Pages

Monday, 10 April 2023

FILEM


PETRONAS Teroka Budaya Malaysia dengan Muzik

DILEMA IRAMA

 

PETRONAS meneruskan tradisinya menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan karya visual untuk seluruh rakyat Malaysia. Sebagaimana sebelum ini, karya daripada PETRONAS memang dinanti-nanti.

 

Untuk Syawal 1444, ia menerbitkan Dilema Irama, filem pendek yang memaparkan keindahan budaya, dan warisan Malaysia.

Pengarah Hyrul Anuar (paling kanan) bersama-sama barisan pelakon Dilema Irama



Roslam Madun turut membuat persembahan dalam majlis Ramah Mesra dengan Pengarah dan Pelakon Filem Raya 2023 PETRONAS & Iftar Ramadan pada 10 April lalu.




Dilema Irama merakamkan intipati Aidilfitri dengan jalan ceritanya yang penuh emosi. Gubahan muziknya pula asli yang membawa penonton menelusuri perjalanan penemuan diri, dan hubungan kekeluargaan.




Diarahkan oleh pengarah filem tempatan terkenal Hyrul Anuar, Dilema Irama adalah kisah bapa dan anak lelaki yang berkongsi minat yang besar untuk muzik walaupun berbeza genre.

 

Nadim, lakonan Ikhlas Jalil, seorang komposer muzik kontemporari yang baru muncul. Dia menghadapi dilema apabila dengan berat hati bersetuju bermain gambus untuk persembahan muzik tradisional bapanya, lakonan Roslan Madun dalam acara iftar, menyebabkan timbul konflik antara mereka.

 

Semasa cerita berlangsung, penonton dapat melihat bagaimana anak-beranak itu kembali bersatu melalui muzik.

 

Menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, lagu tradisional adalah warisan asli rakyat Malaysia, yang mencerminkan budaya pelbagai generasi yang kaya dengan seni, dan sopan santun terbaik.

 

“Keindahan lagu-lagu perayaan tradisional menjadi inspirasi kami untuk menghasilkan Dilema Irama yang menampilkan tiga gubahan muzik asli, berpaksikan pada tema sambutan perayaan PETRONAS untuk 2023, iaitu Akar untuk Masa Depan,” tambah Datin Anita.

 

“Kami harap cerita berkenaan akan memberi inspirasi kepada rasa bangga dan penghargaan yang diperbaharu terhadap tradisi, dan adat budaya Malaysia yang pelbagai,” katanya lagi.

 

Saksikan filem penuh irama dan emosi yang mengisahkan tentang pertembungan irama dua generasi, pada Aidilfitri ini.

 

Tonton Dilema Irama bersama-sama keluarga, dan rakan-rakan di Facebook dan saluran YouTube PETRONAS yang telah bermula pada 3 April lalu.

 

Filem pendek ini dilancarkan pada 10 April lalu dalam majlis Ramah Mesra dengan Pengarah dan Pelakon Filem Raya 2023 PETRONAS & Iftar Ramadan di sebuah hotel terkenal di Kuala Lumpur.

 

Antara yang hadir termasuklah Datin Anita Azrina Abdul Aziz, serta Ikhlas, Roslan, Hyrul, dan wakil media.

No comments:

Post a Comment