JALAN PINTAS TERTINGGI DI
MALAYSIA
SETIAP kali ke Rawang, Selangor
agak lama dahulu, saya mesti dapat melihat binaan jalan raya yang tinggi lebih
daripada biasa ini. Saya akan bertanya kepada sesiapa yang berada di sisi saya
mengenainya.
Saya
turut memberitahu mereka saya akan melaluinya setelah ia siap nanti. Ia memang
benar-benar menarik perhatian saya kerana ketinggiannya. Kelihatan unik dan
tidak ada di tempat lain yang pernah saya kunjungi atau lewati.
Walau
bagaimanapun, selepas semakin jarang ke Rawang sejak beberapa tahun
kebelakangan ini, yang ditambah oleh kekangan perintah kawalan pergerakan (PKP)
akibat COVID-19, ia mula hilang daripada ingatan saya.
Beberapa
minggu yang lalu, cerita mengenainya muncul semula. Apa lagi kalau bukan media sosial
yang menghebohkannya. Saya kembali teruja.
Setelah
siap, ia dinamakan Jalan Pintas Rawang atau Rawang Bypass, dan semakin menular.
Namun begitu, saya tidak tahu sudah hampir setahun ia dibuka kepada orang
ramai, atau pengguna jalan raya.
Ternyata
PKP menghalang. Walau bagaimanapun, keinginan mendekati dan melaluinya tidak
padam. Saya terus menunggu keadaan mengizinkan untuk berbuat sedemikian.
Kebenaran
merentas daerah dan negeri bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana
termasuk dalam prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN)
Fasa 2 mulai 10 September lalu menggembirakan saya.
Saya
menyambung semula hasrat dan terasa masa kian hampir untuk memenuhinya. Dengan
bantuan seorang rakan, saya dan dia menunggang motorsikal ke Rawang.
Akhirnya,
hasrat saya tercapai. Kami sampai ke sana pada kira-kira jam 11 pagi, 12
September lalu. Walaupun cuaca panas, saya dan rakan gembira serta berbangga.
Masakan
tidak. Jalan Pintas Rawang itu adalah pembinaan struktur tertinggi di Malaysia
dengan ketinggian 58.2 meter dari aras tanah.
Barangkali
jika kami dapat ke sana selepas subuh, perasaan dan pemandangan akan lebih
indah. Hal ini dikatakan sedemikian kerana penggunanya akan ‘membelah awan’, terutama
selepas hujan. Tentu ia memberikan pengalaman menarik yang sukar dilupakan
sampai bila-bila.
Sejauh
sembilan kilometer, Jalan Pintas Rawang ini dibuka kepada umum pada 29 November
2020.
Projek
Jalan Pintas Rawang yang bernilai RM628 juta ini mula dibina pada 16 Julai 2005,
dan siap sepenuhnya pada 21 November lalu.
Menurut
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, pembinaannya mengambil masa yang
lama untuk disiapkan kerana reka bentuk yang terpaksa diubah bagi mengurangkan
kesan kepada alam sekitar di kawasan Taman Warisan Negeri Selangor.
Jalan
Pintas Rawang dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 30,000 pengguna setiap
hari. Kata Fadillah, jajaran baharu ini boleh mengurangkan kesesakan jalan raya,
dan memendekkan masa perjalanan pengguna dari Serendah ke Selayang, terutamanya
pada waktu puncak.
Jika
sebelum ini pengguna mengambil masa sehingga dua jam pada waktu puncak, kini
mereka hanya memerlukan kurang daripada 30 minit untuk ke destinasi yang sama.
Selain itu, tambah Fadillah, ia dapat mengurangkan 50 peratus kesesakan jalan
raya.
Projek
pembinaan yang melalui Taman Warisan Selangor ini melibatkan kawasan hutan yang
telah dikurangkan daripada 65 hektar ke 24 hektar, untuk memastikan kawasan
rezab hutan kekal terpelihara, terutamanya spesies haiwan hutan yang kian pupus.
Sementara
itu, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Dr Roslan Md Taha memberitahu, Jalan
Pintas Rawang ini melibatkan jajaran baharu dua lorong dua hala, dan struktur
bertingkat 2.7 kilometer, serta menaik taraf Jalan Persekutuan di sepanjang
12.5 kilometer.
Beberapa
kaedah pembinaan yang terbaharu turut diperkenal dalam projek pembinaan jalan
pintas ini seperti penggunaan geogrid, hand
dug cassio dan precast interlocking
slab untuk perlindungan sungai, serta perangkap lodak bagi mengawal kelodak
pasir daripada memasuki sungai yang dapat membantu mengekalkan keadaan alam
sekitar.
Dengan
penggunaan teknologi pembinaan tersebut, keindahan Hutan Lipur Kanching dapat
dikekalkan, dan sekali gus menggalakkan industri pelancongan.
Dalam perjalanan dua hala, iaitu pergi dan balik, kami berhenti dan mengambil gambar pegun dan video persekitaran di atas, dan di bawah jalan pintas itu
. Lebih menarik, semasa berhenti dalam perjalanan balik, kami turut mengambil gambar pokok Giam Kanching atau Merawan Kanching yang hanya tumbuh di persekitaran kawasan jalan pintas tersebut.
Giam
Kanching tumbuh di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara. Menariknya, di
Malaysia, ia hanya ada di Rawang, iaitu di kawasan yang disebutkan tadi.
Dengan
kewujudannya juga, sebuah kawasan rekreasi dan perkelahan di situ dinamakan
Taman Eko Rimba Kanching.
Cuma,
kami terkilan kerana tiada papan tanda yang memaparkan nama Jalan Pintas
Rawang. Jadi, kami tidak dapat bergambar di sebelahnya sebagai kenangan indah.
No comments:
Post a Comment