Pages

Friday, 31 May 2019

SASTERA BUDAYA



KERJASAMA KRU, KIDZANIA LAHIRKAN ANIMATOR KANAK-KANAK

















PADA 30 Mei 2019 lalu telah berlangsung majlis Pengumuman Rakan Kongsi Industri Rasmi di antara KRU dengan KidZania Kuala Lumpur di premis KidZania, Petaling Jaya, Selangor. Dengan laungan falsafah ‘Pelajari Kehidupan Hari Ini’, Studio Animasi KRU yang baharu di KidZania Kuala Lumpur akan menggalakkan pendedahan awal, dan pembelajaran animasi dalam kalangan kanak-kanak, serta memperkasakan mereka dengan kemahiran baharu untuk masa hadapan.
Dalam majlis pengumuman kerjasama itu, KidZania diwakili Datuk Bandar KidZania, Shahrul NizarAhmad, sementara Kumpulan Syarikat KRU diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRU Entertainment, Dato’ Norman Abdul Halim. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Hans Isaac, dan CEO FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. Shahrul, Norman dan Hans turut menyampaikan ucapan masing-masing.
Ini merupakan usaha KidZania Kuala Lumpur, sebuah pusat pembelajaran dan hiburan tertutup, memperkenalkan satu tarikan baharu kepada para pengunjung – sebuah studio animasi pembangunan terbaharu ini direalisasikan menerusi jalinan kerjasama dengan Kumpulan Syarikat KRU.
Menurut Shahrul, KidZania teruja dengan penglibatan pakar industri kreatif, Kumpulan Syarikat KRU bersama-samanya dalam misi memperluaskan ilmu pengetahuan, memupuk nilai, dan membangunkan bakat kanak-kanak.
Kanak-kanak generasi ini, tambah beliau, ialah pengguna kandungan sejak kecil, sama ada menerusi televisyen, telefon pintar, atau tablet. Oleh kerana kandungan dan teknologi akan menjadi teras kepada kerjaya generasi akan datang, aspirasi mereka akan diperluaskan lagi, dan menyediakan saluran untuk mereka bereksperimen lebih lanjut.
Tambah Shahrul, KidZania pasti kerjasama dengan Kumpulan Syarikat KRU ini akan meningkatkan lagi pengalaman pembelajaran mereka.
Dengan pembukaan Studio Animasi KRU, kanak-kanak berpeluang untuk mempelajari proses penghasilan animasi dari mula sehingga akhir. Antara aktiviti yang ditampilkan ialah penyediaan jalan cerita (storyline), dan penghasilan suara latar (voice over) bagi watak-watak yang telah dicipta.
Dato’ Norman pula menegaskan kerjasama yang terjalin ini tepat pada masanya kerana industri penciptaan kandungan kreatif telah menjalani evolusi, dan berkembang pesat. Kata beliau, KRU teruja untuk berganding tenaga dengan KidZania Kuala Lumpur kerana ia memberi peluang kepada pihaknya memberi sumbangan kepada industri dengan membentuk, dan mendidik anak-anak muda.
Tambah Norman, kita tidak dapat menyangkal bahawa kanak-kanak ialah antara pengguna kandungan yang terbesar, dan antara mereka yang telah menjadi penghasil kandungan yang berjaya. Justeru, kata beliau, kerjasama ini merupakan pakatan semula jadi, dan pihaknya akan berusaha menjayakannya dengan menggabungkan pengetahuan, pengalaman, dan harta intelek terbaharu KRU, iaitu ‘Zan Orangutan’, sebagai sebahagian daripada aktiviti dalam penubuhan ini.
Untuk merasmikan kerjasama antara KidZania dengan Kumpulan Syarikat KRU, Norman telah dipersembahkan dengan ‘Kunci ke Kota (Key to the City), satu lambang penghormatan yang dianugerahkan oleh sebuah kota kepada individu yang disanjungi.
Sementara itu, sumbangan kerjasama tersebut kepada kemajuan industri kreatif turut ditekankan oleh Dato’ Hans. Kata beliau, kerjasama ini ialah sebuah loncatan ke hadapan yang besar bagi masa hadapan yang lebih cerah untuk seni kreatif seperti animasi, dan produksi negara.
Jelas Hans lagi, ia memberikan pendedahan awal kepada anak-anak kecil, bukan sahaja dalam memupuk minat, malah memperkasakan mereka dengan kemahiran yang boleh diasah untuk menghasilkan bakat-bakat yang berkualiti untuk mendorong industri ke hadapan pada masa akan datang. Beliau amat teruja untuk menyaksikan potensi, dan hasil yang hebat daripada kerjasama ini.
Majlis tersebut turut dihadiri 40 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Ruma Amal Kebajikan Asnaf Anak Yatim yang dijemput oleh Kumpulan Syarikat KRU sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat atau CSR.
Sebelum majlis pengumuman tersebut, kanak-kanak jemputan diberi peluang untuk merasai sendiri keunikan KidZania Kuala Lumpur yang menawarkan pembelajaran interaktif, dan lakon peranan pekerjaan sebenar dalam kota bersaiz kecil yang dilengkapi bangunan, ekonomi yang berfungsi, destinasi terkenal dengan tajaan, dan penjenamaan dari syarikat tempatan, dan multinasional.
Dalam majlis yang sama, kanak-kanak jemputan turut menerima duit Raya, dan sumbangan penghargaan sebelum mereka menyertai tetamu lain untuk berbuka puasa di KidZania Kuala Lumpur.
Kanak-kanak yang berminat mempelajari animasi dengan lebih mendalam, Kumpulan Syarikat KRU menawarkan program AfterClass oleh Akademi KRU, yang mensasarkan kanak-kanak prasekolah, dan pelajar tahap permulaan, serta tahap lanjutan sekolah rendah.
Program AfterClass bertujuan meningkatkan kesedaran, memupuk minat dan membina bakat dalam bidang seni, dan produksi animasi dengan memberikan asas yang teguh untuk kreativiti, dan apresiasi seni. Para peserta akan diberikan peluang luas untuk mengemukakan idea, imaginasi, emosi, pemerhatian, dan pengalaman dalam prose pembelajaran mereka, seterusnya membolehkan mereka mengecapi keriangan ekspresi artistik.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
Eisy Tan, Pengarah Kanan Jenama
Telefon bimbit: +6017 203 2959/03 7710 3288

Lim Huei Yuah, Pengurus Kanan Jenama
Telfon bimbit: +012 635 3278/03 7710 3288

Awaina Arbee,
kidZania Kuala Lumpur, Rakan Pemasaran
telefon bimbit: +019 904 6139

Untuk pertanyaan mengenai kerjasama korporat, sila hubungi:

Salehah Zulkipli
KidZania Kuala Lumpur, Rakan Perkongsian Korporat
Telefon bimbit: +6013 431 4840
  

Monday, 27 May 2019


















SASTERA BUDAYA

MATIC PROMOSIKAN KETUPAT, DODOL

BUKAN sahaja para pelancong asing, warga tempatan, terutamanya generasi muda berpeluang melihat sendiri dan bersama-sama mencuba menyediakan bahan-bahan, dan memasak juadah tradisional bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1440 Hijrah.
Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia terpanggil untuk mengetengahkan juadah tradisional. Dua juadah tradisional yang terkenal, iaitu ketupat dan dodol menjadi pilihan Matic.
Aktiviti penyediaan bahan-bahan dan memasak dua juadah tersebut diadakan buat pertama kali di Matic pada 23 dan 24 Mei 2019 lalu. Menganyam ketupat dan memasak dodol itu diadakan bersempena dengan Program Santai Ramadan@ Matic selama dua hari. Ia memberi peluang kepada para pengunjung Matic untuk mencuba membuat sarung ketupat palas, dan ketupat nasi.
Mereka turut berpeluang melihat sendiri cara penyediaan bahan-bahan, serta cara memasak resipi ketupat, dan mengambil masa sehingga empat lima jam untuk dimasak, tidak termasuk proses membalut, serta menganyam daun ketupat.
Di samping ketupat, demonstrasi penyediaan membuat dodol turut dilakukan secara gotong-royong yang melibatkan Chef Selebriti yang kini turut berlakon, iaitu Chef Fikri, serta rakan-rakan artis seperti Taufiq Hanafi (pelakon Paskal The Movie), Zarina Maharaja Lawak, rakan-rakan artis dari Seniman, warga Matic yang terdiri daripada para penyewanya, pelajar Kolej Vokasional Setapak sebagai sukarelawan, dan kakitangan Matic sendiri.
Pengarah Matic, Rudy Irwan Shukaime menjelaskan, dua menu utama ini dipilih kerana ia masakan tradisi wajib yang menjadi pilihan utama sewaktu menyambut Aidilfitri. Ia juga bertujuan memberi pendedahan kerana masyarakat masa kini hanya tahu menikmati juadah ketupat, dan dodol sewaktu musim perayaan. Namun begitu, kebanyakan mereka tidak mengetahui cara penyediaannya.
Ia juga dapat memberi malumat kepada pelancong asing mengenai keistimewaan juadah tradisi yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia ini. Tidak ramai anggota masyarakat yang tahu menyediakan, dan memasak juadah tradisi ini kerana agak rumit, dan mengambil masa yang lama.
Usaha Matic ini wajar dipuji kerana bertujuan memelihara, sekali gus mempromosikan ketupat dan dodol kepada pelancong, serta masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda.
Aktiviti ini juga turut memberi pendedahan, serta peluang kepada masyarakat Malaysia untuk mempelajari cara-cara penyediaan juadah berkenaan agar tidak hilang ditelan masa, dan kekal diwarisi masyarakat Malaysia.
Boleh dianggap sebagai berita baik, Matic bercadang untuk mengadakan aktiviti sebegini setiap tahun pada Ramadan.

















SASTERA BUDAYA

GANDINGAN AKIM, HAZAMA ATASI MARA BAHAYA

AKIM Ahmad dan Hazama selalu muncul di pentas nyanyian dengan mencipta gaya, dan cara nyanyian mereka yang tersendiri. Kini mereka mengukuhkan persahabatan dengan muncul dalam filem Marabahaya Underground terbitan D’Edge Communication (M) Sdn Bhd.
Menariknya, pihak Movie Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh, Perak turut berkolaborasi dengan D’Edge Communication (M) Sdn Bhd bagi menjayakan filem bercorak aksi komedi sukan permotoran ini.
Diarahkan oleh pengarah filem ‘pecah panggung’ Bikers Kental, dan Bikers Kental 2, Helmi Yusof dengan lakon layar tulisan Subroto Katimin, Marabahaya Underground turut dibintangi Dayana Roza.
Menuntut komitmen dan kemahiran mereka untuk mempamerkan aksi lasak sukan permotoran menjadi cabaran buat Akim, dan Hazama.
Akim memegang watak Fison Hamdi. Katanya, dia terus bersetuju sebaik sahaja ditawarkan membintangi Marabahaya Underground. Jelasnya, itu disebabkan ia hampir dengan dirinya. Sementelah kebelakangan ini, jelas Akim, dia bergiat dalam bidang permotoran kereta.
Justeru, kata Akim, dia boleh merealisasikan serba sedikit unsur berlumba dalam filem tersebut. Sebagai tanda serius membawakan watak Fison, Akim berusaha menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram. Itu dilakukan kerana Fison berusia 21 tahun.
Dalam masa dua bulan, Akim berjaya menurunkan berat badannya dari 74 kilogram ke 64 kilogram. Menurutnya, dia hanya mengamalkan intermittent fasting, iaitu mengambil makanan berat dari jam 9 pagi sehingga 3 petang sahaja setiap hari.
Hazama yang membawakan watak Shah Dhani pula menjelaskan, tawaran yang diterima menjadi peluang yang baik untuk dirinya. Dia menerima pelawaan itu kerana datang daripada Cat Farish yang merupakan sahabatnya.
Sementelah pula, kata Hazama, penggambaran dilakukan pada Ramadan, dan dia tiada sebarang aktiviti. Katanya, dia dan Akim begitu teruja mahu melakukan aksi permotoran, dan kenderaan dalam filem ini. Kata Hazama lagi, ketika melakukan aksi drift dalam majlis pelancaran pun dia sudah berdebar-debar.
Sementara Dayana Roza, 28, yang mengaku berdebar-debar sewaktu ikut terbabit dalam aksi drift semasa pelancaran Marabahaya Underground di taman tema MAPS tempoh hari turut tidak sabar untuk memulakan penggambaran.
Jelas Dayana, dia hanya membuat persediaan fizikal memandangkan filem ini menjalani penggambaran dalam Ramadan, di Perak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Shafeii Abdul Gaffor, filem yang mendapat kerjasama kerajaan negeri Perak, dan Tourism Perak ini akan menjadikan taman tema tersebut sebagai lokasi utama penggambaran.
Jelas Shafeii, antara sebab pihaknya bekerjasama dengan Cat Farish selaku penerbit filem Marabahaya Underground ialah jalan ceritanya mengisahkan sukan permotoran. Kebetulan MAPS antara tempat di Ipoh yang mengadakan sukan drift setiap hari, dan menjadi tumpuan para pengunjung.
Marabahaya Underground telah memulakan penggambaran pada 10 Mei lalu. Selain di taman tema MAPS, penggambaran turut dilakukan di Gopeng, Tanjung Tualang, Teluk Intan, Batu Gajah, Johor, Cameron Highlands, dan Genting Highlands.
Filem yang menggunakan bahasa Melayu, Tamil, dan Cina ini membawa kisah Fison Hamdi, seorang pelajar dari Ipoh, Perak yang lebih mesra dipanggil Chon. Dia yang datang dari keluarga sederhana, memiliki sebuah kereta Myvi yang diubahsuai kepada sebuah kereta sporty dan ranggi.
Pelajar di sebuah kolej di Ipoh itu amat meminati sukan drift. Dia amat meminati jaguh sukan drift di Ipoh, Shah Dhani. Gambar Shah Dhani terpampang di biliknya. Chon selalu pergi ke acara sukan drift, sama ada melihat pameran ataupun ikut serta di litar lumba. Dari situ dia mengagumi Shah Dhani.
Chon seorang pemuda rajin mencari wang dan fokus pada apa yang diingininya, iaitu memiliki sebuah kereta drift. Untuk menambah pendapatan, Chon menjadikan kereta Myvi miliknya sebagai kereta grab. Pelbagai gelagat lucu dan ragam di sepanjang dia memandu kereta grab.
Meskipun berstatus jaguh sukan drift, tetapi Shah Dhani sebenarnya menghadapi banyak masalah. Hutangnya bertimbun, dan menjadi buruan samseng. Untuk melangsaikan hutangnya, dia sanggup berlumba haram. Walau bagaimanapun, masih belum selesai.
Shah Dhani ialah pelumba lagak ngeri kereta drift di taman tema MAPS, yang juga taman tema animasi pertama di Asia. Itulah pekerjaan utamanya.
Chon dan Shah Dhani mula berkenalan apabila Chon datang ke MAPS dan melihat jaguh sukan itu beraksi. Ketika sesi bergambar, Chon merayu kepada Shah Dhani supaya mengambilnya sebagai anak murid. Hubungan mereka semakin akrab. Chon belajar berlumba drift dengan Shah Dhani sama ada di trek taman tema MAPS mahupun di litar haram sehingga dia mahir.
Mereka juga rapat dengan ketua pomen di taman tema MAPS, Ayai. Pada suatu hari, Ayai menawarkan kepada Chon supaya membeli sebuah kereta drifIt. Chon cuma perlu menyambung bayar sahaja.
Inilah peluang memenuhi impian yang ditunggu-tunggu oleh Chon. Atas dorongan dan idea Ayai dan Shah Dhani, Chon bersetuju membeli kereta drift itu.
Kemudian kereta drift Chon dijadikan sebuah kereta grab yang istimewa. Pelbagai gelagat timbul daripada perkhidmatan yang ditawarkan oleh Chon, sehinggalah perkenalannya dengan seorang gadis cantik, Intan Farhana (Dayana Roza). Untuk mendapatkan cinta Intan Farhana, bermacam-macam cara dilakukannya supaya gadis itu melanggan kereta grabnya.

Tuesday, 21 May 2019


SASTERA BUDAYA







MASJID, SURAU SELURUH WP TERIMA SUMBANGAN RAMADAN

PADA 21 Mei 2019, bersamaan 16 Ramadan 1440 lalu telah berlangsung Program Agihan Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Serba Guna, Masjid Jamek Kampong Bharu, Kampong Bharu, Kuala Lumpur.
Pengagihan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Haji Abdul Khalid Samad. Turut hadir termasuklah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang; Pengerusi Masjid Jamek Kampong Bharu, Dato’ Idris Sha’ari Mat Aris; Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Haji Zulkurnain Hassan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Zaizalnizam Zainun.
Sumbangan bersempena dengan Ramadan itu diberikan kepada wakil dari 71 masjid, 77 surau Jumaat, dan 330 surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam ucapannya, Khalid menegaskan kerajaan memang bertanggungjawab memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Antara kaedah untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut ialah dengan membantu mereka yang memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi pada Ramadan yang penuh kemuliaan ini.
Selari dengan dorongan Islam, tambah Khalid, kementerian beliau juga mahu mengambil kesempatan pada Ramadan yang penuh berkat untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada masjid, surau Jumaat, dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan.
Khalid berharap sumbangan (masjid RM3,000, surau Jumaat RM2,000, dan surau RM1,000) yang diagihkan sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan yang ditanggung oleh pihak pengurusan masjid/surau dalam melaksanakan pelbagai program yang mengimarahkan masjid/surau masing-masing.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada wakil-wakil masjid/surau yang merupakan wakil-wakil komuniti, ‘orang kuat’ masjid dan surau yang telah bersungguh-sungguh melaksanakan aktiviti dalam memeriahkan lagi sambutan Ramadan.
Mengenai Kampong Bharu secara khusus, Khalid tidak menafikan keistimewaannya sehingga pelbagai lapisan pimpinan negara turut ‘turun padang’. DYMM Sultan Selangor, misalnya, tidak pernah terlepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampong Bharu setiap tahun.
DYMM Raja Permaisuri Agong juga berkenan mencemar duli ‘turun padang’, dan berkongsi resipi bubur lambuk di masjid yang sama beberapa hari lalu. Justeru, tegas Khalid, memang wajar Kampong Bharu dijadikan tuan rumah program ini.
Sejak akhir-akhir ini, Kampong Bharu menjadi sebutan di rangkaian-rangkaian media. Tegas Khalid, Kampong Bharu telah menjadi antara keutamaan pada peringkat kementerian beliau untuk memastikan perancangan yang bakal diatur, dan dilaksanakan ialah yang terbaik, dan memberi manfaat maksimum kepada seluruh pemilik, dan pewaris tanah di Kampong Bharu.
Perancangan yang dilaksanakan, tambah Khalid, harus secara menyeluruh. Perancangan, katanya, harus bukan sahaja dari aspek pembangunan fizikal, tetapi juga dari aspek penyediaan infrastruktur, keperluan awam, penjanaan ekonomi, dan yang lebih penting, mampu memberi pulangan setimpal kepada pemilik/pewaris yang telah lama menunggu untuk menikmati pembangunan yang telah sekian lama dirancang.
Menurut Khalid, kawasan tanah MAS khususnya yang berkeluasan 220 ekar yang fizikalnya tidak teratur, dan perlu segera diberikan wajah baharu agar seimbang dengan pembangunan di kawasan sekitar.
Justeru, PKB, tegas Khalid, mempunyai peranan yang amat penting dalam mencorakkan pembangunan masa hadapan Kampong Bharu, dan semestinya usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak, termasuklah pemilik/pewaris tanah di Kampong Bharu.
Menurut Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu, kita perlu mengakui masalah yang melibatkan penyelesaian harta pusaka telah menjadi faktor rancangan pembangunan Kampong Bharu berjalan sedikit perlahan.
Sehubungan itu, Khalid berharap pemilik/pewaris tanah dapat memberikan kerjasama untuk memudahkan kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik. Manfaat yang terbaik kepada pemilik/pewaris, dan pengekalan unsur keMelayuan, tambah beliau, akan menjadi keutamaan dalam menentukan perancangan pembangunan Kampong Bharu.
Sebelum mengagihkan sumbangan, Khalid turut mengagihkan makanan kegemaran umum dan ‘signature menu’ Kampong Bharu, iaitu bubur lambuk Kampong Bharu selepas solat asar di masjid yang sama.    
Turut menghadiri program tersebut ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Haji Mohd Ajib Ismail; Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ibrahim Yusoff; Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Datuk Haji Mustafa Mohd Nor; dan Pengerusi Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Haji Azizi Ab Hamid Al-Hafiz.