Pages

Tuesday, 21 May 2019






BISNES

SAHABAT AIM DAPAT BANTUAN RM2.5 BILION TAHUN INI

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan RM2.5 bilion bagi pembiayaan mikro dengan sasaran 400,000 Sahabat menjelang akhir 2019. Ia memberi impak penambahan hampir 80,000 Sahabat baharu di seluruh Malaysia yang kesemuanya dari golongan B40.
Menurut Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Junaidah Kiting, AIM mengeluarkan pinjaman secara kumulatifnya sehingga ke hari ini berjumlah RM22 bilion untuk golongan miskin, dan berpendapatan rendah bagi meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.
Ketika berucap semasa Majlis Iftar Ramadan Bersama Media di Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu, Junaidah berharap peningkatan peruntukan tersebut dapat membantu Sahabat mengembangkan lagi perniagaan, dan memberi manfaat kepada lebih ramai wanita dari kategori B40 untuk menceburi bidang perniagaan.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang sudi menyampaikan Sumbangan Iftar Ramadan AIM berbentuk barangan makanan asas bernilai RM22,200 kepada 111 Sahabat AIM di Kuala Lumpur, dan Selangor.
Sementara itu, dalam ucapannya dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz memberitahu AIM telah meluaskan lagi operasinya kepada 136 Pejabat Cawangan di bawah seliaan 30 Pejabat Wilayah Persekutuan di seluruh negara bagi memastikan hasrat, dan sasaran tersebut tercapai, dan sampai kepada kumpulan sasar dengan perkhidmatan terbaik.
Tambah Mohamed Shamir, prestasi bagi suku pertama 2019 amat postitif dengan kemasukan 17,192 Sahabat baharu dengan jumlah pembiayaan yang telah dikeluarkan berjumlah RM515.3 juta.  
Dalam majlis tersebut, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid terkenal tanah air, In-Team. Kumpulan yang dianggotai empat ahli itu menyampaikan beberapa lagu popular mereka, termasuk ‘Nur Kasih’.  

No comments:

Post a Comment