Pages

Wednesday, 6 May 2020


SASTERA BUDAYA

LAGU SERU LAWAN COVID-19

KARYAWAN seni tanpa mengira genre apa pun wajar juga peka dengan keadaan semasa, baik dalam negara mahupun di seluruh dunia, apatah lagi jika sesuatu perkara itu serius, dan membabitkan nyawa manusia sejagat. Jadi, tidaklah hanya sekadar mengambil tahu, dan terbabit dengan dunia sendiri sahaja.
Dengan kreativiti masing-masing, mereka tentu berasa gembira dan patut disokong jika dapat memberikan sumbangan tersendiri. Meskipun gagal membantu mengatasi masalah secara total, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan jiwa.
Karyawan muzik tidak terkecuali. Isu besar yang sedang melanda negara kita dan dunia sekarang ialah wabak pandemik Covid-19. Atas tujuan membendung penularan wabak maut tersebut, kerajaan Malaysia telah mengarahkan rakyat agar menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP). Perintah itu melibatkan tiga prosedur operasi standard (SOP), iaitu duduk di rumah, kerap membasuh tangan dengan air dan sabun/hand sanitizer, dan mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter.
Sebuah lagu baharu telah dihasilkan bersempena dengan Covid-19 dan PKP itu yang kini sudah memasuki fasa PKPD dan PKPB (D = diperketat dan B = bersyarat dengan tambahan enam SOP lagi), menampilkan paduan suara dua penyanyi bersuara nada tinggi, Mus (May) dan Obey Lipan Bara.
Lagu tersebut yang berjudul ‘We Fight’ dihasilkan untuk menjentik semangat rakyat Malaysia agar sama-sama berjuang menentang Covid-19.
Antara pemuzik yang terlibat dalam lagu ‘We Fight’ ini termasuklah Firdaus Mahmud (keyboard dan synth), Fly Halizor (bass), Ritz Metalasia (gitar), dan Pae Naspa (dram). Menariknya, mereka merakamkan bahagian masing-masing, berserta rakaman video di rumah mereka sebelum digabung, dan disunting oleh Oney sendiri. Sesi rakaman tersebut dilakukan secara normal baharu.
Menurut Firdaus, proses rakaman muzik dan vokal bermula dari 21 hingga 23 April 2020. Selepas itu, tambahnya, proses rakaman video mengambil masa empat hari untuk dilakukan di rumah, dan studio rumah masing-masing.
“Oney mengumpulkan semua video dan audio daripada semua pihak, dan menyunting di rumahnya. Hasilnya, pada 2 Mei 2020, video ‘We Fight’ berjaya dimuat naik di laman YouTube untuk tontonan ramai,” jelas Firdaus.
Sudah tentu Firdaus dan yang lain berharap agar rakyat Malaysia sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Maklumat ‘We Fight

Melodi, lirik, idea – Oney Lipan Bara
Vokal – Mus (May) dan Oney Lipan Bara
Gitar – Ritz Metalasia
Bass – Fly Halizor
Keyboard dan synth – Firdaus Mahmud
Dram – Pae Naspa   

Monday, 4 May 2020

SASTERA BUDAYA

Bunkface Beri Semangat Hadapi Covid-19

‘TOLONG’

WABAK pandemik Covid-19 memang membawa kesengsaraan kepada ramai orang. Ia tidak mengenal siapa untuk dijadikan mangsa. Tiada siapa yang tidak mengelami kesan buruk dari segi jiwa dengannya.
Walau bagaimanapun, ada antara anak seni atau karyawan muzik negara kita yang dapat melihatnya dari sudut positif, iaitu memperoleh ilham menghasilkan lagu.
Sebagai contoh, Bunkface telah melancarkan single terbaharu mereka yang berjudul ‘Tolong’. Lagu tersebut mengisahkan keadaan dunia ketika memerangi Covid-19, di mana seluruh umat manusia menjalani proses kuarantin ataupun lockdown, dan diminta untuk duduk di rumah sahaja.
Muzik video lagu ‘Tolong’ juga dihasilkan atas usaha tolong-menolong dalam kalangan peminat Bunkface, dan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, Bunkface berharap ‘Tolong’ dapat memberi sedikit sebanyak sokongan moral kepada seluruh rakyat Malaysia. Mereka sedar dalam keadaan yang agak terbatas sekarang, hampir tiada siapa yang tidak terjejas, sama ada dari segi zahir mahupun batin.
Namun begitu, Bunkface yakin dan meminta rakyat Malaysia percaya bahawa penyatuan kita sebagai satu komuniti manusia akan mampu menangani apa jua masalah, in sya Allah.
Lagu ‘Tolong’ telah dilancarkan pada jam 10 malam, 29 April lalu di laman rasmi YouTube Bunkface:
https://www.youtube.com/watch?v=-JJm1GoaJM4

‘Tolong’ dicipta oleh Sam Bunkface, dan diterbitkan oleh Bunkface sendiri.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi pihak pengurusan artis (Encik Farriz) di:
farriz@mejormanagement.com / +6012 800 4208