SASTERA BUDAYA
AKIBAT MINUM 'JANDA PULANG'?
TIMBUL semula beberapa pertanyaan di benak
saya selepas menonton filem ini, iaitu pembikin filem menghasilkan karya mereka
untuk kepuasan hati, ataupun perkembangan/kemajuan perfileman Melayu negara,
atau memberi peluang pekerjaan kepada para penggiat terbabit?
Kepuasan
hati itu merangkumi hal memenuhi hasrat/impian sekian lama untuk menghasilkan
filem yang diidam-idamkan. Cita-cita akhirnya dapat dipenuhi setelah ada rezeki
– peluang dan kewangan.
Hal
perkembangan/kemajuan filem Melayu tanah air pula ialah mengangkat filem
berkenaan hingga mendapat perhatian/pujian pada peringkat kebangsaan, dan
antarabangsa. Niat tersebut memang sukar dijelmakan jika tanpa kesungguhan,
serta kekuatan meliputi kreativiti, dan kualiti.
Memberi
peluang pekerjaan kepada para penggiat memang sangat positif, dan dialu-alukan.
Ia diharap berterusan, dan kadar imbuhan meningkat dari semasa ke semasa. Yang
bernama pekerjaan itu wajar munasabah hasilnya, dan tidak tersekat-sekat.
Saya fikir Suraya, filem Melayu tempatan pertama
bagi tahun 2020, satu percubaan berani oleh penerbit baharu untuk filem pertama
terbitannya. Berani kerana corak filemnya sukar mendapat sambutan, dan
seolah-olah ‘membunuh diri’.
Memang ada
seni dalam beberapa aspek persembahannya. Namun demikian, saya teringat pada
beberapa baris lirik lagu ‘Cetak Rompak’, dendangan kumpulan Kembara (album Seniman Jalanan/1984), “memanglah seni kebanggaan/wang bukan perkara utama/tapi jikalau tanpa wang/apa dapatkah kita teruskan/andai terjadi pada diri anda/apakah agaknya yang dirasa”.
Suraya yang berdurasi 82 minit ini ialah
filem seram thriller dalam
klasifikasi P13,
terbitan
sulung Feisk Productions. Menurut penerbitnya, Iskander Azizuddin, Feisal
Azizuddin, dan
Retish Raghuni, Suraya yang diedarkan
oleh MM2 Entertainment ini
filem bajet mikro.
Saya lihat penerbitan Suraya
bertujuan menampilkan kelainan/pembaharuan dalam persembahan filem Melayu
tempatan.
Menurut
pelakon lelaki utama, Amir Rahim sebagai Adam, Suraya membuka peluang kepada muka baharu sepertinya, serta Farihin
Ufiya (Nabila), dan Yunadiah Mohamed (Aishah). Amir menyatakan kesyukuran dan
berharap dapat bekerjasama lagi dengan penerbit/pengarah Suraya dalam projek akan datang.
Walau
bagaimanapun, saya fikir penerbit boleh membikin filem yang berpotensi mendapat
sambutan hangat agar mereka memperoleh keuntungan untuk menerbitkan filem
seterusnya. Filem momentum perlahan seperti Suraya
memang sukar menarik ramai penonton. Posternya menarik, tetapi penonton yang
rasa tertipu tidak akan menjadi ‘pegawai promosi’ memberitahu rakan-rakan
mereka supaya mengeluarkan wang menonton Suraya.
Walaupun ada
konsep ‘sastera memimpin’, bukan ‘sastera terpimpin’ (filem juga
ialah karya
sastera kerana ia berasal daripada skrip/lakon layar), tetapi tidak wajar
juga
penerbit hanya mahu memuaskan hati, dan ‘syok sendiri’. Tidak salah, malah
dialu-alukan
prinsip dan pendirian sendiri.
Datuk Yusof
Haslam pun tidak menerbitkan Desolasi
(2016) sebagai filem pertama syarikatnya, Skop Productions Sdn Bhd (SPSB). Sebaliknya,
filem pertama terbitan/arahan beliau ialah Bayangan
Maut (1991) yang bercorak aksi lasak, dan ‘pecah panggung’. Desolasi, arahan Syafiq Yusof ialah
filem SPSB yang ke-37! Ia tidak laku, tetapi kewangan SPSB sudah mantap kerana banyak
filemnya ‘meletup’ di pawagam seperti Sembilu
(1994), Gerak Khas the Movie (2001), Evolusi KL Drift (2008), KL Gangster (2010), Abang Long Fadil (2014), KL
Special Force (2018), dan Munafik 2
(2018).
Khabarnya, Feisk
Productions sedang menyiapkan filem Temenggung
– juga dengan bajet mikro. Namun demikian, sampai bila ia mahu menggunakan
kaedah mikro bajet dalam penerbitan filemnya?
Memang Suraya ada seni dalam persembahannya, dan
prinsip/pendirian pembikinnya perlu dihormati. Walau bagaimanapun, sebagaimana
lirik lagu ‘Cetak
Rompak’
tadi, pulangan/kewangan juga perlu untuk meneruskan hasrat/prinsip dalam
berseni/kesenian. Saya fikir penerbit boleh mencuba filem seperti Suraya ini untuk filemnya yang ke-16,
atau ke-20 dan sebagainya. Pada awal-awal hayat elok ‘buat duit’ dahulu sambil mengemukakan/mempertahan
pendirian, atau gagasan.
Pada fikiran
saya, corak seram aksi lasak atau seram komedi lebih ‘selamat’. Perlu ada wajah
yang ‘boleh jual’ juga dalam barisan pelakonnya, tetapi jangan pula menganggap
atau memuktamadkan tanggapan bahawa seram aksi lasak/seram komedi, dan pelakon
popular sinonim dengan tiada kualiti. Hasilkanlah yang
berkualiti
tinggi. Bukan filem serius sahaja yang bermutu tinggi, dan layak memenangi anugerah
filem terbaik.
Seperti
biasa, saya sentiasa mencari di sebalik atau yang tersirat dalam sesebuah
filem. Latar
masa Suraya ialah sekarang. Saya
yakin pembikinnya yang berbangsa Melayu pun biasa hidup dalam kemodenan kerana
suka berbahasa Inggeris. Namun demikian, mereka masih ada kepercayaan klasik
Melayu. Penulis lakon layar, Mohamed Kamal Amir yang meninggal dunia (ketika
berusia 32 tahun) pun barangkali hidup dalam kemodenan.
Kalau saya
tidak silap, adegan kedua Suraya ada
memaparkan kaca bingkai gambar
Adam dan Nabila
bergambar berdua pecah setelah terjatuh dari meja bilik ketika mereka mahu
memulakan perjalanan. Telah banyak (dan masih ada) dalam filem dan drama
televisyen Melayu adegan piring/pinggan/cawan/gelas pecah tanpa sengaja/tiba-tiba,
kerana terjatuh itu alamat buruk. Saya tidak pasti sejauh mana kebenarannya.
Adakah kerana memang berlaku sedemikian, maka pembikin filem/drama televisyen
Melayu tempatan memasukkannya ke dalam karya mereka?
Awal-awal
lagi sudah memaparkan alamat buruk, dan itu terus melekat dalam minda penonton
yang peka. Jangkaan kejadian buruk akan berlaku kepada Adam dan
Nabila
memang tepat. Cuma, yang lebih buruk menimpa Adam kerana dibunuh oleh Aisyah
ketika cuba menyelamatkan Nabila.
Suraya membawa kisah Adam dan Nabila yang terkandas/terperangkap
di sebuah rumah inap desa kepunyaan balu jelita, Suraya (Ainul Aishah) dalam
perjalanan ke Kampung Gentam.
Adam dan
Nabila aktif di Youtube. Kemasyhuran
saluran mereka meningkat dengan mendadak hingga mencapai 20,000 subscribers dalam masa yang singkat. Sebagai
tanda terima kasih, serta memastikan saluran mereka lebih terkenal, Adam dan Nabila
bercadang untuk menyiarkan pengembaraan mereka ke seluruh Malaysia sambil
menikmati budaya tradisional dalam siaran mereka yang diberi nama
Duet Desa.
Untuk episod
pertama, Nabila memilih Negeri Sembilan yang terkenal dengan
budaya etnik
Minangkabau. Dalam perjalanan ke Kampung Gentam, mereka
kehilangan
rangkaian mobile dan GPS. Nabila dan
Adam mencuba sedaya-upaya
menuju ke
destinasi, tetapi akhirnya kesesatan. Dalam pencarian jalan keluar,
mereka
terserempak dengan Homestay Abadi kepunyaan Suraya.
Filem yang
sinematogarif dan penataan muziknya masing-masing oleh Alex Wong
Kam Thim,
dan Rendra Zawawi ini turut memaparkan amalan sihir, iaitu penggunaan
ubat
guna-guna/penunduk. Suraya yang tinggal dengan anak saudaranya, Aisyah
sudah
berusia lebih 100 tahun! Dia masih kelihatan cantik dan muda kerana mengamalkan
petua seorang tua yang sebenarnya jin, iaitu seks dengan lelaki, membunuh
manusia, dan meminum darah, termasuk ketua kampung. Dia tidak mati meskipun perutnya
ditikam oleh Adam. Ini klise.
Cara rahsia
terbongkar juga tidak banyak pilihan, sama ada oleh penceritaan
antagonis
sendiri atau individu lain yang lama terbabit. Pak Kassim (Azhar Amir),
menceritakan
rahsia Suraya, adiknya, kepada Nabila yang dikurung di dalam
bilik
bersama-sama Adam yang pengsan.
Menurut
cerita Pak Kassim yang juga ayah Aisyah, Adam berubah perangai dan bersikap kasar
dengan Nabila akibat meminum air ‘Janda Pulang’ buatan Suraya yang telah dijampi.
Adam terkena penunduk hingga menurut segala kata Suraya. Barangkali Pak Kassim
juga telah meminum air itu kerana dia pun bodoh hingga Nabila menyedarkannya,
tetapi mati ditikam oleh Aisyah.
Suasana
gelap dan samar, serta waktu malam lebih banyak daripada siang seperti
sinonim
dengan kisah seram. Benarkah itu logik dalam filem? Tidak seramkah jika
selalu
siang, dan suasana terang-benderang?
Penonton
tahu tiada internet di sekitar Homestay Abadi. Namun demikian, Adam boleh pula
melayari blog dalam komputer ribanya sambil melayani Suraya yang asyik bertanya
dengan manja.
Mengapa
seperti membodoh-bodohkan penonton? Adakah itu disengajakan untuk
mewajarkan/mencipta adegan Suraya menggoda Adam?
No comments:
Post a Comment