MUZIK
Luncai Emas, K-KOMM Bimbing Karyawan Muda Dendangkan Joget
KOMPOSER, penulis lirik, penerbit album, penyanyi, pengarah, dan pelakon terkenal tanah air, Dato’ (Dr) M Nasir, memberitahu telah kira-kira 20 tahun lagu berirama joget tiada dalam dunia seni suara negara. Tegas beliau, keadaan itu boleh menyebabkan masyarakat, terutamanya para peminat lagu kian melupakan irama tersebut.
“Memang ada dalam kalangan anak muda di negara kita yang pernah mendengar atau diperkenal dengan lagu berentak joget. Namun demikian, akibat pelbagai pengaruh sekeliling dan tarikan kuat dari luar, mereka semakin melupakannya,” kata (Dr) M Nasir semasa sidang media selepas pelancaran album berjudul Joget Made in Malaysia (JMiM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (KLWTC) pada 27 Oktober 2022 lalu.
Album JMiM yang mengandungi 10 lagu terbaharu bernuansa irama joget dendangan penyanyi baharu, dan artis muda tanah air, termasuk Luca Sickta dan Kmy Kmo, serta Amir Jahari diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd (Luncai Emas) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek.
Semua yang terlibat dengan penerbitan album Joget Made in Malaysia bersama-sama Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek, Dato’ (Dr) M Nasir, dan Keon Omar selepas pelancaran album berkenaan.
Album yang diterbitkan melalui Dana Kandungan Digital Muzik dari K-KOMM ini mahu mengangkat irama joget dalam karya-karya terbaharu generasi muda.
Penerbitan JMiM memang bagus dan amat wajar disokong kerana bertujuan memperbanyak lagi lagu-lagu baharu dengan memasukkan elemen tradisi joget Melayu kepada versi baharu yang lebih kontemporari, inovatif, dinamik dan menjadi sebahagian daripada proses rejuvenasi muzik Malaysia.
Ia menggabungkan kepakaran penggiat seni profesional, pensyarah serta pelajar muzik dan seni dari empat buah universiti awam (UA) bersama-sama beberapa orang artis baharu pelapis masa hadapan, dan akan dipasarkan ke seluruh negara menerusi pengedaran digital bermula pertengahan November 2022.
Mengenai judul album dalam bahasa Inggeris walaupun sepatutnya dinamakan sebagai Joget Buatan Malaysia, Penerbit Eksekutif JMiM, Keon Omar yang turut menghadiri sidang media tersebut memberitahu ia hanya gimik, dan untuk pengedaran antarabangsa.
Keon yang juga Pengarah Produksi Luncai Emas menyatakan ia persis dan mengikut jejak judul lagu popular seantero dunia dari Thailand, iaitu Made in Thailand walaupun liriknya dalam bahasa tempatan.
Selain M Nasir dan Keon, turut hadir ialah seorang lagi tenaga penting penerbitan album JMiM, iaitu Prof Madya Dr Raja Iskandar Raja Halid dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Beliau menjadi penasihat seni warisan yang memantau irama joget yang dipamerkan dalam setiap lagu berkenaan.
Sebelum itu, dalam ucapan beliau, Nasir yang juga Pengarah Urusan Luncai Emas, memberitahu memang cita-citanya sejak sekian lama menjadikan irama tradisi Malaysia sebagai kekuatan dalam penciptaan muzik moden Malaysia.
“Populariti muzik 'dance', dan 'world beat' yang rancak mendorong saya menjadikan rentak tradisi Malaysia sebagai taruhan kerana unsur 'dance' yang ada pada semua rentak tradisi ini. Joget dipilih sebagai taruhan pertama,” kata Nasir yang bakal muncul dalam filem terbaharunya, Imam pada 2023.
Turut hadir ialah komposer/penulis lirik Dr Azam Dungun dan Ayob Ibrahim, serta penulis lirik/pelukis terkenal tanah air S Amin Shahab bersama-sama Dr Ahmad Rithaudin Md Noor, serta penyanyi/artis baharu yang terlibat dengan album JMiM.
Selain UMK menerusi Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, tiga UA lagi yang terlibat dan menyumbangkan sebuah lagu setiap satu ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI/Fakulti Muzik dan Seni Persembahan), Universiti Teknologi MARA (UiTM/Konservatori Muzik, Kolej Pengajian Seni Kreatif), serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA/Fakulti Muzik).
Enam lagu dinyanyikan oleh penyanyi muda baharu berpotensi besar seperti penyanyi keturunan Tionghua dari Sabah, Jacyln Chia, Didie Shazry – UPSI, Jannati Alaudin – UMK, penyanyi Sarawak, Lyd.Bie, Puteri Khareeza, serta Azizul Hakim, dan Norzarina Nordin (ASWARA).
Jaclyn mendendangkan Joget Mengikut Rasa, ciptaan Shaiffulhan (melodi) dan S Amin (lirik) yang disusun oleh Jinn, dan Shaiffulhan sendiri menerbitkannya. Didie menyanyikan Joget Jiwa Lara, ciptaan Hazim Yunan & Amrul Amran (melodi), serta Azam (lirik) yang diterbitkan oleh Azam sendiri.
Jannati pula mengalunkan Ceritera Buana, ciptaan Boodean & Liza Albert Dean (melodi) dan Athilla D’hun (lirik), serta diterbitkan oleh Raja Iskandar/Hairul Hafizi & Hamzan Hassan, dan Boodean sendiri.
Tegas beliau, atas justifikasi inilah, Luncai Emas komited untuk terus memperkasakan lagu-lagu baharu dengan suntikan unsur tradisi negara agar identiti muzik kita dapat dibezakan dengan muzik luar.
“Album ini secara
langsung menggabungkan kerjasama kreatif antara generasi baharu dengan penggiat
muzik berpengalaman, agar dapat mencorakkan hasil yang unik, bernafas baharu,
dan lebih komersil untuk diminati, terutamanya generasi muda,” tambah Nasir.
Jelas beliau, penghasilannya
diperkuat dengan unsur baharu yang lebih bertenaga dalam penciptaan lagu, dan
susunan muziknya mengikut trend anak muda masa kini yang akan seiring dengan peralatan
muzik tradisi seperti rebana, akordian, dan seruling. Tambah beliau, yang
penting ialah iramanya perlu merdu, dan
diminati ramai.
Sebagai sebuah syarikat rakaman dan pentadbir hak cipta
lagu dan lirik berpengalaman, Luncai
Emas berharap kehadiran album JMiM mampu menjentik rasa generasi muda agar
meminati irama joget ini. Lagu-lagu baharu generasi anak muda akan datang diharapkan
dapat mengekalkan identiti, dan jati
diri muzik tradisi kita dalam setiap karya terbaharu mereka kelak.
Sementara itu, Keon dalam ucapannya memberitahu penghasilan album JMiM yang menelan kos
RM400,000 ini mengambil masa lima bulan. Promosinya pula akan berjalan
berterusan selama setahun, dengan setiap lagu tunggal dalam album dipasarkan
secara digital di setiap laman strim seperti Spotify, Apple Music dan Youtube,
secara berperingkat-peringkat .
“Album ini mendapat khidmat Dato’ (Dr) M Nasir sendiri
sebagai Penasihat Kreatif yang memantau setiap lagu yang dicipta oleh anak muda
dari sudut kreatif, dan komersilnya,” jelas Keon.
Pelancaran album JMiM yang diadakan di Bilik Tun Dr Ismail A, WTCKL ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha K-KOMM, Dato’ Sri Haji
Mohammad Mentek. Dalam ucapannya, Dato’ Sri Haji Mohammad memuji usaha Luncai
Emas, dan mengakui manfaat besar penerbitan album JMiM ini.
“Lagipun, K-KOMM berpendapat kerajaan tidak wajar hanya
memberikan perhatian kepada pembangunan perfileman tanah air sahaja. Irama joget yang ingin diketengah tidak
boleh dipandang remeh kerana ia muzik warisan atau tradisi yang menarik,”
tegas Haji Mohammad yang turut memberitahu sebanyak RM6.1 juta telah diperuntuk
kepada kira-kira 83 penggiat seni muzik tanah air.
Lyd.Bie menyanyikan Pernahkah
bersama-sama Amir yang mencipta lagu tersebut, dan menerbitkannya dengan
susunan oleh Karim & Ude Sitar. Puteri Khareeza pula mendendangkan Joget Tepuk Bantal, ciptaan Salamah
Basiron (melodi) dan Keon (lirik), serta Luca sebagai penyusunnya.
Sementara itu, Azizul dan Norzarina menyanyikan lagu
ciptaan Ayob (melodi) dan Suri Lui (lirik), Kalungan
Sukma yang diterbitkan oleh Ayob sendiri.
Aleya dari UiTM mengalunkan Waras, ciptaan sepenuhnya Alwagera, susunan Mohd Affan Mazlan, dan
diterbitkan oleh Ahmad Rithaudin.
Luca & Kmy yang juga penyanyi rap meningkat naik
menyanyikan lagu baharu ciptaan mereka berjudul Damai. Mereka turut menyusun lagu tersebut.
Ramayan dan Iqbal M yang merupakan band indie, masing-masing turut menyumbangkan
sebuah lagu baharu ciptaan mereka, iaitu Joget
Ke Dance? (liriknya bersama-sama S Amin, susunan mereka sendiri dan
diterbitkan oleh Mohd Ilham Mohd Nasir), dan Tidurlah Sayang Tidur (terbitan Mohd Ilham yang turut menyusunnya
bersama-sama Iqbal).
Sementara itu, Didie, Puteri Kharieeza, Aleya, serta Luca
& Kmy turut tampil memeriahkan majlis pelancaran dengan tampil di pentas
mendendangkan lagu masing-masing. Dendangan Jaclyn pula disiarkan menerusi
tayangan video.
No comments:
Post a Comment