Pages

Monday, 13 January 2020













SASTERA BUDAYA


BELENGGU NAGA DILEPASKAN


PENONTON yang kecewa (jika ada) harus memaafkan filem ini kalau terasa bodoh,
atau dibodoh-bodohkan. Walau bagaimanapun, penonton yang memilih untuk
menontonnya kerana memang meminati tidak wajar hampa.
Jangan (terlalu) mempertikai watak-watak, dan adegan-adegannya. Usah
memikirkan logik jika sedar ia filem bercorak khayalan. Apa sahaja boleh dipaparkan
dalam filem sedemikian, baik menarik mahupun hodoh.
Pun begitu, saya sentiasa percaya semua filem tanpa mengira genre, ada tujuan dan pesanannya. Cuma kerap berlaku penonton terlupa/tercicir kerana penampilan visual yang menarik, dan menghiburkan.
Filem ini dipromosi dengan tagline, ‘Jackie Chan vs Arnold Schwarzenegger’.
Tentulah peminat kedua-dua ikon filem ini akan teruja, tambahan pula ada
perkataan ‘vs’ yang menunjukkan pertentangan. Siapa baik siapa jahat antara
mereka sangat ingin diketahui. Chan sebagai Mahaguru, dan Schwarzenegger pula
James Hook, ketua penjara yang memenjarakan Mahaguru. Seingat saya, Chan dan
Schwarzenegger tidak pernah memegang watak jahat.
Tidak salah Chan dan Schwarzenegger dijadikan ‘umpan’. Cuma, tidak semua
umpan itu menarik, dan berjaya mengumpan.
Seperti tidak sah filem berlatar belakang zaman silam dari China jika tiada naga.
Makhluk mitos/legenda itu ditampilkan sebagai protagonis dalam filem ini. Ada pula ‘tera’ (seperti tangkal/azimat) yang menjadi rebutan untuk berkuasa.
Namun demikian, naga tidak kuat kerana ‘tera’, tetapi disebabkan oleh kasih sayang - sebagaimana kata Mahaguru pada penghujung cerita. Kasih sayang itu suci daripada puteri, Cheng Lan (Yao Xing Tong), anak Mahaguru sendiri terhadap rakyatnya yang ditindas oleh puteri gila kuasa.
‘Tera’ itu hanya alat yang tidak bernyawa/benda mati (yang tidak sentiasa berguna),
sedangkan kasih sayang ialah perasaan yang baik (jika tidak berlebih-lebihan).
Justeru, semasa adegan pertarungan antara Cheng Lan dengan puteri gila kuasa,
‘tera’ itu sentiasa beralih tangan (di udara). Naga yang terpasung itu juga bebas hasil jurus jarak jauh oleh Mahaguru di dalam penjara.
Chan dan Schwarzenegger antara penerbit bersama filem ini. Watak Mahaguru dan Hook setaraf. Meskipun Hook ketua penjara, dan Mahaguru banduan, tetapi mereka bukan antagonis.
Dalam banyak filem terdahulu, watak ketua penjara itu antagonis. Wira yang terpenjara pula protagonis. Walau bagaimanapun, Hook menjalankan tugasnya,
sementara Mahaguru terpenjara kerana menentang British.
Pertarungan antara Chan dengan Schwarzenegger memang amat diharap, dan
ditunggu-tunggu. Mereka bertarung di dalam penjara. Namun demikian, agak kurang
klasik – tidak lama – barangkali kerana faktor usia. Ditambah pula Chan masih
mengekalkan kelucuan yang menjadi ‘trademark’nya ketika beradu tenaga.
Itu pun saya merasakan Jonathan Green hampir tenggelam, sedangkan dia watak
utama. Sementelah pelakonnya, Jason Flemyng kurang dikenali.
Penguasa yang zalim bersama-sama ‘kaki pukul’nya, dan orang kanan yang ‘tidak
seberapa', tetapi berlagak handal antara yang klise dalam filem ini. Cuma, yang menyuntik sedikit kelainan ialah rakyat terpedaya/tertipu dengan kesaktian para ‘kaki pukul’ itu. Mereka menyangkakan ilmu sihir. Namun demikian, Green yang ada
ilmu sains mengetahuinya, dan membongkar. Dia membantu rakyat memberontak
dan menewaskan semua ‘kaki pukul’ itu.
Filem yang menelan kos $49.1 juta ini lewat ditayangkan di Malaysia kerana menjalani beberapa proses tapisan, dan peraturan di China. Ramai yang tertarik dan
tertunggu-tunggu tayangannya kerana ia menampilkan gandingan Chan dan Schwarzenegger buat pertama kali.
Filem ini memulakan tayangannya di Rusia dan China pada 16 Ogos 2019 oleh Universal Pictures setelah selesai menjalani beberapa tapisan di China dan peraturan (pada mulanya ditangguhkan ke 19 September 2019). Di Filipina, ia
ditayangkan mulai 20 September 2019 sebagai The Dragon Seal oleh Pioneer Films.
Pada 5 April 2015 berlangsung sidang media di Moscow yang dihadiri penerbit
Alexey Petrukhin dan Sergei Selyanov (seorang lagi penerbit ialah Gleb Fetisov),
serta pelakon Jason Flemyng, Rutger Hauer, dan Anna Churina. Sidang media itu
memberitahu bahawa sekuel berjudul Viy 2: Journey to China, dimulakan. Pasukan
Lagak Ngeri Jackie Chan membantu koreografi adegan pertarungan.
Dalam usaha menarik pasaran antarabangsa, bintang filem ternama dunia turut ditampilkan seperti Chan. Pada November 2016, Chan diumumkan akan mendampingi Schwarzenegger.
Filem ini atau dalam judul lainnya, Journey to China: The Mystery of Iron Mask, dan The Mystery of Dragon Seal: The Journey to China, merupakan filem pengembaraan fantasi Rusia-China - gabungan Russian Film Group dan China Film Group Corporation (CFGC), sekuel bagi Viy (2014) yang ‘pecah panggung’, berdasarkan cerita Viy, karya Nikolai Gogol.
The Mystery of the Dragon Seal ini turut dibintangi Rutger Hauer (dalam salah
sebuah filem terakhirnya sebelum meninggal dunia) sebagai Duta, dan Charles Dance (melakonkan semula wataknya, Lord Dudley/dalam filem pertama).
Berlatarbelakangkan abad ke-18, filem ini membawa kisah Green, pelukis peta yang mengambil alih perjalanan tahayul dan saintifik dari England ke China.
Aleksandra Maghakyan menata muzik, dan Ivan Gudkov sebagai pengarah filem ini,
yang digambarkan dalam 3D dengan dua ARRI Alexa M menjadi STEREOTEC MID
Size Rig, dua ARRI Alexa Mini menjadi STEREOTEC Light Weight Rig, dan CODEX
Action Cam 3D kepada STEREOTEC Nano Rig.


No comments:

Post a Comment