Pages

Thursday, 23 January 2020











SASTERA BUDAYA


JAMBATAN ANCOL SELEPAS 47 TAHUN

Si Manis Jembatan Ancol (SMJA) yang diterbitkan pada 2019 ini dikatakan pembikinan semula filem berjudul serupa pada 1973, arahan Turino Djunaedy yang turut menulis lakon layarnya, dan sebagai penerbit. Saya hanya pernah mendengar judul filem ini, tetapi tidak menontonnya.
Di Indonesia, filem ini ditayangkan mulai 26 Disember 2019. Ia satu-satunya filem Indonesia yang ditayangkan hanya seminggu sahaja di pawagam, berbanding Dilan 1991, 27 Steps of May, dan Down Swan pada tahun yang sama. Di Malaysia, tayangannya bermula pada 30 Januari 2020 lalu.
SMJA karya terbaharu Anggy Umbara yang pernah mengarahkan beberapa filem seram yang meraih kejayaan seperti Suzanna: Bernafas dalam Kubur (2018), dan Satu Suro (2019).
Oleh sebab tidak menonton versi 1973, kurang adil untuk saya membuat perbandingan dalam aspek persembahan. Mereka yang menonton versi 1973 dan 2019 (mungkin) dapat melihat perbezaan dengan jelas, dan menilai yang mana lebih baik.
Walau bagaimanapun, disebabkan bukan sahaja arahan, malah cerita/lakon layarnya oleh Anggy Umbara, tentulah terdapat perbezaan. Meskipun saya berpendapat SMJA versi 2019 ialah adaptasi versi 1973, bukan pembikinan semula, ia sebenarnya reboot filem versi 1973, yang dibintangi Lenny Marlina, Farouk Afero, Mansjur Sjah, Kris Biantoro, Nadia Giovanna, Us Us, Syamsuddin Syafei, Simon PS, Etty Sumiati, Effendy, dan Ferry Nick Paulu.
Versi 1973 membawa kisah H. Acim (Mansjur Sjah) yang sakit kuat mahu anaknya, Mariah (Lenny Marlina) mendirikan rumah tangga. Meskipun sedang bercinta dengan John (Farouk Afero), seorang indo, tetapi untuk menggembirakan ayahnya yang ingin melihat calon menantu, Mariah memperkenalkan Husin (Kris Biantoro), tukang sado, kerana ketika datang ke rumah John, Mariah dihalau oleh ayah John, dan Husin mahu membantunya.
Disebabkan semua dianggap sudah bersedia, Acim segera mengahwinkan Mariah dengan Husin. Walaupun keduanya terkejut, tetapi majlis pernikahan tetap dilangsungkan setelah Mariah memberi isyarat pada Husin agar berpura-pura sahaja.
Acim sembuh. Husin benar-benar mencintai Mariah. Oleh sebab itu, John marah, dan menggunakan kekuasaan ayahnya untuk menangkap Husin. Mariah yang merasa bersalah juga, melarikan diri, tetapi kemudian diculik oleh penjahat.
Mariah dianggap sudah mati dan mayatnya hanyut di Sungai Ancol. Sewaktu majlis
tahlil, Mariah muncul dan mengejutkan semua orang. Dia kemudian muncul di sekitar
Sungai Ancol, terutama ketika bulan mengambang. Mariah terus dianggap sebagai penunggu sungai itu, seperti yang dipercayai masyarakat. Kisah dongeng ini diwarisi turun-temurun secara lisan di daerah Betawi (kini Jakarta).
SMJA versi 2019 membawa cerita rakyat mengenai Maryam (Indah Permatasari) yang dibunuh oleh suaminya sendiri di jambatan Ancol, Jakarta. Kisah bermula apabila Maryam menghadapi konflik rumah tangga dengan suaminya, Roy (Arifin Putra). Sikap posesif Roy menyebabkan Maryam tidak bahagia. Roy bersikap melampau, mudah sangsi, dan dingin.
Roy dengan keras mengatakan kepada Maryam bahawa isteri harus memberikan
sumbangan yang lebih, bukan tidak berguna. Justeru, rumah tangga mereka di ambang kehancuran.
Di tengah-tengah permasalahan rumah tangga itu, Roy dibebani hutang besar. Si
peminjam wang/‘lintah darat’ mahu Roy memberikan Maryam sebagai cagaran. Persengketaan Roy-Maryam semakin parah, dan perkahwinan mereka berdepan risiko bercerai.
Maryam yang berduka akibat konflik tersebut, bertemu dan berkenalan dengan seorang pelukis, Yudha (Randy Pangalila). Sosok Yudha yang baru dikenalinya, membuat Maryam sedikit tenang. Keduanya semakin mesra seperti hubungan sepasang kekasih.
Maryam bertanya kepada Yudha apa yang membuat seseorang benar-benar bahagia. Pertanyaan itu dijawab oleh Yudha dengan menyebut cinta. Itu menenangkan perasaan Maryam.
Walau bagaimanapun, tanpa disangka-sangka, keintiman itu menjadi malapetaka bagi rumah tangga Maryam dan Roy yang memang sudah di ambang kehancuran. Roy menuduh Maryam curang, dan menjalin asmara dengan Yudha di belakangnya.
Di tengah-tengah konflik rumah tangga dan bibit cinta tiga segi, Maryam mati dibunuh oleh sekumpulan lelaki jahat gara-gara masalah suaminya. Kematian wanita yang sentiasa berselendang merah itu kemudian menjadi buah mulut masyarakat ekoran arwah penasaran. Maryam kerap muncul dan menakutkan mereka.
Namun begitu, saya kecewa pada akhirnya meskipun permulaan filem ini menarik, dan menjanjikan. Saya fikir lebih baik dikekalkan Maryam tampil/sebagai ‘hantu berbaju merah’ membalas dendam kerana itu tidak menghiraukan logik atau sebaliknya, daripada dia sebenarnya masih hidup, dan menuntut bela mengikut undang-undang sendiri.
Kemunculan Maryam dengan gaya hantu yang pada fikiran saya memerlukan bantuan ‘kesan khas’, seperti kakinya kelihatan tidak menyentuh tanah, ada dan tiada sekelip mata, serta menyelinap masuk ke rumah tanpa disedari menghairankan.
Kalau dalam mimpi Yudha dan Roy - agak kerap pula adegan mimpi dipaparkan - tidak mengapa kerana ia mainan tidur yang boleh mewujudkan apa sahaja. Disebabkan masih hidup dan membalas dendam dengan cara sendiri, Maryam telah menjadi pembunuh. Walau bagaimanapun, dia terlepas hukuman dunia kerana mati dibunuh oleh Roy, suaminya sendiri (yang mahu menyelamatkan keluarganya yang terancam kerana dia berhutang dengan ‘lintah darah’, dan marah pada Maryam yang mencintai Yudha – meluru kepada pelukis itu yang jatuh selepas dipukul oleh anak buah ‘lintah darat’.
Saya juga tidak gembira dengan paparan adegan terakhir. Kenapa pula Oji (Ozy Syahputra), ‘lintah darat’ yang meminjamkan wang kepada Roy muncul sebagai hantu menyamar menjadi pengayuh beca mengganggu seorang gadis? Dia memang wajar mati dibunuh oleh Maryam, tetapi mengapa dimunculkan sebagai hantu? Selain klise, hal tersebut juga ganjil.
Ada unsur komik menerusi watak pemuda bodoh-bodoh alang, Ucup (Anyun Cadel); pemilik warung (Arief Didu), dan gadis lanjut usia, Sri. Barangkali mereka ditampilkan kerana pembikin masih terbawa-bawa dengan cara meredakan ketegangan seperti dalam banyak filem sebelumnya. Namun begitu, mood filem ini tidak terlalu tegang.
Mungkin disebabkan perkara-perkara yang dibincangkan tadi SMJA kurang mendapat sambutan. Walau bagaimanapun, saya percaya semua filem tetap menyampaikan pesan berguna tanpa mengira mantap atau tidak, genre dan para pelakonnya, serta mendapat sambutan hangat, atau gagal di pasaran.
Menerusi watak Roy, para usahawan Islam diingatkan agar jangan memberi rasuah untuk mendapat projek, sebaliknya berniaga mengikut syariat Islam, serta usah meminjam wang daripada ‘lintah darat’, dan suami jangan mengabaikan isteri.
Menerusi watak Yudha pula, lelaki bujang tanpa mengira kerjaya, diberi pesanan
agar tidak cuba menjalinkan hubungan intim dengan isteri orang.

Wednesday, 22 January 2020

SASTERA BUDAYA









DARI SMULE, KHAI BAHAR KE PENTAS DUNIA IB


KEJAYAAN demi kejayaan yang dicapai oleh penyanyi muda popular, Khai Bahar atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin (dilahirkan pada 28 Februari 1994) di sepanjang tiga tahun penglibatan sebagai anak seni dianggap pencapaian terbaik dirinya.
Bukan hanya cemerlang menerusi deretan anugerah yang dimenangi, malah Khai berjaya meletakkan dirinya sebagai pelapis penyanyi tanah air sedia ada/sekarang.
Khai mula dikenali selepas nyanyiannya menerusi lagu ‘Sudah Ku Tahu’ dari Projector Band di aplikasi smule menjadi tular.
Bermula dari aplikasi itu, nama Khai Bahar terus meniti di bibir peminat di persada hiburan tanah air. Khai juga tidak menoleh ke belakang lagi menerusi 28 anugerah, dan pengiktirafan yang diraihnya dalam bidang seni ketika ini.
Antaranya termasuklah kategori Lagu Paling Popular (lagu ‘Bayang’) dan Artis Paling Popular, Anugerah Planet Muzik (APM) 2017 di Singapura pada hujung tahun lalu.
Selain itu, Khai memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular, Artis Baru Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, dan Artis Baru Meletop, Anugerah Meletop ERA 2017.
Single sulung Khai, ‘Bayang’ berjaya mara ke acara berprestij Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL), dan lagu ‘Luluh’ ke AJL ke-33. Penyanyi kacak ini juga bertuah kerana selalu mendapat sokongan peminat setia hinggakan setiap single yang dikeluarkan ‘laku keras’.
Khai tidak hanya menghasilkan lagu berkonsep cinta lelaki-wanita. Dia turut mencipta lagu baharu, ‘Ratuku’ yang bertujuan menimbulkan kesedaran orang ramai untuk membantu para penghidap sakit buah pinggang.
Terbaharu, Khai dipilih oleh Istana Budaya (IB) membuat persembahan pentas buat kali pertama di bawah penganjuran produksi Ogy Ventures, milik pengarah dan pelakon handalan terkenal tanah air, Fauziah Ahmad Daud.
Pihak IB sendiri melihat penyanyi popular kelahiran Kangar, Perlis ini berpotensi sebagai pelapis kepada penyanyi lelaki terbaik negara sekarang.
Khai akan muncul dalam ‘Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia’ pada 27 dan 28 Mac 2020 . Konsert berdurasi hampir dua jam itu akan memuatkan 20 buah lagu yang terdiri daripada lagu-lagu Khai sendiri, dan medley.
Menariknya, turut diadakan peraduan merakam video paling kreatif SAYA SAYANG KHAI KERANA… tidak melebihi 15 saat. Pemenang akan dipanggil berada di pentas Panggung Sari, IB dan akan dihiburkan oleh Khai. Tarikh tutup penyertaan ialah 20 Mac 2020.
Harga tiket boleh didapati di www.airasiaredtix.com bermula dengan harga RM86, RM116, RM236, RM276, RM296, RM366, RM446, dan RM556 (Gold). Mereka yang membeli tiket berharga RM556 berpeluang bertemu, dan mengabadikan kenangan bersama-sama Khai selepas konsert.

TIM PRODUKSI

Penerbit Ekselutif FAUZIAH AHMAD DAUD

Pengurus Projek MOHD SHAHIR SULAIMAN

Penerbit MUHAMMAD AL-HAFIZ MOHD ZAM

Pengarah TAUFIK IBRAHIM (PAT IBRAHIM)

Pengurus Produksi ATIQAH AISYAH AHMAD LAILI

Pengarah Muzik SAIFUL RIDZUAN SHARAFUDDIN

Pengarah Teknikal ADAM SOFIAN MAZLAN

Jurulatih Vokal ABDUL MUTALIB NAHAR (ADEEP NAHAR)

Muhammad Khairul Baharuddin atau lebih dikenali sebagai Khai Bahar, penyanyi tanah air yang mula dikenali menerusi aplikasi smule dan mendapat gelaran ‘King of Smule’ daripada para peminatnya.
Khai Bahar juga ada kumpulan penyokong yang ramai, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Indonesia, Singapura, Brunei, Hong Kong, Taiwan, dan Thailand. Dalam tempoh tiga tahun bergelar anak seni, Khai telah meraih 23 anugerah. Antaranya termasuklah Anugerah Meletop Era 2017, 2018 & 2019, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 & 2018, Anugerah Planet Muzik 2017 & 2018, Top Hot Hot FM 2017, Era Digital Muzik Awards 2018 & 2019, MySC Breakthrough Awards (Male) 2019, serta Juara Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Season 2 (2018-2019).
Khai yang dilahirkan pada 28 Februari 1994 di Kampung Padang Katong, Kangar, Perlis merupakan anak keempat daripada enam beradik. Ayahnya pemandu teksi, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
Khai memulakan karier nyanyian sebagai penyanyi busker/jalanan di Kuching Sarawak, di samping kerap memuat naik lagu-lagu cover nyanyiannya, serta lagu-lagu ciptaan sendiri di Youtube Channel Muhamad Khairul miliknya.
Sebelum bergelar penyanyi, Khai pernah dijemput untuk membuat ‘opening act’ untuk penyanyi-penyanyi popular. Namanya mula mendapat perhatian dan menarik minat ramai penggemar muzik Malaysia, dan Indonesia setelah video nyanyiannya yang dimuat naik di aplikasi SMULE menjadi tular sekitar awal 2016.
Antara lagu cover nyanyian Khai yang menjadi perhatian ramai ialah lagu-lagu bernada tinggi Ziana Zain, duet bersama Siti Nordiana, serta lagu dari kumpulan Projector Band, iaitu ‘Sudah Ku Tahu’.
Pada 2016, Khai ditawarkan kontrak untuk bernaung di bawah syarikat rakaman NAR Records. Setelah hampir tiga tahun sebagai penyanyi di bawah label NAR Records dan sehingga artikel ini ditulis, dia sudah mempunyai tujuh single, iaitu ‘Bayang’, ‘Dari Jauh Saja’, ‘Sinar Syawal’, ‘Luluh’, ‘Cahaya 114’, ‘Jodohku’, ‘#123’, dan ‘Ratuku’.
Khai juga ada dua buah lagu duet yang berjudul ‘Rahsia Kita’, dan ‘Cinta Syurga’. ‘Rahsia Kita’ ialah lagu duet dengan Fatin Husna yang merupakan penyanyi wanita baharu di bawah NAR Records. ‘Cinta Syurga’ pula lagu berbentuk zikir, gandingannya dengan penyanyi popular Malaysia, Dato' Sri Siti Nurhaliza.
Khai mula dikenali menerusi aplikasi smule. Lagu pertama yang dinyanyikannya di smule ialah ‘Flashlight’ oleh Jessy J pada 2015, disusuli lagu-lagu lain. Antara lagu nyanyiannya yang mendapat perhatian ramai ialah ‘Sudah Ku Tahu’ (Projector Band) & duet dengan Siti Nordiana, ‘Memori Berkasih’.
Selain bernyanyi di smule, Khai juga pernah melakukan ‘cover’ untuk lagu ‘Di Mana Hatimu’ oleh Papinka pada 2013. Khai juga pernah menghadiri sesi uji bakat pertandingan realiti seperti Akademi Fantasia, tetapi nasib tidak menyebelahinya.
Khai juga mendapat liputan stesen televisyen Indonesia, RCTI menerusi sebuah program hiburan, ‘Silet’. Dilabel sebagai nada emas, Khai mendapat perhatian ‘Silet’ selepas video smulenya dengan lagu ‘Suara Hatiku’ (‘Ku Tak Akan Bersuara’), nyanyian asal Nike Ardilla yang popular pada 1994 menjadi tular di Indonesia, dan Malaysia pada 2016.
Menerusi ‘Silet’ itu juga, dua penyanyi Indonesia, Soimah dan Nia Daniati memuji kemampuan suara Khai.
Khai turut mencuba nasib dalam industri seni di Indonesia menerusi penglibatan dengan beberapa projek di sana.
Setakat ini, Khai mencapai kemuncak kejayaan apabila memenangi gelaran Artis Baru Meletop pada Anugerah Meletop Era 2017, dua trofi pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 - masing-masing Artis Baharu Lelaki Popular, dan Penyanyi Lelaki Popular.
Selain itu, dalam Anugerah Planet Muzik 2017 (APM) di Singapura, Khai juga menjadi pemenang kategori Lagu Paling Popular APM (‘Bayang’) dan Artis Paling Popular. Seterusnya, memenangi Hot FM Top Hot 2017 menerusi kategori Lagu Hot 2017 (‘Luluh’), Penyanyi Lelaki Hot 2017, dan FB Live Hot 2017 (bersama Wany Hasrita).
Terbaharu, Khai dipilih mengadakan konsert solo meganya yang pertama di Istana Budaya, iaitu ‘Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia’ pada 27 dan 28 Mac 2020 . Konsert berdurasi hampir dua jam itu akan memuatkan 20 buah lagu yang terdiri daripada lagu-lagu Khai sendiri, dan medley.

Monday, 13 January 2020




SASTERA BUDAYA


ISTANA BUDAYA SEPANJANG 2020


‘KONSERT VM2020’ yang dirasmikan oleh Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia pada 11 Januari lalu merupakan persembahan kebudayaan, dan seni pentas yang menghimpunkan acara menarik di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), dan sekitar Kuala Lumpur bersempena dengan Visit Malaysia 2020.
Konsert tersebut yang berlangsung di Panggung Sari, IB pada 11 Januari lalu mulai jam 9 malam diadakan menerusi kolaborasi pintar bersama-sama agensi/jabatan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bertujuan merancakkan rangka promosi menarik kedatangan pelancong tempatah, dan antarabangsa ke Malaysia.
Artis terkemuka tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah, Dato’ Jeffrydin, Dato’ Yusni Hamid, Noraniza Idris, Syamel, Ernie Zakri, Asmidar, Idayu, dan Rojer, serta Dato’ Ramli Sarip dari Singapura menjayakan konsert berkenaan. Mereka diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), serta Artis Tari Istana Budaya (IB) bersama-sama Kumpulan Genius Tari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Turut dipaparkan di sepanjang ‘Konsert VM2020’ ialah video-video promosi program utama agensi/jabatan untuk 2020 di bawah MOTAC seperti JKKN, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), serta video Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC).
Kalendar program IB 2020 turut diumumkan dengan setakat ini terdapat 27 pementasan tempatan dan antarabangsa. Daripada jumlah tersebut, lapan ialah teater, 13 program muzik, dan selebihnya tari, anugerah dan festival.
IB masih menerima banyak permohonan kemasukan produk pementasan dalam, dan luar negara yang mampu menarik lebih ramai penggemar seni persembahan pentas, serta dapat menjana pendapatan negara menerusi hasil yang diperoleh daripada jualan tiket.
Selain konsert, terdapat pameran produk dan perkhidmatan dari JKKN, Kratangan, PNM, Jabatan Muzium Malaysia, dan Pusat Pelancongan Malaysia. IB dengan kerjasama Persatuan Bentan Malaysia turut mengadakan acara pembuatan ‘Tanjak Terbesar Malaysia & Dunia’, berserta pameran tanjak pada 11 Januari itu.   
Dalam ucapan perasmian beliau, Muhammad Bakhtiar mengharapkan suasana konsert dapat menggambarkan kepada orang ramai mengenai kemeriahan negara meraikan 2020 dengan pelbagai acara utama, seperti menjadi tuan rumah untuk Persidangan APEC, Kuala Lumpur World Book Capital 2020 (KLWBC2020), dan KL Biennale 2020.
Lebih 100 acara seni kebudayaan dan pelancongan seperti Majlis Rumah Terbuka Malaysia, CITRAWARNA, Magic of the Night, Festival Vasakhi, dan program turut diadakan di setiap negeri.
Muhammad turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak media cetak, dan elektronik yang tidak putus-putus memberikan sokongan kukuh, berserta hebahan/publisiti untuk semua program yang telah berlangsung di sepanjang 2019. MOTAC dan kesemua agensi/jabatan berharap sokongan yang sama diteruskan pada 2020, dan tahun seterusnya.


************************************************************************************************

Penyanyi muda, Ernie Zakri menjadi penyanyi yang mendendangkan lagu paling banyak dalam ‘Konsert VM2020’. Tiga daripadanya ialah secara duet bersama-sama Syamel untuk lagu ‘Perfect’, ‘Takkan Terlerai’, dan ‘Cinduo Mato’, sementara sebuah lagi ‘Kurik Kundi’ dengan Asmidar.
Ernie dan Syamel mempromosikan persembahan mereka dalam ‘Fabulous Friday’ – Dato’ M Nasir & Dato’ Hattan’ pada 26 Jun nanti.
Asmidar sebelum itu tampil dalam overture menyanyikan ‘Tari Tualang Tiga’ diiringi OSK, dan Artis Tari IB.
Dato’ Jamal Abdillah (untuk ‘Konsert 40 Tahun Persada Seni Jamal Abdillah’ pada 14-16 Ogos) mendendangkan ‘Gadis Melayu’ dan ‘Aku Penghiburmu’ diiringi OTM, dan Artis Tari IB.
Dato’ Jeffrydin yang masih segar dengan irama 60-an beliau mendendangkan lagu ‘Siti Haida’ dan ‘Kenanganku’ diiringi OTM, dan Artis Tari IB.
Dato’ Ramli Sarip pula menyanyikan lagu popular beliau semasa bersama-sama Sweet Charity dahulu, ‘Kamelia’ (untuk ‘Konsert Kembara Kita’/14 dan 15 Februari) diiringi OTM.
Noraniza Idris yang sekian lama menyepi, muncul mendendangkan lagu popularnya, ‘Dikir Puteri’ (‘Konsert Noraniza Idris’/11 dan 12 September) diiringi OTM.
Dato’ Yusni Hamid yang menggantikan Hazama, menyanyikan lagu popular J Sham, ‘Ketawalah Lagi’ (‘Konsert Amal Alunan Irama’/12 April) juga diiringi OTM.
Sementara itu, lagu ‘Asmaradana’ (Puteri Gunung Ledang the Musical/3 Julai-3 Ogos) dipersembah oleh Artis Tari IB.
Idayu pula bersama-sama OSK dan Artis Tari IB menutup ‘Konsert VM2020’ dengan lagu ‘Visit Malaysia 2020’.
‘Fiesta Rakyat’ pada permulaan konsert tersebut dijayakan oleh Kumpulan Kesenian JKKN, Kumpulan Genius Seni Tari.

###################################################################
   
SENARAI PEMENTASAN PROGRAM ISTANA BUDAYA 2020

1.    Feel the Heal Charity Concert by Ani Choying Drolma (muzik) pada 4 Januari.
2.    ‘Konsert VM2020’ (muzik)/11 Januari.
3.    Opening Cermony of 2020 Year of Culture and Tourism Between China and Malaysia’ (persembahan kebudayaan)/19 Januari.
4.    Muzikal Semarak Pertiwiku (teater)/30 dan 31 Januari.                         
5.    Teater Korupsi Dewan Semandung (teater)/7 dan 8 Februari.
6.    ‘Konsert Kembara Kita: Ramli Sarip & Ella’ (muzik)/14 dan 15 Februari.
7.    ‘Kesuma Jiwa 2020’ (muzik dan persembahan fesyen)/20 Februari.
8.    ‘Konsert Nusantara’ (muzik)/29 Februari dan 1 Mac.                                          
9.    Teater Muzikal Siti di Alam Fantasi (teater)/14-21 Mac.
10. ‘Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia’ (muzik)/27 dan 28 Mac.
11. Asian World Premier: The Sleeping Beauty by St Petersburg Theatre Russian Ballet (tarian)/3-5 April.
12. ‘Perasmian Festival Filem Malaysia ke-13’ (perasmian/anugerah)/9 April.
13. ‘Konsert Amal Alunan Irama’ (muzik)/12 April.
14. ‘Konsert 4G’S’ (muzik)/17 dan 18 April.                                                                
15. Fabulous Friday: Dato’ M Nasir & Dato’ Hattan’ (muzik)/26 Jun.
16. ‘Konsert Diraja: (DYMM SPB YdP Agong)’ (muzik)/28 Jun.                               
17. Puteri Gunung Ledang the Musical (teater)/3 Julai-3 Ogos.                                 
18. ‘Konsert 40 Tahun Persada Seni Jamal Abdillah’ (muzik)/14-16 Ogos.
19. 4th MIFFEST/MALAYSIA GOLDEN GLOBAL AWARDS’ (anugerah)/22 Ogos.
20. Crossing to Talikota (teater)/29 dan 30 Ogos.                                                   
21. ‘Inspitari’ (JKKN) (tarian)/2 dan 3 September.
22. Malai Fest 2020’ (festival)/7-12 September.
23. ‘Konsert Noraniza Idris’ (konsert)/11 dan 12 September.                                   
24. Evergreen Symphony Orchestra Malaysia Concert Tour’ (muzik)/24 Oktober.
25. Muzikal Ya Rasulullah (teater)/28 Oktober-1 November.                                  
26. Pure Land the Musical (teater)/19-22 November.
27. Swan Lake St Petersburg Ballet Theatre (tarian)/23-30 November.   
28. Teater Muzikal Aladdin (teater)/5-13 Disember.













SASTERA BUDAYA


BELENGGU NAGA DILEPASKAN


PENONTON yang kecewa (jika ada) harus memaafkan filem ini kalau terasa bodoh,
atau dibodoh-bodohkan. Walau bagaimanapun, penonton yang memilih untuk
menontonnya kerana memang meminati tidak wajar hampa.
Jangan (terlalu) mempertikai watak-watak, dan adegan-adegannya. Usah
memikirkan logik jika sedar ia filem bercorak khayalan. Apa sahaja boleh dipaparkan
dalam filem sedemikian, baik menarik mahupun hodoh.
Pun begitu, saya sentiasa percaya semua filem tanpa mengira genre, ada tujuan dan pesanannya. Cuma kerap berlaku penonton terlupa/tercicir kerana penampilan visual yang menarik, dan menghiburkan.
Filem ini dipromosi dengan tagline, ‘Jackie Chan vs Arnold Schwarzenegger’.
Tentulah peminat kedua-dua ikon filem ini akan teruja, tambahan pula ada
perkataan ‘vs’ yang menunjukkan pertentangan. Siapa baik siapa jahat antara
mereka sangat ingin diketahui. Chan sebagai Mahaguru, dan Schwarzenegger pula
James Hook, ketua penjara yang memenjarakan Mahaguru. Seingat saya, Chan dan
Schwarzenegger tidak pernah memegang watak jahat.
Tidak salah Chan dan Schwarzenegger dijadikan ‘umpan’. Cuma, tidak semua
umpan itu menarik, dan berjaya mengumpan.
Seperti tidak sah filem berlatar belakang zaman silam dari China jika tiada naga.
Makhluk mitos/legenda itu ditampilkan sebagai protagonis dalam filem ini. Ada pula ‘tera’ (seperti tangkal/azimat) yang menjadi rebutan untuk berkuasa.
Namun demikian, naga tidak kuat kerana ‘tera’, tetapi disebabkan oleh kasih sayang - sebagaimana kata Mahaguru pada penghujung cerita. Kasih sayang itu suci daripada puteri, Cheng Lan (Yao Xing Tong), anak Mahaguru sendiri terhadap rakyatnya yang ditindas oleh puteri gila kuasa.
‘Tera’ itu hanya alat yang tidak bernyawa/benda mati (yang tidak sentiasa berguna),
sedangkan kasih sayang ialah perasaan yang baik (jika tidak berlebih-lebihan).
Justeru, semasa adegan pertarungan antara Cheng Lan dengan puteri gila kuasa,
‘tera’ itu sentiasa beralih tangan (di udara). Naga yang terpasung itu juga bebas hasil jurus jarak jauh oleh Mahaguru di dalam penjara.
Chan dan Schwarzenegger antara penerbit bersama filem ini. Watak Mahaguru dan Hook setaraf. Meskipun Hook ketua penjara, dan Mahaguru banduan, tetapi mereka bukan antagonis.
Dalam banyak filem terdahulu, watak ketua penjara itu antagonis. Wira yang terpenjara pula protagonis. Walau bagaimanapun, Hook menjalankan tugasnya,
sementara Mahaguru terpenjara kerana menentang British.
Pertarungan antara Chan dengan Schwarzenegger memang amat diharap, dan
ditunggu-tunggu. Mereka bertarung di dalam penjara. Namun demikian, agak kurang
klasik – tidak lama – barangkali kerana faktor usia. Ditambah pula Chan masih
mengekalkan kelucuan yang menjadi ‘trademark’nya ketika beradu tenaga.
Itu pun saya merasakan Jonathan Green hampir tenggelam, sedangkan dia watak
utama. Sementelah pelakonnya, Jason Flemyng kurang dikenali.
Penguasa yang zalim bersama-sama ‘kaki pukul’nya, dan orang kanan yang ‘tidak
seberapa', tetapi berlagak handal antara yang klise dalam filem ini. Cuma, yang menyuntik sedikit kelainan ialah rakyat terpedaya/tertipu dengan kesaktian para ‘kaki pukul’ itu. Mereka menyangkakan ilmu sihir. Namun demikian, Green yang ada
ilmu sains mengetahuinya, dan membongkar. Dia membantu rakyat memberontak
dan menewaskan semua ‘kaki pukul’ itu.
Filem yang menelan kos $49.1 juta ini lewat ditayangkan di Malaysia kerana menjalani beberapa proses tapisan, dan peraturan di China. Ramai yang tertarik dan
tertunggu-tunggu tayangannya kerana ia menampilkan gandingan Chan dan Schwarzenegger buat pertama kali.
Filem ini memulakan tayangannya di Rusia dan China pada 16 Ogos 2019 oleh Universal Pictures setelah selesai menjalani beberapa tapisan di China dan peraturan (pada mulanya ditangguhkan ke 19 September 2019). Di Filipina, ia
ditayangkan mulai 20 September 2019 sebagai The Dragon Seal oleh Pioneer Films.
Pada 5 April 2015 berlangsung sidang media di Moscow yang dihadiri penerbit
Alexey Petrukhin dan Sergei Selyanov (seorang lagi penerbit ialah Gleb Fetisov),
serta pelakon Jason Flemyng, Rutger Hauer, dan Anna Churina. Sidang media itu
memberitahu bahawa sekuel berjudul Viy 2: Journey to China, dimulakan. Pasukan
Lagak Ngeri Jackie Chan membantu koreografi adegan pertarungan.
Dalam usaha menarik pasaran antarabangsa, bintang filem ternama dunia turut ditampilkan seperti Chan. Pada November 2016, Chan diumumkan akan mendampingi Schwarzenegger.
Filem ini atau dalam judul lainnya, Journey to China: The Mystery of Iron Mask, dan The Mystery of Dragon Seal: The Journey to China, merupakan filem pengembaraan fantasi Rusia-China - gabungan Russian Film Group dan China Film Group Corporation (CFGC), sekuel bagi Viy (2014) yang ‘pecah panggung’, berdasarkan cerita Viy, karya Nikolai Gogol.
The Mystery of the Dragon Seal ini turut dibintangi Rutger Hauer (dalam salah
sebuah filem terakhirnya sebelum meninggal dunia) sebagai Duta, dan Charles Dance (melakonkan semula wataknya, Lord Dudley/dalam filem pertama).
Berlatarbelakangkan abad ke-18, filem ini membawa kisah Green, pelukis peta yang mengambil alih perjalanan tahayul dan saintifik dari England ke China.
Aleksandra Maghakyan menata muzik, dan Ivan Gudkov sebagai pengarah filem ini,
yang digambarkan dalam 3D dengan dua ARRI Alexa M menjadi STEREOTEC MID
Size Rig, dua ARRI Alexa Mini menjadi STEREOTEC Light Weight Rig, dan CODEX
Action Cam 3D kepada STEREOTEC Nano Rig.