Pages

Friday, 23 July 2021


 

LAPAN RAGAM MASYARAKAT HARUNGI PKP DALAM ‘LOCKDOWN’

 

DUA puluh tiga pelakon handalan akan muncul menjayakan kisah realiti kehidupan semasa wabak pandemik maut di Astro Ria dua hari lagi.

Mereka membintangi ‘Lockdown’, terbitan syarikat produksi U2 Media Sdn Bhd. Drama bersiri ini membawakan pelbagai ragam dan kisah suka duka rakyat Malaysia meneruskan kehidupan harian dalam norma baharu di sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau lebih dikenali sebagai PKP.

Lapan cerita berbeza bakal dipersembah menerusi paparan 10 episod yang diinspirasikan daripada situasi sukar yang perlu diharungi segenap masyarakat sejak diuji oleh penularan COVID-19.

Cerita asal dan skrip drama ‘Lockdown’ diilhamkan oleh pengarah prolifik, Erma Fatima, dan mendapat sentuhan Mohd Fazli Yahya yang memikul tanggungjawab sebagai pengarahnya.

Penceritaan setiap kisah dalam ‘Lockdown’ bakal menampilkan lakonan mantap penuh emosi 23 pelakon handalan.

Antara mereka termasuklah nama besar seperti Zara Zya, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Fahrin Ahmad, Sara Ali, Izzue Islam, Kaka Azraff, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Amerul Affendi, Hasnul Rahmat, Jalil Hamid, Azizah Mahzan, Liza Abdullah,  dan Balkisyh Semundur Khan.

Lockdown’ akan disiarkan pada setiap Isnin sehingga Khamis, jam 11 malam mulai 26 Julai 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104), serta boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO, dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Friday, 9 July 2021

 PENYIARAN


WABAK PANDEMIK DORONG NURFLIX BINA RANGKAIAN MEDIA ISLAM ANTARABANGSA

 

COVID-19 memang menyusahkan semua orang tanpa mengira agama, bangsa, jantina, kedudukan, dan bidang kehidupan di seluruh dunia.

Orang yang terlibat dalam platform penstriman video juga tidak terkecuali. Walau bagaimanapun, mereka tidak mahu berdiam diri mengalah begitu sahaja.

Sebuah daripadanya ialah platform penstriman video dengan kandungan Islamik, Nurflix yang sedang giat memperkasa empayarnya, agar tidak terhenti akibat wabak pandemik maut ini sejak dilancarkan pada Julai 2020.

Menyedari kekangan/keterbatasan melanjutkan produksi penggambaran, dan pembangunan kandungan, Nuflix baru-baru ini telah melancarkan inisiatif pembinaan rangkaian media islamik antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix, Syah Mohamed, kesan pandemik memaksa atau mendorong mereka memperkasakan jalinan penerbitan, dan media dengan menjangkau rangkaian kerjasama bersama-sama syarikat penerbitan, dan media Islamik dari luar negara.

Nurflix mahu mencapai objektif dalam usaha memberi manfaat kepada penggiat seni, dan komuniti,” jelas Syah.

Nurflix, tambahnya, akan ada kandungan serta kolaborasi dari syarikat penerbitan luar negara seperti United Kingdom, Mesir, Qatar, Turki, dan Indonesia.

“Melalui kolaborasi ini, dianggarkan akan ada lebih 1,000 konten untuk ditonton menjelang akhir 2021, insya-Allah,” kata Syah lagi.

Nurflix juga, tambahnya, sedang berbincang dengan platform penstriman Islamik di seluruh dunia bagi membina gabungan kerjasama penyebaran kandungan media yang sopan, dan bermanfaat untuk generasi.

“Dengan jalinan rangkaian ini, kita berharap kandungan dan program dari luar boleh kita tonton di Nurflix dan kandungan dari Malaysia juga ditonton di luar negara. Sudah tiba masanya rangkaian ini diperkasakan,” jelas Syah mengenai kewujudan rangkaian platform, pemasaran dan penerbitan ini.

Kemasukan kandungan-kandungan luar ke dalam Nurlix juga akan memberi peluang pekerjaan pasca produksi, terjemahan kandungan, dan alih bahasa.

Inisiatif ini juga, tambah Syah, dibuat agar khalayak akan dapat terus menikmati kandungan patuh syariah dalam dan luar negara yang disajikan kepada pengguna.

Lebih istimewa, Nurflix menetapkan sasaran untuk menjadi platform pembelajaran, dan bukan semata-mata hiburan dengan menonton filem, serta drama semata-mata.

Sehubungan dengan pemerkasaan kerjasama dan pelebaran kandungan luar, produk milik Sutera Hijau Ventures Berhad ini akan melancarkan aplikasi natif ‘Nurflix Goldfish 2.0’ lengkap untuk pelbagai peranti iOS, Android, dan Smart TV bagi menggantikan aplikasi hybrid sedia ada sejak pelancaran Nurflix Beta pada Oktober 2020.

Menurut Syah mengenai pengukuhan aplikasi natif yang bakal dilaksanakan kelak, naik taraf ini akan dilancarkan pada 1 Muharram 1443 atau 10 Ogos depan, dan  memberikan kelebihan kepada pengguna kerana ia lebih stabil, dan pantas.




Dengan penambahbaikan yang sedang giat diperkasa ini, Nurflix berharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada para penggiat media Islamik, sekali gus menggerakkan ekonomi, terutama di sektor penerbitan, dan media selama dunia dilanda pandemik. Harga pakej langganan baharu juga akan turut diumumkan pada Ogos nanti.

Aplikasi Nurflix boleh dicapai melalui laman web http://nurflix.tv, Apple Appstore & Google Playstore.