ALBUM, TABUNG JIM MADASAMY YANG
PRIHATIN
PEMAIN bass kumpulan legenda tanah air, Blues Gang,Jim Madasamy memasang impian besar menterjemahkan lagu-lagu ciptaannya ke dalam sebuah album istimewa versi bahasa Tamil. Menurut Jim, muzik blues perlu dikomersialkan kepada masyarakat India, memandangkan persoalan yang dibicarakan dalam muzik ini sentiasa berkait rapat dengan kehidupan harian mereka.
Cita-cita Jim
itu cuba direalisasikan bersama-sama rakannya, Nelson Fernandez. Mereka telah
merakamkan sepenuhnya apa yang dirancang. Namun begitu, beberapa halangan seperti
kewangan, dan pasaran jualan album yang tidak begitu konsisten telah menangguhkan
pelancarannya. Pada 2018, Jim meninggal dunia akibat kegagalan jantung ketika
berusia 68 tahun.
Walaupun
tertunda hampir 12 tahun, tetapi hasil karya tersebut tetap segar untuk
dinikmati hingga ke hari ini. Selepas pemergian Jim, Nelson telah berbincang
dengan Dato’ Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan)
supaya album yang menjadi warisan Jim itu dapat dilancarkan sebagai memenuhi
impian akhir, dan penghormatan untuknya. Album tersebut diharapkan dapat berada
di pasaran dalam bentuk fizikal, dan digital serta mendapat tempat di media
massa seperti radio.
Hajat
tersebut akhirnya dapat dipenuhi apabila Datuk Seri Rajendran Ramasamy dari
syarikat Amalan Setar (M) Sdn Bhd berminat membantu dengan menyuntik dana
kewangan, dan membayar kos yang tertangguh di sepanjang pembikinan album itu.
Dari situ
timbul pula idea mewujudkan tabung amal yang mengabadikan nama mendiang, iaitu
‘Tabung Prihatin Artis Jim Madasamy’ dengan matlamat membantu para artis yang
menghadapi masalah keuzuran, dan kecemasan. Amalan Setar telah menyumbangkan
RM100,000 sebagai modal keseluruhan bagi menyiapkan kerja-kerja, dan proses
yang tertunda untuk album tersebut. Bakinya sebagai dana untuk tabung yang
bakal diuruskan oleh Karyawan, dan balu mendiang Jim, Soo Leak Meng.
Mendiang Jim
seorang yang sangat mudah mesra, dan suka bergaul tanpa sebarang perbezaan.
Mendiang antara contoh asimilasi perpaduan yang di sepanjang hayatnya sering
bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Sebagai
contoh, Jim bersama-sama Blues Gang yang mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu
(seperti ‘Apo Nak Dikato’, ‘Khatulistiwa’, ‘Sakit Sakit Sakit’ dan ‘Oh Mama
Saya mahu Kahwin’) yang popular. Mendiang sendiri berkahwin dengan wanita
keturunan Cina.
Pada 11 Ogos
2020 lalu, berlangsung majlis pelancaran album dan tabung Jim Madasamy yang bertemakan
‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’ itu di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya
dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Ia disempurnakan oleh Menteri Pelancongan,
Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Abdullah, dan Menteri Perpaduan
Negara, Datuk Wira Halimah Sadique.
Turut
menghadiri majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Dr Noor Zari Hamat; Blues Gang
yang diketuai vokalis utamanya Ito Mohd, penyanyi baharu, Bob Nathan; Nelson (penerbit
album), Freddie, Rajendran, dan Leak Meng.
Ito turut menghiburkan
hadirin dengan dendangan ‘Apo Nak Dikato’ bersama-sama kumpulan pelajar Fakulti
Muzik Aswara, sambil meniup bangsi. Bob Nathan menyanyikan dua lagu daripada
album dedikasi Jim berjudul Solla
Vanthein itu. Album mengandungi 10 lagu itu juga memuatkan ‘Apo Nak Dikato’
versi Tamil.
Dalam majlis
yang dikendalikan oleh pelakon komedi, Imuda itu, Dato’ Sri Nancy, dan Datuk
Halimah turut menyampaikan sumbangan kepada artis-artis yang menghadapi masalah
yang dinyatakan. Antara mereka ialah V. Sarangabani, Datin Paduka Julie Sudiro,
Aspalela Abdullah, Zaiton Sameon, dan Elyana. Leak Meng turut menerima
sumbangan yang disampaikan oleh Nancy, dan Halimah.
Album Solla Vanthein dipasarkan menerusi dalam
talian, iaitu portal dan digital. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Othman
Mahmood dan Sheikh Qalam Records menerusi 017 5511255 atau e-mel othman@sheikhqalamrecords.com.
Dalam
ucapannya, Nancy memuji lagu ‘Apo Nak Dikato’ dan ‘Oh Mama Saya Mahu Kahwin’
yang dinyanyikan dalam dialek Negeri Sembilan kerana menjadi contoh terbaik
menjadikan muzik sebagai alat memupuk perpaduan, dan meningkatkan keharmonian
antara kaum.
Nancy
menegaskan bahawa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Mostac) tidak pernah
meminggirkan penggiat-penggiat seni tanah air, baik mereka yang berkecimpung
dalam bidang seni, budaya dan warisan, mahupun bidang muzik, atau filem. Demikianlah,
tambah Nancy, dalam masalah yang sedang dihadapi, iaitu Covid-19 yang
menjejaskan mereka.
Menyedari
keadaan tersebut, Mostac telah mengambil inisiatif membantu 243 badan bukan
kerajaan (NGO) dalam bidang kesenian dan kebudayaan yang telah terkesan akibat
Covid-19 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Menurut
Nancy, bantuan berjumlah RM668 ribu telah diagihkan untuk memberi peluang
kepada NGO bangkit semula, dan terus berjuang mengangkat, dan memperkasakan
martabat seni, budaya dan warisan yang merupakan tanggungjawab kita
bersama-sama tanpa mengira di mana peringkat kerajaan.
No comments: