Pages

Saturday, 27 August 2022

MUZIK

 

SUAV RAJA DI SINI

 

CANGGIH dan lembut. Demikianlah SUAV yang dianggotai tiga anak muda, iaitu Adam Imanullah Izzuddin (vokal, gitar, rap), Muhammad Akif Taqiuzaman Norzam, (vokal, gitar dan piano), serta Mohamad Ariff Mohamad Salleh Aludin (bass) mendefinisikan kugiran mereka.

 

Membawa falsafah muzik bercampur pop, hip-hop, elektronik dan rock, SUAV muncul dengan lagu tunggal perdana berjudul Raja di Sini.

 

Raja di Sini mengisahkan seseorang yang bertahan, dan mampu berada pada kedudukan sekarang selepas menempuhi badai, serta sepak terajang kehidupan.


 

Dirakamkan di Rumie Music Lab (RML), Raja di Sini mendapat sentuhan barisan karyawan dan legenda, termasuk komposer dan penerbit terkenal, Aidit Alfian (penerbit), Alfa Booty (penolong penerbit), Rumie Booty (jururakam bunyi dan juruadun), dan Retno Junaidi (pengendali studio).

 

“Demo lagu ini telah dirakamkan beberapa tahun lalu, dan ia ada susunan muzik yang sangat berbeza dari segi vibe dan lirik. Lagu ini dipilih menjadi lagu tunggal perdana kami dengan nafas baharu, dan susunan muzik yang agak berbeza daripada pop rock band di Malaysia,” jelas SUAV.

 

Raja di Sini telah dirakamkan dalam masa kurang daripada sebulan, dan turut dihasilkan dalam bentuk video muzik.

 

Lagu ini terhasil apabila Aidit dilamar oleh sebuah projek indie yang meminta OST filem Gantung The Movie yang akan disiarkan menerusi strim antarabangsa,” kata Adam.

 

Gantung The Movie berasal daripada novel Gantung 1 dan Gantung 2, karya Nadia Khan, yang diadaptasi menjadi siri televisyen Gantung The Series di ASTRO, dan sebuah lagi TV strimIndonesia, dengan barisan pelakon yang begitu mantap seperti Ikmal Amry, Hafreez Adam, Randy Pangalila, Brandon Salim, Mentari De Marelle dan Gita Sucia.

 

“Namun begitu, penggambaran ter‘gantung’ kerana perintah kawalan pergerakan  selama dua tahun, dan kesibukan jadual para pelakon,” tambahnya.

 

SUAV amat berpuas hati dengan hasil yang diperoleh selepas melalui proses rakaman lagu Raja di Sini.

 

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada abang Aidit kerana membimbing, dan juga pengarah muzik video, Nabil Imran dari Mahakarya Studios. Kami berharap pendengar-pendengar dapat menghayati ‘pengalaman’ sebenar dalam lagu ini melalui video muziknya selain berharap ia menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup anda,” kata Akif pula.

 

SUAV juga bersyukur dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana menaja video muzik mereka, dan kepada Cendana kerana menjayakan penerbitan rakaman Raja di Sini.

 

Sementara itu, Aidit mengaku tidak sukar menjalinkan kerjasama dengan SUAV yang disifatkan sebagai sangat berpotensi.

 

Tiga anak muda yang masing-masing berusia 24 tahun bukan sahaja berbakat dalam bidang instrumen, tetapi mampu menulis lagu, dan menjadi komposer yang baik,” kata Aidit.

 

Selain memberi kerjasama, mereka juga sangat mudah diajar. Potensi ataupun bakat SUAV selain bermain gitar dan menyanyi ialah dalam penulisan lagu dan lirik. Kekuatan mereka apabila bekerja bersama-sama, iaitu bagus tanpa ‘bintang’ dalam sebuah kumpulan,” tambahnya.

 

Sebagai komposer dan penulis lagu, Aidit amat menggalakkan SUAV agar terus berkarya dan menulis lagu kerana mereka memang ada bakat semula jadi dan kesungguhan untuk terus maju.

 

Kini SUAV telah bersedia menempuh ‘badai’ dunia muzik sebenar, selepas ditubuhkan pada 2015.

 

“Kami mahu mencipta lagu-lagu yang mampu menyentuh setiap kerumitan perasaan seseorang itu seperti yang kami rasai,” kata Ariff pula.

 

Selain Raja di Sini, SUAV telah merancang untuk meluncurkan lagu tunggal kedua mereka, Sunflower dalam masa terdekat. Sunflower turut mendapat sentuhan Alfa Booty.

 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai SUAV, ‘sapa’ mereka di platform media sosial ini: www.instagram.com/suavofficial, dan www.tiktok.com/suavofficial_.

 

Pautan YouTube mereka pula ialah https://www.youtube.com/c/SUAVOfficial/featured.

 

Muzik video kumpulan SUAV turut dilancarkan di laman YouTube pada 25 Ogos 2022, jam 9 malam. Raja di Sini dapat ditonton di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=LkW82_pCyY0.

 

 

 

MAKLUMAT PEMBIKINAN LAGU RAJA DI SINI - SUAV

 

Label: Aidit Alfian Records.

Komposer: Akif Taqiuzaman (Indah Karya Publishing (M) Sdn Bhd).

Penulis lirik: Adam Imanullah, Akif Taqiuzaman, Arrif Salleh (Indah Karya Publishing (M) Sdn Bhd).

Penyusun: Adam Imanullah, Akif Taqiuzaman, Arrif Salleh, Alfa Booty dan Aidit Alfian.        

Juruadun dan Jurutera Bunyi: Rumie Booty.

Operator Studio: Retno Junaidi.

Rakaman: RML

Penolong Penerbit: Alfa Booty.

Penerbit: Aidit Alfian.

Pengurus Projek: Nur Fareisha

 

Thursday, 25 August 2022

TEATER

 

KISAH PEMERINTAH WANITA DI SELANGOR DIPENTASKAN

 

MAJLIS Teater Negeri Selangor (MTS) akan mementaskan teater Masahoro Opu Raja Siti (MORS) di Pentas Terbuka, Taman Tasik Shah Alam pada 10 dan 11 September 2022.

 

Pementasan MORS yang mengenakan bayaran RM20 sebagai sumbangan masuk menonton ini disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Selangor (JKKNS), dan Tenaga Nasional sebagai rakan strategik.

 

Menurut pengarah yang juga menulis lakon pentas MORS, Sharul Titis, teater ini wajar dipentaskan kerana ia menampilkan pemerintah wanita berwibawa yang pernah wujud di Selangor. Kebiasaannya pemimpin wanita selalu dipertikai.

 


                Sidang media pelancaran teater Masahoro Opu Raja Siti pada 25 Ogos 2022 lalu.


                                    Sedutan gimik babak teater Masahoro Opu Raja Siti.


Sifu Najib (paling kiri) memberikan beberapa penjelasan semasa sidang media teater Masahoro Opu Raja Siti pada 25 Ogos 2022 lalu.



                             Amirah Razak menjayakan gimik sedutan babak teater Masahoro Opu Raja Siti.




Mohd Raizuli Jusoh (dua dari kiri) melancarkan teater Masahoro Opu Raja Siti.


                                M Rosslie A Wahab menyampaikan ucapan alu-aluan.


Pengarah teater Masahoro Opu Raja Siti, Sharul Titis (dua dari kiri) bersama-sama Mohd Raizuli Jusoh (tiga dari kiri), M Rosslie A Wahab (paling kanan), dan pendokong utama teater berkenaan.


Amirah Razak bercerita mengenai watak Opu Raja Siti yang dipegangnya. Di sebelah beliau ialah pelakon veteran Shah Farid Zain.


Sidang media pelancaran teater Masahoro Opu Raja Siti pada 25 Ogos 2022 lalu.


Dalam sidang media teater MORS di pejabat JKKNS, Shah Alam pada 25 Ogos 2022 lalu, Sharul memberitahu cerita Opu Raja Siti ini memang pilihan utama untuk dipentaskan. Dari mula lagi, ia telah timbul dalam pemikiran, dan perancangan.

 

Mengenai para pelakon MORS, Sharul menjelaskan, mereka yang dipilih tidak hanya dalam kalangan ahli MTS sahaja. Katanya, pengumuman untuk mencari pelakon dan sesi uji bakat memang dilakukan.

 

“Sesiapa sahaja pelakon lama dan baharu yang berminat boleh menghadiri sesi uji bakat. Akhirnya, mereka yang menepati ciri-ciri kelayakan telah disenaraikan sebagai pelakon MORS,” kata Sharul.

 

Justeru, barisan pelakon yang terpilih terdiri daripada muka baharu dan lama. Pendokong watak Opu Raja Siti ialah Amirah Razak. Sebelum ini Amirah merupakan pendokong watak Dara dalam teater sensasi arahan Dinsman, Teater di Sawah Padi: Muzika Uda & Dara pada 25 dan 26 Oktober 2019 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.


Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor, Mohd Raizuli Jusoh menyampaikan ucapan pelancaran teater Masahoro Opu Raja Siti.


Antara pelakon veteran yang turut menjayakan MORS ialah Shah Farid Zain dan Rahim Kedol. Mereka bergabung dengan Sifu Najib, Idan Shahril, Dayang Norinah, Anwar Rusdini, Taha Muhammad, Azmie Daim, Pairul Azhar, Jamaludin, Hazley, dan Thaqif.

 

Menjawab soalan mengapa Shah Farid tidak dipilih memegang watak utama lelaki, Sharul menjelaskan, pihaknya mengutamakan kesesuaian dan keselamatan para pelakon. Faktor usia membataskan pergerakan Shah berbanding semasa muda dahulu.

 

“Sebenarnya, Sifu Najib yang masih muda sebagai pelakon utama lelaki adalah guru silat. Usia muda dan tenaganya boleh dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk aksi-aksi lasak,” jelas Sharul.

 

Selain Sharul, Amirah, Sifu Najib, dan Shah, turut menghadiri sidang media MORS termasuklah Pengarah JKKNS, Mohd Raizuli Jusoh yang juga melancarkan teater berkenaan; wakil MTNS, M Rosslie A Wahab; dan penasihat produksi, M Romazi Nordin.

 

Dalam ucapannya, Mohd Raizuli menyatakan kegembiraan kerana teater dapat muncul kembali setelah sekian lama terhalang. Kali terakhir, katanya, teater dipentaskan di Selangor ialah Teater Atas Pokok, juga arahan Dinsman pada 16 dan 17 April 2016.

 

“Pementasan teater ini besar ertinya sebagai pembuka jalan semula selepas tertutup akibat wabak pandemik COVID-19. Lebih menggembirakan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyokong penuh pementasan teater ini, dan tiada masalah untuk yang lain-lain nanti,” tambah Raizuli.

 

Sementara itu, M Rosslie memberitahu memang banyak cerita sejarah dan tokoh di Selangor yang boleh diteaterkan. Sokongan MBSA, katanya, memberikan harapan menggunung untuk meneruskan pementasan teater dari semasa ke semasa.

 

M Romazi yang kaya ilmu mengenai sejarah Selangor khasnya, dan Malaysia khasnya, telah agak lama terlibat dengan pementasan teater di Selangor.

 

Mengenai tempat terbuka sebagai arena tetap setiap pementasan teater, hal itu, katanya, terpulang pada pihak produksi, dan kesesuaian.

 

Turut mengisi sidang media MORS ialah gimik sedutan babak, dan tayangan video teaser teater berkenaan.              

 

    


Monday, 22 August 2022

SENI 


KENANG, HARGAI SUDIRMAN DALAM PAMERAN KHAS PERTAMA DI MALAYSIA

 

PAMERAN khas ‘Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No. 1 Asia’ dari 12 Ogos 2022 lalu sehingga 30 September 2022 depan di Galeri Sudirman, Tingkat 2, Pusat Beli-belah Fahrenheit88 Bukit Bintang, Kuala Lumpur merupakan pameran besar yang pertama di Malaysia mengenai penyanyi legenda Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.

 

Dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi sehingga 10 malam secara percuma, pameran anjuran Kamura dan Sudirman Asset Management dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM – di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia), dan Farenheit88 itu mempamerkan koleksi asli dari ANM, kecuali baju bendera Malaysia terpanjang yang hanya replika.

 

Baju asal bendera tersebut berukuran 120 meter panjang yang dipakai oleh Sudirman ketika majlis penutupan Sukan Asia Tenggara ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.

 

Antara bahan menarik yang dipamerkan termasuklah basikal tua (walaupun hanya replika) yang digunakan oleh Sudirman semasa penggambaran video muzik lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) bersama-sama Allahyarham Yusni Jaafar, 153 buah lukisan animasi Allahyarham yang disiarkan dalam media terbitan Kumpulan Karangkraf yang didedikasikan untuk neneknya, Fatimah Dahlan; ibunya, Ramlah Dahalan; ibu tiri yang dianggap seperti ibu kandungnya, Mariam Mohamad dan para peminat; baju Melayu songket yang digayakan oleh Sudirman semasa sesi fotografi bagi majalah URTV edisi khas Aidilfitri 1991, dan koleksi kaca mata hitam yang selalu dipakai oleh Allahyarham semasa membuat persembahan.

 

Selain itu ialah trofi anugerah istimewa Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) untuk Allahyarham semasa acara AIM tahun 1993 sebagai menghargai sumbangannya dalam industri muzik tanah air, songkok-songkok kain untuk persembahan, koleksi kaset dan piring hitam lagu-lagu popular Sudirman, beberapa pasang kasut, tanjak, dan keratan akhbar/majalah serta poster biografi, pengiktirafan, dan penghibur terbaik Asia.

 

Oleh kerana Sudirman juga dikenali sebagai ikon patriotik negara dan ikon fesyen, bahan-bahan mengenainya turut dipamerkan seperti pakaian yang pernah pakai dipakai oleh Allahyarham semasa membuat persembahan.

 

Perasmian pameran khas “Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No. 1 Asia”disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Ogos 2022 lalu. Turut hadir ialah kakak dan anak saudara Allahyarham, iaitu Datin Rodziah Arshad, dan Razman Azrai Dato’ Zainudin atau Atai.

 

Selain menurunkan tandatangan sebagai tanda minat dan kehadiran, para pengunjung pameran juga boleh membeli cenderamata berkaitan yang dikeluarkan oleh Kamura.

 

Menurut pihak Kamura, 15 peratus daripada keuntungannya akan diserahkan ke rumah anak yatim pilihan waris Alahyarham Sudirman.

 

*Katering Kamura ditaja oleh Pailong Catering & Chocolate  dari Estana.

 

Oleh kerana Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad juga dikenali sebagai ikon fesyen, bahan-bahan mengenainya turut dipamerkan seperti pakaian yang Allahyarham pernah pakai.

Koleksi kaca mata hitam yang selalu dipakai oleh Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad semasa membuat persembahan.


Basikal tua (replika untuk pameran ini) yang digunakan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad semasa penggambaran video muzik lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) bersama-sama Allahyarham Yusni Jaafar.

                    Antara kaset lagu-lagu popular Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.


    Sebahagian daripada piring hitam lagu-lagu popular Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.


                Koleksi kasut dan tanjak kepunyaan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.


Trofi anugerah istimewa Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) untuk Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad semasa acara AIM tahun 1993 sebagai menghargai sumbangannya dalam industri muzik tanah air.


Para pengunjung pameran juga boleh membeli cenderamata berkaitan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad yang dikeluarkan oleh Kamura.

Replika baju bendera Malaysia terpanjang berukuran 120 meter panjang yang dipakai oleh Sudirman Haji Arshad semasa majlis penutupan Sukan SEA ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.


Replika baju bendera Malaysia terpanjang (berukuran 120 meter panjang yang dipakai oleh Sudirman ketika majlis penutupan Sukan Asia Tenggara ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.)

Sebahagian daripada 153 buah lukisan animasi Dato’ Sudirman Haji Arshad yang disiarkan dalam media terbitan Kumpulan Karangkraf yang didedikasikan untuk nenek, ibu, ibu tiri, dan para peminat Allahyarham.


    Maklumat mengenai diri Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad sebagai penghibur terbaik Asia.


Baju Melayu songket yang digayakan oleh Sudirman Haji Arshad semasa sesi fotografi bagi majalah URTV edisi khas Aidilfitri 1991.

Sebahagian daripada keratan akhbar/majalah mengenai Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.


Beberapa buah songkok kain yang biasa digunakan oleh Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad untuk persembahan.

Thursday, 4 August 2022

PELANCONGAN


Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022 Gamit Pelancong ke Pulau Legenda

 

BASIKAL lipat semakin terkenal dan diminati ramai di negara kita walaupun harganya relatif mahal. Selain menunggang bersendirian, dapat berkumpul bersama-sama dengan para peminat/pemiliknya tentu lebih menyeronokkan.

 

Sehubungan itu, mereka yang berkenaan jangan melepaskan peluang berbuat demikian dengan menyertai pelbagai aktiviti menarik bersempena Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022 (LIFBC 2022) di Langkawi pada 16 sehingga 18 September 2022 nanti.



Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Megaklinik Zahran, Dato’ Mohd Nafidz Abdul Razak menyampaikan ucapan.


                               Pegawai Daerah Langkawi, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya.

    

Penyanyi blues legenda negara dari kumpulan Blues Gang, Ito Mohd (empat dari kiri) turut hadir.



Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya (empat dari kanan) melancarkan Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022.


Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya dan Dato’ Mohd Nafidz Abdul Razak mencuba basikal yang bakal digunakan oleh peserta LIFBC 2022.



                Tiga anak muda pereka basikal (berdiri di belakang) untuk LIFBC 2022 turut hadir.

Untuk menguar-uarkannya, satu majlis sidang media dan pelancaran LIFBC 2022 anjuran Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Kumpulan Megaklinik Zahran, Tourism Malaysia, Cuti-Cuti Malaysia, dan Kerajaan Negeri Kedah ini telah diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2022 lalu.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Acara LTA, Zainudin Kadir, LIFBC 2022 mendapat sokongan padu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tourism Malaysia, dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

 

“Lebih 1,500 peserta dijangka menyertai LIFBC 2022 yang melibatkan penyertaan dari dalam negara, dan luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura,” kata Zainudin dalam ucapannya dalam majlis sidang media dan pelancaran itu.  

 

Katanya, sambutan yang menggalakkan daripada peserta tempatan dan antarabangsa ini membuktikan bahawa aktiviti basikal lipat berjaya menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Langkawi selepas lebih dua tahun lumpuh akibat wabak pendemik COVID-19.

 

“Festival tiga hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti seperti Fun Ride 30KM, Endurance 65KM, pameran, serta jualan. Hadiah bernilai lebih RM35,000, serta pelbagai hadiah cabutan bertuah menanti peserta,” tambah Zainudin.

 

Jelas beliau lagi, setiap peserta akan diberikan jersi eksklusif LIFBC, pingat LIFBC, sijil penyertaan, dan beg ole-ole.

 

“Selain berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang menarik, peserta juga berpeluang menghayati keindahan destinasi pelancongan popular di sepanjang laluan LIFBC 2022 diadakan seperti di Pantai Cenang, dan sekitarnya,” kata Zainuddin lagi.












Turut menghadiri majlis sidang media dan pelancaran LIFBC 2022 itu ialah Pegawai Daerah Langkawi, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Megaklinik Zahran, Dato’ Mohd Nafidz Abdul Razak; Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia, Datuk Azlie Halim; dan penyanyi blues legenda negara dari kumpulan Blues Gang, Ito Mohd.

 

Menariknya, Dato’ Mohd Nafidz berminat membawa pihak beliau sebagai penganjur bersama LIFBC 2022 selepas beberapa hari mengunjungi Langkawi baru-baru ini.





  

Dalam ucapannya, Dato’ Mohd Nafidz menyatakan pulau indah ini memiliki banyak keistimewaan untuk dinikmati, selain menjayakan hasrat projek pelancongan perubatan.

 

Selain berucap, Dato’ Haji Abdul Gafar diberikan penghormatan melancarkan LIFBC 2022. Dalam ucapannya, beliau tidak menyembunyikan rasa teruja dengan program yang akan diadakan nanti.

 

“Justeru, saya sanggup datang ke Kuala Lumpur dari Langkawi walaupun baru pulang dari mengerjakan haji untuk melancarkan Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022 ini,” kata Abdul Gafar yang mengakui sudah jatuh cinta dengan Langkawi walaupun baru enam bulan bertugas sebagai Pegawai Daerah.

 

“Saya juga yakin masih banyak sudut dan bahagian pulau legenda ini yang boleh dimanfaatkan dalam usaha membina semula sektor pelancongan selepas landaan COVID-19, sekali gus kemajuan ekonomi negara,” tegas Abdul Gafar yang berbangga LIFBC 2022 dianjurkan oleh anak tempatan.

 

Selain LIFBC 2022, beberapa lagi acara pelancongan bertaraf antarabangsa akan turut mengisi kalender pelancongan Langkawi sehingga penghujung 2022. Antaranya termasuklah Pertunjukan Kereta Klasik Antarabangsa Langkawi 2022 pada 9 hingga 11 Disember, dan ASEANA Blues Rock Antarabangsa Langkawi atau LIBRA 22 (17, 18 dan 19 Disember).

 

Justeru, kehadiran Ito atau nama sebenarnya, Mohd Arif Kendut adalah mempromosi LIBRA 22, anjuran pihak beliau, Itos Cottage Music.

 

Sementara itu, penyertaan untuk LIFBC 2022 masih terbuka. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila hubungi +0195553716 atau 019-2883716.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Acara Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir menyampaikan taklimat mengenai LIFBC 2022.