Pages

Tuesday, 27 August 2019



















KESIHATAN


Cabaran 20 Hari Freaky Fitz Shaheizy Sam
FAUZIAH TALIB JUARA PERTAMA

ADA pelbagai cara artis membalas jasa para peminat mereka. Walau bagaimanapun, cara yang dilakukan oleh Shaheizy Sam memang istimewa, dan jarang dilakukan.
Menurut pelakon Polis Evo itu, pada mulanya dia hanya mahu membantu rakan karib menurunkan berat badan mereka, dengan produk yang diusahakannya, Freaky Fitz. Tambah Sam, dalam proses lima hari pertama, dia dan rakan mendapat idea untuk membuka peluang kepada para peminat pula.
Menurut Sam lagi, selepas hasrat dimaklumkan dalam akaun Instagram, dan ‘Facebook’nya, dia tidak menyangka sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Hampir 22 ribu orang berminat menyertai.
Ini menunjukan ramai rakyat Malaysia yang mengalami masalah berat badan, tetapi tidak mengetahui kaedah terbaik untuk mencapai impian.
Selepas memikirkan kesesuaian/kewajaran, Sam dan sahabat-sahabat menetapkan 20 hari sebagai tempoh ideal para peserta menguruskan badan masing-masing.
Sam dan sahabat, serta isterinya yang juga pelakon terkenal Syatilla Melvin mengambil keputusan menganjurkan program ‘Cabaran 20 Hari Freaky Fitz Bersama-sama Shaheizy Sam’ mulai 5 Ogos lalu.
Daripada 22,000 peserta, 33 orang berjaya ke peringkat akhir yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 26 Ogos lalu. Dalam acara yang turut dihadiri Sam dan Syatilla itu, Fauziah Talib dari Ampang, Selangor muncul sebagai juara setelah berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 15.7 kilogram.
Fauziah, 25, bersama-sama lapan peserta lain membawa pulang hadiah pakej percutian ke Bali yang disampaikan oleh Sam, dan Syatilla. Dia menyatakan rasa syukur atas kejayaan yang diraih, dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada penganjur, khususnya Sam yang memberi tunjuk ajar untuk menurunkan berat badan dengan cara yang sihat.
Menurut Fauziah, telah lama dia mencuba pelbagai cara bagi menangani masalah berat badan. Selepas mendapat tahu Sam mahu membantu peminatnya, Fauziah segera menghantar borang penyertaan, dan rasa sangat bersyukur kerana terpilih, dan berjaya menjadi juara.
Jelas Fauziah, di sepanjang 20 hari, para peserta cabaran itu telah dibekalkan dengan Freaky Fitz, dan diberi tunjuk ajar secara berkumpulan oleh Sam. Kini, tambah Fauziah, dia tahu tidak sukar untuk menurunkan berat badan dengan cara yang betul.
Seorang lagi peserta, Shafiee Zainal Abidin menyatakan kegembiraannya dengan penganjuran program tersebut.
Sehubungan itu, Shafiee berpendapat program sedemikian perlu diteruskan oleh kerana percaya ramai di luar sana yang ingin menurunkan berat badan, tetapi gagal kerana tidak ada mentor atau rakan yang memberi tunjuk ajar, serta galakan. Kebanyakannya hanya melakukan separuh jalan.
Tambah Shafiee, dia sendiri telah beberapa kali mencuba untuk menurunkan berat badan, tetapi gagal. Namun begitu, setelah dipilih menyertai program ‘Cabaran 20 Hari Freaky Fitz bersama-sama Shaheizy Sam’, Shafiee mendapati berat badannya turun 14.6 kilogram dalam masa 20 hari. Produk minuman Freaky Fitz yang diberikan juga banyak membantu dengan perasa tehnya yang lazat.
Sam menyatakan kegembiraan atas kejayaan semua peserta. Jelas Sam, ada permintaan ‘Cabaran 20 Hari Freaky Fitz’ untuk kumpulan kedua. Dia tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkannya.
Acara itu juga menyaksikan pelancaran Freaky Fitz. Produk minuman berperisa teh limau markisa tersebut diperkaya dengan serbuk guarana, serta hoodia gordoni bagi  membantu menjaga pemakanan, dan memberi tenaga di sepanjang hari.

SASTERA BUDAYA


EMPAT DEKAD HIKAYAT MUZIK M NASIR

SUATU Masa’, ‘Masing-masing’, ‘Dedaun Masa’, ‘Mustika’, ‘Yang Bertakhta Akhirnya’, ‘Apokalips’, ‘Tanya Sama Itu Hud-hud’, ‘Mentera Semerah Padi’, ‘Bonda’, ‘Sentuhan Listrikmu’, ‘Kias Fansuri’, ‘Andalusia’, ‘Raikan Cinta’, ‘Sahabat Gua’, ‘Juita (Citra yang Terindah)’, dan ‘Sang Pencinta’ merupakan antara lagu terkenal nyanyian Datuk M Nasir secara solo.
Lagu-lagu popular dendangan beliau bersama-sama kumpulan Kembara pula termasuklah ‘Hati Emas’, ‘Lagu untuk Seorang Ibu’, ‘Kepadamu Kekasih’, ‘Bas No. 13’, ‘Nusantara’, ‘Gerhana’, ‘Kiambang’, ‘Keroncong untuk Ana’, dan ‘Sesat di Kuala









Lumpur’.
Shiraz Projects Sdn Bhd dengan bangga mempersembahkan penyanyi, penulis lagu, penerbit album, pelakon, pengarah filem, penulis, dan pelukis terkenal Datuk M Nasir menerusi konsert terbaharu, bersempena merayakan ulang tahun ke-40 keberadaannya dalam industri seni negara pada 23 November depan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, mulai jam 8.30 malam.
Dengan kerjaya yang merangkumi 40 tahun, M Nasir bakal muncul lebih intim dan peribadi mendekati semua penggemar di Malaysia, dan serantaunya dalam ‘Konsert M. Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan’. Konsert berdurasi dua jam setengah itu tidak boleh dilepaskan oleh mana-mana peminat tegarnya kerana beliau mempamerkan ‘repertoir’ daripada album pertamanya, Untuk Pencinta Seni (1979) sehinggalah album terakhir setakat ini, Sang Pencinta (2006).
Konsert ini bakal menyaksikan cara dan gaya Nasir meraikan sokongan besar para peminat setianya di Malaysia, dan sekitar rantau ini. Ia akan menjadi malam untuk diingati, di mana beliau bakal diiringi kumpulan lamanya, ‘The Gong’ yang dibarisi 14 orang pemuzik, pimpinan Aznan Hj Alias. Khabarnya, terdapat juga segmen kejutan yang akan ditampilkan.
Tiket dijual dengan harga RM160 (Gangsa), RM200 (Perak), RM260 (Emas), RM360 (Platinum), RM460 (Diamond), dan RM860 (Meet & Greet). Penjualan tiket konsert akan bermula jam 2 petang 28 Ogos 2019 menerusi www.myticket.asia.
Barangkali kesemua atau sebahagian lagu yang disebut tadi akan dinyanyikan oleh Nasir dalam ‘Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan’, meskipun semasa sidang media konsert berkenaan, beliau memberitahu belum pasti
mengenai perkara itu. Jelas seniman serba boleh itu, beliau dibantu oleh beberapa
pihak, termasuk anak sulungnya, Ilham Nasir dalam pemilihan lagu-lagu yang
sesuai. Katanya, semua cadangan bagus, tetapi dalam masa yang sama beliau juga
ada kecenderungan sendiri. Untuk itu, tambah Nasir, beliau mengambil jalan tengah.
Mengenai kelainan persembahan, Nasir menjelaskan beliau tidak mementingkan
kejutan dan sebagainya. Apa yang penting, tegas beliau ialah mesej yang ingin
dibawa, sampai kepada penonton.
Konsert mengenang/meraikan 40 tahun perjalanan seni Nasir yang bakal
berlangsung selama kira-kira dua jam setengah itu khas buat para peminat penyanyi
‘legenda hidup’ tersebut yang merindui sebuah konsert berskala besar.
Sidang media ‘Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan’ diadakan pada
26 Ogos lalu di sebuah hotel di ibu kota. Selain Nasir, turut hadir ialah Shirazdeen Karim (Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd).
Shirazdeen, dalam ucapan alu-aluannya menegaskan memang menyedihkan, dan
malang jika legenda seperti Nasir tidak dihargai, serta dikenang. Justeru mampu, dan rasa bertanggungjawab, beliau mengambil inisiatif menerbitkan konsert
berkenaan. Shirazdeen turut menjelaskan semasa sidang media itu, faktor lain ialah
beliau sendiri memang amat meminati Nasir sejak di bangku sekolah lagi.
Dalam sidang media itu juga Nasir memberitahu beliau telah memulakan penerbitan album solo terbaharunya sejak lima tahun lalu, tetapi belum dapat mencukupkan jumlah lagu. Walau bagaimanapun, tambah Nasir, beliau akan cuba menampilkan sebuah lagu atau single baharu menjelang pementasan ‘Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan’.   

Sunday, 25 August 2019

BERPESAN DALAM REKAAN













Usaha Opyglobal Pictures menghasilkan 'Kron' wajar dipuji, dan diucapkan tahniah kerana pembikinan filem Melayu tempatan bercorak fiksyen pengembaraan yang turut menerapkan unsur sejarah sangat kurang. 
'Kron' berlatarbelakangkan kisah kerajaan Kedah Tua yang menghantar bunga emassebagai ufti kepada Siam, kemudian plotnya dikembangkan menjadi filem fiksyen. Filem sebegini amat menarik jika plotnya dapat diolah dengan baik.
'Kron' membawa kisah seorang pengkaji sejarah di muzium di Kedah, Profesor Daud (Aman Graseka) yang menghidap kanser tahap empat, dan pembantunya, Sham (Zahiril Adzim) menghabiskan sisa hidupnya menjejaki laluan Raja Siam yang digunakan untuk mengangkut bunga emas pemberian Sultan Kedah, pada sekitar 1803 sehingga 1910.
Oleh kerana bimbangkan bahaya, pihak atasan telah menghalang Daud. Namun demikian, dia nekad untuk meneruskan misinya selepas seorang ahli perniagaan, Suri (Dayana Roza), bersetuju menanggung kos ekspedisi tersebut. Dia turut mendapat bantuan pengarah siri televisyen mengenai paranormal, Pian (Mamak Puteh), yang menawarkan diri untuk merakamkan aktiviti mereka secara percuma.
Motif utama Daud ialah mahu membongkar misteri kehilangan isterinya, Profesor Mariana (Juhara Ayob) dalam sebuah ekspidisi menjejak laluan tersebut.
Keadaan yang pada mulanya lancar menjadi buruk apabila perjalanan Daud, Sham, Suri, dan Pian terganggu, setelah pandangan mereka dikaburkan. Akibatnya, mereka tersalah masuk laluan. Mereka juga diburu oleh makhluk misteri, Kron.
Jelas Opie, penggambaran 'Kron' mengambil masa 28 hari di Baling, Kedah, dan Kuala Langat, Selangor pada 2016. Opie berpuas hati dengan lakonan dan komitmen para pelakon. Pemilihan mereka atas cadangan dan pendapat pemain industri perfileman tanah air.
Opie mengakui menghasilkan filem seperti 'Kron' memberi cabaran tersendiri buat dirinya. Sebagai contoh, set penggambaran yang ditenggelami air disebabkan musim banjir di Kedah.
Penyampaian filem ini menurut Opie berbeza dengan filem-filem lain, dan pasti ia juga satu cabaran kepadanya agar jalan cerita yang dipaparkan kelihatan menarik, dan mudah difahami penonton. Beliau berharap penonton dapat menerima 'Kron' kerana tidak ramai pengarah mahu membikin filem sepertinya.
Dayana pula memberitahu antara faktor dia menerima tawaran membintangi 'Kron' ialah naskhahnya yang sangat unik kerana berkaitan dengan sejarah di Kedah Tua, dan Siam. Dia juga tertarik dengan wataknya yang digambarkan sebagai seorang yang penuh dendam, marah, dan sedih dengan apa yang berlaku.
'Kron' menjanjikan kelainan kepada penonton. Selain terhibur dengan plotnya, penonton boleh belajar sedikit sebanyak sejarah seperti bunga emas yang diberikan oleh kerajaan Kedah Tua kepada Siam.
Dayana turut mengakui cabaran yang dihadapi ialah perlu menjalani penggambaran di kawasan gunung pada waktu malam. Pada mulanya dia memang agak takut dengan lokasi-lokasi penggambaran, tetapi lama-kelamaan dapat membiasakan diri.

SASTERA BUDAYA












FILEM YANG MENENTANG BULI, DISKRIMINASI PELAJAR

INI filem adaptasi daripada filem Korea, ‘Whispering Corridors’ (1998). Latar masa ceritanya ialah pada 2000 dan 2001. Namun begitu, masalah buli di sekolah memang ada sebelum 1998, 2000, dan 2001, malah sehingga kini (sekolah
berasrama atau biasa).
Diterima dalam ‘Abdi Bangsa’ sekolah menengah atas (SMA) eksekutif merupakan
satu keistimewaan bagi kebanyakan pelajar. Walau bagaimanapun, tidak bagi Alex
(Angga Yunanda). Pelajar senior ‘Abdi Bangsa’ SMA itu menderitai keganasan fizikal, dan mental akibat dibuli setiap hari.
Tanpa mengira corak, semua filem perlu ada mesej. ‘Death Whisper’ bercorak seram, tetapi mesej tersiratnya ialah jangan menjadi pembuli, dan membiarkan kes buli di sekolah, malah di mana-mana pun. Kalau dalam kehidupan sebenar kesan buruk tetap menimpa si pelakunya, dalam filem ini, balasan buruk untuk perbuatan tersebut ialah maut.
Mengikut logik/kebiasaan, mangsa buli yang menderita. Walau bagaimanapun, dalam filem berdurasi 91 minit ini, si pembuli menemui ajal.
Cerita bercorak seram tidak dapat lari daripada kelaziman watak yang telah mati,
dan rohnya bangun membalas dendam. Rupa-rupanya, Maggie (Amanda Rawles)
yang menuntut bela. Dia atau nama sebenarnya, Cindy telah mati akibat dibuli teruk
oleh tiga pelajar perempuan SMA itu. Sudahlah menjadi mangsa buli, dia ditohmah membuli pelajar, dan digelar Cindy Si Kejam. Rohnya membalas dendam membunuh pelajar bertiga tersebut.
Roh Maggie/Cindy kembali, dan sudah tentu tidak dilihat oleh orang lain. Hanya
Alex yang dapat melihatnya. Saya fikir itu kerana Maggie/Cindy mahu berkawan dengan Alex, lantaran tidak suka/tidak mahu pelajar tersebut dibuli oleh Andre (Aarya Vasco), Erica (Naomi Paulinda), dan Fahri (Teuku Rizki). Alex dipaksa oleh tiga pelajar senior SMA itu melakukan ritual maut kerana ayahnya (telah meninggal dunia) pengamal paranormal terkenal.
Selain buli, filem ini juga secara tersirat memprotes diskriminasi pelajar di SMA itu.
Pelajar baharu atau tahun satu dipanggil ‘Hamba’. Pelajar tahun dua pula ‘Raja’,
sementara pelajar tahun tiga, ‘Tuhan’. Pelajar ‘Hamba’ dilarang menggunakan tandas, kantin, dan perpustakaan sekolah. Jika berselisih atau bercakap dengan pelajar senior, pelajar ‘Hamba’ perlu tunduk hormat, dan tidak menatap wajah.
Alex ialah pelajar ‘Hamba’. Maggie/Cindy yang turut menghidap lelah juga pelajar ‘Hamba’. Dia mati akibat pembulian dalam ‘pengkastaan’ yang menjadi tradisi, dan dibiarkan oleh pentadbir SMA itu.
Kelihatan seperti mendadak dan dibiasai dengan kesudahan gembira, kemunculan
Alex dan dendam Maggie/Cindy itu telah mengubah keadaan. Janji Alex kepada
Maggie/Cindy, selain menyelamatkan nyawa Andre, juga telah menghapuskan
tradisi diskriminasi pelajar SMA itu. Selepas membunuh Fahri (terjun bangunan
SMA) dan Erica (terjun kolam renang SMA), hasrat Maggie/Cindy ‘menghukum
Andre dengan kipas siling perpustakaan SMA disekat oleh pujukan/rayuan Alex.
Setelah Alex di tahun dua, tradisi mengarut yang menyebabkan SMA digelar ‘sekolah menengah neraka’ olehnya itu berakhir. Semua pelajar sama taraf. Tiada lagi larangan penggunaan tandas, perpustakaan, dan kantin untuk pelajar tahun satu. Tiada lagi kisah Cindy Si Kejam.

Wednesday, 14 August 2019

SASTERA BUDAYA









SEPUCUK SURAT TERIMA KASIH


PAYAH sedikit mengulas/mengkritik filem adaptasi daripada kisah sebenar, apatah lagi yang melibatkan orang biasa/bukan tokoh terkenal. Pengadaptasian memang tidak mengambil seratus peratus daripada yang asli. Oleh sebab itu, adaptasi daripada kisah orang biasa disentuh berlandaskan logik dalam filem, dan logik akal.
Filem ini adaptasi kisah benar pelajar sekolah, Ikmal (lakonan Wafiy) yang mengutus
sepucuk surat kepada Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia
(PERKESO), Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz pada 2010. Tidak diketahui
berapa peratus realiti yang diambil.
Menerusi surat tersebut, Ikmal menzahirkan kesyukuran, serta terima kasih atas
bantuan dan jasa agensi kerajaan itu. Dia pelajar cemerlang yang tersepit antara
melanjutkan pelajaran dengan membantu keluarganya selepas bapanya, Kamil
(Namron) lumpuh akibat kemalangan jalan raya.
Bercorak drama, ‘Warkah’ diterbitkan oleh PERKESO bersama-sama Opy Global Pictures Sendirian Berhad. Trelernya telah dilancarkan oleh Menteri Sumber 
Manusia Malaysia, M Kulasegaran dalam majlis bersempena sambutan Hari Raya
Aidilfitri PERKESO 2019 di Menara PERKESO, Kuala Lumpur pada 2 Julai lalu.
Selepas Filem Negara Malaysia menerbitkan filem ‘Embun’ (2002) dan ‘Paloh’ (2003), PERKESO (di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia) merupakan agensi kerajaan terbaharu yang turut membikin filem untuk pawagam.
Penambahan jumlah filem Melayu Malaysia adaptasi sejak kebelakangan ini merupakan perkembangan positif berbanding kisah rekaan, apatah lagi kalau persembahannya cemerlang.
Jika mengikut jalan cerita, perkataan ‘Warkah’ didapati tidak sesuai sebagai judul filem ini. Surat atau warkah daripada Ikmal dengan segala kandungannya itu hanya
menjadi pendorong penerbitan filem berkenaan.
Warkah bertujuan mengangkat peranan PERKESO. Walau bagaimanapun, masalah
Sufi (Syazwan Zulkifli), adik Kamil yang lebih ditonjolkan. ‘Watak’ PERKESO tidak
muncul di sepanjang hampir sejam awal durasi ‘Warkah’. Tidak mengapa jika
masalah Sufi dalam perniagaan MLM-nya menimbulkan konflik, sebagai contoh,
perhatiannya terhadap Kamil terjejas.
Namun begitu, dalam kemelut diburu oleh bawahan(‘dowline’)nya yang naik angin kerana tertipu, Sufi masih dapat mengurus Kamil serta Ikmal, dan anak bongsu abangnya, Hana (Rayqa) dengan baik. Dia sempat bercinta pula dengan guru bahasa Inggeris Ikmal, Cikgu Nur (Isyariana AF).
Konflik ditimbulkan oleh Ikmal yang ponteng sekolah seminggu kerana bekerja
sambilan mencuci kereta, sebelum diketahui Cikgu Nur. Akibat perbuatannya itu, Ikmal dipukul oleh Sufi.
Saya fikir lebih menarik/baik jika hal-ehwal PERKESO dipaparkan sedikit demi sedikit semasa Kamil masih sihat, bukan timbul mendadak setelah kehadiran Cikgu Nur yang sebenarnya mahu memenuhi wasiat ayahnya, Jalal (Mutalif Abu Bakar).
Kalau mahu ‘mengangkat’ PERKESO, ‘angkat’lah dengan ‘berhemah’.
Allahyarham Jalal meminta Cikgu Nur menyampaikan permohonan maaf daripada
Kamil, malah menjaga keluarga pencarum PERKESO itu. Jalal secara tidak sengaja
melanggar Kamil yang sedang menunggang motosikal pada suatu hari. Dia meninggal dunia beberapa hari kemudian akibat lemah jantung.
Malangnya, tiada adegan Kamil menyebut soal PERKESO kepada Ikmal ataupun rakan-rakan baiknya, Pak Itam (Rosli Mad Zin), dan Ong (Jesse Lim). Sufi juga seolah-olah tidak tahu apa-apa mengenai PERKESO sehingga diberitahu oleh Cikgu Nur.
Setelah Cikgu Nur muncul baru Kamil menjalani rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Tun Razak di bawah Program Saringan Kesihatan PERKESO. Memang
sedemikian dalam realiti atau hanya ditambah-tambah?
Ikmal melenting setelah mengetahui motif kebaikan Cikgu Nur terhadap keluarganya, dan hampir-hampir tidak menduduki peperiksaan. Walau bagaimanapun, dia muncul di dewan peperiksaan pada saat-saat terakhir. Penonton tertanya-tanya mengapa pelajar berusia 17 tahun itu kembali tiba-tiba, dan memohon maaf.
Rupa-rupanya Ikmal insaf kerana tindakan Sufi. Namun demikian, penonton keliru/terkejut kerana tindakan Sufi dipaparkan secara mengejut. Penonton lambat menyedari bahawa adegan Sufi membawa Ikmal ke pusara ayah dan ibu Cikgu Nur, dan ibunya dalam hujan lebat itu ialah imbas kembali.
Terasa sia-sia kaedah psikologi untuk menyedarkan Ikmal itu dicacatkan oleh teknik imbas kembali yang lemah, dan lontaran suara Sufi yang kurang jelas. Sepatutnya, dengan tona warna berbeza ataupun ada tanda sekilas untuk adegan tersebut.
Opie Zami sinonim dengan lakonan/watak komedi. Tidak pasti kenapa dia mahu/diminta – mengarahkan ‘Warkah’ yang bercorak drama (serius)? Pun begitu, Opie tetap Opie kerana beberapa gaya lucunya terlihat menerusi
adegan Sufi mempelawa Cikgu Nur makan malam, dan cuba menghidupkan skuternya yang tiba-tiba meragam.
‘Warkah’ dianggap/dijangka tidak akan mendapat sambutan, apatah lagi ditayangkan di pawagam kompleks beli-belah (‘cineplex’) yang mementingkan keuntungan.
Disebabkan tiada potensi meraih keuntungan, tetapi masih mahu/berusaha mengajar/mendidik masyarakat, ada pihak mencadangkan agar Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional Malaysia membina pawagam rakyat – untuk tayangan
filem-filem ‘pendidikan’/’seruan’, bukan ‘buat duit’ seperti ‘Warkah’ ini.