, dan menggunakan
kekuasaan ayahnya untuk menangkap Husin. Mariah yang merasa bersalah juga,
melarikan diri, tetapi kemudian diculik oleh penjahat.
Mariah dianggap
sudah mati dan mayatnya hanyut di Sungai Ancol. Sewaktu majlis
tahlil,
Mariah muncul dan mengejutkan semua orang. Dia kemudian muncul di sekitar
Sungai Ancol,
terutama ketika bulan mengambang. Mariah terus dianggap sebagai penunggu sungai
itu, seperti yang dipercayai masyarakat. Kisah dongeng ini diwarisi turun-temurun
secara lisan di daerah Betawi (kini Jakarta).
SMJA versi 2019 membawa cerita rakyat
mengenai Maryam (Indah Permatasari) yang dibunuh oleh suaminya sendiri di jambatan
Ancol, Jakarta. Kisah bermula apabila Maryam menghadapi konflik rumah tangga
dengan suaminya, Roy (Arifin Putra). Sikap posesif Roy menyebabkan Maryam tidak
bahagia. Roy bersikap melampau, mudah sangsi, dan dingin.
Roy dengan
keras mengatakan kepada Maryam bahawa isteri harus memberikan
sumbangan
yang lebih, bukan tidak berguna. Justeru, rumah tangga mereka di ambang
kehancuran.
Di tengah-tengah
permasalahan rumah tangga itu, Roy dibebani hutang besar. Si
peminjam
wang/‘lintah darat’ mahu Roy memberikan Maryam sebagai cagaran. Persengketaan
Roy-Maryam semakin parah, dan perkahwinan mereka berdepan risiko bercerai.
Maryam yang
berduka akibat konflik tersebut, bertemu dan berkenalan dengan seorang pelukis,
Yudha (Randy Pangalila). Sosok Yudha yang baru dikenalinya, membuat Maryam sedikit
tenang. Keduanya semakin mesra seperti hubungan sepasang kekasih.
Maryam
bertanya kepada Yudha apa yang membuat seseorang benar-benar bahagia.
Pertanyaan itu dijawab oleh Yudha dengan menyebut cinta. Itu menenangkan
perasaan Maryam.
Walau bagaimanapun,
tanpa disangka-sangka, keintiman itu menjadi malapetaka bagi rumah tangga
Maryam dan Roy yang memang sudah di ambang kehancuran. Roy menuduh Maryam curang,
dan menjalin asmara dengan Yudha di belakangnya.
Di tengah-tengah
konflik rumah tangga dan bibit cinta tiga segi, Maryam mati dibunuh oleh
sekumpulan lelaki jahat gara-gara masalah suaminya. Kematian wanita yang
sentiasa berselendang merah itu kemudian menjadi buah mulut masyarakat ekoran
arwah penasaran. Maryam kerap muncul dan menakutkan mereka.
Namun begitu,
saya kecewa pada akhirnya meskipun permulaan filem ini menarik, dan menjanjikan.
Saya fikir lebih baik dikekalkan Maryam tampil/sebagai ‘hantu berbaju merah’
membalas dendam kerana itu tidak menghiraukan logik atau sebaliknya, daripada
dia sebenarnya masih hidup, dan menuntut bela mengikut undang-undang sendiri.
Kemunculan Maryam
dengan gaya hantu yang pada fikiran saya memerlukan bantuan ‘kesan khas’,
seperti kakinya kelihatan tidak menyentuh tanah, ada dan tiada sekelip mata,
serta menyelinap masuk ke rumah tanpa disedari menghairankan.
Kalau dalam
mimpi Yudha dan Roy - agak kerap pula adegan mimpi dipaparkan - tidak mengapa
kerana ia mainan tidur yang boleh mewujudkan apa sahaja. Disebabkan masih hidup
dan membalas dendam dengan cara sendiri, Maryam telah menjadi pembunuh. Walau
bagaimanapun, dia terlepas hukuman dunia kerana mati dibunuh oleh Roy, suaminya
sendiri (yang mahu menyelamatkan keluarganya yang terancam kerana dia berhutang
dengan ‘lintah darah’, dan marah pada Maryam yang mencintai Yudha – meluru
kepada pelukis itu yang jatuh selepas dipukul oleh anak buah ‘lintah darat’.
Saya juga
tidak gembira dengan paparan adegan terakhir. Kenapa pula Oji (Ozy Syahputra), ‘lintah
darat’ yang meminjamkan wang kepada Roy muncul sebagai hantu menyamar menjadi
pengayuh beca mengganggu seorang gadis? Dia memang wajar mati dibunuh oleh
Maryam, tetapi mengapa dimunculkan sebagai hantu? Selain klise, hal tersebut juga
ganjil.
Ada unsur
komik menerusi watak pemuda bodoh-bodoh alang, Ucup (Anyun Cadel); pemilik warung
(Arief Didu), dan gadis lanjut usia, Sri. Barangkali mereka ditampilkan kerana
pembikin masih terbawa-bawa dengan cara meredakan ketegangan seperti dalam banyak
filem sebelumnya. Namun begitu, mood filem
ini tidak terlalu tegang.
Mungkin disebabkan
perkara-perkara yang dibincangkan tadi SMJA kurang mendapat sambutan. Walau
bagaimanapun, saya percaya semua filem tetap menyampaikan pesan berguna tanpa
mengira mantap atau tidak, genre dan para pelakonnya, serta mendapat sambutan
hangat, atau gagal di pasaran.
Menerusi
watak Roy, para usahawan Islam diingatkan agar jangan memberi rasuah untuk
mendapat projek, sebaliknya berniaga mengikut syariat Islam, serta usah meminjam
wang daripada ‘lintah darat’, dan suami jangan mengabaikan isteri.
Menerusi
watak Yudha pula, lelaki bujang tanpa mengira kerjaya, diberi pesanan
agar tidak
cuba menjalinkan hubungan intim dengan isteri orang.
Reviewed by Raja Yusoff
on
January 23, 2020
Rating: 5