YBrs Saudara Mohd Suhaimi Ahmad atau nama penanya Mizalmi Ahmad (kanan sekali) berkata sesuatu semasa sidang media selepas pementasan fragmen Shamsinar.

                                              



TEATER

 

Cikgu Suhaimi Serlahkan Bakat Remaja dalam Teater Eksperimental Shamsinar

 

SEBUAH teater eksperimental berjudul Shamsinar, karya dan arahan Mizalmi Ahmad telah dipentaskan di Stor Teater (Sudut Karyawan), Wisma DBP pada pukul 3.30 petang, 26 September 2026, yang turut dihadiri YBrs Puan Ana Mohamad Bess, Pegawai Kanan, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP.

 

Walau bagaimanapun, pementasan teater oleh Anak-Anak Komuniti Pekan Lenggong, Perak, tanpa sebarang bayaran tiket ini bukanlah persembahan sebenar, sebaliknya merupakan fragmen berdurasi 30 minit sahaja.

 

Menurut YBrs Saudara Mohd Suhaimi Ahmad yang menggunakan Mizalmi Ahmad sebagai nama pena, Shamsinar merupakan koleksi peribadinya yang sarat dengan nilai estetika, dan falsafah pemikiran.

 

“Naskhah ini dijadikan teks uji kaji kepada pelakon muda berusia belasan tahun bagi mengetengah idealisme keharmonian dalam kepelbagaian, selain sesuai dipentaskan bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan,” jelas beliau yang lebih mesra disapa Cikgu Suhaimi.

 

Sebagai maklumat, Shamsinar selama setengah jam ini pertama kali dipentaskan di Wakaf Che Teh Fatimah, Kampung Sira, Lenggong, pada Ogos lepas.

                                   

Antara yang turut mengisi pementasan fragmen Shamsinar pada 26 September 2026 di Stor Teater, Wisma DBP.


“Di Lenggong, semangat kebersamaan diterjemahkan menerusi pelibatan anak muda dan penduduk setempat dalam pementasan yang mengetengah isu fitnah, kebenaran dan keharmonian dalam kepelbagaian ini,” tegas Cikgu Suhaimi.

 

Pementasan di Wakaf Che Teh Fatimah tersebut turut mendapat sokongan penduduk pelbagai kaum yang berganding bahu menyiapkan pentas terbuka, serta memasang Jalur Gemilang.

 

Pementasan fragmen Shamsinar di Stor Teater Wisma DBP turut menampilkan empat orang pelajar perempuan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong sebagai suara korus. Pementasan tersebut juga merupakan promosi menjelang pementasan penuh berdurasi satu jam setengah di Wakaf Che Teh Fatimah dijangka pada awal 2027.

                                                                                               

                   Babak menarik melibatkan Shamsinar (serba putih) dan Pak Engku.


Shamsinar mengisahkan seorang wanita muda bernama Shamsinar yang difitnah melakukan onar di negara Irawan Sukma, yang dikuasai antagonis, Puteri Kirana.

 

Jelas Cikgu Suhaimi, watak Shamsinar menjadi lambang seorang individu yang berusaha membersihkan namanya daripada kemusnahan akibat fitnah, manakala tema Lisanul Haq pula membawa mesej mengenai kepentingan mempertahan kebenaran. Pementasannya turut mengangkat tanggungjawab masyarakat untuk menolak fitnah, dan berita rekaan yang boleh menimbulkan perpecahan.

 

“Setiap insan bertanggungjawab menghakis berita-berita fitnah dan rekayasa dengan jelas dan terang supaya masyarakat tidak berpecah-belah. Dalam masa yang sama, semangat patriotik dan taat kepada pemerintah, serta negara turut menjadi antara nilai yang ingin disampaikan menerusi pementasan Shamsinar,” jelas beliau.

                                 

Teater eksperimental ini turut menampilkan empat orang pelajar perempuan Maktab Rendah Sains Mara Lenggong sebagai suara korus.


“Sebarang pengkhianatan terhadap pemerintah adalah dilarang, dan perkara itu jelas digambarkan menerusi perwatakan Habib dalam teks ini,” tambah Cikgu Suhaimi.

 

Watak Shamsinar dilakonkan oleh remaja yang mempunyai kekuatan tersendiri, manakala keseluruhan pelakon dipilih menerusi sesi uji bakat.

                                    

YBrs Encik Armin Azhari Saleh menyampaikan cenderamata kepada YBrs Puan Ana Mohamad Bess (kanan), sambil diperhatikan oleh YBrs Saudara Mohd Suhaimi Ahmad.


Pementasan Shamsinar merupakan pengalaman pertama kebanyakan anak muda terbabit yang pada awalnya tiada asas dalam teater, serta kurang keyakinan diri.

 

Kata Cikgu Suhaimi, cabaran terbesar yang beliau hadapi sebagai penulis skrip dan pengarah adalah pelakon dan ahli produksi tiada pengalaman asas dalam teater.

 

“Pada mulanya, mereka sangat pasif dan tiada keyakinan diri kerana kali pertama membuat persembahan di hadapan khalayak. Namun begitu, selepas melalui proses pembelajaran dan pembangunan, mereka sedikit sebanyak mendapat input, serta memahami perkembangan teater itu sendiri,” jelas beliau.

                                       

    Antagonis, Puteri Kirana (kiri sekali) memarahi Habib dalam satu babak Shamsinar.


Selain lakonan, kumpulan produksi muda itu turut diberi peluang mengendalikan aspek teknikal, termasuk penggunaan kecerdasan buatan atau AI, dan teknologi digital bagi menghasilkan video.

 

Cikgu Suhaimi berharap usaha berkenaan dapat diteruskan bagi menjadikan Lenggong sebagai pusat seni yang berkualiti, dan berdaya saing.

 

“Harapan saya sangat besar dan memerlukan sokongan semua pihak untuk bekerjasama dalam kelompok teater yang didominasi oleh anak muda supaya Lenggong dapat berkembang sebagai pusat seni,” katanya.


                 

                YBrs Saudara Mohd Suhaimi Ahmad, penulis skrip dan pengarah Shamsinar.


Teks dan Foto: Raja Yusoff Raja Ariffin

 


 

No comments:

Powered by Blogger.