SOSIAL
Nourul Sertai PERANTIS 2026, Mahu Terus Perkasa Wanita
melalui FiretaIk
PENYANYI, usahawan dan
jurulatih kehidupan bertauliah Nourul Depp dipilih menyertai Program Perantisan
Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026, sebuah inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), melalui Jabatan Pembangunan Wanita
(JPW).
Dipilih semula menyertai PERANTIS menjadi satu lagi detik
bermakna dalam perjalanan Nourul dari dunia seni dan hiburan ke bidang
pembangunan diri, kepimpinan serta pemerkasaan wanita.
PERANTIS 2026 akan diadakan di Tamu
Hotel Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Oktober 2026 bermula jam 9.30 pagi. Ia akan turut menampilkan YBhg. Dato’ Sri Alha Alfa sebagai
penceramah jemputan bersama-sama Nourul, dan penyanyi Atilia Haron pula selaku pengajar
jemputan.
Program PERANTIS diwujudkan bagi membangunkan bakat kepimpinan wanita melaluiperkongsian ilmu, bimbingan dan pengalaman daripada barisan wanita pemimpin, serta tokoh yang berjaya.
Penyanyi popular Nourul Depp juga seorang jurulatih kehidupan bertauliah, dan usahawan.
Bagi 2026, KPWKM memperuntuk RM4 juta untuk pelaksanaan
program ini, dengan sasaran melibatkan 80 pemimpin wanita dan 4,000 peserta di
seluruh negara.
Bagi Nourul, peluang sekali lagi menyertai PERANTIS membawa
makna yang lebih besar daripada sekadar sebuah pengiktirafan.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi
diberi peluang untuk bersama-sama PERANTIS. Menjadi seorang wanita pemimpin,
bagi saya, bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan. Yang lebih penting adalah
sumbangan kita memenuhi peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita
lain, membantu mereka melihat potensi diri, dan memberi keberanian untuk
melangkah ke hadapan,” ujarnya.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik
Malaysia, pengalaman sebagai usahawan, dan jurulatih kehidupan profesional,
Nourul membawa satu misi yang semakin jelas, iaitu membantu wanita membina
semula keyakinan diri, dan menyedari bahawa mereka ada kuasa untuk mengubah
kehidupan sendiri.
Nourul merupakan Jurulatih Kehidupan Bertauliah RMT, yang terlatih
melalui Robbins-Madanes Training, serta seorang penceramah yang diakreditasi oleh
HRD Corp.
Beliau juga merupakan pengasas Firetalk, sebuah
platform pembangunan diri yang dilahirkan daripada pengalaman hidup dan
perjalanan transformasinya sendiri.
Melalui Firetalk, Nourul menumpukan aspek kesedaran
diri, kecerdasan emosi, ketahanan diri, set minda dan transformasi peribadi.
Bagi Nourul, Firetalk bukan sekadar sebuah seminar
atau program motivasi, tetapi merupakan satu ruang untuk wanita berhenti
seketika, melihat ke dalam diri, berani mendepani cabaran, memproses luka dan
pengalaman hidup, serta akhirnya meraikan siapa diri mereka, dan siapa yang
mereka sedang pilih untuk menjadi.
Kerjasama dan pelibatan Nourul dalam PERANTIS 2026 dilihat
sebagai kesinambungan bagi misi tersebut, iaitu membawa elemen transformasi
diri ke dalam pembangunan kepimpinan wanita.
“Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan
jawatan atau gelaran. Kadangkala kepimpinan bermula apabila seorang wanita
membuat keputusan untuk mempercayai diri sendiri sekali lagi,” ujarnya.
“Apabila seorang wanita mengubah cara dia melihat dirinya,
dia juga boleh mengubah cara melihat keluarga, kerjaya, perniagaan dan masa
depannya,” tambah Nourul yang mula menceburi industri muzik sejak usia muda, melalui
pelbagai fasa kehidupan dan kerjaya, sehinggalah ke dunia keusahawanan, pembangunan
diri dan melatih, setiap pengalaman tersebut membentuk perspektifnya terhadap
kekuatan, serta potensi seorang wanita.
Nourul menganggap tiada satu pun pengalaman hidup yang
sia-sia. Muzik mengajarnya tentang hubungan dengan manusia. Kehidupan
mengajarnya tentang ketahanan. Melatih memberinya ilmu, dan alat untuk membantu
orang lain. Firetalk pula menjadi ruang untuk menggabungkan kesemuanya.
Antara pengalaman Nourul Depp sebagai seorang jurulatih kehidupan bertauliah.
Pada 2026, perjalanan tersebut turut menyaksikan satu lagi pencapaian peribadi apabila Nourul merealisasikan impian mengadakan konsert solo pertamanya, For You: Nourul, di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert tersebut bukan sekadar meraikan perjalanan seninya
selama lebih tiga dekad, tetapi turut menjadi simbol sebuah perjalanan peribadi
- tentang keberanian untuk bermimpi semula, bangkit dan mencipta bab baharu
dalam kehidupan.
“Kita boleh berubah, dan boleh sembuh. Kita boleh membina semula
diri, dan memilih arah baharu dalam hidup, tidak kira pada usia berapa pun,”
katanya.
“Saya tidak mahu memberitahu wanita siapa mereka sepatutnya
menjadi. Saya mahu membantu mereka menemui siapa sebenarnya mereka, dan potensi
yang selama ini mungkin mereka tidak nampak dalam diri sendiri,” tambah Nourul,
yang menganggap itulah semangat sebenar kepimpinan wanita, bukan sekadar
berjaya untuk diri sendiri, tetapi membuka jalan supaya wanita lain turut
berani melangkah.
- disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

.jpeg)





No comments: