SENI

 

Pangkor Sebagai ‘Makmal Hidup’ melalui Rentas Seni, Sains dan Ekologi

 

FESTIVAL Seni Pangkor 2026 (FSP 2026) dianjurkan dengan mengangkat tema ‘Getaran Ombak: Pertemuan Seni dan Sains’, sebuah inisiatif seni kontemporari yang meneliti hubungan dinamik antara ekspresi artistik, pengetahuan saintifik dengan ekosistem alam sekitar.

 

Berlangsung dari 14 November hingga 31 Disember 2026, festival ini menjadikan Pulau Pangkor sebagai medan pertemuan pelbagai disiplin yang menghubungkan seni visual, sains, teknologi, budaya maritim, dan kesedaran ekologi.

 

Berteraskan pemahaman bahawa seni dan sains merupakan dua bidang pengetahuan yang saling melengkapi dalam mentafsir fenomena kehidupan, FSP 2026 meneroka alam maritim sebagai sumber inspirasi, penyelidikan dan penghasilan karya.

                                     


Laut, ombak, pesisir pantai serta biodiversiti marin bukan sekadar elemen landskap semula jadi, sebaliknya ditanggapi sebagai sistem ekologi kompleks yang mempunyai hubungan erat dengan kehidupan sosial, ekonomi, budaya dan kelangsungan komuniti kepulauan.

 

Tema ‘Getaran Ombak: Pertemuan Seni dan Sains’ turut mencerminkan usaha memperluas wacana seni kontemporari melalui pendekatan interdisiplin. Persoalan berkaitan perubahan iklim, pencemaran marin, kemerosotan biodiversiti, penggunaan sumber semula jadi, dan kelestarian persekitaran pesisir diterjemahkan melalui pelbagai pendekatan artistik, termasuk arca awam, instalasi, fotografi, seni media baharu, persembahan dan eksperimentasi bahan.

 

Melalui pendekatan ini, karya seni berfungsi bukan sahaja sebagai medium representasi visual, tetapi juga sebagai instrumen pemerhatian, penyelidikan dan komunikasi terhadap isu-isu alam sekitar.

 

Penganjuran festival julung kali ini juga mempunyai kepentingan strategik dalam memperkukuh kedudukan Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan budaya, dan kreatif, khususnya bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.

 

Dengan memanfaatkan keunikan landskap kepulauan, warisan maritim dan identiti komuniti setempat, Festival Seni Pangkor berhasrat memperkenal satu pengalaman pelancongan yang menggabungkan apresiasi seni, penerokaan ilmu, interaksi sosial dengan pemahaman terhadap kelestarian alam.

 

FSP 2026 akan berlangsung di beberapa lokasi terpilih di sekitar Pulau Pangkor, sekali gus mentransformasikan ruang awam, dan persekitaran semula jadi sebagai makmal hidup, atau sebuah jaringan ruang pameran terbuka.

 

Pendekatan ini memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengalami karya seni dalam konteks persekitaran sebenar, di samping menggalakkan pelibatan komuniti tempatan dalam pembangunan ekosistem seni, dan pelancongan kreatif.

                                     

                                         Sdr Faizal Sidik.


Majlis Perasmian FSP 2026 akan berlangsung pada 14 November 2026 di Galeri Pangkor, Pangkor, yang bakal menjadi titik permulaan kepada rangkaian program dan pameran yang berlangsung di sepanjang tempoh festival, selain menandakan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan antara seni, sains, kebudayaan, pelancongan dengan pemuliharaan alam sekitar.

 

FSP 2026 dianjurkan oleh Persatuan Citra Rupa Malaysia (PERCIKAN), dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta kerjasama Majlis Perbandaran Manjung melalui Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai Pangkor. Ia diarahkan secara artistik oleh Nasir Baharuddin, dan Faizal Sidik.

 

Melalui penganjuran ini, FSP 2026 beraspirasi menjadikan seni sebagai wahana pemikiran kritis, dan kesedaran ekologi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan budaya kreatif yang lebih lestari. ‘Getaran Ombak’ bukan sekadar merujuk kepada fenomena fizikal lautan, tetapi turut membawa metafora tentang perubahan, kesinambungan dan hubungan timbal balik antara manusia dengan alam.

                                  

-          disesuaikan untuk siaran oleh RAYUSA



No comments:

Powered by Blogger.