SASTERA BUDAYA
GANDINGAN AKIM, HAZAMA ATASI MARA BAHAYA
AKIM Ahmad dan Hazama selalu muncul di pentas
nyanyian dengan mencipta gaya, dan cara nyanyian mereka yang tersendiri. Kini
mereka mengukuhkan persahabatan dengan muncul dalam filem Marabahaya
Underground terbitan D’Edge Communication (M) Sdn Bhd.
Menariknya, pihak Movie Animation Park Studios
(MAPS) di Ipoh, Perak turut berkolaborasi dengan D’Edge Communication (M) Sdn
Bhd bagi menjayakan filem bercorak aksi komedi sukan permotoran ini.
Diarahkan oleh pengarah filem ‘pecah panggung’ Bikers
Kental, dan Bikers Kental 2, Helmi Yusof dengan lakon layar tulisan
Subroto Katimin, Marabahaya Underground turut dibintangi Dayana Roza.
Menuntut komitmen dan kemahiran mereka untuk
mempamerkan aksi lasak sukan permotoran menjadi cabaran buat Akim, dan Hazama.
Akim memegang watak Fison Hamdi. Katanya, dia terus
bersetuju sebaik sahaja ditawarkan membintangi Marabahaya Underground. Jelasnya,
itu disebabkan ia hampir dengan dirinya. Sementelah kebelakangan ini, jelas
Akim, dia bergiat dalam bidang permotoran kereta.
Justeru, kata Akim, dia boleh merealisasikan serba
sedikit unsur berlumba dalam filem tersebut. Sebagai tanda serius membawakan
watak Fison, Akim berusaha menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram. Itu dilakukan
kerana Fison berusia 21 tahun.
Dalam masa dua bulan, Akim berjaya menurunkan berat
badannya dari 74 kilogram ke 64 kilogram. Menurutnya, dia hanya mengamalkan intermittent
fasting, iaitu mengambil makanan berat dari jam 9 pagi sehingga 3 petang sahaja
setiap hari.
Hazama yang membawakan watak Shah Dhani pula menjelaskan,
tawaran yang diterima menjadi peluang yang baik untuk dirinya. Dia menerima pelawaan
itu kerana datang daripada Cat Farish yang merupakan sahabatnya.
Sementelah pula, kata Hazama, penggambaran dilakukan
pada Ramadan, dan dia tiada sebarang aktiviti. Katanya, dia dan Akim begitu teruja
mahu melakukan aksi permotoran, dan kenderaan dalam filem ini. Kata Hazama lagi,
ketika melakukan aksi drift dalam majlis pelancaran pun dia sudah
berdebar-debar.
Sementara Dayana Roza, 28, yang mengaku berdebar-debar
sewaktu ikut terbabit dalam aksi drift semasa pelancaran Marabahaya
Underground di taman tema MAPS tempoh hari turut tidak sabar untuk
memulakan penggambaran.
Jelas Dayana, dia hanya membuat persediaan fizikal
memandangkan filem ini menjalani penggambaran dalam Ramadan, di Perak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Shafeii
Abdul Gaffor, filem yang mendapat kerjasama kerajaan negeri Perak, dan Tourism
Perak ini akan menjadikan taman tema tersebut sebagai lokasi utama
penggambaran.
Jelas Shafeii, antara sebab pihaknya bekerjasama
dengan Cat Farish selaku penerbit filem Marabahaya Underground ialah jalan
ceritanya mengisahkan sukan permotoran. Kebetulan MAPS antara tempat di Ipoh yang
mengadakan sukan drift setiap hari, dan menjadi tumpuan para pengunjung.
Marabahaya Underground telah memulakan penggambaran
pada 10 Mei lalu. Selain di taman tema MAPS, penggambaran turut dilakukan di Gopeng,
Tanjung Tualang, Teluk Intan, Batu Gajah, Johor, Cameron Highlands, dan Genting
Highlands.
Filem yang menggunakan bahasa Melayu, Tamil, dan
Cina ini membawa kisah Fison Hamdi, seorang pelajar dari Ipoh, Perak yang lebih
mesra dipanggil Chon. Dia yang datang dari keluarga sederhana, memiliki sebuah
kereta Myvi yang diubahsuai kepada sebuah kereta sporty dan ranggi.
Pelajar di sebuah kolej di Ipoh itu amat meminati
sukan drift. Dia amat meminati jaguh sukan drift di Ipoh, Shah
Dhani. Gambar Shah Dhani terpampang di biliknya. Chon selalu pergi ke acara
sukan drift, sama ada melihat pameran ataupun ikut serta di litar lumba.
Dari situ dia mengagumi Shah Dhani.
Chon seorang pemuda rajin mencari wang dan fokus pada
apa yang diingininya, iaitu memiliki sebuah kereta drift. Untuk menambah
pendapatan, Chon menjadikan kereta Myvi miliknya sebagai kereta grab. Pelbagai
gelagat lucu dan ragam di sepanjang dia memandu kereta grab.
Meskipun berstatus jaguh sukan drift, tetapi
Shah Dhani sebenarnya menghadapi banyak masalah. Hutangnya bertimbun, dan
menjadi buruan samseng. Untuk melangsaikan hutangnya, dia sanggup berlumba haram.
Walau bagaimanapun, masih belum selesai.
Shah Dhani ialah pelumba lagak ngeri kereta drift
di taman tema MAPS, yang juga taman tema animasi pertama di Asia. Itulah pekerjaan
utamanya.
Chon dan Shah Dhani mula berkenalan apabila Chon
datang ke MAPS dan melihat jaguh sukan itu beraksi. Ketika sesi bergambar, Chon
merayu kepada Shah Dhani supaya mengambilnya sebagai anak murid. Hubungan mereka
semakin akrab. Chon belajar berlumba drift dengan Shah Dhani sama ada di
trek taman tema MAPS mahupun di litar haram sehingga dia mahir.
Mereka juga rapat dengan ketua pomen di taman tema MAPS,
Ayai. Pada suatu hari, Ayai menawarkan kepada Chon supaya membeli sebuah kereta
drifIt. Chon cuma perlu menyambung bayar sahaja.
Inilah peluang memenuhi impian yang ditunggu-tunggu
oleh Chon. Atas dorongan dan idea Ayai dan Shah Dhani, Chon bersetuju membeli
kereta drift itu.
Kemudian kereta drift Chon dijadikan sebuah
kereta grab yang istimewa. Pelbagai gelagat timbul daripada perkhidmatan yang
ditawarkan oleh Chon, sehinggalah perkenalannya dengan seorang gadis cantik, Intan
Farhana (Dayana Roza). Untuk mendapatkan cinta Intan Farhana, bermacam-macam cara
dilakukannya supaya gadis itu melanggan kereta grabnya.
No comments:
Post a Comment