Pages

Friday, 17 June 2022

SASTERA BUDAYA


Kehebatan Moyang Salleh dalam Teater Muzikal di Istana Budaya

 

MEMANG sesuai Dato’ Mendika Menteri Akhirul Zaman, Dato’ Haji Maarof Haji Mat Rashad merangkap Undang Luak Jelebu ke-16 selaku Penaung Kehormat Diraja Muzikal Moyang Salleh menyempurnakan perasmian majlis prapelancaran teater tersebut pada 11 Jun 2022 yang lalu di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) bersempena dengan Majlis Temu Kasih, dan menandatangani kontrak para pelakonnya.

 

Antara yang turut hadir termasuklah Pengarah Seni Reka Istana Budaya (IB), Ts. Mohd. Fadzley Abd. Shukor; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor, Rahman Mohd. Noh; Pengarah Pusat Kebudayaan, Universiti Sains Islam Malaysia, Ismail Ahmed; Pengarah MaTiC, Rudy Irwan Shukaime; dan penulis skrip Subroto Katimin.

 

Muzikal Moyang Salleh merupakan sebuah pementasan muzikal berdasarkan legenda figura seorang pemimpin Melayu bernama serupa dari daerah Jelebu, Negeri Sembilan. Ia membawa kisah perjuangan, serta pengorbanan berlatarkan seni dan budaya masyarakat Melayu negeri berkenaan.

 

Dipentaskan di Panggung Sari, IB pada 26 hingga 31 Ogos 2022 nanti, Muzikal Moyang Salleh membawakan kelainan dari segi persembahan, dan teknikal serta keunikan tersendiri apabila menggunakan sepenuhnya dialek atau loghat Negeri Sembilan sebagai bahasa pertuturan.

 

Menurut pengarahnya, Roslee Mansor, antara aspek kekaguman yang akan mempesonakan penonton ialah Moyang Salleh mampu berjalan di atas air, dan boleh pergi dari satu tempat ke satu tempat dalam sekelip mata.

 

Para pendekar Moyang Salleh turut memiliki kesaktian masing-masing. Tok Laut boleh menghembuskan nafas yang menyambar langsir, dan jendela istana keluar dari lubang hidungnya. Tok Gagah Lela Perkasa pula mampu menggegarkan istana dengan hanya menggeselkan badannya pada tiang kediaman diraja tersebut.

 

Tok Beruang Hitam boleh mencakar bumbung dan dinding istana sehingga lumat, sementara Tok Bauk berupaya menggali tanah di hadapan istana dengan kedua-dua tangannya sehingga berlubang sebesar kawah.

 

“Sebagai sebuah persembahan muzikal yang menggabungkan unsur muzik, tari dan lakonan, pastilah para pelakonnya wajib mempunyai kebolehan dan menguasai bidang lakonan, tarian dan nyanyian. Kesukaran kami ialah mendapatkan para pelakon yang bersesuaian dengan konsep persembahan,” tegas Roslee dalam ucapannya pada majlis prapelancaran tersebut.

 

Muzikal Moyang Salleh akan menampilkan 16 buah lagu baharu yang mampu membuatkan persembahan lebih menarik kerana ada unsur muzik, tari dan lakon oleh para pelakon berwibawa seperti Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar sebagai Moyang Salleh, Khir Rahman (Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah), Hairi Safwan (Datuk Bendahara), dan Along Eyzendy (Si Amat).

 

Antara pelakon lain termasuklah Mubarak Majid (Dato’ Temenggung), Kamarul A.R. (Datuk Penghulu Johol), Zuhairi Ibrahim (Tok Laut Api), Naque Ariffin (Datuk Penghulu Sungai Ujong), Amran Nasaruddin (Pembesar Johor), Eliza Mustafa (Moyang Timah), Raja Mohd. Hafiz (Tok Gagah Lela Perkasa), Haf Dzi Sofi (Tok Beruang Hitam), Zaim Zainal (Tok Bauk), Melissa Kelvin (Seri Banun), Aloeng Silalahi (Datuk Penghulu Rembau), dan Nen Tebabo Negeri FM (Cik Kembang Dara).

 

Walaupun mengambil masa selama satu jam 45 minit, tetapi para penonton Muzikal Moyang Salleh tidak akan terasa waktu tersebut lantaran momentum persembahan yang penuh aksi lasak, cinta dan kasih, serta emosi.

 

Menurut Penerbit Persembahan, Hajah Siti Salbiah Zahari, Muzikal Moyang Salleh diterbitkan oleh Persatuan Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Yayasan Ahsan Undang Luak Jelebu, serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang menampilkan 150 orang tenaga produksi, termasuk para pelakon, penari, pemuzik dan tenaga pengurusan.

 

“Muzikal Moyang Salleh juga merupakan teater yang pertama dipentaskan di IB sejak wabak pandemik COVID-19 mula melanda negara,” jelas Siti Salbiah.

 

Sementara itu, Dato’ Ahmad Tarmimi, Hairi dan Along ditampilkan sebagai wakil pelakon dalam sesi menandatangani kontrak antara pelakon selepas pelancaran muzikal tersebut. Antara pelakon lain yang turut hadir ialah Kamarul, Zuhairi, Eliza, Nen, dan Raja Mohd. Hafiz.   

       


Dato’ Mendika Menteri Akhirul Zaman, Dato’ Haji Maarof Haji Mat Rashad merangkap Undang Luak Jelebu ke-16 selaku Penaung Kehormat Diraja berharap Muzikal Moyang Salleh dihasilkan dengan penuh ketelitian.




Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar (duduk) yang memegang watak Moyang Salleh menandatangani kontrak sebagai pelakon Muzikal Moyang Salleh, sambil diperhati oleh Roslee Mansor (kanan), dan Hajah Siti Salbiah Zahari.



Pengarah Pusat Kebudayaan, Universiti Sains Islam Malaysia, Ismail Ahmed atau Adiwangsa Sukma (tengah) menerima cenderamata daripada Hajah Siti Salbiah Zahari.


Penerbit Persembahan, Hajah Siti Salbiah Zahari berharap pementasan Muzikal Moyang Salleh akan berjaya.

A


                        Penulis skrip Muzikal Moyang Salleh, Subroto Katimin (kiri sekali).



                                                                 Pengarah Muzikal Moyang Salleh, Roslee Mansor.









No comments:

Post a Comment