SENI
KENANG, HARGAI
SUDIRMAN DALAM PAMERAN KHAS PERTAMA DI MALAYSIA
PAMERAN khas ‘Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No. 1 Asia’ dari 12 Ogos 2022 lalu
sehingga 30 September 2022 depan di Galeri Sudirman, Tingkat 2, Pusat
Beli-belah Fahrenheit88 Bukit Bintang, Kuala Lumpur merupakan pameran besar
yang pertama di Malaysia mengenai penyanyi legenda Allahyarham Dato’ Sudirman
Haji Arshad.
Dibuka setiap hari
bermula jam 11 pagi sehingga 10 malam secara percuma, pameran anjuran Kamura dan Sudirman Asset
Management dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM – di bawah Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia), dan Farenheit88 itu mempamerkan koleksi asli dari ANM, kecuali baju bendera
Malaysia terpanjang yang hanya replika.
Baju asal bendera tersebut
berukuran 120 meter panjang yang dipakai oleh Sudirman ketika majlis
penutupan Sukan Asia Tenggara ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.
Antara bahan menarik yang dipamerkan termasuklah basikal tua (walaupun hanya replika) yang digunakan oleh Sudirman
semasa penggambaran video muzik lagu Hidup
Sederhana (Basikal Tua) bersama-sama Allahyarham Yusni Jaafar, 153 buah lukisan
animasi Allahyarham yang disiarkan dalam media terbitan Kumpulan Karangkraf
yang didedikasikan untuk neneknya, Fatimah Dahlan; ibunya, Ramlah Dahalan; ibu
tiri yang dianggap seperti ibu kandungnya, Mariam Mohamad dan para peminat;
baju Melayu songket yang digayakan oleh Sudirman semasa sesi fotografi bagi
majalah URTV edisi khas Aidilfitri 1991, dan koleksi kaca mata hitam yang
selalu dipakai oleh Allahyarham semasa membuat persembahan.
Selain itu ialah trofi
anugerah istimewa Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) untuk Allahyarham
semasa acara AIM tahun 1993 sebagai menghargai sumbangannya dalam industri
muzik tanah air, songkok-songkok kain untuk persembahan, koleksi kaset dan
piring hitam lagu-lagu popular Sudirman, beberapa pasang kasut, tanjak, dan
keratan akhbar/majalah serta poster biografi, pengiktirafan, dan penghibur
terbaik Asia.
Oleh kerana Sudirman
juga dikenali sebagai ikon patriotik negara dan ikon fesyen, bahan-bahan mengenainya turut dipamerkan
seperti pakaian yang pernah pakai dipakai oleh Allahyarham semasa membuat
persembahan.
Perasmian pameran khas “Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No. 1 Asia”disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Ogos 2022 lalu. Turut hadir ialah kakak dan anak saudara Allahyarham, iaitu Datin Rodziah Arshad, dan Razman Azrai Dato’ Zainudin atau Atai.
Selain menurunkan tandatangan sebagai tanda minat dan
kehadiran, para pengunjung pameran juga
boleh membeli cenderamata berkaitan yang dikeluarkan oleh Kamura.
Menurut pihak Kamura, 15 peratus daripada keuntungannya
akan diserahkan ke rumah anak yatim pilihan waris Alahyarham Sudirman.
*Katering Kamura ditaja oleh Pailong Catering &
Chocolate dari Estana.
Oleh kerana Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad juga dikenali sebagai ikon fesyen, bahan-bahan mengenainya turut dipamerkan seperti pakaian yang Allahyarham pernah pakai.
Koleksi kaca mata hitam yang selalu dipakai oleh Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad semasa membuat persembahan.
Basikal tua (replika untuk pameran ini) yang digunakan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad semasa penggambaran video muzik lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) bersama-sama Allahyarham Yusni Jaafar.
Antara kaset lagu-lagu popular Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.
Sebahagian daripada piring hitam lagu-lagu popular Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.
Koleksi kasut dan tanjak kepunyaan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.
Trofi anugerah istimewa Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) untuk Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad semasa acara AIM tahun 1993 sebagai menghargai sumbangannya dalam industri muzik tanah air.
Para pengunjung pameran juga boleh membeli cenderamata berkaitan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad yang dikeluarkan oleh Kamura.
Replika baju bendera Malaysia terpanjang berukuran 120 meter panjang yang dipakai oleh Sudirman Haji Arshad semasa majlis penutupan Sukan SEA ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.
Replika baju bendera Malaysia terpanjang (berukuran 120 meter panjang yang dipakai oleh Sudirman ketika majlis penutupan Sukan Asia Tenggara ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.)
Sebahagian daripada 153 buah lukisan animasi Dato’ Sudirman Haji Arshad yang disiarkan dalam media terbitan Kumpulan Karangkraf yang didedikasikan untuk nenek, ibu, ibu tiri, dan para peminat Allahyarham.
Maklumat mengenai diri Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad sebagai penghibur terbaik Asia.
Baju Melayu songket yang digayakan oleh Sudirman Haji Arshad semasa sesi fotografi bagi majalah URTV edisi khas Aidilfitri 1991.
Sebahagian daripada keratan akhbar/majalah mengenai Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.
Beberapa buah songkok kain yang biasa digunakan oleh Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad untuk persembahan.
No comments:
Post a Comment