AD-DIN


                                        Bergambar kenang-kenangan selepas majlis selesai.


 

Menteri Agama Rasmikan Surau Jumaat Al-Huda Taman Intan Baiduri

 

SURAU Al-Huda, Taman Intan Baiduri, Kepong, Kuala Lumpur menjadi surau ke-15 di Wilayah Persekutuan yang diluluskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjadi surau bagi menunaikan solat Jumaat pada 2026.

 

Majlis penyerahan watikah dan pengisytiharan surau Jumaat itu telah disempurnakan oleh YB Senator Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di surau berkenaan pada 17 Julai 2026 selepas solat Jumaat.


Watikah dan pengisytiharan tersebut diterima oleh YBhg Dato’ Ir Abdul Hamid Mohd Isa, Pengerusi Surau Jumaat Al-Huda.


                                      

WatikaYB Senator Dr Zulkifli Hasan (empat dari kiri) menyerahkan watikah dan pengisytiharan surau Jumaat kepada YBhg. Dato’ Ir Abdul Hamid Mohd Isa (tiga dari kanan) disaksikan oleh YBhg Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer (tiga dari kiri), dan beberapa tetamu lain.

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Dato’ Ir Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kepada semua jemaah yang sudi hadir mengimarahkan surau bagi solat fardu Jumaat kali ke-15, sejak beroleh kelulusan pada 24 Februari 2026.

 

“Sejak kali pertama solat fardu Jumaat di surau ini pada 10 April 2026, para jemaah yang tinggal berhampiran telah menikmati kemudahan, dan tidak perlu lagi terpaksa ke masjid yang jauh,” ujar Dato’ Ir Abdul Hamid.

 

Walau bagaimanapun, tambah beliau, Surau Jumaat Al-Huda memerlukan beberapa penambahbaikan dari semasa ke semasa.

                                         

YB Senator Dr Zulkifli Hasan turut mengucapkan tahniah kepada Surau Jumaat Al-Huda, Taman Intan Baiduri.


Satu daripadanya, jelas Ir Abdul Hamid, adalah tambahan ruang solat untuk menampung empat saf lagi yang menelan kos RM70,000.

 

“Alhamdulillah, peruntukan tersebut telah diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Kini, pihak surau sedang menunggu kontraktor yang bertanggungjawab memulakan kerja-kerja,” katanya.

 

Satu lagi, tambah Abdul Hamid, adalah kerja-kerja membaik pulih tebing yang runtuh. Biaya sebanyak RM20,000, katanya lagi, telah diluluskan oleh JAWI dan kerja-kerja sedang berjalan yang dijangka selesai sebulan lagi.

 

Beliau turut berharap banyak pihak sudi menghulurkan sumbangan dari semasa ke semasa untuk pemantapan Surau Jumaat Al-Huda demi kebaikan bersama.

 

Sementara itu, Dr Zulkifli dalam ucapan perasmian beliau bersyukur dapat pertama kali mengunjungi Surau Jumaat Al-Huda, bersama-sama YBhg Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

 

“Tiada masalah menunaikan ibadah di negara kita. Sekarang terdapat lebih 1,000 surau Jumaat. Di Wilayah Persekutuan sahaja ada 100 buah masjid, dan 50 buah surau Jumaat,” ujar beliau yang memberi jaminan segala permohonan menukar status surau, termasuk di pusat beli-belah di Wilayah Persekutuan menjadi surau Jumaat akan diluluskan selagi memenuhi beberapa syarat penting.

 

JAWI, tambah beliau sedia berbincang dan memberikan kelulusan. Sementelah, katanya lagi Malaysia adalah negara yang paling patuh syariah, dan mesra ibadah.

 

Solat fardu Jumaat kali ke-15 di Surau Jumaat Al-Huda itu diimamkan oleh YBrs Ustaz Adam Abd Rashid, Ketua Imam Masjid Amaniah Kepong (MAKEP).

 

Khutbah Jumaat disampaikan oleh YBrs Tuan Haji Hanifuddin Roslan, Ketua Pengarah JAWI, sementara bilal adalah YBrs. Ustaz Syukri Che Soh, Ketua Bilal MAKEP.


                                        

                             Surau Jumaat Al-Huda Taman Intan Baiduri sejak 10 April 2026.


Sebelum itu, tazkirah Jumaat disampaikan oleh YBhg Ustaz Prof Dr Fauzi Deraman, pendakwah bebas.


- disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN 

 

 

No comments:

Powered by Blogger.