Pages

Monday, 31 October 2022


MUZIK

 

Luncai Emas, K-KOMM Bimbing Karyawan Muda Dendangkan Joget

 

KOMPOSER, penulis lirik, penerbit album, penyanyi, pengarah, dan pelakon terkenal tanah air, Dato’ (Dr) M Nasir, memberitahu telah kira-kira 20 tahun lagu berirama joget tiada dalam dunia seni suara negara. Tegas beliau, keadaan itu boleh menyebabkan masyarakat, terutamanya para peminat lagu kian melupakan irama tersebut.

 

“Memang ada dalam kalangan anak muda di negara kita yang pernah mendengar atau diperkenal dengan lagu berentak joget. Namun demikian, akibat pelbagai pengaruh sekeliling dan tarikan kuat dari luar, mereka semakin melupakannya,” kata (Dr) M Nasir semasa sidang media selepas pelancaran album berjudul Joget Made in Malaysia (JMiM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (KLWTC) pada 27 Oktober 2022 lalu.

 

Album JMiM yang mengandungi 10 lagu terbaharu bernuansa irama joget dendangan penyanyi baharu, dan artis muda tanah air, termasuk Luca Sickta dan Kmy Kmo, serta Amir Jahari diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd (Luncai Emas) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).


Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek.


Dari kiri; Keon Omar, Dato’ (Dr) M Nasir dan Dr Raja Iskandar Raja Halid semasa sidang media.

Semua yang terlibat dengan penerbitan album Joget Made in Malaysia bersama-sama Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek,  Dato’ (Dr) M Nasir, dan Keon Omar selepas pelancaran album berkenaan.



                Luca Sickta (kiri) dan Kmy Kmo mendendangkan lagu baharu mereka, Damai.

Album yang diterbitkan melalui Dana Kandungan Digital Muzik dari K-KOMM ini mahu mengangkat irama joget dalam karya-karya terbaharu generasi muda.

 

Penerbitan JMiM memang bagus dan amat wajar disokong kerana bertujuan memperbanyak lagi lagu-lagu baharu dengan memasukkan elemen tradisi joget Melayu kepada versi baharu yang lebih kontemporari, inovatif, dinamik dan menjadi sebahagian daripada proses rejuvenasi muzik Malaysia.

 

Ia menggabungkan kepakaran penggiat seni profesional, pensyarah serta pelajar muzik dan seni dari empat buah universiti awam (UA) bersama-sama beberapa orang artis baharu pelapis masa hadapan, dan akan dipasarkan ke seluruh negara menerusi pengedaran digital bermula pertengahan November 2022.

 

Mengenai judul album dalam bahasa Inggeris walaupun sepatutnya dinamakan sebagai Joget Buatan Malaysia, Penerbit Eksekutif JMiM, Keon Omar yang turut menghadiri sidang media tersebut memberitahu ia hanya gimik, dan untuk pengedaran antarabangsa.



Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek (dua dari kiri) melancarkan album Joget Made in Malaysia sambil diperhati oleh Dato’ (Dr) M Nasir dan Keon Omar.


                                            Didie Shazry menyanyikan lagu Joget Jiwa Lara.



Begitu pun, yang penting, tegas Dato’ (Dr) M Nasir, ialah irama lagu jogetnya perlu merdu, dan diminati ramai.


Keon yang juga Pengarah Produksi Luncai Emas menyatakan ia persis dan mengikut jejak judul lagu popular seantero dunia dari Thailand, iaitu Made in Thailand walaupun liriknya dalam bahasa tempatan.

 

Selain M Nasir dan Keon, turut hadir ialah seorang lagi tenaga penting penerbitan album JMiM, iaitu Prof Madya Dr Raja Iskandar Raja Halid dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Beliau menjadi penasihat seni warisan yang memantau irama joget yang dipamerkan dalam setiap lagu berkenaan.

 

Sebelum itu, dalam ucapan beliau, Nasir yang juga Pengarah Urusan Luncai Emas, memberitahu memang cita-citanya sejak sekian lama menjadikan irama tradisi Malaysia sebagai kekuatan dalam penciptaan muzik moden Malaysia.

 

Populariti muzik 'dance', dan 'world beat' yang rancak mendorong saya menjadikan rentak tradisi Malaysia sebagai taruhan kerana unsur 'dance' yang ada pada semua rentak tradisi ini. Joget dipilih sebagai taruhan pertama,” kata Nasir yang bakal muncul dalam filem terbaharunya, Imam pada 2023.




Antara yang terlibat dengan penerbitan album Joget Made in Malaysia bersama-sama Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek,  Dato’ (Dr) M Nasir, dan Keon Omar selepas menerima cenderamata masing-masing.

                                                        
                                                        Album Joget Made in Malaysia.

Turut hadir ialah komposer/penulis lirik Dr Azam Dungun dan Ayob Ibrahim, serta penulis lirik/pelukis terkenal tanah air S Amin Shahab bersama-sama Dr Ahmad Rithaudin Md Noor, serta penyanyi/artis baharu yang terlibat dengan album JMiM.

 

Selain UMK menerusi Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, tiga UA lagi yang terlibat dan menyumbangkan sebuah lagu setiap satu ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI/Fakulti Muzik dan Seni Persembahan), Universiti Teknologi MARA (UiTM/Konservatori Muzik, Kolej Pengajian Seni Kreatif), serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA/Fakulti Muzik).

 

Enam lagu dinyanyikan oleh penyanyi muda baharu berpotensi besar seperti penyanyi keturunan Tionghua dari Sabah, Jacyln Chia, Didie Shazry – UPSI, Jannati Alaudin – UMK, penyanyi Sarawak, Lyd.Bie, Puteri Khareeza, serta Azizul Hakim, dan Norzarina Nordin (ASWARA).

 

Jaclyn mendendangkan Joget Mengikut Rasa, ciptaan Shaiffulhan (melodi) dan S Amin (lirik) yang disusun oleh Jinn, dan Shaiffulhan sendiri menerbitkannya. Didie menyanyikan Joget Jiwa Lara, ciptaan Hazim Yunan & Amrul Amran (melodi), serta Azam (lirik) yang diterbitkan oleh Azam sendiri.

 

Jannati pula mengalunkan Ceritera Buana, ciptaan Boodean & Liza Albert Dean (melodi) dan Athilla D’hun (lirik), serta diterbitkan oleh Raja Iskandar/Hairul Hafizi & Hamzan Hassan, dan Boodean sendiri.


                                                                       
                                                                    Dato’ (Dr) M Nasir.

 

Tegas beliau, atas justifikasi inilah, Luncai Emas komited untuk terus memperkasakan lagu-lagu baharu dengan suntikan unsur tradisi negara agar identiti muzik kita dapat dibezakan dengan muzik luar.

 

Album ini secara langsung menggabungkan kerjasama kreatif antara generasi baharu dengan penggiat muzik berpengalaman, agar dapat mencorakkan hasil yang unik, bernafas baharu, dan lebih komersil untuk diminati, terutamanya generasi muda,” tambah Nasir.

 

Jelas beliau, penghasilannya diperkuat dengan unsur baharu yang lebih bertenaga dalam penciptaan lagu, dan susunan muziknya mengikut trend anak muda masa kini yang akan seiring dengan peralatan muzik tradisi seperti rebana, akordian, dan seruling. Tambah beliau, yang penting ialah iramanya perlu merdu, dan diminati ramai.

 

Sebagai sebuah syarikat rakaman dan pentadbir hak cipta lagu dan lirik berpengalaman, Luncai Emas berharap kehadiran album JMiM mampu menjentik rasa generasi muda agar meminati irama joget ini. Lagu-lagu baharu generasi anak muda akan datang diharapkan dapat mengekalkan identiti, dan jati diri muzik tradisi kita dalam setiap karya terbaharu mereka kelak.

 

Sementara itu, Keon dalam ucapannya memberitahu penghasilan album JMiM yang menelan kos RM400,000 ini mengambil masa lima bulan. Promosinya pula akan berjalan berterusan selama setahun, dengan setiap lagu tunggal dalam album dipasarkan secara digital di setiap laman strim seperti Spotify, Apple Music dan Youtube, secara berperingkat-peringkat .

 

“Album ini mendapat khidmat Dato’ (Dr) M Nasir sendiri sebagai Penasihat Kreatif yang memantau setiap lagu yang dicipta oleh anak muda dari sudut kreatif, dan komersilnya,” jelas Keon.

 

Pelancaran album JMiM yang diadakan di Bilik Tun Dr Ismail A, WTCKL ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha K-KOMM, Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek. Dalam ucapannya, Dato’ Sri Haji Mohammad memuji usaha Luncai Emas, dan mengakui manfaat besar penerbitan album JMiM ini.

 

“Lagipun, K-KOMM berpendapat kerajaan tidak wajar hanya memberikan perhatian kepada pembangunan perfileman tanah air sahaja. Irama joget yang ingin diketengah tidak boleh dipandang remeh kerana ia muzik warisan atau tradisi yang menarik,” tegas Haji Mohammad yang turut memberitahu sebanyak RM6.1 juta telah diperuntuk kepada kira-kira 83 penggiat seni muzik tanah air.

 


 

Lyd.Bie menyanyikan Pernahkah bersama-sama Amir yang mencipta lagu tersebut, dan menerbitkannya dengan susunan oleh Karim & Ude Sitar. Puteri Khareeza pula mendendangkan Joget Tepuk Bantal, ciptaan Salamah Basiron (melodi) dan Keon (lirik), serta Luca sebagai penyusunnya.

 

Sementara itu, Azizul dan Norzarina menyanyikan lagu ciptaan Ayob (melodi) dan Suri Lui (lirik), Kalungan Sukma yang diterbitkan oleh Ayob sendiri.

 

Aleya dari UiTM mengalunkan Waras, ciptaan sepenuhnya Alwagera, susunan Mohd Affan Mazlan, dan diterbitkan oleh Ahmad Rithaudin.

 

Luca & Kmy yang juga penyanyi rap meningkat naik menyanyikan lagu baharu ciptaan mereka berjudul Damai. Mereka turut menyusun lagu tersebut.

 

Ramayan dan Iqbal M yang merupakan band indie, masing-masing turut menyumbangkan sebuah lagu baharu ciptaan mereka, iaitu Joget Ke Dance? (liriknya bersama-sama S Amin, susunan mereka sendiri dan diterbitkan oleh Mohd Ilham Mohd Nasir), dan Tidurlah Sayang Tidur (terbitan Mohd Ilham yang turut menyusunnya bersama-sama Iqbal).

 

Sementara itu, Didie, Puteri Kharieeza, Aleya, serta Luca & Kmy turut tampil memeriahkan majlis pelancaran dengan tampil di pentas mendendangkan lagu masing-masing. Dendangan Jaclyn pula disiarkan menerusi tayangan video.

 

 



 

 


 


 


 


 


 


 


 

Monday, 10 October 2022

 SOSIAL

 

 

Shahidan Sampaikan Hadiah APBN2022 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

 

MAJLIS Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) diadakan untuk meraikan, dan menghargai belia yang memperoleh pencapaian membanggakan negara dalam pelbagai bidang. Pengiktirafan ini antara usaha untuk menyuntik semangat, dan motivasi kepada belia yang lain, serta menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk berganding bahu mengiktiraf golongan belia sebagai penyumbang utama hala tuju pembangunan negara.

 

APBN yang mula diperkenal pada 1988 merupakan sebuah program berbentuk penilaian untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada individu, dan pertubuhan belia yang telah memberi sumbangan kepada pembangunan belia negara.

 

Pemilihan dan penilaian calon yang bertanding dikendaikan oleh kumpulan panel penilai yang telah dilantik oleh Mesyuarat Jawatankuasa Induk Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

 

Antara matlamat pelaksanaan APBN ialah:

·         memberikan penghargaan dan pengiktirafan atas pencapaian masyarakat belia pelbagai bidang;

·         menggalakkan penglibatan para belia dalam kerja-kerja sukarela yang menyumbang pada pembangunan negara;

·         menjana sokongan masyarakat umum terhadap usaha-usaha pembangunan belia hingga ke peringkat akar umbi;

·         memberikan penganugerahan kepada tiga kategori yang dipertanding, iaitu kategori pertubuhan belia, Kategori Individu Lelaki dan Kategori Individu Wanita:

-          Johan Kategori Pertubuhan Belia menerima wang tunai berjumlah RM10,000, sijil dan piala.

-          Naib Johan Kategori Pertubuhan Belia menerima wang tunai berjumlah RM5,000, sijil dan piala.

-          Johan Kategori Individu Lelaki menerima wang tunai berjumlah RM3,000, sijil dan piala.

-          Naib Johan Kategori Individu Lelaki menerima wang tunai berjumlah RM1,500 dan sijil.

-          Johan Kategori Individu Wanita menerima wang tunai berjumlah RM3,000, sijil dan piala.

-          Naib Johan Kategori Individu Wanita menerima wang tunai berjumlah RM1,500 dan sijil.

 

Pada 9 Oktober 2022 lalu, telah berlangsung majlis penyampaian APBN2022 di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.

 

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Dr Shahidan menekankan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan amat mengambil berat terhadap kepentingan peranan, serta sumbangan golongan belia.

 

“Menyedari bahawa pemantapan belia adalah proses berterusan yang perlu digembleng secara bersepadu, kementerian saya komited untuk mempelbagaikan lagi ruang dan peluang, serta dasar pembangunan yang komprehensif bagi mencipta kejayaan, dan kecemerlangan belia, khususnya di Kuala Lumpur,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Arau.

 

Shahidan seterusnya berharap agar para belia dan pertubuhan belia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan terus aktif, kreatif dan dinamik dalam menjadi ‘pemegang pacak’ kepada kerajaan persekutuan, dan merealisasikan agenda pembangunan negara.

 

“Tetapkanlah hala tuju yang jelas, dan gilaplah sepenuhnya potensi diri untuk menjadi modal insan yang berkualiti dalam menyumbang kepada kemakmuran negara, dan membangunkannya bersama-sama,” tambah Shahidan yang menyampaikan hadiah kepada semua pemenang setiap kategori.

 

Turut hadir ialah Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Mohamed Naseer Mohamed; serta Pengarah Jabatan Belia & Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Asmori Sa’ahari.

 

Anugerah yang dilaksanakan di setiap negeri ini telah melalui saringan dan pemilihan oleh Panel Penilai Anugerah yang telah dicalonkan oleh Sekretariat Induk Anugerah Perdana Belia Negara (Kementerian Belia dan Sukan), serta dilantik oleh Jawatankuasa Anugerah Perdana Belia Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menilai pemilihan mengikut kategori-kategori yang diwujudkan. Setiap pencalonan dinilai oleh panel penilai berdasarkan kriteria penilaian yang telah ditetapkan.


                        Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Mohamed Naseer Mohamed.



                                Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.










Pada tahun ini, para panel yang terlibat mengadili calon-calon yang bertanding pada peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdiri daripada:

·         Pensyarah Kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

·         Pensyarah Kanan dari Universiri Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

·         Dekan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

·         Ketua Program dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

·         Pesara kerajaan (mantan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

·         Pesara kerajaan (mantan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan).

 

Diharapkan pelaksanaan APBN Peringkat Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur 2022 meningkatkan lagi aktiviti yang melibatkan kerja-karja kesukarelaan, khususnya dalam pembangunan belia. Dalam hal ini, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan untuk memangkinkan pelaksanaan program pembangunan belia, khususnya pada peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Serentak pada majlis ini, penyampaian Pingat Majlis Belia Wilayah Persekutuan, iaitu Pingat Jasa Belia (PJB), Pingat Bakti Belia (PBB), dan Anugerah Khas. Penerima pingat diberikan pingat mengikut kategori dan sijil.








Pengarah Jabatan Belia & Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Asmori Sa’ahari (kanan) dan Dato' Seri Dr Shahidan Kassim bertukar-tukar cenderamata sambil diperhatikan oleh Mohamed 
Naseer Mohamed (kiri).




Monday, 3 October 2022

PENDIDIKAN


Demi Kemajuan Pendidikan untuk Pacu Pertumbuhan Negara

KERJASAMA TIGA PENJURU UNITAR-UPNM-PRIHATIN

 

PADA  3 Oktober 2022 lalu, Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membangun, menyokong dan memperkaya pembangunan penyelidikan, dan pendidikan tinggi bagi pemacuan pertumbuhan negara.

 

Kerjasama tiga penjuru PRIHATIN-UNITAR-UPNM ini:

-         merupakan kerjasama dalam siri Jelajah Pendidikan Prihatin bagi membantu kategori pelajar B40 yang memenuhi syarat kemasukan ke UNITAR dan UPNM.

-         juga kolaborasi dalam penganjuran program pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan bagi meningkatkan sahsiah dan kemahiran insaniah pelajar UNITAR.

-         menjalankan kolaborasi latihan pemindahan teknologi bagi pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

-         Melaksanakan program-program akademik dan program-program lain yang memberi faedah kepada kedua-dua institusi pengajian tinggi UNITAR-UPNM, misalnya Micro-Credentials.


Memorandum persefahaman Yayasan Prihatin Nasional dengan Universiti Antarabangsa UNITAR dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia  untuk membangun, menyokong dan memperkaya pembangunan penyelidikan, dan pendidikan tinggi bagi pemacuan pertumbuhan negara.

 



Memorandum persefahaman Yayasan Prihatin Nasional dengan Universiti Antarabangsa UNITAR dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia  untuk membangun, menyokong dan memperkaya pembangunan penyelidikan, dan pendidikan tinggi bagi pemacuan pertumbuhan negara.



                            Timbalan Menteri Wilayah Pesekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.


Acara penyerahan sumbangan MAIWP kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang layak, berupa komputer riba, wang tunai, dan keperluan kelengkapan diri.

 



Dari kiri; Dato’ Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Profesor Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, dan Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.






Turut hadir dan menyempurnakan majlis MoU, serta menyaksikan ia ditandatangani ialah Timbalan Menteri Wilayah Pesekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dan Pengerusi Majis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

 

Menurut Naib Canselor UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar dalam ucapan beliau, UNITAR yang meraikan sambutan jubli peraknya yang ke-25 tahun ini, merupakan universiti maya pertama di Asia Tenggara yang mampu mewujudkan inisiatif dan aktiviti berasaskan teknologi, seperti pembelajaran dalam talian yang telah menjadi nadi, dan kepakaran UNITAR yang telah diiktiraf ramai dalam industri pendidikan.

 

“UNITAR kini memiliki Sekolah Pengajian Siswazah yang menempatkan segala program akademik dan inisiatif berkaitan pasca siswazah dengan lebih 50 profesor adjung, yang terdiri daripada para pemimpin industri ada kepakaran, berpengalaman, dan berwibawa,” tambah Profesor Tan Sri Ir Dr Sahol.

 

Beliau yakin pengetahuan mereka yang mendalam serta pengalaman yang luas dalam industri akan memberikan nilai tambah kepada segala bentuk kerjasama antara UNITAR, UPNM dengan PRIHATIN.


                               


                    Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.





                            Timbalan Menteri Wilayah Pesekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.


Acara penyerahan sumbangan MAIWP kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang layak, berupa komputer riba, wang tunai, dan keperluan kelengkapan diri.

  

Hasil perbincangan antara UNITAR dengan UPNM, kedua-dua universiti tersebut yang melalui pemeteraian MoU, mahu mewujudkan kerjasama dan menerokai peluang untuk membangun, meyokong dan memperkaya pembangunan penyelidikan, dan pendidikan tinggi dalam bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-duanya seperti:

·        menjalankan kolaborasi latihan pemindahan teknologi bagi pengajaran dan pembelajaran dalam talian;

·        melaksanakan sangkutan staf (staff attachment) kepada staf akademik, dan bukan akademik;

·        membangunkan kolaborasi penyelidikan dalam bidang-bidang tujahan yang berkaitan, dan,

·        melaksanakan program-program akademik dan program-program lain yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak, misalnya Micro Credentials.

 

Sementara itu, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dalam ucapan beliau menyatakan pihaknya beraspirasi dan sentiasa percaya bahawa setiap ahli masyarakat, khususnya anak-anak muda yang berasal dari keluarga yang memerlukan, mesti diberikan sokongan sewajarnya, dan peluang untuk memperoleh akses pendidikan terbaik.

 

“Dalam merealisasikan hasrat ini, UPNM berasa bahawa UNITAR dan PRIHATIN adalah rakan-rakan strategik yang sesuai untuk sama-sama berkongsi wadah sepunya bagi membina kemampuan mahasiswa sebagai bakal pemimpin masa hadapan,” ujar Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya.

 

Tambah beliau, sebagai antara universiti swasta terawal ditubuhkan di Malaysia, UNITAR amat terkenal dan disegani dengan prestij, serta kehebatannya dalam penawaran pelbagai program pengajian.

 

“Ekosistem PdP dalam talian bertaraf global yang menerima penarafan QS 5-Bintang pula ialah pencapaian yang menjadi bukti kerja keras warganya,” jelas Datuk Hasagaya yang merasakan bahawa peningkatan kapasiti UNITAR yang begitu luar biasa, menjadi insprasi dan contoh terbaik dalam amalan tadbir urus kepada universiti lain termasuk UPNM.

 

“Sehubungan itu, saya percaya kerjasama UPNM dengan UNITAR akan membuahkan hasil yang baik untuk memacu perkembangan positif dalam penyelidikan, dan pendidikan tinggi,” tambah beliau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Mohd Ghazali pula menegaskan matlamat pihak beliau sebagai rakan strategik adalah mengangkat martabat, serta menjayakan program-program berteraskan pendidikan, untuk membantu anak-anak Keluarga Malaysia mendapatkan ilmu pengetahuan, dan peluang melanjutkan pengajian ke menara gading.

 

    

Bersempena dengan MoU tersebut yang juga sebahagian daripada aktiviti Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM), turut diadakan acara penyerahan sumbangan MAIWP kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang layak, berupa komputer riba, wang tunai, dan keperluan kelengkapan diri.

 

Sehubungan itu, tambah Dato’ Mohd Aizuddin dalam ucapannya, MAIWP yang menjadi rakan strategik PRIHATIN sejak penubuhan, telah banyak menyumbangkan dana bagi memastikan program-program PRIHATIN terlaksana, seperti penyerahan sumbangan pada majis MoU ini.

 

“Saya harap PRIHATIN dapat memeteraikan perjanjian dan bekerjasama dengan lebih banyak universiti awam mahupun universiti swasta, serta agensi kerajaan bagi membantu meringankan beban lebih ramai anak Keluarga Malaysia, masyarakat dan rakyat malaysia yang terkesan, dan tidak bernasib baik, di samping dapat menyahut seruan kerajaan yang menekankan prinsip Keluarga Malaysia,” tambah Mohd Aizuddin.

 

Beliau turut merasakan menerusi kerjasama PRIHATIN bersama-sama UNITAR dan UPNM, pelbagai aktiviti dan program dapat dirancang, dan dilaksanakan bersama-sama dalam pembangunan pelajar yang berdaya saing ke arah melahirkan modal insan, dalam kalangan graduan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.

    

Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 (JPKM) merupakan kesinambungan dari Jejalah Pendidikan Bumiputera yang dianjurkan pada 2016-2018. Program berbentuk pameran pendidikan ini melibatkan penyertaan seluruh universiti awam dan institusi kemahiran tinggi dalam negara.

 

JPKM 2022 juga merupakan projek khas Perdana Menteri dalam membuka peluang kepada akses pendidikan tinggi negara kepada seluruh masyarakat, terutama penduduk di kawasan pedalaman ataupun luar bandar.

 

Sekretariat JPKM menjelajah ke seluruh negara bagi mencari, mengenal dan membantu sasaran seramai 50,000 pelajar lepasan SPM tahun 2016-2021 yang merupakan anak-anak Keluarga Malaysia yang kurang bernasib baik, dan kurang kemampuan dari segi kewangan di seluruh negara.

 

Bagi program JPKM Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), pihak PRIHATIN dan MAIWP membantu dan membimbing anak-anak asnaf di Kuala Lumpur bagi menempatkan mereka di institusi pendidikan yang sesuai, dan layak dengan keputusan mereka.

 

Justeru, JPKM yang diilhamkan oleh Perdana Menteri telah menyediakan peluang kedua bagi anak-anak Keluarga Malaysia dalam mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpilih agar dapat mengubah destini masa hadapan yang lebih cemerlang.

 

JENIS-JENIS BANTUAN JPKM PRIHATIN-MAIWP

 

- pemberian cermin mata percuma

- bantuan awal tunai pendidikan

- bantuan komputer riba berjenama

- bantuan kelengkapan asas ke IPT (beg bagasi)

            - alat tulis dan buku nota

            - tuala, cadar dan selimut

            - alat penjagaan diri

            - pemacu keras luaran