PENYIARAN
WABAK PANDEMIK
DORONG NURFLIX BINA RANGKAIAN MEDIA ISLAM ANTARABANGSA
COVID-19
memang menyusahkan semua orang tanpa mengira agama, bangsa, jantina, kedudukan,
dan bidang kehidupan di seluruh dunia.
Orang yang terlibat dalam platform penstriman video juga
tidak terkecuali. Walau bagaimanapun, mereka tidak mahu berdiam diri mengalah
begitu sahaja.
Sebuah daripadanya ialah platform penstriman video dengan
kandungan Islamik, Nurflix yang sedang giat memperkasa empayarnya, agar tidak
terhenti akibat wabak pandemik maut ini sejak dilancarkan pada Julai 2020.
Menyedari kekangan/keterbatasan melanjutkan produksi
penggambaran, dan pembangunan kandungan,
Nuflix baru-baru ini telah melancarkan inisiatif pembinaan rangkaian media islamik antarabangsa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix, Syah Mohamed, kesan
pandemik memaksa atau mendorong mereka memperkasakan jalinan penerbitan, dan
media dengan menjangkau rangkaian kerjasama bersama-sama syarikat penerbitan,
dan media Islamik dari luar negara.
“Nurflix mahu mencapai objektif dalam usaha memberi
manfaat kepada penggiat seni, dan komuniti,” jelas Syah.
Nurflix, tambahnya, akan ada kandungan serta kolaborasi
dari syarikat penerbitan luar negara seperti United Kingdom, Mesir, Qatar,
Turki, dan Indonesia.
“Melalui kolaborasi ini, dianggarkan akan ada lebih 1,000
konten untuk ditonton menjelang akhir 2021, insya-Allah,” kata Syah lagi.
Nurflix juga, tambahnya, sedang berbincang dengan
platform penstriman Islamik di seluruh dunia bagi membina gabungan kerjasama penyebaran kandungan
media yang sopan, dan bermanfaat untuk generasi.
“Dengan jalinan rangkaian ini, kita berharap kandungan
dan program dari luar boleh kita tonton di Nurflix dan kandungan dari Malaysia
juga ditonton di luar negara.
Sudah tiba masanya rangkaian ini diperkasakan,” jelas Syah mengenai kewujudan
rangkaian platform, pemasaran dan penerbitan ini.
Kemasukan
kandungan-kandungan luar ke dalam Nurlix juga akan memberi peluang
pekerjaan pasca produksi, terjemahan
kandungan, dan alih bahasa.
Inisiatif ini juga, tambah Syah, dibuat agar khalayak
akan dapat terus menikmati kandungan patuh syariah dalam dan luar negara yang
disajikan kepada pengguna.
Lebih istimewa, Nurflix menetapkan sasaran untuk menjadi
platform pembelajaran, dan bukan semata-mata hiburan dengan menonton filem, serta
drama semata-mata.
Sehubungan dengan pemerkasaan kerjasama dan pelebaran
kandungan luar, produk milik Sutera
Hijau Ventures Berhad ini akan melancarkan aplikasi natif ‘Nurflix
Goldfish 2.0’ lengkap untuk pelbagai peranti iOS, Android, dan Smart TV bagi
menggantikan aplikasi hybrid sedia ada sejak pelancaran Nurflix Beta pada
Oktober 2020.
Menurut Syah mengenai pengukuhan aplikasi natif yang bakal dilaksanakan kelak, naik taraf ini akan dilancarkan pada 1 Muharram 1443 atau 10 Ogos depan, dan memberikan kelebihan kepada pengguna kerana ia lebih stabil, dan pantas.
Dengan penambahbaikan yang sedang giat diperkasa ini, Nurflix berharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada para penggiat media Islamik, sekali gus menggerakkan ekonomi, terutama di sektor penerbitan, dan media selama dunia dilanda pandemik. Harga pakej langganan baharu juga akan turut diumumkan pada Ogos nanti.
Aplikasi Nurflix boleh dicapai melalui laman web
http://nurflix.tv, Apple Appstore & Google Playstore.
No comments:
Post a Comment