Pages

Wednesday, 15 September 2021

 

JALAN PINTAS TERTINGGI DI MALAYSIA

 

SETIAP kali ke Rawang, Selangor agak lama dahulu, saya mesti dapat melihat binaan jalan raya yang tinggi lebih daripada biasa ini. Saya akan bertanya kepada sesiapa yang berada di sisi saya mengenainya.

 

Saya turut memberitahu mereka saya akan melaluinya setelah ia siap nanti. Ia memang benar-benar menarik perhatian saya kerana ketinggiannya. Kelihatan unik dan tidak ada di tempat lain yang pernah saya kunjungi atau lewati.

 

Walau bagaimanapun, selepas semakin jarang ke Rawang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang ditambah oleh kekangan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat COVID-19, ia mula hilang daripada ingatan saya.

 

Beberapa minggu yang lalu, cerita mengenainya muncul semula. Apa lagi kalau bukan media sosial yang menghebohkannya. Saya kembali teruja.

 

Setelah siap, ia dinamakan Jalan Pintas Rawang atau Rawang Bypass, dan semakin menular. Namun begitu, saya tidak tahu sudah hampir setahun ia dibuka kepada orang ramai, atau pengguna jalan raya.

 

Ternyata PKP menghalang. Walau bagaimanapun, keinginan mendekati dan melaluinya tidak padam. Saya terus menunggu keadaan mengizinkan untuk berbuat sedemikian.

 

Kebenaran merentas daerah dan negeri bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana termasuk dalam prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 mulai 10 September lalu menggembirakan saya.

 

Saya menyambung semula hasrat dan terasa masa kian hampir untuk memenuhinya. Dengan bantuan seorang rakan, saya dan dia menunggang motorsikal ke Rawang.

 

Akhirnya, hasrat saya tercapai. Kami sampai ke sana pada kira-kira jam 11 pagi, 12 September lalu. Walaupun cuaca panas, saya dan rakan gembira serta berbangga.

Masakan tidak. Jalan Pintas Rawang itu adalah pembinaan struktur tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 58.2 meter dari aras tanah.

 

Barangkali jika kami dapat ke sana selepas subuh, perasaan dan pemandangan akan lebih indah. Hal ini dikatakan sedemikian kerana penggunanya akan ‘membelah awan’, terutama selepas hujan. Tentu ia memberikan pengalaman menarik yang sukar dilupakan sampai bila-bila.

 

Sejauh sembilan kilometer, Jalan Pintas Rawang ini dibuka kepada umum pada 29 November 2020.

 

Projek Jalan Pintas Rawang yang bernilai RM628 juta ini mula dibina pada 16 Julai 2005, dan siap sepenuhnya pada 21 November lalu.

 

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, pembinaannya mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana reka bentuk yang terpaksa diubah bagi mengurangkan kesan kepada alam sekitar di kawasan Taman Warisan Negeri Selangor.

 

Jalan Pintas Rawang dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 30,000 pengguna setiap hari. Kata Fadillah, jajaran baharu ini boleh mengurangkan kesesakan jalan raya, dan memendekkan masa perjalanan pengguna dari Serendah ke Selayang, terutamanya pada waktu puncak.

 

Jika sebelum ini pengguna mengambil masa sehingga dua jam pada waktu puncak, kini mereka hanya memerlukan kurang daripada 30 minit untuk ke destinasi yang sama. Selain itu, tambah Fadillah, ia dapat mengurangkan 50 peratus kesesakan jalan raya.

 

Projek pembinaan yang melalui Taman Warisan Selangor ini melibatkan kawasan hutan yang telah dikurangkan daripada 65 hektar ke 24 hektar, untuk memastikan kawasan rezab hutan kekal terpelihara, terutamanya spesies haiwan hutan yang kian pupus.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Dr Roslan Md Taha memberitahu, Jalan Pintas Rawang ini melibatkan jajaran baharu dua lorong dua hala, dan struktur bertingkat 2.7 kilometer, serta menaik taraf Jalan Persekutuan di sepanjang 12.5 kilometer.

 

Beberapa kaedah pembinaan yang terbaharu turut diperkenal dalam projek pembinaan jalan pintas ini seperti penggunaan geogrid, hand dug cassio dan precast interlocking slab untuk perlindungan sungai, serta perangkap lodak bagi mengawal kelodak pasir daripada memasuki sungai yang dapat membantu mengekalkan keadaan alam sekitar.

 

Dengan penggunaan teknologi pembinaan tersebut, keindahan Hutan Lipur Kanching dapat dikekalkan, dan sekali gus menggalakkan industri pelancongan.

 

Dalam perjalanan dua hala, iaitu pergi dan balik, kami berhenti dan mengambil gambar pegun dan video persekitaran di atas, dan di bawah jalan pintas itu
















. Lebih menarik, semasa berhenti dalam perjalanan balik, kami turut mengambil gambar pokok Giam Kanching atau Merawan Kanching yang hanya tumbuh di persekitaran kawasan jalan pintas tersebut.

 

Giam Kanching tumbuh di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara. Menariknya, di Malaysia, ia hanya ada di Rawang, iaitu di kawasan yang disebutkan tadi.

 

Dengan kewujudannya juga, sebuah kawasan rekreasi dan perkelahan di situ dinamakan Taman Eko Rimba Kanching.

 

Cuma, kami terkilan kerana tiada papan tanda yang memaparkan nama Jalan Pintas Rawang. Jadi, kami tidak dapat bergambar di sebelahnya sebagai kenangan indah.