Pages

Sunday, 14 April 2019

SELERA

Dua Ratus Juadah Buka Puasa 2019/1440 Aroma D’AnCasa

RAMADAN bulan suci yang mulia bagi umat Islam di seluruh dunia. Untuk tahun ini, umat Islam di negara kita dijangka mula berpuasa pada 6 Mei 2019. Selain larangan dan suruhan demi meraih ganjaran pahala berpuasa, waktu berbuka puasa merupakan saat yang berbahagia bagi umat Islam.
Ada yang suka berbuka puasa di rumah, di masjid atau surau, dan dalam majlis jemputan. Ramai juga yang gemar beriftar di hotel, terutama yang mampu. Bukan perkara asing lagi pihak hotel turut menyediakan atau menawarkan pakej menu berbuka puasa untuk para pelanggannya.
Antara hotel yang tidak ketinggalan dalam hal ini ialah AnCasa Hotel & Resorts. Untuk Ramadan tahun ini, ia menyediakan pelbagai juadah menarik dan lazat yang tidak akan menghampakan, dan dilupakan oleh para pelanggannya. Briged dapurnya, Saffron Brasserie diberi tanggungjawab besar memenuhi selera para pengunjung dengan menu dari setiap negeri di Malaysia.
Hidangan ala kampung yang beraneka jenis disediakan untuk berbuka puasa dan makan malam. Bagi mereka yang ingin berbuka puasa di ibu kota, jangan teragak-agak lagi untuk menikmati promosi ‘Aroma D’Ancasa’ di Saffron Brassie, AnCasa Hotel & Spa Kuala Lumpur.
Para tukang masak berpengalaman luas dalam masak-memasak makanan tradisional Melayu bergabung idea menghasilkan resipi tradisional yang berbeza, dan unik mengikut cara mereka. Para pelanggan akan menikmati lebih 200 masakan kampung di sepanjang Ramadan tahun ini. Warong-warong akan ditempatkan di restoran dengan pelbagai nama yang inovatif seperti Warong Kak Ana, Warong Pak Helmi, Warong Mamu Shah, Warong Juan Nour, Warong Kak Ayu, dan Warong Uncle Lim.
Untuk membuka selera, boleh dapatkan salad yang banyak disediakan di Warong Kak Ana seperti ‘Ulam-ulaman Kampung Kerabu Taugeh’ dan ‘Jelatah Timun’. Pelbagai kegemaran seperti ‘Begedil Ayam’, ‘Sambal Hijau’, ‘Sambal Hitam’, dan ‘Sambal Tempoyak’ jangan dilepaskan.
Juadah yang lebih berat termasuklah ‘Ayam Golek Berempah’, ‘Gulai Kawah Kambing’, ‘Sotong Sumbat Tiga Rasa’, dan ‘Sambal Goreng Jawa’. Terdapat juga ‘Roasted Lamb’ yang dihasilkan daripada ramuan rahsia rempah-ratus dan panggangan yang sempurna, ‘Pais Ikan Pekan’ dari Pahang, dan ‘Makanan Laut Masak Lemak Cili Api’ Negeri Sembilan istimewa disediakan oleh para tukang masak dari AnCasa Hotel & Resorts.
Juadah harian juga istimewa disediakan di pelbagai warong dengan menu seperti ‘Mi Kari Gear Box’, ‘Rendang Itik Minang’, ‘Sup Ayam Kampung’, bersama-sama ‘Roti Benggali’, ‘Ayam Panggang PD’, dan ‘Opor Daging Pahang’.
Pencuci mulut tradisional menarik juga tidak dilupakan seperti ‘Serawa Durian’. ‘Kuih Ketayap’, ‘Lempeng Kelapa’, dan ‘Kale Kacang’. Begitu juga dengan pencuci mulut Barat, tamar, buah-buahan segar, ‘Teh Tarik’, dan banyak lagi.
Satu lagi menu yang perlu dicuba oleh pelanggan ialah ‘Tandoori Chai’. Ia merupakan teh istimewa hasil adunan rempah aroma rahsia. Rasanya yang seperti teh halia, tetapi lebih keras sedikit sukar dilupakan.
Sambil beberapa juadah istimewa disediakan, sebahagian daripadanya digilirkan untuk manfaat para pelanggan hotel juga. Kesimpulannya, juadah berbuka puasa Ramadan kali ini ialah Timur bertemu Barat.
Untuk lebih menyempurnakan ibadat puasa, pihak hotel turut menyediakan surau di Tingkat Mezzanine, AnCasa Hotels & Spa, Kuala Lumpur.
Juadah secara ‘walk-in’ berharga RM70 setiap seorang untuk dewasa, dan RM40 setiap seorang untuk kanak-kanak. Baucar sebelum makan juga disediakan, iaitu RM60 setiap seorang untuk dewasa, sah sehingga 30 April 2019. Untuk tempahan, sila hubungi 03 20266060 sambungan 7703.
Berikut ialah harga bagi setiap juadah:
AnCasa Royale, Pekan, Pahang
RM70.00 untuk dewasa                    RM40.00 kanak-kanak (5-12 tahun)
Baucar Datang Awal RM58.00 setiap seorang
AnCasa Residences, Port Dickson, Negeri Sembilan

RM55.00 untuk dewasa                    RM30.00 kanak-kanak (5-12 tahun)
Baucar Datang Awal RM45.00 setiap seorang
Bagi para pelanggan yang mahukan berbuka puasa sendirian bersama-sama kawan atau keluarga, AnCasa Hotel & Spa Kuala Lumpur menawarkan menu pilihan dengan harga bermula dari RM90.00 setiap seorang bagi minimum 80 orang.
Untuk tempahan, sila hubungi Sarimah menerusi talian 03 20066060 sambungan 7700.

Mazlin Abdul Malik
Group Public Relations Manager
03 20266060 sambungan 7900

Nur Aliah Najla Abdullah
Public Relations Assistant
03 20266060 sambungan 7901

























Wednesday, 3 April 2019

SASTERA BUDAYA

PENYANYI TERKENAL BERNAZAR UMRAH

KISAH anak muda kampung pergi ke kota kerana mahu menjadi penyanyi terkenal sudah basi dalam filem Melayu tempatan. Jadi, mengapa filem ‘Tiada Tajuk’ ini masih menarik ditonton?
Filem sulung terbitan Mawi World Entertainment ini mengisahkan tiga orang sahabat, iaitu Abadi (Hazama), Rumi (Joey Daud), dan Kuswadi (Along Cham) dari Kampung Laut Menyanyi yang dianggap sebagai ‘kutu’, ingin menjadi penyanyi terkenal di Kuala Lumpur. Mereka menempuhi banyak dugaan.
Klise, tetapi ada beberapa perbezaan yang membuat Tiada Tajuk wajar ditonton. Pertama, Abadi, Rumi dan Kuswadi bernazar akan mengerjakan umrah setelah menjadi penyanyi terkenal. Mereka juga mahu membawa pemuda yang dianggap gila, Bo (Mas Lobo) bersama-sama ke Mekah. Belum pernah calon penyanyi berjaya mahu bernazar.
Kedua, biasanya, anak muda yang sedemikian ditipu. Abadi, Rumi, dan Kuswadi menyangka Ustaz Mutawasitah (Kamarul Hj. Yusof), pemilik syarikat Tasawuf Records memungkiri janji. Sebenarnya, Ustaz Mutawasitah@ Ustaz Mut ‘keluar’ menyucikan diri mengikut kumpulan tabligh tanpa sempat memberitahu tiga orang sahabat itu.
Ketiga, selalunya pemilik syarikat rakaman lagu ialah orang biasa. Walau bagaimanapun, individu berkenaan dalam filem ini ialah agamawan, kenalan Pak Imam (Ropie), yang membantu Abadi, Rumi, dan Kuswadi menyertai pertandingan nasyid, sekali gus menjadi juara.
Abadi, Rumi dan Kuswadi mendapat bimbingan agama daripada Pak Imam yang menemui mereka tidur di masjid sebelum subuh, selepas terdampar di‘tinggalkan’ oleh Ustaz Mut. Pak Imam juga telah mengubah citra/cita-cita mereka kepada penyanyi nasyid (walaupun Abadi ‘skinhead’, Rumi ‘rock’, dan Kuswadi ‘punk’).
Walaupun ‘Tiada Tajuk’ filem komedi Islam pertama Malaysia, tetapi, menurut Mawi (pengarah/penulis lakon layar filem sulungnya ini), dia hanya mahu berkongsi beberapa perkara penting dalam Islam kepada masyarakat, bukan mengajar.
Konsep filem komedi Islam pertama Malaysia ini menjadi satu lagi sebab ‘Tiada Tajuk’ perlu ditonton. Ia tidak mengecewakan, kerana komedinya menerusi dialog, dan peristiwa (yang paparannya menurut Mawi tidak dipaksa-paksa) memikat.
Filem olahan semula daripada telemovie ‘Rock Sangkut’ yang diminati ramai di Astro pada tahun 2014 (Hazama, Along Cham, dan Joey Daud dikekalkan) ini sarat dengan sindiran. Meskipun persoalan berat yang dibawakannya basi, tetapi masih boleh diterima kerana penyampaian yang ringan dan bersahaja. Ada beberapa perkara yang nampak remeh, dan besar yang boleh dihindari.
Ramai orang Islam hari ini tidak menghiraukan laungan azan solat fardu. Adegan Bo
melaungkan azan pada jam 10 pagi di surau kampungnya amat menyentuh. Itu bukan
idea Mawi, tetapi memasukkannya memang langkah bijak – sedikit yang menghiraukan
azan solat fardu, tetapi “sekampung” heboh kalau azan pada jam 10 pagi!
Mereka yang keberatan melaungkan azan dengan pelbagai alasan turut disindir oleh
Mawi. Pak Imam menyatakan dia batuk apabila diminta melaungkan azan.
Saya juga nampak Mawi menyindir sikap orang Islam yang mementingkan perkara/faktor bukan utama dalam solat berjemaah. Ramai jemaah (luar biasa jumlahnya, termasuk seorang pelacur khunsa yang ‘insaf segera’) menyertai solat subuh amat mengejutkan Pak Imam (pengsan) kerana irama azan Abadi yang luar biasa (menggantikan bilal yang tidak muncul). Seolah-olah ramai orang solat berjemaah kerana kemerduan azan, bukan dibebabkan keperluan solat subuh berjemaah.
Suci (Mawi), penyanyi nasyid terkenal ialah antagonis. Dia sebenarnya hipokrit – contohnya, tidak solat fardu. Bersekongkol dengan pembantunya, Tohir (Anas Tahir), Suci mengambil gambar berpura-pura berwuduk dan solat fardu untuk dimasukkan ke pelbagai aplikasi media sosial sebagai memberitahu para peminat dia memang warak.
Suci juga sombong dan memandang rendah calon penyanyi nasyid - dia dingin ketika melayan Abadi, Rumi dan Kuswadi, serta memperlekehkan tiga orang sahabat yang bergelar Halal Bros itu. Antagonismenya terserlah apabila sanggup meminta bantuan Tabib (Soya) untuk menghapuskan Halal Bros dengan ilmu hitam.
Rumi tidak jujur. Selepas disembuhkan oleh Ustaz Halim (Johan As’ari) daripada sakit mendadak pada suatu malam, dia mengaku menggunakan ilmu hitam untuk kemerduan
suaranya. Abadi yang sangat marah bertindak meninggalkan Halal Bros. Suci menyangka perbuatan jahatnya gagal, tetapi tetap berpuas hati Halal Bros berpecah.
Saya tidak menyenangi judul filem dan drama televisyen Melayu tempatan yang semakin memperkecilkan bahasa Melayu. Banyak yang menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa rojak. Langkah Mawi menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya wajar dipuji. Ketegasannya menggunakan ‘Tiada Tajuk’ sebagai judul juga perlu dihormati, dan jangan disanggah lagi. Mereka yang telah menontonnya, terutama sekali pengulas/pengkritik perlu merenung/mencari apa sebenarnya ‘tiada tajuk’ itu.
Bagi saya, ‘Tiada Tajuk’ ialah kiasan terhadap watak-wataknya. Meskipun lebih berilmu agama Islam berbanding Rumi dan Kuswadi, Abadi seperti tidak karuan kerana lebih suka bercakap dengan ayam betina peliharaannya, Leha, berbanding penduduk kampung. Jiwanya kacau, dan tidak ketentuan, atau ‘tiada tajuk’.
Watak Rumi juga goyang. Dia yang tinggal dengan ayahnya, Pak Mat Besi (Din Maideen) seperti tahu agama, tetapi asyik meminta Abadi menjelaskan sebarang keraguan yang ditimbulkan oleh Kuswadi. Kuswadi mengaku dia berjiwa punk, tetapi sebenarnya lembut (‘nyah’) seperti kata Pak Imam, “Memanglah di luaran kau ‘punk’, tetapi di dalam ‘pink’.”
Suci penyanyi nasyid, tetapi berjiwa kotor. Oleh sebab dengki, dia mahu kesemua ahli Halal Bros mati, tetapi suka pula apabila diminta oleh Ustaz Mut menggantikan Abadi.  Dia juga artis di bawah naungan syarikat milik Ustaz Mut. Walau bagaimanapun, akibat kematian Pak Imam, dan kedatangan semula Abadi, Ustaz Mut mengenepikan Suci. Suci yang marah, memecat/menghalau Tohir.


MENURUT Mawi, dia sudah bercita-cita menerbitkan filem sendiri sejak tahun 2014. Walau bagaimanapun, dia sedar perlu mengutip pengalaman terlebih dahulu. Justeru,
dia berusaha ke arah itu dengan menghasilkan beberapa buah drama, dan telemovie.
Penggambaran ‘Tiada Tajuk’ disiapkan dalam masa 30 hari di beberapa buah lokasi di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Jelas Mawi, dia sudah menentukan barisan pelakon yang akan membintangi filemnya itu semasa menghasilkan lakon layar.
Mawi bersyukur hampir 90 peratus pelakon pilihannya bersetuju menerima tawarannya. Walaupun mengakui berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang menghasilkan ‘Tiada Tajuk’, tetapi Mawi turut menganggapnya sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran, dan tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Dia hanya berharap penonton suka, dan dapat menerimanya.




SASTERA BUDAYA

REMAJA YANG PERKASA DALAM DEWASA

ALLAH SWT menyebut dalam surah Yaasin, ‘Kunfayakun’ yang bererti ‘Jadilah, maka jadilah.’. Tujuh juga biasa dikaitkan dengan Islam seperti tujuh petala langit tujuh petala bumi, serta tujuh kali pusingan tawaf mengelilingi Kaabah, dan tujuh kali ulang-alik sa’i dari Safa ke Marwah dalam ibadat haji/umrah. Dalam seminggu juga ada tujuh hari.
Memang ada pembikin ‘Hollywood’ yang mengetahui perkara tersebut. Pada era 50-an dan 60-an, ramai pengarah dan penerbit filem mereka yang ‘kuat agama’ menghasilkan filem-filem kisah para nabi dan anbiya, serta kisah yang masyhur mengenai balasan Allah terhadap kaum dan individu yang derhaka.
Antara yang terkenal ialah ‘The Ten Commandments’ (1956, arahan Cecil B DeMille), dan ‘Sodom and Gomorrah’ (1962, arahan Robert Aldrich/Sergio Leone).
Dalam filem adiwira terbaharu yang diadaptasi daripada watak DC Comics bernama serupa, ‘Shazam!’, remaja berusia 14 tahun, Billy Batson (Asher Angel) serta-merta bertukar menjadi lelaki dewasa, Shazam (Zachary Levi), adiwira, apabila menyebut Shazam, dan kembali menjadi Billy sebaik Shazam menyebut namanya itu.
Dalam ‘Shazam!’, Billy/Shazam menentang Dr Thaddeus Sivana (Mark Strong) yang semasa kanak-kanaknya (lakonan David Kohlsmith) pernah cuba diambil oleh ahli sihir tua Shazam (Djimon Hounsou) sebagai jaguh untuk mewarisi kuasanya. Walau bagaimanapun, dia tidak dipilih kerana hatinya kotor – berniat jahat setelah berkuasa nanti.
Dihina dan diperkecilkan oleh ayah dan abang semasa kecil boleh menyebabkan kebaikan dan keburukan, ataupun keduanya sekali gus. Mungkin juga kesan buruk melebihi kesan baik.
Semasa kecil, Sivana kecewa, marah, serta menyimpan dendam dengan ayah, dan abangnya. Dia diejek kerana sering meminta bantuan orang lain – tidak mahu/mencuba menjadi ‘anak jantan’, dan dipersalahkan. Dia berdendam sehingga dewasa walaupun berjaya dalam pelajaran, serta menjadi pereka cipta berjaya, dan pemain industri. Sivana membunuh abang dan ayahnya, kemudian menjadi ketua Sivana Industries – jahat, dan berusaha membuka rahsia sihir.
Tujuh turut dipaparkan dalam filem ini. Sebelum membunuh ahli keluarganya, Sivana telah menewaskan ahli sihir Shazam, dan dapat berkolaborasi dengan Tujuh Dosa Bahaya dalam bentuk syaitan, iaitu Maruah, Dengki, Tamak, Nafsu, Amarah, Rakus, dan Malas.
‘Shazam!’ merupakan filem adiwira Amerika Syarikat tahun ini, terbitan New Line Cinema, dan edaran Warner Bros Pictures. Ia sajian ketujuh dalam DC Extended Universe (DCEU), yang diarahkan oleh David F Sandberg daripada lakon layar Henry Gayden, serta karya Gayden, dan Darren Lemke.
Ia merupakan versi filem lakonan manusia (‘live action’) yang pertama bagi watak berkenaan sejak siri ‘Adventures of Captain Marvel (nama sebenar watak) pada 1941.
Setahun selepas pencerobohan Steppenwolf, Billy, anak lelaki yatim piatu yang bermasalah, diminta tinggal dengan pekerja sosial Victor Vasquez (Cooper Andrews) dan isterinya, Rosa Vasquez (Marta Milans), yang menjaga lima anak angkat, iaitu Frederick ‘Freddy’ Freeman (Jack Dylan Grazer), Mary Bromfield (Grace Fulton), Eugene Choi (Ian Chen), Pedro Peña (Jovan Armand), dan Darla Dudley (Faithe Herman). Victor dan Rosa sendiri merupakan anak yatim piatu semasa kecil mereka.
Pada suatu hari, Billy secara tidak sengaja menaiki kereta api bawah tanah ketika melepaskan diri daripada dua pelajar sekolah yang kaki buli. Dia kemudian mendapati dirinya dibawa ke tempat yang aneh.
Di situ Bolly bertemu dengan Ahli Sihir Shazam, lalu diberikan kuasa berubah menjadi adiwira dewasa apabila menyebut perkataan Shazam. Justeru, harapan sekian lama Ahli Sihir Shazam itu akhirnya menjadi kenyataan.
Billy dan ‘Freddy’ menguji kuasa yang diperoleh itu, dan bagaimana menggunakannya untuk menghalang Sivana daripada melakukan pemusnahan.
Pembikinan ‘Shazam!’ bermula di New Line pada awal 2000-an lagi. Walau
bagaimanapun, ia ditangguhkan selama beberapa tahun. Kemudian praproduksinya pada 2008 dengan pengarah Peter Segal, dan penulis lakon layar John August, serta Dwayne ‘The Rock’ Johnson menimbangkan untuk memegang watak penjahat Black Adam.
Namun begitu, projek itu terkandas. William Goldman, Alec Sokolow, Joel Cohen, Bill Birch, Geoff Johns, dan ramai lagi turut dikaitkan dengan projek sebagai penulis skrip dalam pelbagai sudut.
Projek filem ‘Shazam!’ secara rasminya diumumkan pada 2014 dengan Johnson ditawarkan berlakon sama ada sebagai Shazam atau Black Adam. Dia kemudian dipanggil berlakon pada Januari 2017 untuk memimpin projek pembangunan solo Black Adam. Sandberg menandatangani kontrak untuk mengarahkan ‘Shazam!’ pada Februari 2017. Levi ditawarkan berlakon pada Oktober tahun yang sama, disertai Angel pada bulan berikutnya.
Fotografi utama bermula di Toronto, Ontario, Kanada pada 29 Januari, 2018, dengan kebanyakannya diambil di Pinewood Toronto Studios, dan berakhir pada 11 Mei 2018.
‘Shazam!’ dijangka ditayangkan di Amerika Syarikat oleh Warner Bros Pictures dalam RealD 3D, Dolby Cinema, dan IMAX 3D pada 5 April 2019. Filem ini menerima pandangan positif, serta pujian terhadap lakonan Levi dan Grazer, juga arahan Sandberg, dengan tonanya yang ringan, dan kelucuan. Ramai yang menganggapnya sebagai antara filem terbaik dalam DCEU.