Pages

Tuesday, 30 March 2021

 

SASTERA BUDAYA

 

GODZILLA LAWAN KONG: SIAPA MENANG?

 



DISEBABKAN ia sekuel Godzilla: King of the Monsters (2019) dan Kong: Skull Island (2017), tidak adil dan tidak wajar kalau Kong atau Godzilla kalah, dan mati. Tambahan pula kemarahan Godzilla, yang memang bukan antagonis, ada alasan dalam filem Godzilla vs. Kong ini.

Dua filem yang disebutkan tadi masih diingati para peminatnya. Berdasarkan persembahan hebat Godzilla vs. Kong ini, saya fikir para peminat kedua-duanya tidak akan lupa buat jangkamasa yang lama.

Pasti ramai yang bersetuju kalau saya katakan kesan khas (bunyi dan terutamanya visual) filem ini sangat baik, dan mempesonakan. Jelas sekali pasukan kesan khas yang diselia oleh John ‘DJ’ DesJardin memang hebat. Visual adegan pertarungan Godzilla-Kong, Kong-haiwan raksasa lain, Godzilla-Mechagodzilla, dan Kong/Godzilla-Mechagodzilla begitu cantik, dengan koreografi mengagumkan. Ada kalanya, saya terasa ikut sama dalam pertarungan tersebut, dan cemas (‘at the edge of chair’).

Pastinya ramai penonton terhibur dengan visual aksi lasak dan kemusnahan yang dipaparkan. Yang menariknya, Godzilla vs. Kong turut menyelitkan falsafah dan pengajaran kepada penonton. Tidak mengapa jika ada penonton yang bosan (kalau dapat menangkap/mengesan estetika tersebut) kerana tiada salahnya perkara yang baik sentiasa diulang-ulang.

Tamak haloba dan rakus boleh membawa akibat buruk. Jangan mengganggu dan mengubah-ubah sesuatu yang telah berjalan mengikut fitrah ketetapannya dengan baik. Dunia yang sejahtera akan musnah oleh perbuatan manusia durjana.

Orang jahat akan mendapat balasan buruk seperti yang diterima oleh Walter Simmons (Demián Bichir) dan anak perempuannya, Maia Simmons (Eiza González), serta Ren Serizawa (Shun Oguri) dalam filem ini.

Walter, watak manusia yang tamak dan berbuat jahat. Dia mencipta Mechagodzilla, robot yang setanding, malah mengatasi kekuatan Godzilla, yang ditentang oleh Madison Russell (Millie Bobby Brown), Ilene Andrews (Rebecca Hall), dan Dr. Mark Russell (Kyle Chandler).

Walter meminta Maia mengambil sampel daratan rongga bumi, tempat asal Kong untuk melengkapkan penciptaan Mechagodzilla. Maia memperoleh sampel itu meskipun dilarang oleh Ilene kerana belum diuji, tetapi gagal pulang kerana terbunuh di dalam pesawat terbang yang dinaikinya. Kenderaan itu dimusnahkan oleh Kong yang memarahinya.

Sebenarnya, Maia tidak menggemari Kong, dan jelas juga mementingkan diri sendiri apabila tergesa-gesa lari kerana persekitaran kawasan dia bersama-sama Jia (Kaylee Hottle), Ilene dan Nathan Lind (Alexander Skarsgård) diserang oleh beberapa ekor burung raksasa. Walter dan Ren mati akibat amukan Mechagodzilla di makmal.

Meskipun Godzilla vs. Kong filem aksi lasak, tetapi penonton dapat melihat lebih banyak aksi tanpa lasak Kong yang memang diangkat sebagai wira. Penampilannya lebih berkesan berbanding dalam Kong: Skull Island.

Emosi penonton juga terusik melihat hubungan Kong dengan Jia, gadis sunti bisu, dan yatim piatu. Jia kanak-kanak keturunan Iwi yang bersahabat dengan Kong, dan dijanjikan perlindungan oleh Ilene sebagai penjaganya.

Saya fikir kebisuan Jia amat wajar dan meyakinkan kerana emosi lebih dirasai ketika dia bertutur bahasa isyarat dengan Kong. Emosi, pada fikiran saya, kurang terusik jika Jia boleh bercakap kerana sesiapa yang tidak bisu ada kalanya boleh tersasul, dan mengganggu haiwan terbabit.

Tidak berlebih-lebihan jika saya katakan Jia (yang juga berwajah comel) lebih mencuri tumpuan berbanding Madison, anak saintis Dr Mark. Kedua-duanya memang berani, tetapi Jia masih kecil.

Filem keempat dalam MonsterVerse Legendary, dan ke-36 dalam francais Godzilla, ke-12 dalam francais King Kong, dan keempat filem Godzilla yang dihasilkan sepenuhnya oleh studio Hollywood ini memikat hati saya.

Kong sudah bosan tinggal di Pulau Tengkorak. Ia bersedih dan mahu kembali ke tempat tinggal sebenarnya. Misi menghantar Kong ke rongga bumi dijayakan oleh Nathan, Ilene, dan Jia yang turut disertai Maia.

Tanpa disangka dalam perjalanan itu Jia, Ilene dan Nathan bertemu dengan Godzilla yang berang. Ia tetap menghiburkan sambil penonton tertanya-tanya apa punca kemarahan Godzilla. Meskipun nampak seperti jalan cerita sampingan, tetapi sebenarnya utama dan penting apabila Madison yang mengingkari larangan Dr Mark, meminta bantuan rakannya, Josh Valentine (Julian Dennison) mendapatkan Bernie Hayes (Brian Tyree Henry), mantan juruteknik Apex Corporation.

Keberanian Madison yang yakin Godzilla mengamuk bersebab, dengan mengesyaki konspirasi yang dibentuk oleh Apex Corporation, membawa dia dan Josh, serta Bernie ke Hong Kong setelah tidak sengaja menaiki sebuah kapsul berisi telur cicak raksasa, Skull Crawlers yang pernah ditewaskan oleh Kong. Bernie kehairanan dengan apa yang telah Apex Corporation lakukan.

Dalam kisah yang menampilkan haiwan sebagai watak utama, watak manusia biasanya tenggelam. Walau bagaimanapun, watak manusia dalam Godzilla vs. Kong ini tetap penting sebagaimana yang dilakukan oleh Walter, Ren, Maia, Nathan, Ilene dan Jia.

 

 

No comments:

Post a Comment