
SENI
Pangkor Sebagai ‘Makmal
Hidup’ melalui Rentas Seni, Sains dan Ekologi
FESTIVAL Seni Pangkor 2026
(FSP 2026) dianjurkan dengan mengangkat tema ‘Getaran Ombak: Pertemuan Seni dan
Sains’, sebuah inisiatif seni kontemporari yang meneliti hubungan dinamik
antara ekspresi artistik, pengetahuan saintifik dengan ekosistem alam sekitar.
Berlangsung dari
14 November hingga 31 Disember 2026, festival ini menjadikan Pulau Pangkor
sebagai medan pertemuan pelbagai disiplin yang menghubungkan seni visual,
sains, teknologi, budaya maritim, dan kesedaran ekologi.
Berteraskan
pemahaman bahawa seni dan sains merupakan dua bidang pengetahuan yang saling
melengkapi dalam mentafsir fenomena kehidupan, FSP 2026 meneroka alam maritim sebagai
sumber inspirasi, penyelidikan dan penghasilan karya.
Laut, ombak,
pesisir pantai serta biodiversiti marin bukan sekadar elemen landskap semula
jadi, sebaliknya ditanggapi sebagai sistem ekologi kompleks yang mempunyai
hubungan erat dengan kehidupan sosial, ekonomi, budaya dan kelangsungan
komuniti kepulauan.
Tema ‘Getaran
Ombak: Pertemuan Seni dan Sains’ turut mencerminkan usaha memperluas wacana
seni kontemporari melalui pendekatan interdisiplin. Persoalan berkaitan
perubahan iklim, pencemaran marin, kemerosotan biodiversiti, penggunaan sumber
semula jadi, dan kelestarian persekitaran pesisir diterjemahkan melalui
pelbagai pendekatan artistik, termasuk arca awam, instalasi, fotografi, seni
media baharu, persembahan dan eksperimentasi bahan.
Melalui pendekatan
ini, karya seni berfungsi bukan sahaja sebagai medium representasi visual, tetapi
juga sebagai instrumen pemerhatian, penyelidikan dan komunikasi terhadap
isu-isu alam sekitar.
Penganjuran
festival julung kali ini juga mempunyai kepentingan strategik dalam memperkukuh
kedudukan Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan budaya, dan kreatif,
khususnya bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.
Dengan
memanfaatkan keunikan landskap kepulauan, warisan maritim dan identiti komuniti
setempat, Festival Seni Pangkor berhasrat memperkenal satu pengalaman
pelancongan yang menggabungkan apresiasi seni, penerokaan ilmu, interaksi sosial
dengan pemahaman terhadap kelestarian alam.
FSP 2026 akan
berlangsung di beberapa lokasi terpilih di sekitar Pulau Pangkor, sekali gus mentransformasikan
ruang awam, dan persekitaran semula jadi sebagai makmal hidup, atau sebuah
jaringan ruang pameran terbuka.
Pendekatan ini
memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengalami karya seni dalam konteks
persekitaran sebenar, di samping menggalakkan pelibatan komuniti tempatan dalam
pembangunan ekosistem seni, dan pelancongan kreatif.
Sdr Faizal Sidik.
Majlis Perasmian
FSP 2026 akan berlangsung pada 14 November 2026 di Galeri Pangkor, Pangkor, yang
bakal menjadi titik permulaan kepada rangkaian program dan pameran yang
berlangsung di sepanjang tempoh festival, selain menandakan komitmen bersama
dalam memperkukuh hubungan antara seni, sains, kebudayaan, pelancongan dengan
pemuliharaan alam sekitar.
FSP 2026
dianjurkan oleh Persatuan Citra Rupa Malaysia (PERCIKAN), dengan sokongan
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta kerjasama Majlis
Perbandaran Manjung melalui Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai Pangkor. Ia diarahkan
secara artistik oleh Nasir Baharuddin, dan Faizal Sidik.
Melalui
penganjuran ini, FSP 2026 beraspirasi menjadikan seni sebagai wahana pemikiran
kritis, dan kesedaran ekologi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan budaya
kreatif yang lebih lestari. ‘Getaran Ombak’ bukan sekadar merujuk kepada
fenomena fizikal lautan, tetapi turut membawa metafora tentang perubahan,
kesinambungan dan hubungan timbal balik antara manusia dengan alam.
-
disesuaikan untuk siaran oleh RAYUSA
Reviewed by Raja Yusoff
on
November 05, 2026
Rating: 5



















