KEMBARA
Istana Kellie
Bangunan yang Kekal “Sedang Dibina”
Oleh Raja Yusoff
Ariffin
Biasanya setelah ia siap dan cantik barulah sesebuah rumah atau bangunan dapat menarik perhatian, serta menjadi sebutan ramai. Walau bagaimanapun, tidak sedemikian dengan Kellie’s Castle (Istana Kellie). Apakah perbezaannya itu?
Sama ada disukai dan dikunjungi ramai atau tidak, daerah Batu Gajah di Perak telah lama menjadi sebutan lantaran Istana Kellie yang terhenti pembinaannya. Meskipun barangkali tidak semua orang suka/pernah mengunjunginya (termasuk mungkin warga Batu Gajah sendiri), tetapi sudah sekian lama nama Istana Kellie dan Batu Gajah bergandingan atau saling sinonim, apatah lagi setelah ia diwartakan sebagai salah sebuah pusat pelancongan di Perak.
Jarak dari Kuala Lumpur ke Istana Kellie melalui Lebuh Raya Utara Selatan ialah 193.5 kilometer dengan mengambil masa dua jam 21 minit tempoh pemanduan. Jika dari Ipoh pula melalui Jalan Gopeng/A8, jaraknya hanya 21.2 kilometer dengan masa pemanduan cuma 34 minit. Pengunjung Istana Kellie dari Kuala Lumpur perlu keluar ke Plaza Tol Simpang Pulai, untuk menuju ke Batu Gajah atau Universiti Teknologi Petronas di Tronoh.
Istana Kellie setinggi tiga tingkat yang ada kalanya disebut Kesilapan Kellie (Kellie's Folly) ialah sebuah istana kota yang telah dibina pada tahun 1905 oleh William Kellie Smith mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India. Jurubina bangunan tersebut dibawa khas dari Madras.
Mengapakah Istana Kellie dianggap unik, lantas menarik ramai pengunjung? Ini ada kaitan dengan persoalan pada awal tulisan ini – Istana Kellie berbeza daripada rumah/bangunan lain.
Selain roh Kellie dipercayai datang ke situ untuk “menjaga” rumah agamnya itu, Istana Kellie dianggap unik kerana ia bangunan yang kekal dalam keadaan “sedang dibina”. Timbul pula persoalan lain, iaitu mengapa ia sedemikian sehingga kini?
Pada awal tahun 1890-an, ramai usahawan British membuka ladang-ladang getah di sekitar Batu Gajah, seperti Ladang Kinta Kellas, Ladang Kinta Valley, Ladang Harewood, dan Ladang Sengat. Kellie merupakan antara usahawan British yang terkenal di Batu Gajah, selain Alma Baker.
Kellie berasal dari sebuah kampung di Scotland yang dikenali sebagai Kellas. Pada tahun 1890, ketika berusia 20 tahun, Kellie tiba di Tanah Melayu yang belum membangun. Beliau kemudian bertemu dengan Baker yang juga pemilik tanah yang telah memenangi konsesi dari pemerintah negara untuk meneroka 360 hektar hutan di Perak. Dengan keuntungan besar yang diperoleh daripada perniagaan bersama-sama Baker, Kellie yang ketika itu juga merupakan pemilik Perumahan Kinta Kellas, dan Syarikat Melombong Bijih Timah Kellas Kinta mula menanam pohon getah, dan menceburi industri perlombongan bijih timah.
Kellie kemudian kembali ke Scotland untuk mengahwini kekasihnya, gadis tempatan bernama Agnes. Beliau kemudian membawa isterinya itu ke Tanah Melayu pada tahun 1903. Setahun selepas itu, mereka dikurniai seorang anak perempuan yang diberi nama Helen.
Bertahun-tahun kemudian, Agnes berusaha untuk hamil lagi, tetapi gagal. Kellie terlalu mengharapkan seorang anak lelaki sebagai pewaris untuk mengambil alih kerajaan tersebut di Kepulauan Melayu.
Pada tahun 1915, Agnes akhirnya melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Anthony. Rupa-rupanya, kelahiran Anthony membuka jalan merintis keuntungan yang lebih besar untuk Kellie. Bagi menyambut kelahiran Anthony dengan penuh ceria, beliau membuat keputusan untuk meluaskan rumahnya.
Kellie memulakan langkah dalam hasrat membina rumah besar (seperti istana) yang akan digelar Rumah Kellas (Kellas House), bersempena dengan rumahnya di Scotland. Bangunan tersebut ada 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia. Selain lif yang pertama di Tanah Melayu untuk menghubungkan sayap kanan sehingga ke lantai atas, ada dua buah terowong yang menganjur ke bawah sungai berdekatan dengannya.
Sebuah daripada terowong itu menghubungkan beberapa buah candi Hindu yang terletak berhampiran dengan rumah utama. Sebuah padang tenis berlantaikan simen dirancang dibina di tingkat dua, yang dianggap sebagai projek yang bercita-cita tinggi walaupun dibandingkan dengan piwaian hari ini.
Berita mengenainya pernah disiarkan dalam akhbar London Financer pada 15 September 1911. Akhbar itu menyatakan Kellas House ialah bangunan yang paling tersendiri di seluruh Timur Jauh, sama ada dari segi bentuk ataupun saiznya.
Oleh kerana tidak sempat disiapkan setelah Kellie meninggal dunia ketika berusia 56 tahun di Pelabuhan Lisbon, Portugal untuk mengambil lif yang ditempah pada 11 Disember 1926, bangunan tersebut kekal dalam keadaan “sedang dibina”.
Sebenarnya, Kellie terlalu taksub dengan agama Hindu dan budaya India. Justeru, beliau mahu bentuk rumah tersebut mirip seni bina orang Madras, dengan semua batu bata dan seramik diimport dari India. Beliau turut membawa sejumlah besar pekerja buruh India demi memenuhi impiannya itu. Bangunan tersebut boleh dilalui dari jalan utama dengan berjalan menyeberangi jambatan yang melintasi sebatang sungai di situ.
Apabila Perang Dunia Pertama tamat, wabak Spanish Flu merebak dari Eropah ke Asia, sampai Tanah Melayu dan juga Ladang Kellas. Ramai pekerja ladang yang dijangkiti wabak itu meninggal dunia. Ketua pekerja meminta Kellie membina sebuah kuil supaya mereka boleh mendoakan keselamatan pekerja dari wabak tersebut. Kellie memang fasih bertutur bahasa Tamil dan Melayu. Beliau mengarahkan semua tukang yang sedang membina Rumah Kellas supaya membina sebuah kuil baharu di kawasan ladang berhampiran dengan jalan raya. Di bumbung kuil itu terdapat sebaris patung dewa Hindu dan di tengah-tengah barisan tersebut terdapat sebuah patung yang memakai pakaian pengurus ladang bangsa Eropah dengan topi putih. Kuil tersebut masih digunakan oleh pekerja Ladang Kinta Kellas hingga ke hari ini.
Justeru, bukan kos mengimport bahan dan buruh dari luar negara untuk membina rumah berkenaan yang menarik perhatian pelancong tempatan, dan asing.
Oleh
kerana daya tarikannya yang “satu macam” dan “tersendiri”, Istana Kellie sering
menjadi lokasi penggambaran drama dan filem. Antaranya ialah filem Anna And The King (1999) lakonan Chow
Yuen Fatt, Jodie Foster, dan beberapa orang pelakon terkenal Malaysia seperti
Dato’ Afdlin Shauki, Deanna Yusoff, Harith Iskander, Allahyarham Ramli Hassan, dan
Dharma Harun al-Rashid.
Sebuah
kedai makan dan kedai cenderamata dan tapak meletak kereta telah dibina oleh
Majlis Daerah Kinta Barat pada tahun 1990. Istana Kellie dibuka kepada
kunjungan awam dari jam 9 pagi sehingga 6 petang (setiap hari) dengan bayaran
masuk RM5 seorang (warganegara Malaysia), dan RM10 seorang (bukan warganegara).
No comments:
Post a Comment