Pages

Thursday, 23 January 2020











SASTERA BUDAYA


JAMBATAN ANCOL SELEPAS 47 TAHUN

Si Manis Jembatan Ancol (SMJA) yang diterbitkan pada 2019 ini dikatakan pembikinan semula filem berjudul serupa pada 1973, arahan Turino Djunaedy yang turut menulis lakon layarnya, dan sebagai penerbit. Saya hanya pernah mendengar judul filem ini, tetapi tidak menontonnya.
Di Indonesia, filem ini ditayangkan mulai 26 Disember 2019. Ia satu-satunya filem Indonesia yang ditayangkan hanya seminggu sahaja di pawagam, berbanding Dilan 1991, 27 Steps of May, dan Down Swan pada tahun yang sama. Di Malaysia, tayangannya bermula pada 30 Januari 2020 lalu.
SMJA karya terbaharu Anggy Umbara yang pernah mengarahkan beberapa filem seram yang meraih kejayaan seperti Suzanna: Bernafas dalam Kubur (2018), dan Satu Suro (2019).
Oleh sebab tidak menonton versi 1973, kurang adil untuk saya membuat perbandingan dalam aspek persembahan. Mereka yang menonton versi 1973 dan 2019 (mungkin) dapat melihat perbezaan dengan jelas, dan menilai yang mana lebih baik.
Walau bagaimanapun, disebabkan bukan sahaja arahan, malah cerita/lakon layarnya oleh Anggy Umbara, tentulah terdapat perbezaan. Meskipun saya berpendapat SMJA versi 2019 ialah adaptasi versi 1973, bukan pembikinan semula, ia sebenarnya reboot filem versi 1973, yang dibintangi Lenny Marlina, Farouk Afero, Mansjur Sjah, Kris Biantoro, Nadia Giovanna, Us Us, Syamsuddin Syafei, Simon PS, Etty Sumiati, Effendy, dan Ferry Nick Paulu.
Versi 1973 membawa kisah H. Acim (Mansjur Sjah) yang sakit kuat mahu anaknya, Mariah (Lenny Marlina) mendirikan rumah tangga. Meskipun sedang bercinta dengan John (Farouk Afero), seorang indo, tetapi untuk menggembirakan ayahnya yang ingin melihat calon menantu, Mariah memperkenalkan Husin (Kris Biantoro), tukang sado, kerana ketika datang ke rumah John, Mariah dihalau oleh ayah John, dan Husin mahu membantunya.
Disebabkan semua dianggap sudah bersedia, Acim segera mengahwinkan Mariah dengan Husin. Walaupun keduanya terkejut, tetapi majlis pernikahan tetap dilangsungkan setelah Mariah memberi isyarat pada Husin agar berpura-pura sahaja.
Acim sembuh. Husin benar-benar mencintai Mariah. Oleh sebab itu, John marah, dan menggunakan kekuasaan ayahnya untuk menangkap Husin. Mariah yang merasa bersalah juga, melarikan diri, tetapi kemudian diculik oleh penjahat.
Mariah dianggap sudah mati dan mayatnya hanyut di Sungai Ancol. Sewaktu majlis
tahlil, Mariah muncul dan mengejutkan semua orang. Dia kemudian muncul di sekitar
Sungai Ancol, terutama ketika bulan mengambang. Mariah terus dianggap sebagai penunggu sungai itu, seperti yang dipercayai masyarakat. Kisah dongeng ini diwarisi turun-temurun secara lisan di daerah Betawi (kini Jakarta).
SMJA versi 2019 membawa cerita rakyat mengenai Maryam (Indah Permatasari) yang dibunuh oleh suaminya sendiri di jambatan Ancol, Jakarta. Kisah bermula apabila Maryam menghadapi konflik rumah tangga dengan suaminya, Roy (Arifin Putra). Sikap posesif Roy menyebabkan Maryam tidak bahagia. Roy bersikap melampau, mudah sangsi, dan dingin.
Roy dengan keras mengatakan kepada Maryam bahawa isteri harus memberikan
sumbangan yang lebih, bukan tidak berguna. Justeru, rumah tangga mereka di ambang kehancuran.
Di tengah-tengah permasalahan rumah tangga itu, Roy dibebani hutang besar. Si
peminjam wang/‘lintah darat’ mahu Roy memberikan Maryam sebagai cagaran. Persengketaan Roy-Maryam semakin parah, dan perkahwinan mereka berdepan risiko bercerai.
Maryam yang berduka akibat konflik tersebut, bertemu dan berkenalan dengan seorang pelukis, Yudha (Randy Pangalila). Sosok Yudha yang baru dikenalinya, membuat Maryam sedikit tenang. Keduanya semakin mesra seperti hubungan sepasang kekasih.
Maryam bertanya kepada Yudha apa yang membuat seseorang benar-benar bahagia. Pertanyaan itu dijawab oleh Yudha dengan menyebut cinta. Itu menenangkan perasaan Maryam.
Walau bagaimanapun, tanpa disangka-sangka, keintiman itu menjadi malapetaka bagi rumah tangga Maryam dan Roy yang memang sudah di ambang kehancuran. Roy menuduh Maryam curang, dan menjalin asmara dengan Yudha di belakangnya.
Di tengah-tengah konflik rumah tangga dan bibit cinta tiga segi, Maryam mati dibunuh oleh sekumpulan lelaki jahat gara-gara masalah suaminya. Kematian wanita yang sentiasa berselendang merah itu kemudian menjadi buah mulut masyarakat ekoran arwah penasaran. Maryam kerap muncul dan menakutkan mereka.
Namun begitu, saya kecewa pada akhirnya meskipun permulaan filem ini menarik, dan menjanjikan. Saya fikir lebih baik dikekalkan Maryam tampil/sebagai ‘hantu berbaju merah’ membalas dendam kerana itu tidak menghiraukan logik atau sebaliknya, daripada dia sebenarnya masih hidup, dan menuntut bela mengikut undang-undang sendiri.
Kemunculan Maryam dengan gaya hantu yang pada fikiran saya memerlukan bantuan ‘kesan khas’, seperti kakinya kelihatan tidak menyentuh tanah, ada dan tiada sekelip mata, serta menyelinap masuk ke rumah tanpa disedari menghairankan.
Kalau dalam mimpi Yudha dan Roy - agak kerap pula adegan mimpi dipaparkan - tidak mengapa kerana ia mainan tidur yang boleh mewujudkan apa sahaja. Disebabkan masih hidup dan membalas dendam dengan cara sendiri, Maryam telah menjadi pembunuh. Walau bagaimanapun, dia terlepas hukuman dunia kerana mati dibunuh oleh Roy, suaminya sendiri (yang mahu menyelamatkan keluarganya yang terancam kerana dia berhutang dengan ‘lintah darah’, dan marah pada Maryam yang mencintai Yudha – meluru kepada pelukis itu yang jatuh selepas dipukul oleh anak buah ‘lintah darat’.
Saya juga tidak gembira dengan paparan adegan terakhir. Kenapa pula Oji (Ozy Syahputra), ‘lintah darat’ yang meminjamkan wang kepada Roy muncul sebagai hantu menyamar menjadi pengayuh beca mengganggu seorang gadis? Dia memang wajar mati dibunuh oleh Maryam, tetapi mengapa dimunculkan sebagai hantu? Selain klise, hal tersebut juga ganjil.
Ada unsur komik menerusi watak pemuda bodoh-bodoh alang, Ucup (Anyun Cadel); pemilik warung (Arief Didu), dan gadis lanjut usia, Sri. Barangkali mereka ditampilkan kerana pembikin masih terbawa-bawa dengan cara meredakan ketegangan seperti dalam banyak filem sebelumnya. Namun begitu, mood filem ini tidak terlalu tegang.
Mungkin disebabkan perkara-perkara yang dibincangkan tadi SMJA kurang mendapat sambutan. Walau bagaimanapun, saya percaya semua filem tetap menyampaikan pesan berguna tanpa mengira mantap atau tidak, genre dan para pelakonnya, serta mendapat sambutan hangat, atau gagal di pasaran.
Menerusi watak Roy, para usahawan Islam diingatkan agar jangan memberi rasuah untuk mendapat projek, sebaliknya berniaga mengikut syariat Islam, serta usah meminjam wang daripada ‘lintah darat’, dan suami jangan mengabaikan isteri.
Menerusi watak Yudha pula, lelaki bujang tanpa mengira kerjaya, diberi pesanan
agar tidak cuba menjalinkan hubungan intim dengan isteri orang.

No comments:

Post a Comment