SASTERA BUDAYA


AKIBAT MINUM 'JANDA PULANG'?













TIMBUL semula beberapa pertanyaan di benak saya selepas menonton filem ini, iaitu pembikin filem menghasilkan karya mereka untuk kepuasan hati, ataupun perkembangan/kemajuan perfileman Melayu negara, atau memberi peluang pekerjaan kepada para penggiat terbabit?
Kepuasan hati itu merangkumi hal memenuhi hasrat/impian sekian lama untuk menghasilkan filem yang diidam-idamkan. Cita-cita akhirnya dapat dipenuhi setelah ada rezeki – peluang dan kewangan.
Hal perkembangan/kemajuan filem Melayu tanah air pula ialah mengangkat filem berkenaan hingga mendapat perhatian/pujian pada peringkat kebangsaan, dan antarabangsa. Niat tersebut memang sukar dijelmakan jika tanpa kesungguhan, serta kekuatan meliputi kreativiti, dan kualiti.
Memberi peluang pekerjaan kepada para penggiat memang sangat positif, dan dialu-alukan. Ia diharap berterusan, dan kadar imbuhan meningkat dari semasa ke semasa. Yang bernama pekerjaan itu wajar munasabah hasilnya, dan tidak tersekat-sekat.
Saya fikir Suraya, filem Melayu tempatan pertama bagi tahun 2020, satu percubaan berani oleh penerbit baharu untuk filem pertama terbitannya. Berani kerana corak filemnya sukar mendapat sambutan, dan seolah-olah ‘membunuh diri’.
Memang ada seni dalam beberapa aspek persembahannya. Namun demikian, saya teringat pada beberapa baris lirik lagu ‘Cetak Rompak’, dendangan kumpulan Kembara (album Seniman Jalanan/1984), “memanglah seni kebanggaan/wang bukan perkara utama/tapi jikalau tanpa wang/apa dapatkah kita teruskan/andai terjadi pada diri anda/apakah agaknya yang dirasa”.
Suraya yang berdurasi 82 minit ini ialah filem seram thriller dalam klasifikasi P13,
terbitan sulung Feisk Productions. Menurut penerbitnya, Iskander Azizuddin, Feisal
Azizuddin, dan Retish Raghuni, Suraya yang diedarkan oleh MM2 Entertainment ini
filem bajet mikro. Saya lihat penerbitan Suraya bertujuan menampilkan kelainan/pembaharuan dalam persembahan filem Melayu tempatan.
Menurut pelakon lelaki utama, Amir Rahim sebagai Adam, Suraya membuka peluang kepada muka baharu sepertinya, serta Farihin Ufiya (Nabila), dan Yunadiah Mohamed (Aishah). Amir menyatakan kesyukuran dan berharap dapat bekerjasama lagi dengan penerbit/pengarah Suraya dalam projek akan datang.
Walau bagaimanapun, saya fikir penerbit boleh membikin filem yang berpotensi mendapat sambutan hangat agar mereka memperoleh keuntungan untuk menerbitkan filem seterusnya. Filem momentum perlahan seperti Suraya memang sukar menarik ramai penonton. Posternya menarik, tetapi penonton yang rasa tertipu tidak akan menjadi ‘pegawai promosi’ memberitahu rakan-rakan mereka supaya mengeluarkan wang menonton Suraya.
Walaupun ada konsep ‘sastera memimpin’, bukan ‘sastera terpimpin’ (filem juga
ialah karya sastera kerana ia berasal daripada skrip/lakon layar), tetapi tidak wajar
juga penerbit hanya mahu memuaskan hati, dan ‘syok sendiri’. Tidak salah, malah
dialu-alukan prinsip dan pendirian sendiri.
Datuk Yusof Haslam pun tidak menerbitkan Desolasi (2016) sebagai filem pertama syarikatnya, Skop Productions Sdn Bhd (SPSB). Sebaliknya, filem pertama terbitan/arahan beliau ialah Bayangan Maut (1991) yang bercorak aksi lasak, dan ‘pecah panggung’. Desolasi, arahan Syafiq Yusof ialah filem SPSB yang ke-37! Ia tidak laku, tetapi kewangan SPSB sudah mantap kerana banyak filemnya ‘meletup’ di pawagam seperti Sembilu (1994), Gerak Khas the Movie (2001), Evolusi KL Drift (2008), KL Gangster (2010), Abang Long Fadil (2014), KL Special Force (2018), dan Munafik 2 (2018).
Khabarnya, Feisk Productions sedang menyiapkan filem Temenggung – juga dengan bajet mikro. Namun demikian, sampai bila ia mahu menggunakan kaedah mikro bajet dalam penerbitan filemnya?
Memang Suraya ada seni dalam persembahannya, dan prinsip/pendirian pembikinnya perlu dihormati. Walau bagaimanapun, sebagaimana lirik lagu ‘Cetak
Rompak’ tadi, pulangan/kewangan juga perlu untuk meneruskan hasrat/prinsip dalam berseni/kesenian. Saya fikir penerbit boleh mencuba filem seperti Suraya ini untuk filemnya yang ke-16, atau ke-20 dan sebagainya. Pada awal-awal hayat elok ‘buat duit’ dahulu sambil mengemukakan/mempertahan pendirian, atau gagasan.
Pada fikiran saya, corak seram aksi lasak atau seram komedi lebih ‘selamat’. Perlu ada wajah yang ‘boleh jual’ juga dalam barisan pelakonnya, tetapi jangan pula menganggap atau memuktamadkan tanggapan bahawa seram aksi lasak/seram komedi, dan pelakon popular sinonim dengan tiada kualiti. Hasilkanlah yang
berkualiti tinggi. Bukan filem serius sahaja yang bermutu tinggi, dan layak memenangi anugerah filem terbaik.
Seperti biasa, saya sentiasa mencari di sebalik atau yang tersirat dalam sesebuah
filem. Latar masa Suraya ialah sekarang. Saya yakin pembikinnya yang berbangsa Melayu pun biasa hidup dalam kemodenan kerana suka berbahasa Inggeris. Namun demikian, mereka masih ada kepercayaan klasik Melayu. Penulis lakon layar, Mohamed Kamal Amir yang meninggal dunia (ketika berusia 32 tahun) pun barangkali hidup dalam kemodenan.
Kalau saya tidak silap, adegan kedua Suraya ada memaparkan kaca bingkai gambar
Adam dan Nabila bergambar berdua pecah setelah terjatuh dari meja bilik ketika mereka mahu memulakan perjalanan. Telah banyak (dan masih ada) dalam filem dan drama televisyen Melayu adegan piring/pinggan/cawan/gelas pecah tanpa sengaja/tiba-tiba, kerana terjatuh itu alamat buruk. Saya tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Adakah kerana memang berlaku sedemikian, maka pembikin filem/drama televisyen Melayu tempatan memasukkannya ke dalam karya mereka?
Awal-awal lagi sudah memaparkan alamat buruk, dan itu terus melekat dalam minda penonton yang peka. Jangkaan kejadian buruk akan berlaku kepada Adam dan
Nabila memang tepat. Cuma, yang lebih buruk menimpa Adam kerana dibunuh oleh Aisyah ketika cuba menyelamatkan Nabila.
Suraya membawa kisah Adam dan Nabila yang terkandas/terperangkap di sebuah rumah inap desa kepunyaan balu jelita, Suraya (Ainul Aishah) dalam perjalanan ke Kampung Gentam.
Adam dan Nabila aktif di Youtube. Kemasyhuran saluran mereka meningkat dengan mendadak hingga mencapai 20,000 subscribers dalam masa yang singkat. Sebagai tanda terima kasih, serta memastikan saluran mereka lebih terkenal, Adam dan Nabila bercadang untuk menyiarkan pengembaraan mereka ke seluruh Malaysia sambil menikmati budaya tradisional dalam siaran mereka yang diberi nama
Duet Desa.
Untuk episod pertama, Nabila memilih Negeri Sembilan yang terkenal dengan
budaya etnik Minangkabau. Dalam perjalanan ke Kampung Gentam, mereka
kehilangan rangkaian mobile dan GPS. Nabila dan Adam mencuba sedaya-upaya
menuju ke destinasi, tetapi akhirnya kesesatan. Dalam pencarian jalan keluar,
mereka terserempak dengan Homestay Abadi kepunyaan Suraya.  
Filem yang sinematogarif dan penataan muziknya masing-masing oleh Alex Wong
Kam Thim, dan Rendra Zawawi ini turut memaparkan amalan sihir, iaitu penggunaan
ubat guna-guna/penunduk. Suraya yang tinggal dengan anak saudaranya, Aisyah
sudah berusia lebih 100 tahun! Dia masih kelihatan cantik dan muda kerana mengamalkan petua seorang tua yang sebenarnya jin, iaitu seks dengan lelaki, membunuh manusia, dan meminum darah, termasuk ketua kampung. Dia tidak mati meskipun perutnya ditikam oleh Adam. Ini klise.
Cara rahsia terbongkar juga tidak banyak pilihan, sama ada oleh penceritaan
antagonis sendiri atau individu lain yang lama terbabit. Pak Kassim (Azhar Amir),
menceritakan rahsia Suraya, adiknya, kepada Nabila yang dikurung di dalam
bilik bersama-sama Adam yang pengsan.
Menurut cerita Pak Kassim yang juga ayah Aisyah, Adam berubah perangai dan bersikap kasar dengan Nabila akibat meminum air ‘Janda Pulang’ buatan Suraya yang telah dijampi. Adam terkena penunduk hingga menurut segala kata Suraya. Barangkali Pak Kassim juga telah meminum air itu kerana dia pun bodoh hingga Nabila menyedarkannya, tetapi mati ditikam oleh Aisyah.
Suasana gelap dan samar, serta waktu malam lebih banyak daripada siang seperti
sinonim dengan kisah seram. Benarkah itu logik dalam filem? Tidak seramkah jika
selalu siang, dan suasana terang-benderang?   
Penonton tahu tiada internet di sekitar Homestay Abadi. Namun demikian, Adam boleh pula melayari blog dalam komputer ribanya sambil melayani Suraya yang asyik bertanya dengan manja.
Mengapa seperti membodoh-bodohkan penonton? Adakah itu disengajakan untuk mewajarkan/mencipta adegan Suraya menggoda Adam?    

No comments:

Powered by Blogger.