SASTERA BUDAYA
Kehebatan Moyang Salleh dalam Teater
Muzikal di Istana Budaya
MEMANG sesuai Dato’ Mendika
Menteri Akhirul Zaman, Dato’ Haji Maarof Haji Mat Rashad merangkap Undang Luak
Jelebu ke-16 selaku Penaung Kehormat Diraja Muzikal Moyang Salleh menyempurnakan
perasmian majlis prapelancaran teater tersebut pada 11 Jun 2022 yang lalu di
Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) bersempena dengan Majlis Temu Kasih, dan
menandatangani kontrak para pelakonnya.
Antara
yang turut hadir termasuklah Pengarah Seni Reka Istana Budaya (IB), Ts. Mohd.
Fadzley Abd. Shukor; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor,
Rahman Mohd. Noh; Pengarah Pusat Kebudayaan, Universiti Sains Islam Malaysia,
Ismail Ahmed; Pengarah MaTiC, Rudy Irwan Shukaime; dan penulis skrip Subroto
Katimin.
Muzikal Moyang Salleh merupakan
sebuah pementasan muzikal berdasarkan legenda figura seorang pemimpin Melayu
bernama serupa dari daerah Jelebu, Negeri Sembilan. Ia membawa kisah
perjuangan, serta pengorbanan berlatarkan seni dan budaya masyarakat Melayu
negeri berkenaan.
Dipentaskan di Panggung Sari, IB
pada 26 hingga 31 Ogos 2022 nanti, Muzikal Moyang Salleh membawakan kelainan
dari segi persembahan, dan teknikal serta keunikan tersendiri apabila
menggunakan sepenuhnya dialek atau loghat Negeri Sembilan sebagai bahasa
pertuturan.
Menurut
pengarahnya, Roslee Mansor, antara aspek
kekaguman yang akan mempesonakan penonton ialah Moyang Salleh mampu berjalan di
atas air, dan boleh pergi dari satu tempat ke satu tempat dalam sekelip mata.
Para
pendekar Moyang Salleh turut memiliki kesaktian masing-masing. Tok Laut boleh
menghembuskan nafas yang menyambar langsir, dan jendela istana keluar dari
lubang hidungnya. Tok Gagah Lela Perkasa pula mampu menggegarkan istana dengan
hanya menggeselkan badannya pada tiang kediaman diraja tersebut.
Tok
Beruang Hitam boleh mencakar bumbung dan dinding istana sehingga lumat,
sementara Tok Bauk berupaya menggali tanah di hadapan istana dengan kedua-dua
tangannya sehingga berlubang sebesar kawah.
“Sebagai sebuah persembahan
muzikal yang menggabungkan unsur muzik, tari dan lakonan, pastilah para
pelakonnya wajib mempunyai kebolehan dan menguasai bidang lakonan, tarian dan
nyanyian. Kesukaran kami ialah mendapatkan para pelakon yang bersesuaian dengan
konsep persembahan,” tegas Roslee dalam ucapannya pada majlis prapelancaran
tersebut.
Muzikal
Moyang Salleh akan menampilkan 16 buah lagu baharu yang mampu membuatkan
persembahan lebih menarik kerana ada unsur muzik, tari dan lakon oleh para
pelakon berwibawa seperti Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar sebagai Moyang Salleh,
Khir Rahman (Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah), Hairi Safwan (Datuk Bendahara),
dan Along Eyzendy (Si Amat).
Antara
pelakon lain termasuklah Mubarak Majid (Dato’ Temenggung), Kamarul A.R. (Datuk
Penghulu Johol), Zuhairi Ibrahim (Tok Laut Api), Naque Ariffin (Datuk Penghulu
Sungai Ujong), Amran Nasaruddin (Pembesar Johor), Eliza Mustafa (Moyang Timah),
Raja Mohd. Hafiz (Tok Gagah Lela Perkasa), Haf Dzi Sofi (Tok Beruang Hitam),
Zaim Zainal (Tok Bauk), Melissa Kelvin (Seri Banun), Aloeng Silalahi (Datuk
Penghulu Rembau), dan Nen Tebabo Negeri FM (Cik Kembang Dara).
Walaupun mengambil masa selama
satu jam 45 minit, tetapi para penonton Muzikal Moyang Salleh tidak akan terasa
waktu tersebut lantaran momentum persembahan yang penuh aksi lasak, cinta dan
kasih, serta emosi.
Menurut
Penerbit Persembahan, Hajah Siti Salbiah Zahari, Muzikal Moyang Salleh
diterbitkan oleh Persatuan Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Yayasan
Ahsan Undang Luak Jelebu, serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
Malaysia yang menampilkan 150 orang tenaga produksi, termasuk para pelakon,
penari, pemuzik dan tenaga pengurusan.
“Muzikal Moyang Salleh juga merupakan
teater yang pertama dipentaskan di IB sejak wabak pandemik COVID-19 mula melanda
negara,” jelas Siti Salbiah.
Sementara itu, Dato’ Ahmad Tarmimi, Hairi dan Along ditampilkan sebagai wakil pelakon dalam sesi menandatangani kontrak antara pelakon selepas pelancaran muzikal tersebut. Antara pelakon lain yang turut hadir ialah Kamarul, Zuhairi, Eliza, Nen, dan Raja Mohd. Hafiz.
Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar (duduk) yang memegang watak Moyang Salleh menandatangani kontrak sebagai pelakon Muzikal Moyang Salleh, sambil diperhati oleh Roslee Mansor (kanan), dan Hajah Siti Salbiah Zahari.