SASTERA BUDAYA


BERSAMA TAK SELAMANYA

 

SEPERTI tidak dapat dibendung, filem (dan drama televisyen) Melayu Malaysia terus

menyajikan kisah watak utama mahu berkahwin. Hal ini mengingatkan saya kepada

rungutan legenda hidup, Mat Sentol.

Pelakon/pengarah filem Melayu dalam siri Mat yang terkenal dengan syut elat itu

menyatakan (lebih 10 tahun lalu) bahawa beliau tidak lagi menonton filem dan drama 

televisyen Melayu kerana asyik menampilkan kisah watak sedemikian. Tegas

Mat Sentol, beliau bosan dan hairan tiada cerita yang bermanfaat dipaparkan seperti

perjuangan untuk hidup, dan kemajuan ekonomi.

Filem Jodoh Syaitan (JS) yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada

5 Mac 2020 lalu membawakan kisah serupa. Barangkali untuk kelainan, watak

utama, Megat (Soffi Jikan) ditemukan jodoh dengan gadis misteri yang sebenarnya

mayat yang dihidupkan semula. Megat, pemuda yang sering gagal bercinta, diminta

oleh ibunya, Mak Timah (Fauziah Nawi) pulang ke kampung kerana ingin

mengahwinkannya dengan Mawar (Aprena Manrose).

Kisah dalam JS memang rekaan. Cerita rekaan sering terdedah pada krisis/risiko

melalut, dan menyimpang. Mustahil/tidak wajar semua mayat yang dihidupkan

semula ialah syaitan. Sebenarnya, individu yang menghidupkan mayat dengan ilmu

hitamlah yang menjadi syaitan bertopengkan manusia. Dia menghidupkan mayat

gadis muda cantik untuk dijadikan pemuas nafsu syahwatnya.

Dalam JS, Tok Salleh (Kamarol Hj Yusof) bukan sahaja berzina dengan mayat yang

dihidupkannya kembali, tetapi turut membuat minyak pengasih daripada dagu mayat

yang dicucuh api lampu minyak tanah.

Saya fahami mengapa JS dihasilkan dalam bentuk seram komedi walaupun seram

serius mungkin lebih menarik. Judul sahaja sudah memberitahu penonton mengenai

ceritanya. Sementelah ada satu mayat yang terlepas setelah dihidupkan semula,

dan selepas beberapa lama, penonton dapat mengagak itulah Mawar.

Mak Timah pula bertemu dengan Mawar yang terbaring pengsan di tepi jalan pada

waktu subuh. Tok Salleh meminta dua orang pengikut/pembantunya, Awang (Jay

Iswazir), dan Kulop (Allahyarham Abam Bocey) mencari mayat hidup semula yang

terlepas itu.

Awang dan Kulop yang juga kawan baik Megat bekerja mencari mayat untuk dipaku,

dengan harapan ia hidup semula, dan dijadikan isteri Tok Salleh sebagai pemuas

nafsu seksnya.

Selepas beberapa lama bermenantukan Mawar, Mak Timah semakin sangsi, dan

kemu




ncaknya dia membaca surah Yaasin pada suatu malam. Mawar menjerit dan

pengsan! Tok Imam (Ustaz Dato’ Sharhan Shafie) yang diminta merawat Mawar

turut mengesyaki sesuatu yang buruk pada wanita itu. Mak Timah pun meninggalkan

rumahnya kerana rimas.

Meskipun dalam beberapa kali igauan Mawar muncul sebagai hantu (pontianak?),

itu hanya menguatkan lagi jangkaan penonton. Antara masalah/krisis tipikal yang

masih menghantui filem Melayu ialah jalan/kesudahan cerita mudah/boleh dijangka.

Saya fikir kelemahan utama JS yang menjalani penggambaran mulai 18 Julai 2018

di Pasir Puteh (Kelantan), dan Jertih (Terengganu) ini ialah identiti sebenar Mawar

terlalu cepat didedahkan. Mungkin baik jika lebih lama diselindungkan untuk

memancing tanda tanya penonton.

Oleh kerana judulnya berterus-terang, saya berpendapat lebih menarik kalau dibuat

plot twist, iaitu Mawar, gadis yang dilaporkan hilang dalam akhbar, masih hidup.

Justeru, tiada adegan Mak Timah membaca Yaasin, imbas kembali dia melihat

Mawar memanjat pokok tinggi dengan pantas membaiki buaian, ayam-ayamnya

bergelimpangan mati tanpa kaki, dan makan sup kaki ayam masakan Mawar.

Pendedahan identiti sedemikian menyebabkan antiklimaks. Jika ada penonton

menunggu sehingga tamat pun, itu mungkin kerana lakonan lucu Jay dan Abam

yang serasi.

Plot twist (walaupun mungkin ada yang mengatakan klise juga) boleh menimbulkan

keadaan/persoalan lain, iaitu tempat asal Mawar, punca kematiannya, dan mengapa

Tok Salleh, lelaki tua ‘gila seks’ itu menggilainya.

‘Syarahan’ ringkas Awang dan Kulop tentang mengingati Islam dan Allah kepada

watak lain tidak logik dituturkan oleh mereka yang bekerja untuk Tok Salleh. Namun

demikian, itu barangkali kerana penulis mahu menyindir orang yang munafik.

Penipuan dalam internet seperti penggunaan Facebook, WhatsApp, dan Bigo juga 

disindir/dibidas halus. Sebagai contoh, Megat mencari jodoh dengan menipuwajahnya. Si 

gadis (Nadia Farida) melenting marah kerana tertipu dengan Megat

setelah benar-benar jatuh cinta.

Namun begitu, lagu runut bunyi JS, ‘Bersama Tak Selamanya’ (perkataan yang turut

menjadi ‘tagline’ filem ini), nyanyian Dakme amat merdu, dengan vokal yang

mantap.

 

*penilaian 2.5/5


No comments:

Powered by Blogger.