SAJAK









SILAP DAN KELIRU ITU…

 

 

sastera itu kata mereka

hanya cerpen hanya puisi

cerpen itu kata mereka

hanya cerita tidak bererti

puisi itu kata mereka

hanya ciptaan suka sendiri

 

novel penat untuk dibaca

tidak seperti majalah hiburan

 

sastera itu kata mereka

khayalan dan dongengan

teater itu kata mereka

hanya untuk tontonan

bukan perkara berguna

tidak membina kebendaan

 

budaya itu kata mereka

hanya tarian hanya nyanyian

tarian itu kata mereka

seronok ceria dengan hiburan

nyanyian itu kata mereka

disukai ramai zaman-berzaman

 

kata mereka

lagu untuk berlibur

tidak perlu berpesan-pesan

kata mereka

 

sampai bila begini

salah tafsir

sampai bila begini

salah tadbir

sampai bila begini

silap dan keliru

sampai bila begini

tidak mahu tidak tahu

 

cerpen itu cerita pendek

tetapi panjang falsafah nasihat

puisi moden puisi lama

ada pemikiran ada pesanan

 

novel memang panjang

tetapi bukan karya sumbang

teater bukan sekadar tontonan

ada teladan ada saranan

 

lirik lagu itu sastera

bukan cuma pelengkap irama

tanpanya tiada lagu

irama kurang merdu

lagu puisi juga sastera

biarpun kurang ternama

bait puisi kurang diminati

lirik lagu ramai ikuti

 

sampai bila begini

salah tafsir

sampai bila begini

salah tadbir

sampai bila begini

silap dan keliru

sampai bila begini

tidak tahu tidak mahu

 

membiasakan yang salah

menyalahkan yang betul

mengangkat yang salah

memijak yang betul

 

melintas dengan hormat

itu juga budaya

bangun subuh solat

ia juga budaya

tidak ‘tumbuk rusuk’

ia juga budaya

makan mesra sekeluarga

itu juga budaya

saling kita bermaafan

itu juga budaya

ikhlas pabila memberi

ia juga budaya

ada lagi banyak lagi

yang seumpama yang serupa

 

amat dituntut amat didamba

biarpun tidak semudah diucapkan

 

asal berkumpul suka ‘membawang’

memotong barisan dalam urusan

berjanji awal tetapi lewat

melanggar lampu isyarat

melanggar peraturan awam

memandu melebihi batas kelajuan

dan banyak lagi yang seumpama

semuanya tidak diingini

 

dalam sedar luar sedar

kita bersastera setiap hari

luar sedar dalam sedar

kita berbudaya saban hari

 

membiasakan yang betul

membetulkan yang biasa

 

 

RAJA YUSOF ARIFFIN

Petaling Jaya

No comments:

Powered by Blogger.